Thursday, February 26, 2009

..Mabruk 'Alaikum..

Thursday, February 26, 2009


Alhamdulillah, selesai sudah kejohanan Piala Presiden PMRAM 2009 yang berlangsung selama 5 hari bermula 22 Februari lepas dan berakhir petang tadi. Kali ini Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig menjadi tuan rumah kepada 24 pasukan yang mengambil bahagian (termasuk Brunei yang menarik diri di saat-saat akhir). Selain 13 wakil dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan 8 Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM), turut serta dalam kejohanan kali ini ialah pasukan jemputan dari Kemboja dan Singapura..

Pagi tadi aku ke sana lagi bagi memberi sokongan kepada dua pasukan favoriteku, tak lain tak bukan Terengganu dan Shoubra. Sebelum ini aku sempat menyaksikan perlawanan liga yang membabitkan skuad Peteh dan Singa Al-Quran. Hasilnya Terengganu berjaya menduduki tempat kedua (naib johan) kumpulan A, manakala Shoubra naib johan kumpulan C dan kedua-duanya berjaya melangkah ke suku akhir..

Terengganu bertemu Tanta di peringkat suku akhir yang begitu sengit awal pagi tadi. Keputusannya Terengganu terpaksa akur dengan kehebatan Tanta selepas tewas tipis 1-0. Shoubra pula dipaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan pasukan tuan rumah, Zagazig 2-1 walaupun berdepan dengan puluhan penyokong tuan rumah yang hadir memberi sokongan. Pun begitu, kemaraan Shoubra kali ini disekat Pahang selepas skuad Tok Gajah itu berjaya menjinakkan Singa Al-Quran di peringkat separuh akhir dengan jaringan 2-0..

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan yang dirangkul tahun lepas, kekecewaan penyokong sedikit terubat selepas Shoubra berjaya menewaskan pasukan Mansurah 2-0 dalam penentuan tempat ke 3 & 4 untuk sekurang-kurangnya berada di tempat ke-3 kejohanan kali ini. Keputusan perlawanan akhir di antara Tanta dan Pahang berkesudahan Tanta menang menerusi penentuan sepakan penalti 8-7 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0..

Semoga ukhuwwah yang terjalin selama 5 hari kejohanan ini berlangsung baik di kalangan pemain mahupun para penyokong akan sentiasa terjalin dan berkekalan hingga ke akhir hayat sesuai dengan tema yang dipilih PMRAM kali ini, 'Jalinan Ukhuwwah, di Laman Riadhah'..

sedikit warna-warni sepanjang kejohanan:

Presiden PMRAM menyerahkan piala kepada sang juara, Tanta

Naib Juara : Pahang

Ketiga : Shoubra

Perlawanan akhir antara Tanta menentang Pahang

skuad Terengganu membuat regangan sebelum perlawanan

seorang pemain Mansurah terbaring selepas terjatuh dalam ketika bertemu Pahang di peringkat liga. Tulang sikunya dipercayai patah..


0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP