Thursday, April 2, 2009

..Kenyataan Rasmi Presiden PMRAM..

Thursday, April 2, 2009

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyuarakan rasa kesal terhadap tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh salah seorang perwakilan Kelab UMNO Luar Negara ketika perbahasan usul di Perhimpunan Agung UMNO 27 Mac lalu.

Tuduhan tersebut menggesa agar PMRAM yang telah berdaftar sebagai NGO di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir diharamkan seterusnya biasiswa di kalangan pimpinan dan ahli PMRAM ditarik balik bukanlah isu baru. Tidak cukup dengan itu, PMRAM turut difitnah kononnya menyekat pelajar dari tinggal dari asrama kerajaan. Realiti yang berlaku, PMRAM telah sekian lama teraniaya sejak tahun 1992 apabila telah dihalau dari Asrama Rumah Melayu Abbasiyyah yang merupakan aset hasil titik peluh ahli PMRAM. Gesaan dan tuduhan ini bertitik tolak daripada emosi sentimen politik pra matang kepartian tajaan parti politik tertentu yang sememangnya tidak dapat diterima oleh ahli PMRAM sejak dahulu hingga kini.

Di dalam Bab Pertama Fasal 4 Undang-undang Tubuh PMRAM menyebutkan bahawa kawasan operasi Persekutuan ini ialah Republik Arab Mesir yang berpusat di Kaherah dan Persekutuan tidak boleh mencampuri masalah-masalah politik.

Selaku persatuan yang menaungi majoriti pelajar Islam rumpun Melayu termasuk Singapura dan Kemboja di Mesir, kami tidak berhasrat untuk melayani isu lapuk ini memandangkan terlalu banyak agenda serta amanah kebajikan demi kesejahteraan ahli PMRAM yang perlu dilunaskan.

Justeru, PMRAM percaya dan yakin bahawa semua pihak dapat membuat penilaian yang adil dan matang dalam isu ini supaya kesatuan serta perpaduan anak Melayu Islam di Mesir terjamin.

Abdul Mu'izz Bin Muhammad
Presiden PMRAM 2009


0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP