..Melayan kerenah murid..
Semalam merupakan hari pertama saya di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang. Saya diminta mengajar subjek Agama Islam dan Pendidikan Seni bagi semua murid Tahun 4. Pada sebelah petang pula saya mengajar Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) di situ. Bermakna sehari suntuk saya berada di sekolah kecuali hari Selasa dan Khamis kerana kelas KAFA hanya tiga hari seminggu.
Walaupun agak letih melayan seribu macam kerenah murid-murid dari pagi sampai ke petang, tapi saya berasa cukup puas kerana inilah cabaran yang mesti dilalui oleh seseorang yang ingin bergelar pendidik. Mungkin pengalaman sebelum ini agak berbeza. Sebelum ini saya pernah mengajar selama 4 bulan di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang (dahulu dikenali sebagai KIST), dan hanya mentasmi' Al-Quran bagi pelajar tingkatan 1 di samping mengajar madah arab (seperti Nahu, Sorof, Hadis, Tajwid dll) serta madah Bahasa Arab Komunikasi (BAK) bagi pelajar tingkatan 3.
Berhadapan dengan pelajar sekolah menengah berbeza dengan pelajar sekolah rendah. Pelajar sekolah rendah memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Ini kerana mereka masih lagi tercari-cari arah mana yang mereka hendak pilih lebih-lebih lagi murid di kelas belakang yang agak ketinggalan. Bagi murid kelas belakang, guru mestilah tegas dalam masa yang sama berlemah lembut agar murid tidak mudah 'naik atas kepala' guru. Berlemah lembut agar mereka tidak mudah terasa dan bimbang jika guru terlalu tegas akan mengundang kebencian mereka kepada guru.
'Ala kulli hal sudah menjadi fitrah kanak-kanak bersifat sebegitu. Tidak dinamakan manusia jika tidak bersifat nisyan (lupa). Begitu juga dengan kanak-kanak. Tidak dinamakan kanak-kanak jika tidak bersifat nakal. Mujur saya sudah biasa dengan kerenah anak-anak murid seusia ini, jadi ianya dapat mengurangkan tekanan dalam diri saya. Mudah-mudahan anak-anak itu akan menjadi insan berguna suatu hari kelak.