Sunday, June 28, 2009

..TPM hina calon PAS..


Dua parti utama negara, PAS dan UMNO masing-masing telah mengumumkan calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Manik Urai. PAS bagaimanapun terlebih dahulu mengisytiharkan calonnya, manakala UMNO BN baru mengumumkannya petang tadi di mana menyaksikan calon PAS, Haji Fauzi Abdullah bakal ditentang calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat..

Ketika mengumumkan calon BN, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghina dan merendahkan martabat calon PAS. Walaupun beliau tidak menyebut secara jelas, tetapi kenyataannya jelas menunjukkan niat jahat beliau itu. Beliau dipetik Malaysia kini sebagai berkata, "beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi," ujarnya sambil memuji calon BN..

Bagi saya, apa yang penting di hati rakyat adalah calon yang berjiwa rakyat. Mereka mahukan pemimpin yang bakal mewakili mereka adalah seorang yang mudah didekati dan sedia mendengar permasalahan rakyat. Mereka tidak mahu pemimpin yang apabila menang terus lesap dari kawasan dan akan muncul semula menjelang pilihan raya akan datang..

Mengikut tradisi di Manek Urai, pengundi akan memilih calon yang mesra rakyat dan bekerja keras untuk rakyat. Lihat saja rekod bersih yang dipegang Allahyarham Pak Su Wel (bekas ADUN Manik Urai) yang tidak pernah kalah. Apabila beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) 2004, PAS tewas di situ. Dan ramai yang mengatakan Haji Fauzi juga mempunyai ciri-ciri yang ada pada beliau..

Ternyata Muhyiddin jelas menunjukkan sikap kurang cermatnya beliau dalam mengeluarkan kenyataan. Pengundi-pengundi Manek Urai sudah tentu akan tersinggung dengan kenyataan ini. Saya yakin dan percaya, mereka pasti akan 'menghukum' keangkuhan Muhyiddin pada 17 Julai depan. Semoga manik-manik perjuangan yang ditinggalkan oleh Pak Su Wel tidak akan terurai dan terus terikat kemas..

0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP