Thursday, June 26, 2008

..Memahat Sejarah, Mencipta Tamadun..



Assalamualaikum wrt wbr..



Kalau lihat pada tajuknya pasti sahabat-sahabat terbayangkan bekas MB Terengganu yang digugurkan secara 'terhormat', Dato' Seri Idris Jusoh. Maklumlah, di mana-mana majlis yang dihadiri, pasti dilaungkan slogan keramat ini. Tak cukup dengan itu, habis seluruh jalan di negeri ini bermula dari Besut hingga Kemaman dihiasi dengan
bill board yang memaparkan slogan melambangkan keangkuhan beliau itu..

Bukan ini yang nak ku ceritakan sebenarnya. Tapi postingku kali ini memang ada kaitan dengan sejarah..

Semalam, satu sejarah telah terpahat di bumi qurra' Shoubra ini. Buat julung-julung kalinya, Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra (DPMMS) telah berjaya mengadakan majlis walimatul urus salah seorang ahlinya. Apa yang menarik semalam, walimah diadakan dengan dihadiri oleh kedua-dua mempelai..

Walimah yang penuh unik dan bersejarah ini meraikan sempena berakhirnya zaman bujang Ustaz Luqman Hakim bin Abdul Razak yang merupakan naqib usrahku tahun lepas, bersama pasangan pilihannya Ustazah Fatimah Az-Zaharah binti Amat Ramsa. Sesuai dengan namanya Majlis Sambut Menantu, kami dari pihak lelaki menerima kunjungan daripada rombongan pengantin perempuan dari Mansurah. (Mungkin sebab ni la kot ramai ustaz-ustaz yang datang,he3)..

Sebelum ini, kalau ada ustaz-ustaz Shoubra yang 'membina masjid' pun, majlisnya hanya disambut di sebelah pihak perempuan sahaja. Tambahan pula, bumi Shoubra ini telah makruf sebagai kawasan larangan bagi akhawat kecuali ada hal-hal yang diizinkan..


kenangan bersama Ustaz Luqman (kanan) dan Ustaz Faiz (timbalan naqib)

Alfun mabruk diucapkan buat Ustaz Luqman kerana telah berjaya menyempurnakan separuh daripada agama, hanya tinggal kini ketaqwaan dalam melayari bahtera hidup. Pandulah bahtera ke arah redhaNya dan jadilah pengemudi terbaik dalam nakhoda rumah tangga. Semoga terus kekal dan berbahagia hingga ke syurga..

Sabda Nabi s.a.w :
"Wahai para pemuda, barang siapa di kalangan kamu ada kemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah, kerana dengan (perkahwinan) itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Dan barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana (puasa) itu dapat memelihara nafsumu.."

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, June 23, 2008

.."ubah gaya hidup" - Najib..



Bismillahirrahmanirrahim...



Terkedu aku melihat paparan berita selepas subuh pagi tadi. Baik dalam Utusan Malaysia, Berita Harian mahupun laman akhbar pro pembangkang, Harakah Daily dan Tranung Kite Online (TKO)..

Berita yang memaparkan bagaimana empat orang Members of Parliament (MP) dari Pakatan Rakyat (PR) yang mengayuh basikal dari Bank Negara menuju ke bangunan Parlimen hari ini benar-benar mencabar kewibawaan Perdana Menteri. Tindakan yang diambil oleh YB Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru), YB Tian Chua (PKR-Batu), YB N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) dan YB Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) itu sebagai tanda protes terhadap kerajaan berhubung isu kenaikan harga minyak..

Yang aku peliknya, ada juga orang yang menempelak tindakan keempat-empat Ahli Parlimen pembangkang yang baru sepenggal menjadi Ahli Dewan Rakyat itu. Tak lain tak bukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa mereka hanya mencari publisiti murahan dengan bertindak sedemikian..

Kalau ini lah pandangan beliau, alamatnya jangan kata nak mencontohi, mereka juga tak kan dapat merasai beban yang ditanggung rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya yang lalu. Memanglah seorang menteri penuh tak ada masalah dalam soal kenaikan emas hitam ini. Maklumlah, gaji melebihi 10 ribu seorang..

Tak kisah apa yang Nazri nak kata, yang penting mereka berempat bukan saja memprotes untuk diri mereka tapi mereka juga turut menyampaikan luahan hati rakyat berpendapatan rendah yang amat terbeban dengan kenaikan bahan bakar ini..

Apa yang nak ku highligt di sini ialah teringat aku tak lama dulu bila mana harga minyak naik, Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan selamba menyarankan rakyat agar 'mengubah gaya hidup'. Rakyat memang rata-rata sudah berubah dengan mengambil langkah berjimat-cermat. Tapi sehingga hari ini, tak pernah lagi rakyat melihat TPM kita ini berubah. Rakyat teringin juga nak tengok TPM kita menaiki pengangkutan awam ke pejabat seperti komuter dan sebagainya..

Sama-sama kita nantikan bilakah pemimpin-pemimpin kita yang disifatkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran sebagai 'mereka bercakap apa yang mereka tidak buat' ini akan berubah dan merasai susah senang yang ditanggung rakyat marhaen..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, June 18, 2008

..Sekalung Penghargaan Buat Idolaku..



Assalamualaikum
wrt wbr..

Salam pertemuan buat sahabat-sahabat samada di tanah air mahupun di perantauan, kaum keluarga dan seterusnya buat pejuang-pejuang serta para pencinta kebenaran yang sentiasa menanti tibanya janji Tuhan yang pasti akan berlaku suatu hari nanti..

Bercakap soal perjuangan ni, teringat pula aku akan kisah silam perit jerih ayahku berjuang demi rasa tanggung jawab terhadap Islam dan juga menyambung perjuangan yang telah diwariskan oleh baginda s.a.w. Tambahan pula bersempena dengan sambutan hari bapa yang disambut ahad lalu, amat sesuailah postingku kali ini mengisahkan tentang beliau..

Sebelum aku bercerita lebih lanjut, aku ingin memberitahu satu perkara. Artikelku kali ini memang teramat panjang tapi sahabat-sahabat jangan bimbang, ceritanya pasti menarik dan tak jemu dibaca. Harap sahabat-sahabat sabar dan tekun membacanya..:)

Kisah perjalanan hidup ayah menjadi satu inspirasi dan dorongan kepadaku untuk menjadi seperti dirinya. Bayangkanlah, ayah yang langsung tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama diberi title 'ustaz' oleh kenalan rapat dan masyarakat setempat. Walaupun hanya memiliki diploma dalam bidang pentadbiran awam, tapi ilmunya mengalahkan azhari yang pulang dari Mesir. Ayah juga merupakan seorang yang berbakat besar dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan sejak kecil..

Ketika masih belajar di Sekolah Menengah Seberang Takir (kini SMK Ibrahim Fikri) lagi, ayah telah mula berjinak-jinak terjun ke medan dakwah. Ketika mana musim cuti sekolah, di kala kawan-kawan sebaya yang lain sibuk dengan aktiviti seperti bermain bola, layang-layang dan sebagainya, ayah bersama sekumpulan kecil rakan-rakan yang lain menubuhkan Persatuan Dakwah Islam (PERDAI). Saban malam mereka mengadakan road show ke seluruh surau-surau di sekitar Seberang Takir dan menyampaikan tazkirah selepas solat secara bergilir-gilir. Dengan kata lain, usia remaja ayah banyak dihabiskan dengan aktiviti di masjid dan surau, berbeza dengan remaja-remaja lain..

Melalui PERDAI ini lah ayah merasa satu kelainan dalam dirinya, iaitu keberanian dalam penyampaian dan membuang rasa malu ketika berdepan dengan masyarakat. Bukan setakat itu sahaja, melaluinya juga ayah belajar erti pengorbanan sebuah perjuangan sebagaimana yang pernah diterima oleh Rasulullah s.a.w. ketika menyampaikan risalah dakwah di Mekah. Masakan tidak, mereka pernah dihalau ketika menyatakan hasrat untuk mengadakan sedikit santapan rohani di salah sebuah surau. Sehinggakan yang lebih dahsyat, mereka dilabelkan kanak-kanak pelarian oleh sesetengah pihak yang memekakkan telinga untuk menerima ilmu..

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu langsung tidak mematahkan semangat para remaja yang ingin melihat masyarakatnya celik ilmu agama. Mereka meneruskan usaha dengan menghidupkan masjid-masjid dan surau-surau yang sunyi sepi. Surau yang dulunya hanya bermakmumkan tiang dan kipas siling, kini dipenuhi para jemaah di setiap sudut..

Bakat kepimpinan dalam diri ayah berlarutan sehingga tamat pendidikan peringkat menengah. Kemudian ayah terlibat secara aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di peringkat negeri. Setelah mendirikan rumah tangga dengan mak, ayah telah berazam untuk mewakafkan dirinya untuk perjuangan. Selepas itu ayah menjadi lebih aktif memandangkan ketika itu ayah memegang amanah yang agak berat iaitu merupakan antara pengasas terawal Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) yang kini dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) di negeri Terengganu bersama Dato' Haji Abu Bakar Chik dan Menteri Penerangan sekarang, Dato' Ahmad Shabery Chik..

Komitmen yang ayah tunjukkan dalam menaikkan nama PASTI di mata masyarakat memang mengagumkanku. Ayah boleh dikatakan otai bagi PASTI negeri. Apa tidaknya, nama ayah sudah sinonim dengan program-program PASTI mahupun kursus-kursus perguruan PASTI sehinggakan beliau diamanahkan menjadi pengarah PASTI negeri hampir 7 tahun lamanya. Ayah juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Pusat bermula tahun 1993 hingga 2005. Dalam tempoh itu, ayah memikul tugas yang paling berat sebagai Timbalan Ketua Pengarah PASTI Pusat selama 6 tahun. Sehingga kini ayah masih lagi menjadi ALP PASTI negeri..

Itu baru PASTI, tak sebut komitmen dalam jemaah lagi. Selepas meninggalkan kerjaya perniagaan, ayah menumpukan 100 peratus kepada parti. Ayah hanya 'mengabdikan' diri siang dan malam di pejabat perhubungan parti. Tak cukup dengan itu, di sebelah malam masa ayah dipenuhi dengan kuliah di surau, ceramah, mesyuarat dan usrah baik di peringkat cawangan, DUN, kawasan dan negeri..


Ayah sewaktu memimpin Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Teluk Ketapang

Bermula dari itulah, masa ayah bersama keluarga menjadi cukup terbatas, mujurlah mak memahami perjuangan ayah. Mak juga bukan setakat memahami, bahkan menjadi penguat semangat ayah di kala ayah lemah. Biasalah, iman manusia bersifat yazid wa yanqus, bukan seperti iman para Nabi dan Malaikat. Di samping itu juga, mak mengasuh kami anak-anak yang sudah terbiasa 'ditinggalkan' ayah di rumah. Ayah kadang-kadang keluar di awal pagi dan pulang lewat malam tatkala kami sudah lena dibuai mimpi. Ayah bertindak sedemikian bukan kerana mengejar dunia, tapi matlamat akhirat yang dicari demi melihat tertegaknya sebuah daulah yang sudah lama diimpikan oleh para pendokong Islam..

Teringat aku ketika kecil dulu, aku menyanyikan lagu "Balada" yang mengisahkan seorang anak yang diabaikan oleh ibu bapa kerana kesibukan mengejar kemewahan dunia. Memang lagu tersebut sesuai dengan situasiku. Namun, aku mengerti, ayah sibuk kerana mencari mardhotillah dan ayah walau sesibuk mana sekalipun tak pernah mengabaikan pendidikan dan kasih sayang terhadap anak-anak.. (kalau nak dengar lagu, klik play di bawah)



Lebih membuatkan ku terharu bagaimana membayangkan begitu tabah dan semangatnya ayah suatu ketika dulu. Ketika itu ayah hanya menggunakan sebuah motosikal Honda C70 untuk ke sana ke mari. Tak kira jauh atau dekat, motosikal itulah menjadi penggerak ayah untuk ke satu-satu program, kecuali kalau ada kereta yang diberi pakai oleh pak saudara yang baik hati. Hujan atau panas, ayah tetap tidak menghiraukannya..

Pernah suatu malam, kira-kira jam 12 tengah malam, ayah dalam perjalanan pulang dari mesyuarat (kalau tak silap la..) di markaz Padang Hangus, Tepuh. Dengan lampu motosikal yang malap, dengan fail minit mesyuarat yang bertimbun-timbun dalam bakul motosikal, ayah hampir terbabas dan hendak terjatuh dalam parit di satu jalan kecil yang berselekoh tajam, tiada sebatang pun lampu jalan yang menyuluhnya. Alhamdulillah, Allah masih lagi selamatkan ayah. Mungkin kerana ayah terlalu letih dan mengantuk. Tak putus-putus lafaz syukur terluah dari bibir ayah..

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada 29 November 1999, ketika ayah mengetuai Dewan Pemuda PAS negeri, ayah telah diamanahkan oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon bagi mewakili DUN Seberang Takir dalam PRU tersebut. Sikap ayah yang sederhana dan mudah mesra dengan penduduk sekitar membuatkannya mudah diterima rakyat. Hasilnya, tanpa kiraan undi pos, PAS telah menang dengan majoriti lebih 700 undi. Akan tetapi, impian rakyat untuk melihat satu sejarah terpahat di situ berkecai apabila BN diumumkan menang setelah dijumlahkan bersama undi pos dengan majoriti 575 undi..

Walaupun gagal menawan DUN tersebut, PAS berjaya membentuk kerajaan Terengganu. Ini merupakan 'hadiah' kepada pendokong-pendokong yang selama ini bertungkus-lumus untuk melihat Islam berkuasa. Lebih manis, kerajaan PAS 'menghadiahkan' ayah jawatan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu (UPNT) atas kegigihan dan pengorbanan ayah selama ini. Walaupun pada hakikatnya pengorbanan itu tak mungkin dapat dibalas dengan harta, pangkat dan sebagainya. Hanya balasan syurga yang layak untuk para pejuang yang terus thabat. Firman Allah Taala :

"Sesungguhnya Allah telah membeli orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.."
(Surah At-Taubah-111)

Sejak mula bertugas di Wisma Darul Iman, beban ayah makin bertambah. Kalau dulu hanya menumpukan pada parti, kini semakin padat dengan agenda parti dan program kerajaan. Dengan kata lain ayah semakin sibuk. Kadang-kadang sampai ke luar negara mengiringi Menteri Besar. Maklumlah, tugas ayah memberi penerangan kepada rakyat baik dalam mahupun luar negara tentang maklumat dan program-program kerajaan negeri..

Sehinggakan adik perempuanku, Sofiyyah Sobihah (gambar) yang kini berusia 8 tahun, 'keluar' menjenguk dunia ini tanpa mendengar azan dan iqamah dari mulut ayahku sendiri. Ini kerana ketika itu ayah berada di Indonesia dalam rangka lawatan kerja. Mujur ayah chik yang mengambil alih tugas itu..

Rumahku juga sering dikunjungi penduduk setempat tak kira masa. Mereka datang meluahkan rasa, meminta bantuan persekolahan anak-anak dan ada setengahnya meminta kerja. Mereka menganggap ayah seperti wakil rakyat kerana wakil rakyat sebenar tak mampu berfungsi dengan baik, mungkin kerana faktor usia yang sudah lanjut. Boleh dikatakan lebih separuh dari pendapatan bulanan ayah dihabiskan untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik..

Tiba PRU ke 11, ayah sekali lagi diamanahkan untuk menjadi calon. Kali ini PAS negeri menerima ujian paling getir dalam sejarah. Bukan setakat kehilangan kuasa memerintah, bahkan tewas mengejut tanpa disangka. Bayangkan, pak saudaraku yang menjadi polling agent di samping berkempen siang dan malam diserang demam selama 3 hari dek terkena penangan kejutan ini. Memang benar kata Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, "mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada usaha ke arah mencapai kemenangan.."

Bermula dari itulah, segalanya berubah. Kehidupan kami yang dulunya seolah-olah 'berada di zon selesa' kini tidak lagi. Ibarat sireh pulang ke gagang, ayah kembali bertugas di pejabat perhubungan sebagai pegawai khas Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT). Ayah juga kembali meneruskan rutin harian seperti biasa. Pagi di pejabat, petang berehat seketika bersama anak-anak, malam mengajar di surau, menghadiri mesyuarat, usrah dan sebagainya..

Walaupun pada pandangan kasar keluargaku dihimpit kesempitan hidup setelah Allah menarik nikmatNya, tapi Allah itu benar-benar Maha Kaya. Bayangkanlah, gaji sebulan yang diterima ayah sepanjang berkhidmat dengan parti hanya cukup untuk membayar pinjaman rumah sahaja. Itu belum termasuk bayaran pinjaman kereta dengan bank, minyak kereta, kos sara hidup, yuran sekolah anak-anak dan lain-lain lagi..

Inilah dinamakan keberkatan. Apabila kita membantu agama Allah, jangan gusar akan rezeki Allah kerana Tuhan tidak akan membiarkan hamba-hambaNya yang membantu agamaNya dalam keadaan kesempitan. Firman Allah s.w.t :

"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan menguatkan pendirian kamu.."
(Surah Muhammad-7)

Ayah juga sering kali mengingatkan anak-anak supaya bertaqwa kepada Allah serta yakin dengan janji-janjiNya sambil membaca firman Allah Taala yang bermaksud :

"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan tunjukkannya jalan keluar. Dan Dia akan memberikannya rezeki dari sumber yang tidak diketahui.."
(Surah At-Thalaq-2 & 3)

Ayat inilah yang ayah pegang selama ini. Walau dalam keadaan perit sekalipun kita tetap akan mengecap bahagia jika yakin dengan janji Allah ini. Satu lagi petua yang memang tak kan ku lupa bagaimana ayah sentiasa melazimi bacaan ma'thurat setiap hari, paling kurang sekali sehari. Usai solat subuh, pasti anak-anak melihat mulut ayah terkumat-kamit membacanya. Bila tibanya Ramadhan, kami sudah terbiasa dengan didikan ayah, iaitu membaca ma'thurat secara jahar sepanjang perjalanan pulang dari masjid selepas subuh..

Ayah mengamalkannya kerana ma'thurat merupakan rabitah hati kita dengan Allah s.w.t. Selain itu ia mampu menjadi benteng penghalang kita dari segala bahaya dan mala petaka. Pernah sekali ayah terlupa membacanya, terus Allah 'menghukum' 'kelalaian' ayah dengan menarik balik nikmat yang diberi seketika cuma - telefon bimbit ayah dicuri seseorang ketika tertidur di surau Hentian Bas Putra kira-kira 11 tahun yang lalu..

Begitulah sedikit sebanyak kisah perjalanan hidup ayah menempuh onak dan ranjau berduri dalam perjuangan. Ayah memang seorang yang kental dan tak mudah putus asa. Hatta dalam keadaan sakit sekalipun, ayah masih lagi mampu bangun selagi terdaya untuk membantu perjuangan. Kagum diriku bila dikhabarkan oleh mak saudaraku bagaimana ayah begitu bersemangat turun padang membantu kempen calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRU ke 12 Mac lalu, Saudara Muzafeq Muhammad walaupun dalam keadaan diserang demam seminggu sepanjang tempoh berkempen..

Ku kalungkan segunung penghargaan buat ayah yang telah banyak berkorban untuk kami semua anak-anakmu. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tarbiah ayah dengan 'mengabaikan' kami dan lebih mengutamakan perjuangan dari kami kerana dengan cara itu menjadikan kami matang dan mengerti pahit maung perjuangan yang tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. Mudah-mudahan kami dapat mengikut jejakmu ayah..

Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal atas jasa dan pengorbanan ayah selama ini. Teruskan perjuanganmu, kami akan sentiasa menyokongmu ayah! Anggaplah dugaan itu untuk menguji iman kita samada kita terus thabat ataupun futur dalam perjuangan yang menjanjikan 'imman nasru wa imma syahadah' ini..

Doakan kami ayah. Semoga kami menjadi seperti anak asy-syahid Dr. Abdullah Azzam (gambar) yang berpesan kepada anaknya, "sesungguhnya kalian tidak pernah bermesra dengan ayahmu melainkan hanya sebentar cuma. Terlalu sedikit tarbiah yang sempat diberikan kepada kalian. Ya, ayahmu sibuk dengan urusan jihad..!"


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, June 15, 2008

..selamat hari bapa..



Bismillahirrahmanirrahim..



Sempena dengan sambutan hari bapa..
Yang disambut semalam..
Ingin ku bingkiskan sebuah lagu..
Khas buat ayah tercinta..
Sebagai tanda kasihku padanya..
Walaupun ku tahu..
Pengorbanannya selama ini padaku..
Tak mampu ku membalasnya..
Hatta dengan segunung emas sekalipun..
Terimalah ayah..



Ketika berjauhan..
Masihku rasa..
Hangat kasihmu ayah..
Betapa ku rindukan..
Redup wajahmu..
Hadir menemaniku..

Terbayang ketenangan..
Yang selalu kau pamerkan..
Bagaikan tiada keresahan..

Walau hatimu sering terluka..
Tika diriku terlanjur kata..
Tak pernah sekali kau tinggalkan..
Diriku sendirian..

Ketika ku dalam kedukaan..
Kau mendakap penuh pengertian..
Di saat diriku kehampaan..
Kau setia mengajarku..
Erti kekuatan..

Terpancar kebanggan..
Dalam senyummu..
Melihatku berjaya..
Bila ku kegagalan..
Tak kau biarkan..
Aku terus kecewa..

Dengan kata azimat..
Engkau nyalakan semangat..
Restu dan doa..
Kau iringkan..

Tak dapatku bayangkan..
Hidupku ayah..
Tanpa engkau di sisi..
Semua kasih sayang..
Yang kau curahkan..
Tersemat di hati..


Terima kasih ayah..
Kerana memahami kenakalan anakmu..
Ampunkan segala keterlanjuranku..
"Ya Allah..
Ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku..
Sebagaimana mereka mengasihaniku..
Sejak aku kecil.."


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..hikmah kembara..





Assalamualaikum
sahabat sahabiah yang dirahmati Allah..

Sudah seminggu lebih blog aku ni tak diupdate. Entah kenapa, tiba-tiba je sejak akhir-akhir ni otakku diserang virus yang paling aku benci iaitu virus malas. Malas nak jenguk berita semasa tanah air, malas nak menaip, malas nak buat itu, ini dan sebagainya. Virus inilah yang aku bimbang kerana ianya merupakan salah satu daripada alamat-lamat riak sepertimana pesan Rasulullah s.a.w kepada menantu baginda, Saidina Ali k.w iaitu antaranya, "malas ketika bersendirian"..


Tambah membuat 'virus' ini menjalar ke seluruh tubuhku, dua tiga hari lepas kawan-kawanku meminta aku menjadi musyrif mereka dalam siri jaulah ke muhafazah Iskandariah. Aku tak berminat untuk pergi pada mulanya, tapi disebabkan mereka kurang mengenali selok-belok jalan di sana, tak dapat tidak aku terpaksa membawa mereka. Tambahan pula Februari lepas baru je aku ke sana. Tapi tak mengapa, perjalanan kali ni berbeza dengan sebelum ni kerana musim sudah berubah. Yang penting, Iskandariah pasti akan menyajikan yang lebih baik di musim panas ini..


Memang benar kata pepatah, 'jauh perjalanan, luas pengalaman'. Pengalaman yang sama-sama kami timba sepanjang perjalanan pulang dari Iskandariah ke Kaherah benar-benar menguji kesabaran kami. Mana tidaknya, lain yang kami rancang lain pula yang jadinya. Tapi kami percaya, sehebat mana sekalipun manusia merencana sesuatu, Allah juga punya perancangan yang jauh lebih baik dari mereka. Firman Allah Taala :


"Dan mereka merancang sedangkan Allah juga merancang, dan perancangan Allah lah yang lebih baik.."
(surah Ali 'Imran-54)

Walaupun kami 'tersesat' dek kerana tersilap menaiki keretapi, tapi Allah selitkan kemanisan dan kesenangan di sebalik kesulitan yang kami alami. Bayangkanlah perjalan dari Iskandariah ke Kaherah yang biasanya memakan masa hanya 3 jam, melangkau sehingga 5 jam setengah. Memang benar firman Allah s.w.t yang bermaksud :


"Sesungguhnya di sebalik kesusahan itu terdapat kesenangan.."
(surah Asy-Syarh-6)

Kemanisan dan kesenangan yang ku maksudkan ialah ketika dalam keretapi Allah telah menemukanku dengan seorang pemuda arab yang sangat baik hati, peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja. Walaupun beliau hanya bekerja di sebuah kilang membuat roti di Tanta, tapi beliau tidak segan menceritakan kisah hidupnya yang sederhana itu. Pemuda yang bernama Muhamad Dabouh inilah yang telah memberi kami sedikit tunjuk ajar bagaimana untuk menaiki keretapi ke Kaherah setelah kami transit di Tanta. Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusannya kerana dia telah memudahkan urusan kami, amin Ya Rabb..

Yang kedua, ketika sedang aku asyik berbual dengan kawan-kawan sementara keretapi bergerak, tanganku terasa 'gatal' meraba-meraba dalam kocek beg galas yang ku riba. Aku terasa seolah-olah benda tersebut seperti yang aku cari bagai nak gila selama ini. Sah! Memang inilah konsonan yang kami cari, he3.. Alhamdulillah, 'baby cute'ku yang hilang selama lebih tiga minggu telah selamat ku temui. Aku pun tak tahu macam mana USB tu boleh terselit dalam kocek beg kepunyaan room mateku ini, wallahu a'lam. Kepada sahabat-sahabat yang cakna dan mendoakan 'keselamatan'nya, hanya lafaz jazakumullah khairal jazaa' yang dapat ku ungkapkan buat kalian..

Begitulah hikmah pengembaraanku ke bumi yang menjadi tumpuan pelancong di musim panas, Iskandariah. Walaupun diuji dengan kesulitan sebegitu rupa, tapi Allah segera 'membayarnya' secara cash dengan dua kemanisan yang tak sekali-kali ku sangka. Dengan syarat kita bersabar dan tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi dalam menempuh ujian hidup ini. Memang sudah menjadi lumrah alam, manusia mana yang tak mengeluh tatkala diuji. Bibir memang mudah mengucap kata-kata sabar, akan tetapi hakikatnya hatilah yang menanggung perit dan derita. Ingat, ujian yang Allah timpakan ke atas kita ini jauh lebih kecil jika nak dibandingkan dengan para Anbiya' Ulul Azmi 'alaihimus solatu was salam terdahulu..

Glosari :
  • musyrif - pemimpin perjalanan / ketua rombongan yang tahu selok- belok perjalanan
  • jaulah - lawatan / makan angin
  • muhafazah - negeri



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, June 5, 2008

..minyak oh minyak..

Assalamualaikum wrt wbr..

Semalam negara kita sekali lagi dikejutkan dengan satu pengumuman tergempar yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Masakan tidak terkejut, baru dua hari sebelum tu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan minyak akan naik menjelang Ogos ini. Nah, tak sampai seminggu, Pak Lah pula membuat surprise untuk rakyat. Ini merupakan berita 'gembira' buat rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi yang memangkah BN dalam pilihan raya yang lalu..

Seperti sebelum-sebelum ni juga, kerajaan menaikkan harga minyak atas alasan yang sama iaitu kerajaan dan Petronas telah banyak menanggung subsidi selama ini. Itu semua alasan yang lapuk dan tak boleh diterima oleh rakyat. Kerajaan juga sering membandingkan harga minyak di Malaysia dengan negara-negara jiran yang bukan negara pengeluar minyak seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan sebagainya..

Mari kita bandingkan harga minyak di negara-negara pengeluar minyak lain. Adakah Malaysia yang paling rendah?

UAE – RM1.19/liter
Mesir – RM1.03/liter
Bahrain – RM0.87/liter
Qatar – RM0.68/liter
Kuwait – RM0.67/liter
Arab Saudi – RM0.38/liter
Iran – RM0.35/liter
Nigeria – RM0.32/liter
Turkmenistan– RM0.25/liter
Venezuela– RM0.16/liter
MALAYSIARM2.70/liter

Sebaik saja pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, boleh dikatakan semua stesyen minyak di tanah air telah diserbu bak 'pisang goreng panas'. Ada yang sanggup beratur panjang dalam kereta semata-semata untuk mengisi minyak sebelum harganya dinaikkan pada tengah malam itu. Terbukti kejutan ini memang betul-betul membuat rakyat bengang dengan kepimpinan negara yang bangang ini! Mereka langsung tidak memikirkan perasaan rakyat dan hanya mahu memenuhkan poket mereka sahaja..

Kalau dua tiga hari sebelum ini fenomena beratur panjang di stesyen minyak ini hanya
berlaku di sempadan negara jiran berikutan larangan penjualan bahan bakar kepada kenderaan asing, kini berlaku di seluruh negara. Lebih menyerlahkan lagi kebangangan kerajaan yang sedia bangang ini, Perdana Menteri dengan selamba berharap rakyat tidak membuat demonstrasi berikutan kenaikan harga minyak ini..

Mereka fikir rakyat bodoh macam mereka barangkali, rakyat tidak sebodoh itu wahai pemimpin-pemimpinku. Rakyat akan turun secara aman di jalan-jalan raya mendesak supaya keputusan ini kalau tidak ditarik balik pun dikaji semula. Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri bersungguh-sungguh berjanji kepada rakyat bahawa tiada kenaikan minyak yang akan berlaku selepas pilihan raya. Inilah sikap pemimpin munafik yang hanya pandai menabur janji tanpa mengotakannya..

Minyak oh minyak.. Sungguh beruntung dirimu minyak, nilaimu semakin hari semakin tinggi. Semakin masyhur dan sering terpampang di dada-dada akhbar sejak kebelakangan ini. Keranamu minyak, semua orang 'naik minyak'..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, June 4, 2008

..Rehlah Fayyoum..

Bismillahirrahmanirrahim...

Seperti yang dijanjikan, di sini ana nak kongsi pengalaman melalui kronologi dan catatan perjalanan sepanjang rehlah ke Fayyoum baru-baru ni..


suasana dalam markaz DPMMS

6.30 pagi - Semua peserta berkumpul di markaz DPMMS untuk lapor diri serta mendengar sedikit taklimat disiplin dan keselamatan..

7.30 pagi - Dua buah bas yang akan membawa kami yang dijadual tiba seawal jam 7.30 pagi masih tak kelihatan ('ammu driver tu masih tidur lagi kot..he3)..

8.15 pagi - Bas yang dinanti-nanti selama setengah jam lebih baru kelihatan, itu pun baru sebuah. Kami terus menanti lagi..


bersiap sedia untuk explorace..hehe

8.30 pagi - Semua peserta diarah ke mahattoh bas di Dauran. Peserta diminta memenuhkan bas yang pertama sementara bas kedua tiba..

8.50 pagi - Sesetengah peserta mula merungut apabila bas yang dinanti-nanti hampir sejam masih belum tiba, mereka bimbang kalau-kalau nanti ada tempat-tempat yang tak sempat disinggah atas alasan kelewatan. Pihak urusetia mula meyakinkan peserta bahawa bas akan tiba tak lama lagi..


bas yang bermasalah pada mulanya..he3

9.00 pagi - Akhirnya.. Bulan yang ditunggu jatuh ke riba (entah apa-apa ayat ni..), bas yang dinanti sejak sejam tadi telah pun sampai. Peserta tersenyum keriangan termasuk yang merungut sebentar tadi..


sahabat kita sorang ni semangat betul..walaupun bertongkat

9.05 pagi - Kami bertolak ke destinasi dengan iringan doa. Pengarah memberikan kata alu-aluan dan kalam-kalam taujihat tatkala bas baru memulakan perjalanan. Urusetia mengagihkan sedikit sarapan pagi untuk peserta.


berhadapan tasik Qarun

11.00 pagi - Alhamdulillah.. Kami selamat tiba di tasik Qarun. Cuaca teramat panas tengahari itu. Peserta mengambil peluang bergambar di persekitaran tasik tersebut..

11.20 pagi - Bas mula meninggalkan tempat berhenti kami sebentar tadi sambil melalui kawasan tepi tasik, sungguh besar tasik ini, subhanallah.. Kanak-kanak arab kelihatan keriangan bermandi-manda di situ..

kesan runtuhan daripada istana Qarun

11.50 pagi - Tiba di kawasan istana Qarun. Kawasan yang dulunya merupakan mahligai singgah sana Qarun kini lenyap menjadi padang pasir seluas mata memandang, hanya tinggal sedikit saja kesan binaan istana tersebut..


satu-satunya bangunan yang kekal hingga ke hari ini

12.50 tengahari - Kami meninggalkan kawasan istana yang penuh dengan sejarah itu. Azan zohor mula berkumandang di udara. Sayup-sayup kedengaran. Badan kami mula terasa panas dan berpeluh..


air terjun Syalalat yang meng'goda'

1.15 petang - Bas bertolak ke kawasan air terjun Syalalat. Sepanjang perjalanan, mata kami di'saji'kan dengan keindahan kebun-kebun anggur, jagung, bawang dan banyak lagi..

makan dengan rakus tanpa melupakan Yang Esa..he3

2.00 petang - Kami tiba di tempat yang amat ditunggu-tunggu oleh setiap peserta. Kami turun dari bas dengan membawa pakaian mandi. Urusetia mula mengagihkan makanan tengahari. Peserta makan dengan begitu berselera sekali..(maklum la jalan jauh, mesti lapar kn?)..

melepaskan gian setelah sekian lama tak jumpa ayaq teghejun

2.20 petang - Sesetengah peserta ada yang menunaikan solat jamak qasar di musolla manakala yang lain terus menyalin pakaian dan melakukan 'terjunan' dek kerana tak tahan 'godaan' air terjun yang berada di tengah-tengah padang pasir itu..

3.30 petang - Kami yang sedang seronok mandi diminta naik. Peserta yang belum menunaikan solat terus bergegas ke musolla sementara yang lain menuju ke bas masing-masing. Kali ini bas membawa kami ke ain Silyin pula..


ain Silyin yang penuh khasiat semulajadi

4.15 petang - Tiba di ain Silyin, kawasan di mana terdapatnya air mata air asli. Sepanjang berjalan kaki ke ain tersebut kami terserempak dengan ramai 'ammu dan mama arab yang menjual mempelam di kaki lima..

4.20 petang - Kami mengambil peluang berehat sambil mengambil angin segar di situ. Sebahagiannya ada yang meminum air mata air tersebut, ada yang membeli minuman dan aiskrim di kedai berdekatan untuk menghilangkan dahaga setelah setengah hari berjalan di bawah terik matahari..


buah anggur yang belum masak sepenuhnya

4.45 petang - Dalam perjalanan menuju ke bas, kami sempat singgah di kebun anggur dan mempelam milik seorang arab yang tinggal di situ. Kami mengambil gambar untuk tujuan kenang-kenangan dan beramah mesra dengan keluarga 'ammu tersebut..

5.00 petang - Sebelum menaiki bas, ramai di kalangan kami yang sempat membeli mempelam yang dijual di tepi jalan tadi, mungkin tertarik dengan kata-kata 'manis' mama penjual tersebut, wallahu a'alam..

kincir air yang penuh ajaib..pasti menarik perhatian pengunjung

6.05 petang - Kami selamat tiba di destinasi terakhir sepanjang rehlah kali ini iaitu bandar kincir air Nabi Yusuf. Semua peserta tertarik dengan keunikan kincir kayu tersebut yang langsung tidak menggunakan sebarang enjin untuk menggerakkannya..


bergambar sebelum meninggalkan bumi Fayyoum

6.50 petang - Kami bertolak pulang ke Shoubra dengan bermacam-macam ragam dan perasaan. Ada yang sempat mengukir senyum tanda gembira, ada yang lesu kepenatan dan sebagainya. Sebelum pulang, ada yang sempat membeli ole-ole sebagai tanda kenangan dari bumi yang subur ini..

8.55 malam - Rombongan kami selamat sampai di Dauran, Shoubra. Alhamdulillah.. Perjalanan kami hari ini tiada yang tergendala, semua tempat sempat kami lawati. Kami menunaikan solat maghrib di masjid berdekatan dan seterusnya berpecah pulang ke rumah masing-masing..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, June 2, 2008

..program soifi..



Assalamualaikum wrt wbr..

Bersempena dengan cuti soifi (musim panas) ni, pihak Dewan Perwakilan Mahasiswa (Maqaz) Shoubra (DPMMS) telah merancang banyak aktiviti-aktiviti yang menarik dan bermanfaat untuk semua ahli. Program yang dinamakan Liqa' Mahabbah (LIMA 08) merupakan program tahunan yang sering diadakan saban tahun dan juga merupakan antara program mega DPMMS. Antara program-programnya adalah seperti rehlah, diskusi ilmiah, seminar, kursus, sukan, bazaria dan banyak lagi..

Semalam, satu program yang menarik di bawah LIMA 08 ini telah diadakan iaitu rehlah ke Fayyoum, satu kawasan yang penuh dengan keajaiban ciptaan Allah s.w.t di bumi Mesir ini. Fayyoum juga merupakan kawasan sektor pertanian yang mana walaupun tanahnya kering, tetapi tanamannya hidup subur..subhanallah! Rehlah yang disertai kira-kira 80 orang ahli DPMMS ini antara lain bertujuan mengeratkan lagi mahabbah di kalangan ahli di samping merenung dan melihat sendiri kebesaran serta kekuasaan Allah s.w.t. Tahun lepas aku tak berkesempatan mengikuti rehlah ke Fayyoum kerana aku dah pun berada di Malaysia (lepas dapat natijah terus balik..he3)..

Antara kawasan-kawasan menarik yang sempat kami lawati sepanjang rehlah semalam ialah Buhairah Qarun (tasik Qarun), Qasr Qarun (istana Qarun), kawasan air terjun Syalalat, 'Ain Silin, kebun anggur dan bandar kincir air Nabi Yusuf.

Tasik Qarun memperlihatkan kepada pengunjung betapa Maha Kuasa Allah s.w.t menenggelamkan seorang manusia yang sombong dan angkuh terhadap nikmat kekayaan yang dikurniakan Allah kepadanya ke dalam tasik tersebut. Walhal pada asalnya beliau hanya seorang miskin lalu berkat doa Nabi Allah Musa a.s beliau menjadi seorang yang kaya-raya. Kemudian beliau lupa diri sehingga enggan mengeluarkan zakat. Hartanya disimpan di dalam gudang besar, dan dikatakan anak kunci gudang tersebut hanya boleh dibawa dengan menggunakan beratus-ratus ekor unta. Lihat, betapa besar dan beratnya anak kunci gudang harta Qarun. Itu baru kunci, belum hartanya lagi..

Istana Qarun pula menyaksikan bagaimana kekuasaan Allah s.w.t menghancurkan mahligai mewah yang besar milik Qarun laknatullah. Kini hanya tinggal sedikit saja kesan binaan istana tersebut, selebihnya hanya cebisan batu-batu dan menjadi padang pasir yang luas bak padang jarak padang tekukur..

Bagi mereka yang ingin menyejukkan tubuh selepas ber'jemur' dari pagi, eloklah mengunjungi kawasan air terjun Syalalat. Tempat inilah yang dinanti-nantikan oleh para peserta. Air terjun daripada kawasan ini mengalir laju ke tasik Qarun. Apa yang menarik di sini ialah kawasan di mana padang pasir yang luas seluas mata memandang, terdapat air terjun yang teramat sejuk. Sesiapa yang melihatnya pasti ta'ajub akan kebesaran Allah ini. Mereka yang berkunjung ke sini pasti tidak melepaskan peluang untuk mencuba kesejukannya. Dengan kata lain, hanya orang yang tak waras saja yang tidak mahu merasai ke'nikmat'annya (bagi sahabat-sahabat yang tak mandi semalam, jangan terasa ye..he3)..

Ain Silin merupakan sebuah kawasan di mana terdapatnya sebuah air mata air di situ. Ianya merupakan air mata air asli dan bukan buatan manusia. Seperti juga air zam zam di Mekah, ain Silin sentiasa mengalir semenjak dahulu hingga kini. Uniknya, air mata air ini mempunyai khasiat-khasiatnya yang tersendiri sepertimana air mineral yang bersih. Di kawasan ini juga terdapat kebun anggur yang ditanam sendiri oleh penduduk di situ. Di samping itu juga mereka menanam mempelam dan sayur-sayuran yang lain..

Destinasi terakhir kami ialah bandar kincir air Nabi Yusuf a.s. Mengikut sejarah, Nabi Allah Yusuf a.s telah menerima wahyu daripada Allah s.w.t supaya dibangunkan kawasan tersebut (Fayyoum). Lantas baginda membuat kincir air bertujuan supaya air daripada sungai dapat disalurkan ke kawasan pertanian untuk menyuburkan tanaman. Kincir yang 98% diperbuat daripada kayu itu terletak di tengah-tengah bandar Fayyoum. Pada mulanya terdapat berpuluh-puluh buah kincir, tapi kini hanya tinggal empat buah saja. Daripada jumlah itu, hanya tiga daripadanya yang dapat berfungsi dengan baik hingga ke hari ini. Menariknya di sini, pengunjung pasti kagum dengan bunyinya yang langsung tidak menggunakan sebarang enjin seolah-olah seperti bunyi azan..

p/s= gambar-gambar dan kronologi perjalanan ke Fayyoum akan dipost kemudian..nantikan..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP