Sunday, March 29, 2009

..Rangkuman Seminggu..

Sunday, March 29, 2009


Seminggu sudah berlalu. Dalam tempoh tersebut terlalu banyak kisah dan peristiwa yang berlaku. Insya Allah akan kuceritakannya satu-persatu. Eh, macam pantun je, semua berakhir dengan huruf 'U' di belakang, he he..

Khamis & Jumaat

Baik, setelah pulang dari Mansurah minggu lepas, kami tidak terus pulang ke Shoubra, tetapi meneruskan 'pengembaraan' melihat keindahan alam di bumi Dumyat. Dumyat atau nama lainnya Damietta merupakan kawasan terdapatnya pantai di situ. Apa yang menarik, hasil laut yang paling banyak di pantainya ialah kerang. Kerangnya pula bukan sebarang kerang, tetapi sebesar alam!

Kami sampai di Dumyat hampir-hampir maghrib. Dalam kami sibuk meng'usya' tempat penginapan di situ, kami sempat singgah di sebuah masjid. Di situ kami selaku 'tetamu' dari Malaysia telah diberi penghormatan oleh pegawai dan jawatankuasa masjid. Aku diminta melaungkan azan isyak dan memperdengarkan bacaan Al-Quran berlagu. Sebelum itu, syeikh merangkap imam masjid tersebut meminta agar diperdengarkan 'azan bitaa' Malizi miyah-miyah!' (azan gaya Malaysia 100%). Bukan senang nak dapat peluang di masjid besar sebegitu..

Dalam kesempatan sehari tinggal di situ kami sempat melawat kawasan Ra'sul Bar, di mana tempat bertemunya antara Sungai Nil dan Laut Mediterranian. Di samping itu, kami sempat merasai hasil laut di beberapa restoran sea food di kawasan pekan Ra'sul Bar..

Ahad - Isnin

Biro Kebudayaan, Kesenian & Sukan (BKKS) Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Exco KPT selama 2 hari. Kami anak-anak Terengganu dari Shoubra turut tidak ketinggalan dalam menyertai kejohanan bagi memantapkan kesatuan anak-anak Terengganu ini. Kejohanan ini melibatkan antara 10 pasukan yang bertanding dan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Alhamdulillah, keringatku naik turun dari Shoubra ke Hayyu 'Asyir akhirnya berbaloi apabila teamku, Cappucino Billaban FC berjaya mendapat naib johan setelah tewas 1-2 kepada Skoda FC dalam perlawanan akhir yang sungguh mendebarkan..

Selasa

Selesai kelas tasmi' dan syarah Dhobtul Quran petang itu, aku mula membuat kerja-kerja persiapan bahagian multimedia untuk Muktamar Sanawi PMRAM yang bakal menjelang. Walaupun ketua sudah memaklumkan kepadaku seminggu sebelum ini, tetapi oleh kerana ketiadaan bahan yang hendak kumasukkan dalam slide show kali ini menyebabkan kerja-kerja menyiapkannya tertangguh. Lagi satu, memang sudah menjadi tabiatku sejak sekian lama, iaitu suka menangguh-nangguhkan kerja dengan kata lain kerja last2 minute. Bila la aku nak berubah?

Rabu

Seawal jam 6.15 pagi lagi aku sudah melangkah keluar rumah. Pagi itu aku menghadiri Liqa' AJKT DPM di Saint Theresa. Dua hari lepas aku berjanji dengan ahli baitku, Mizi yang aku akan menemaninya ke Muktamar HEWI PMRAM yang berlangsung hari ini. Beliau dijemput sebagai qari pembukaan majlis perasmian. Tiba-tiba semalam aku terpaksa membatalkan hasratku itu apabila handsetku menerima mesej tentang makluman liqa' tersebut. Apa yang mengecewakanku, penerbitan Suara Kampus Edisi MAQAZ (SUKMA) keluaran terbaru terpaksa ditangguhkan sehingga selesai imtihan atas beberapa masalah teknikal. Sepatutnya SUKMA tersebut boleh ditauzi' (diedar) sebelum imtihan lagi. Apa-apa pun, pasti Allah ingin menunjukkan hikmah di sebalik kelewatan yang berlaku asalkan kita redha dan sabar..

Petang itu aku terus menyambung kerja-kerja slide show yang belum disiapkan semalam. Hampir sehari suntuk aku menyiapkannya sehingga memaksaku bersengkang mata. Oleh kerana terlalu masyghul hari ini, aku hampir-hampir terlupa bahawa hari ini (25 Mac) merupakan ulang tahun kelahiran satu-satunya abangku dunia akhirat, Ahmad Suhail. Abang kini berkhidmat di Syarikat
Imtiaz Travel Sdn Bhd, sebuah syarikat pelancongan di pusat Bandaraya Kuala terengganu di samping beliau diamanahkan sebagai Ketua JK Pemuda PAS Cawangan Teluk Ketapang. Alim doakan semoga Abang terus thabat dalam perjuangan, dipanjangkan umur, dilimpahkan rezeki dan dapat memimpin masyarakat dan keluarga. Terima kasih atas segala tarbiah dan tunjuk ajar untuk Alim dan adik-adik selama ini..

Khamis

Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 berlangsung. DPM MAQAZ Shoubra telah menghantar 30 orang perwakilan di samping kira-kira 20 orang pemerhati sepanjang muktamar. Kehangatan muktamar pada tahun ini dirasai tatkala agenda perbentangan dan perbahasan usul dikemukakan. Sebanyak 4 usul telah diluluskan pada tahun ini, yang mana usul-usul tersebut merangkumi membanteras unsur-unsur perpecahan ahli, mempertahankan naungan PMRAM, urusan sambungan visa dan Dana Syaqah. Sepanjang 2 kali mengikuti muktamar ini sebagai perwakilan, aku melihat muktamar tahun ini lebih panas dengan usul-usul yang dikemukakan berbanding tahun-tahun sudah..

Sebelum itu, ketika pembukaan sidang lagi, kami dikejutkan dengan berita pemergian anak perempuan pasangan sahabat dari Terengganu,
Ustaz Mohd Sabri Yamin dan Ustazah Che Amirah Che Muda. Anak pasangan tersebut yang lahir ke dunia tidak sampai 24 jam telah dipanggil mengadap Ilahi kira-kira jam 8 pagi. Selepas asar, semua pimpinan PMRAM, para perwakilan dan pemerhati sama-sama menyembahyangkan jenazah kanak-kanak tersebut di Dewan Nadi Riyadhi, Hayyu Sadis, tempat muktamar berlangsung. Semoga ruh almarhumah dicucuri rahmat dan menjadi syafaat untuk kedua ibu bapanya, aminn..


0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP