Friday, July 17, 2009

..Hikmah Israk dan Mikraj..


Kita masih lagi berada dalam bulan Rejab. Bulan ini terdapat banyak fadhilat yang dijanjikan Allah kepada hambaNya. Sempena kita memperingati bulan yang mulia ini, marilah kita menghayati peristiwa penting yang berlaku ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Israk dan Mikraj..

Peristiwa ini benar-benar menguji keimanan orang mukmin. Tatkala orang-orang kafir
ketika itu langsung tidak mempercayai, bahkan mereka memperolok-olokkan baginda sebaik baginda bercerita, orang mukmin ada sebilangan mereka yang beriman dan ada yang tidak. Tetapi kekentalan iman Saidina Abu Bakar yang terus mempercayai baginda memberi satu pengajaran kepada kita supaya tidak ragu-ragu dengan apa yang dibawa baginda..

Jika kita menghayati peristiwa ini secara teliti, nescaya rasa keimanan kita akan bertambah. Perasaan takut dan taqwa kian menebal di hati kita secara langsung ia boleh dihubungkan dengan kehidupan kita di dunia ini dan sebagai satu contoh teladan dalam membentuk kehidupan yang Islamik. Seterusnya manusia dapat mengelakkan dirinya dari terus melakukan maksiat dan kejahatan..

Golongan kuffar yang tidak mengimani peristiwa ini kerana mereka berfikir amat mustahil Nabi s.a.w berjalan dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin, kemudian naik melepasi tujuh lapisan langit dalam masa hanya sepertiga malam, sedangkan jarak perjalanan tersebut terlalu jauh. Mereka mendakwa perkara yang dilakukan baginda tidak masuk akal lebih-lebih lagi oleh manusia seperti baginda..

Salah satu kesan Israk dan Mikraj ialah untuk mendidik umat agar menghayati makna kehidupan yang sepatutnya ditempuh oleh setiap insan yang ingin memanfaatkan kehidupannya menurut kehendak Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang, di mana musuh-musuh Islam sentiasa bekerja keras untuk memesongkan akidah umat Islam dengan tujuan membawa kehancuran kepada kehidupan pendokong ajaran Nabi s.a.w..

Justeru, buat diri dan sahabat-sahabat, sama-samalah kita perbanyakkan amal ibadat, berbuat kebajikan dan sentiasa memohon ampun dengan beristighfar serta berzikir mengingati Allah, khususnya di bulan yang disebut oleh baginda sebagai ‘bulan Allah’ ini.Semoga amalan-amalan ini dapat menghindarkan kita dari seksaan azab sebagaimana yang telah diperlihatkan oleh Allah kepada baginda dalam peristiwa Israk dan Mikraj..

0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP