Saturday, February 28, 2009

..Sepasang 'mataku' Cedera..

Saturday, February 28, 2009


Baru-baru ini semasa berlangsungnya Hari Keluarga dan Mahabbah Anak-anak Terengganu 2009 (HIKMAT '09) di Asrama Darul Iman, Hayyul 'Asyir, seperti biasalah aku sebagai anak jati Terengganu turut sama mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan..

Nak dijadikan cerita ketika hari ke-3 program, tatkala acara padang berlangsung melibatkan sukan bola sepak, bola tampar dan sepak takraw bagi ikhwah, selepas selesai menghabiskan keringat bermain bola sepak pada sebelah pagi, aku mencuba nasib pula dalam acara bola tampar pada tengahari itu. Kebiasaanya sebelum masuk ke padang aku akan menanggalkan sepasang 'mataku' yang sentiasa 'bertenggek' di atas batang hidungku ini (termasuk ketika bermain bola sebentar tadi), tapi tatkala kakiku melangkah masuk ke court ku rasakan tanganku begitu berat untuk menanggalkannya. Lagipun aku berpendapat bermain bola tampar tidak perlu berlari ke sana ke mari selincah bermain bola sepak, dan risiko terkena 'free kick' di muka mungkin hanya 3.5 peratus berbanding bola sepak, aku bermonolog sendirian..

Tanpa banyak cakap aku terus ignore dan bermain bersama rakan-rakan seteam. Tak sampai 5 minit bermain di tengah terik mentari waktu itu, ditakdirkan team kami menerima bola tanggung (istilah yang ku pinjam dari permainan Badminton) dari pihak lawan. Aku yang ketika itu berada di posisi depan sebelah kiri agak panik sementelah bola tadi agak mengelirukan dan sempat mencecah jaring sebelum masuk ke dalam kawasan sebelah kami. Aku segera mendapatkan bola tadi sebelum ianya jatuh ke lantai. Tiba-tiba..

Gedebukkk..!!!

Sepantas kilat ianya berlaku. Aku hanya dapat melihat sepasang 'mataku' yang selama ini ku jaga rapi, ku bersihkan dari debu saban hari jatuh mencecah bumi dan terpisah dua. Aku agak kabur seketika. Lantas semua rakan-rakan yang sedang bermain dan penyokong di tepi gelanggang segera mengerumuni sekujur tubuhku yang kaku. Terdapat sedikit cebisan kaca di kawasan mataku yang menghasilkan luka kecil. Alhamdulillah, mujur ianya tak termasuk ke dalam mata. Luka kecil tadi mula mengalir darah. Aku dibawa ke tepi padang sambil rakan-rakan yang lain meneruskan 'perjuangan' yang masih berbaki..

Ini kali kedua sepasang 'mataku' cedera. Tahun lepas ianya terbelah dua selepas terjatuh dalam bilik air di rumah sahabatku yang juga bekas rumahku. Aku tinggal di situ tatkala baru sampai di bumi Mesir ini. Banyak sekali kenangan bersama sepasang 'mataku' ini. Itu belum cerita lagi 'mataku' yang sebelum ini, sudah 3 kali dilanda malang, tapi alhamdulillah masih steady dan mantain sehingga kini..

Nasibku agak baik kerana walaupun sepasang cedera, ada lagi sepasang yang mengganti. Kebetulan masa balik tahun lepas Ayah Su dan Cik Su yang baik hati telah menghadiahkan sepasang 'mata' buatku untuk kegunaan di sini terutamanya di waktu panas. Terima kasih Ayah Su, terima kasih Cik Su. Alim doakan semoga perniagaan Ayah Su diberkati Allah dan DNur Optometris mendapat limpah rezeki yang tak putus-putus insya Allah..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, February 26, 2009

..Mabruk 'Alaikum..

Thursday, February 26, 2009


Alhamdulillah, selesai sudah kejohanan Piala Presiden PMRAM 2009 yang berlangsung selama 5 hari bermula 22 Februari lepas dan berakhir petang tadi. Kali ini Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig menjadi tuan rumah kepada 24 pasukan yang mengambil bahagian (termasuk Brunei yang menarik diri di saat-saat akhir). Selain 13 wakil dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan 8 Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM), turut serta dalam kejohanan kali ini ialah pasukan jemputan dari Kemboja dan Singapura..

Pagi tadi aku ke sana lagi bagi memberi sokongan kepada dua pasukan favoriteku, tak lain tak bukan Terengganu dan Shoubra. Sebelum ini aku sempat menyaksikan perlawanan liga yang membabitkan skuad Peteh dan Singa Al-Quran. Hasilnya Terengganu berjaya menduduki tempat kedua (naib johan) kumpulan A, manakala Shoubra naib johan kumpulan C dan kedua-duanya berjaya melangkah ke suku akhir..

Terengganu bertemu Tanta di peringkat suku akhir yang begitu sengit awal pagi tadi. Keputusannya Terengganu terpaksa akur dengan kehebatan Tanta selepas tewas tipis 1-0. Shoubra pula dipaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan pasukan tuan rumah, Zagazig 2-1 walaupun berdepan dengan puluhan penyokong tuan rumah yang hadir memberi sokongan. Pun begitu, kemaraan Shoubra kali ini disekat Pahang selepas skuad Tok Gajah itu berjaya menjinakkan Singa Al-Quran di peringkat separuh akhir dengan jaringan 2-0..

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan yang dirangkul tahun lepas, kekecewaan penyokong sedikit terubat selepas Shoubra berjaya menewaskan pasukan Mansurah 2-0 dalam penentuan tempat ke 3 & 4 untuk sekurang-kurangnya berada di tempat ke-3 kejohanan kali ini. Keputusan perlawanan akhir di antara Tanta dan Pahang berkesudahan Tanta menang menerusi penentuan sepakan penalti 8-7 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0..

Semoga ukhuwwah yang terjalin selama 5 hari kejohanan ini berlangsung baik di kalangan pemain mahupun para penyokong akan sentiasa terjalin dan berkekalan hingga ke akhir hayat sesuai dengan tema yang dipilih PMRAM kali ini, 'Jalinan Ukhuwwah, di Laman Riadhah'..

sedikit warna-warni sepanjang kejohanan:

Presiden PMRAM menyerahkan piala kepada sang juara, Tanta

Naib Juara : Pahang

Ketiga : Shoubra

Perlawanan akhir antara Tanta menentang Pahang

skuad Terengganu membuat regangan sebelum perlawanan

seorang pemain Mansurah terbaring selepas terjatuh dalam ketika bertemu Pahang di peringkat liga. Tulang sikunya dipercayai patah..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, February 24, 2009

..Baru ku kenal apa itu TAG..

Tuesday, February 24, 2009
Assalamualaikum wrt..


Awwalan nak mintak maaf banyak-banyak kat adinda yang amat berNILAI bagiku, Aceh kerana tidak menjawab mesej yang ditinggalkan dalam shout-box blogku pada Khamis lepas. Bukan kerana malas nak layan, tapi kesibukan yang memenuhi di segenap ruang masaku 2, 3 hari sebelum ini menyebabkan aku tak berkesempatan untuk memberi respon terhadap mesej tersebut..

Bermula dengan Hari Keluarga & Mahabbah Anak-anak Terengganu (HIKMAT '09) yang berlangsung selama 3 hari di Asrama Darul Iman, Hayyu Asyir yang memaksaku 'berkampung' di sana (insya Allah kisahnya akan menyusul). Seterusnya selang sehari kemudian ke Zagazig membantu skuad Piala Presiden Shoubra sambil memberi sokongan moral kepada saing rodong skuad Terengganu yang beraksi dalam kejohanan Piala Presiden 2009..

Dalam mesejnya itu beliau cuma memberitahu bahawa aku telah ditag dan menyuruhku agar merujuk pada soalan yang beliau sediakan di blognya. Sebelum ini aku pernah terbaca blog-log yang pernah ditag, sebagai contoh Kak Baity dll, tapi aku tak memahami apa itu tag yang sebenarnya. Mugkin ketika itu aku malas mengkaji dan meneliti. Kini tiba giliranku pula ditag dan insya Allah aku akan menjawab tagnya itu walaupun jawapannya mungkin lebih kurang sama dan tak banyak beza..

Sila berikan kegunaan lain yang digunakan oleh anda kepada barang-barang yang dinyatakan di bawah (maksudnya bukan kegunaan sebenar barang tu tapi kegunaan tambahan yang anda buat la dengan barang tu, kira diaplikasikan oleh anda... konon kreatif la tu!)

1) Anak Kunci
Kegunaan asal - sebagai pembuka ibu kunci la, nama pun anak kunci..
Kegunaan sampingan - buat gores lapisan silver untuk dapatkan kod caj semula prepaid tatkala kocek 'ketandusan' syiling..

2) Penutup Pen
Kegunaan asal - untuk menutup pen bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan dakwat (kocek baju & seluar aku sering terkena dakwat akibat 'kegagalan' penutup tersebut berfungsi, huhu..)
Kegunaan sampingan - cucuk pada plug tiga lubang..

3) Botol Mineral
Kegunaan asal - buat isi air minuman la, tak kan nak isi nasi pulak kot?
Kegunaan sampingan - potong bahagian bawahnya dan buat gelas masa sekolah Darul Quran dulu, hahaha! Sweet memory tu..

4) Paper lama
Kegunaan asal - untuk bacaan ketika otak di tahap boring yang amat..
kegunaan sampingan - buat bungkus gula, keropok keping, bahulu, tuala mandi dsb apabila disuruh oleh mak sebelum menziarahi orang sakit atau orang baru bersalin..

5) Seluar 'D' lama (kurang jelas maksud 'D' tu..)
Kegunaan asal - untuk dipakai la, kan kita beli pakaian untuk dipakai, tak gitu?
Kegunaan sampingan - hmm.. Buat lap motorsikal selepas selesai 'dimandikan'..

6) Lesung batu
Kegunaan asal - untuk melumatkan bahan-bahan dapur seperti lada, lada hitam dsb..
Kegunaan sampingan - sebagai pemecah-belah masyarakat @ molekul air batu (ais), hahaha..

7) Langsir
Kegunaan asal - menjadi tirai untuk menutup ruang-ruang tertentu yang dikira private..
Kegunaan sampingan - ntah.. Buat kain basahan mandi kot..

8) Komputer pejabat
Kegunaan asal - untuk kegunaan urusan rasmi di pejabat..
Kegunaan sampingan - melayari internet di pejabat BPPNT sementara menunggu ayah selesai mesyuarat dengan ahli syuranya pada luar waktu pejabat terutamanya tengah malam buta..

9) Duit syiling
Kegunaan asal - untuk bayaran kepada barangan ataupun sesuatu yang dibeli..
Kegunaan sampingan - diberi kepada anak-anak pengemis arab di tepi-tepi jalan..

10) Laman Blog
Kegunaan asal - menyampaikan maklumat dan sumber berita di samping bertukar-tukar pendapat sesama kawan-kawan..
Kegunaan sampingan - sebagai diari kehidupan serta suka-duka yang tercatat sepanjang hayat untuk tatapan anak cucu Generasi Ghurabaa' yang akan datang, insya Allah..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, February 14, 2009

..Kenali Bakal Pimpinan Anda..

Sunday, February 15, 2009



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..Valentine Day : Sejarah & Iktibar..

Saturday, February 14, 2009


Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih ini dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah..

Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah HARAM. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian..

Sejarah Sambutan Hari Valentine

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya;

Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun..

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka..

Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini;

Versi pertama: Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara..

Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya..

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada kekasihmu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine..

Versi kedua: Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M..

Pendapat ketiga mengatkan ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim..

Pendapat keempat pula mendakwa sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang mana musim mengawan burung tersebut jatuh pada 14 Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris..

Hukum Sambut Valentine

Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam. Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh ulamak bahawa hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Ini sebagaimana yang firman Allah SWT yang bermaksud:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (Surah al-Hajj: 67)

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959)

Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan sebagainya..

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween, April Fool dan juga Hari Valentine yang sedang disambut oleh sebahagian remaja Islam pada hari ini..

Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. agar tidak meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini dibimbangi akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda:

"Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512)

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”. Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT. Firman Allah dalam Al-Quran:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (Surah al-Baqarah: 120)
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, February 11, 2009

..Krisis di Perak & 2 PRK..

Thursday, February 12, 2009


Minggu ini penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS di Perak dikejutkan dengan 'kehilangan' satu suara di Dewan Rakyat. Allahyarham YB Hj Roslan Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang disahkan meninggal akibat serangan jantung ketika mengayuh basikal ke farmasi bagi membeli ubat. Beliau merupakan seorang pemimpin yang cukup disenangi semua pihak walaupun baru lebih kurang 10 bulan memegang amanah sebagai wakil rakyat..

Lebih sayu, pemergiannya kembali ke rahmatullah tatkala berlakunya krisis politik yang tidak menentu di Perak ketika ini. Kisahnya bermula dari episod kehilangan misteri dua ADUN PKR yang juga merupakan EXCO kerajaan negeri selama beberapa hari. Kemudian mereka muncul di khalayak dalam keadaan sudah 'membebaskan' diri mereka bersama seorang ADUN DAP yang juga Timbalan Speaker DUN Perak..

Aksi lompat-melompat oleh empat ekor katak ini (termasuk ADUN Bota yang kembali ke pangkuan BN selepas 10 hari menyertai PKR) merupakan momentum kejayaan terbesar Najib setelah dimalukan dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan terbaru di Kuala Terengganu. Kejayaan 'merampas' kuasa di Perak ini dilihat mampu mengembalikan kepercayaan ahli dan penyokong UMNO kepadanya yang bakal menaiki takhta pada pemilihan Mac depan..

Berbalik kepada cerita Almarhum YB tadi, sebenarnya berita kematiannya aku ketahui melalui seorang kawan dari Johor yang tinggal di muhafazah Zagazig. Aku ke sana bersama seorang kawan atas urusan peribadi sambil menziarahi sahabat yang sudah setahun lebih aku tidak berkunjung ke rumahnya. Keesokannya aku bertanya kepadanya tentang pengumuman barisan EXCO kerajaan HARAM Perak yang dijangka akan dibuat pada hari tersebut. Beliau kurang pasti dengan jawapan bagi soalan yang aku kemukakan tadi. Lantas beliau memaklumkan PRK bakal diadakan di dua tempat. Aku gembira mendengar kata-katanya tadi. Dalam benakku aku menyangka PRK itu melibatkan dua DUN si katak EXCO tadi (Behrang dan Changkat Jering), mana la tau kot-kot SPR tiba-tiba berubah hati, rupa-rupanya sangkaanku meleset sama sekali..

Hj Nizar mengetuai bacaan talkin Almarhum Roslan

Kira-kira 5,000 orang hadir ketika pengebumian jenazah almarhum sehingga
menyebabkan kesesakan lalu lintas


Beliau menambah seorang wakil rakyat PAS di Perak meninggal semalam dan seorang lagi EXCO kerajaan Kedah dari PKR meletak jawatan sebagai ADUN. Berita ini amat mengejutkanku waktu itu. Masakan tidak, dua minggu lepas aku baru sahaja berpeluang mengenali almarhum dengan lebih dekat. Beliau turut bersama dalam misi kemanusiaan 10 Ahli Parlimen PAS ke Rafah berhampiran dengan Ghazzah, Palestin. Aku sempat bersalam dengan beliau ketika berakhirnya Majlis Ceramah Umum Dato' Seri Tuan Guru Presiden bersama 5 MP PAS yang lain di Dataran Kompleks Hayyu Asyir..

Arumugam Vengatarakoo telah disahkan meletak jawatan sebagai ADUN kawasan Bukit Selambau. Beliau mengambil keputusan itu setelah tidak tahan dengan tekanan, ugutan dan ancaman keselamatan kepada diri dan keluarganya yang dilakukan oleh pihak tertentu agar beliau menyertai BN sedangkan beliau enggan 'melompat' seperti diuar-uarkan media selama ini. Ini merupakan satu tindakan berani yang harus dipuji kerana beliau tidak sanggup menggadaikan maruahnya seperti yang telah dilakukan dua EXCO Perak yang bacul itu, bahkan beliau mengembalikan semula kuasa ke tangan rakyat. Orang bukan Islam pun ada harga diri, bukan macam askar pencen dengan mamat bekas posmen tak guna tu!..

Walaupun SPR belum mengumumkan tarikh PRK untuk kedua-dua kerusi ini namun cakap-cakap sudah kedengaran mengenai calon yang bakal diketengahkan. Di Bukit Gantang walaupun ramai yang inginkan MB Perak, YAB Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding di situ bagi berdepan dengan MB haram Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bagi menentukan siapa pilihan rakyat, akan tetapi ianya tidak dipersetujui oleh Tuan Guru Dato' Mursyidul Am dengan alasan Hj Nizar sudah meggalas amanah yang berat selaku MB. Ada juga kedengaran suara yang inginkan samada AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad atau Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa diketengahkan sebagai calon..

Apa-apa pun keputusannya kita serahkan saja pada pimpinan yang lebih arif dan bergantung kepada perbincangan di peringkat Majlis Syura. Semoga calon yang dipilih nanti akan dapat meneruskan agenda perjuangan dan rekod baik yang dibawa almarhum. Insya Allah, dengan izin Allah serta berkat kerja keras dan sokongan semua pihak, Pakatan Rakyat akan dapat mengekalkan 'dua bukit' ini dari terus 'dinodai' oleh BN. Mudah-mudahan para pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dapat terus mencalit arang ke muka Najib seperti mana yang telah dilakukan oleh pengundi di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, February 8, 2009

..Wajah-wajah Pemakan Najis Rasuah..

Sunday, February 8, 2009







untuk sebaran gambar, klik sini..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..Sanah Helwah Ya Ukhtil Mahbub..

Sunday, February 8, 2009


Sanah Helwah Ya Gamil..
Sanah Helwah Ya Gamil..
Sanah Helwah..
Sanah Helwah..
Sanah Helwah Ya Sofiyyah..


Selamat Hari Lahir yang ke-9
buat adinda tersayang
Sofiyyah Sobihah binti Zakaria

Abang Lim doakan semoga:
  • Piyah panjang umur dalam keberkatan
  • Piyah dimurahkan rezeki yang halal
  • Piyah jadi anak solehah kebanggaan mok ayoh
  • Piyah berjaya dalam peghekse & dapat nombor molek (bak kata ayoh, "boleh nombor 1 jadi doh! huhu...)
Harapan Abang Lim agar:
  • Piyah dengor cakap mok ayoh
  • Jangan baloh nge adik Bayyin (^-^)
  • Jaga akhlaq sokmo
  • Jadi contoh yang terbaik kepada kawan-kawan

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, February 3, 2009

..Kenangan itu..

Tuesday, February 3, 2009

Assalamualaikum wrt..

Sudah lama aku membiarkan blog ini bersawang dek kerana kesibukan yang dibuat-buat (dengan kata lain malas la tu, huhu..) atau pun kesibukan yang hakiki..

Dalam fatrah seminggu ini banyak aktiviti dan program-program menarik yang ingin dikongsi bersama pembaca-pembaca setia sekelian, insya Allah akan dicerita satu persatu..

Ujian ~ Tanda Allah Sayang

Ketika cuti semester baru bermula, aku bersama sahabat-sahabat turun beriadah dengan bermain bola di sebuah padang yang tidak jauh dari rumah. Kami turun seawal jam 7 pagi. Aku terlalu exited bermain pada hari tu, dan berbeza dengan sebelum ini. Sedang asyik bermain, kaki kananku terseliuh dan kesakitannya mula kurasa. Aku beransur ke tepi padang sambil terhenjut-henjut menahan pedih..

Selang beberapa minit, setelah kudapati kakiku sudah beransur pulih, aku masuk semula ke padang dan menyambung permainan seperti biasa. Memang sudah tabiatku sejak kecil, walau sakit macam mana sekalipun (terutamanya kalau terseliau ketika bermain bola) aku tetap tak menghiraukan perasaan tersebut dan akan aktif seperti sedia kala. Memang aku layak digelar seorang yang degil hanya kerana minatku yang mendalam terhadap bola sepak..

Selesai bermain bola aku langsung tidak merasa sakit walaupun sedikit. Aku berjalan ke sana ke mari termasuk ke luar kawasan Shoubra (ceritanya akan menyusul) tanpa ada apa-apa perasaan. Daripada pagi itu hinggalah ke malamnya barulah rasa sakit itu kembali 'menyengat' segenap ruang kaki kananku ini. Sampai tahap aku tidak mampu lagi berjalan. Aku pulang dari rumah kawan yang jauhnya kira-kira 300 meter dari rumah dengan 'sebelah kaki' dan sekali-sekala sempat berpaut pada tiang letrik, kereta-kereta yang diparkir untuk menghilangkan penat..

Sampai di rumah, semua ahli bait terkejut dengan keadaanku. Lantas aku segera mendapatkan minyak panas dan mengurut kakiku yang sudah mula membengkak (macam orang kena gout wa cakap lu..). Malam itu aku tidur awal kerana terlalu letih berjalan sehari suntuk pada hari tersebut..

Ke Crystal Asfour

Selepas bermain bola pagi itu, aku segera bersiap-siap untuk pergi ke Ramsis. Dua hari sebelum itu sahabat-sahabat akhawat di Mansurah memintaku untuk menjadi musyrif bagi mereka. Katanya mereka ingin ke Asfour - tempat dijual barang-barang kristal di Shoubra El-Kheyma dan Khan El-Khalili berhampiran Masjid Saidina Hussin..

Sampai di Asfour, aku sekadar memerhati barang-barang yang dipamerkan dan dijual di situ, ada stok yang baru dan ada yang sudah bertahun-tahun 'menetap' dalam cermin kaca itu. Sudah banyak barang-barang yang kehabisan stok dan tidak ditambah. Antaranya gelang, kerongsang dan sebagainya. Kebiasaannya aku akan membeli satu dua barang-barang yang terdapat di situ untuk dijadikan hadiah bagi keluarga di Malaysia. Sementelah, aku difahamkan tempat ini merupakan gudang pembuat kristal terbesar di dunia dan sering menjadi tumpuan para pelancong yang datang ke bumi Qiblatul 'Ilm ini..

Dalam seminggu ini saja aku sudah dua kali ke sana. Terbaru semalam dengan tujuan yang sama, membawa akhawat kuliah tibb dari Zagazig. Mereka baru pertama kali ke sana dan masih terlalu mentah dengan kehidupan di Mesir..

Amanat Pimpinan

Pada keesokan harinya (selepas peristiwa kaki dan Asfour), aku terjaga dari tidur dan mendapati kakiku sudah tidak merasa sakit lagi. Aku cuba bangun dan berjalan. Alhamdulillah kakiku sudah boleh berpijak dan mampu berjalan seperti biasa..

Malam itu dijangka akan diadakan ceramah umum bersama Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di Dataran Kompleks Hayyu Asyir. Sebelum itu aku awal-awal lagi 'mengangkat bendera putih' kerana kakiku yang sakit ini tidak memungkinkan aku ke sana. Tetapi perancangan Allah lebih baik, aku diberi kesempatan bersama mereka pada malam tersebut gara-gara kakiku yang telah beransur pulih. Turut berucap pada malam itu ialah 4 Ahli Parlimen PAS iaitu Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr. Lo' Lo' Dato' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr. Zulkifli Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar)..

Pesta (Ma'radh) Buku Antarabangsa Kaherah


Sebentar tadi aku berkesempatan ke ma'radh kitab yang berlangsung pada tahun ini. Ini merupakan tahun yang ke 41 diadakan pameran buku sedunia ini. Pada kali ini aku sempat pergi 3 kali dan yang terbaru hari ini. Sebelum ini aku pergi survey terlebih dahulu ketika pameran mula membuka tirainya dan 2 hari lepas sempat singgah selama setengah hari di situ. Tahun ini juga merupakan tahun paling sedikit aku berbelanja berbanding tahun-tahun sebelumnya..


Insya Allah kitab-kitab yang tersusun atas rak dalam bilikku ini akan dipos ke Malaysia sebelum aku pulang pada tahun ini. Semoga aku mendapat manfaat daripada kitab-kitab yang dibeli ini dan tidak hanya menjadi 'ma'radh kedua' di bilikku ini (^-^)..

Rasanya cukup sekadar itu yang dapat diceritakan. Insya Allah, kalau dizinkan Allah Taala pada malam ini kira-kira jam 1.30 pagi kami akan bertolak ke Semenanjung Sinai bagi mengikuti siri jaulah Kembara Redha Ilahi (KERAH '09) selama 3 hari. Doakan perjalanan kami selamat pergi dan selamat pulang..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP