Monday, March 2, 2009

..3 dalam 1..

Monday, March 2, 2009


Baca pada tajuk di atas, mungkin setengah pembaca terbayangkan iklan syampu yang selalu ditayangkan di televisyen. Ini bukan iklan syampu, jauh sekali iklan ubat-ubatan mahupun air minuman. Gambar di atas boleh menceritakan segalanya. Kali ini postingku mengisarkan tentang 3 berita sedih yang ku terima dalam 1 masa..

Mula-mula pada hari semalam, aku terbaca dalam blog ayah dan aku mendapat tahu bahawa sahabat sekampungku, Mohd Ghazali bin Mohd Zaid telah ditimpa kemalangan. Kawan seangkatan yang ku panggil Abang Ali ini (walaupun beliau lebih muda dariku 2 tahun) ditakdirkan Allah telah terkena air panas yang menyebabkan telinga, pipi dan sebahagian dadanya melecur. Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dijangka akan menjalani pembedahan plastik di wad 5B. Mungkin 2-3 minggu ini suara beliau melaungkan azan di Surau Hj. Mohammad Chik tidak lagi kedengaran lantaran keuzurannya itu. Buat Abang Ali semoga tabah dan redha menghadapi ujian yang menimpa. "Allahu yasyfiika syifaan 'aajila.."..

Yang kedua, juga pada hari yang sama (semalam) aku turut mendapat berita yang amat mengejutkan. Haji Mohamad
Awang ataupun lebih dikenali sebagai Haji Zaid Gas di kalangan orang kampung di sekitar Seberang Takir telah kembali ke rahmatullah. Almarhum dipercayai tidak sedarkan diri (koma) selama kira-kira 18 hari selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kira-kira jam 10 malam (Sabtu) beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir..

Almarhum memang dikenali semua orang kerana sifatnya yang peramah dan mesra. Beliau sentiasa melirikkan senyuman manisnya hatta kepada kanak-kanak dan orang muda sekalipun. Beliau sering kali kelihatan ke mana-mana dengan menaiki motor jenis Honda EX5nya sambil 'membonceng' gas di belakang untuk dihantar ke rumah yang membuat tempahan. Satu perkara yang menarik perhatianku, beliau akan memakai topi keledar ke mana saja walaupun hanya keluar beberapa kilometer dari rumah. Seingatku, semasa kecil dahulu ayah selalu berkunjung ke kedai kasutnya di Kampung Alur Kuda (kini dah ditutup kalau tak silap) sekiranya kami adik-beradik berhasrat membeli kasut sekolah baru. Satu-satunya kedai kasut di Seberang Takir yang banyak pilihan ketika itu adalah di kedai BATA milik beliau. Jasa dan pengorbanannya pada semua orang pasti akan diingati. Semoga Allah menempatkan ruhnya bersama para solihin dan syuhada'. Al-Fatihah..

Aku fikir itulah berita yang paling mngejutkan, rupa-rupanya ada lagi yang lebih bombastik dari itu! Semalam juga, terkejut aku bila mendapat berita adikku, Aceh teraccident di jalan raya. Bila sebut 'ter' memang tak disengajakan, bukan? Ceritanya berlaku apabila Aceh dalam perjalanan ke rumah kawannya di Padang Midin. Apabila tiba di Kampung Merbau Patah, beliau telah gagal dalam percubaannya ingin memotong lori di hadapan. (Tu la.. Lain kali kalau nak memotong tu, pergi la ladang getah, hahaha..) Tapi mujur beliau tak mengalami kecederaan yang serius, hanya kelima-lima jari kaki kanannya saja yang cedera (berbalut macam mumia jugaklah kaki beliau tu). Ablem harap Aceh dapat bersabar dengan ujian ini. Mungkin ini juga kaffarah dan inzar bukan saja untuk Aceh, tapi untuk orang lain juga agar sentiasa sedar bahawa kita sering kali alpa dan leka denganNya. 'Ibrahnya apa yang kita rancang tak semestinya kita perolehi, dan apa yang kita tak rancang barang kali akan kita perolehi tanpa kita sedari..

Begitulah kuasa yang ada pada medium yang bernama BLOG. Walaupun tak dapat bercakap melalui telefon, tak dapat mendengar khabar berita dari mulut tentang insan tersayang, tetapi blog ini mampu menjadi pengganti mereka yang tak jemu-jemu menyampaikan dan terus menyampaikan kepadaku di perantauan ini. Semoga medium ini terus kekal sebagai wadah An-Nabaa'..


2 comments:

Anonymous,  March 30, 2009 at 8:39 AM  

semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..amin

Cucu Dagang (CD) March 30, 2009 at 10:22 AM  

>alongwairnazz

mudah2an..aminn ya Rabb..

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP