Wednesday, December 31, 2008

..Islam Semakin Ditekan..

Wednesday, December 31, 2008


Mutakhir ini kita sering mendengar berita-berita yang berkaitan dengan penghinaan agama Islam baik secara terbuka mahupun secara senyap. Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924, umat Islam dilihat seolah-olah kehilangan ‘taring’ mereka. Puak kuffar begitu mudah memperdaya umat Islam dengan pelbagai agenda dan perancangan yang telah disusun sejak sekian lama. Mereka bukan memerangi umat Islam dengan menggunakan mata pedang, tetapi melalui ghazwatul fikr iaitu mereka menjajah pemikiran umat Islam .Sasaran mereka tak lain tak bukan adalah para remaja dan anak-anak muda yang mudah terikut dengan budaya songsang mereka.


Mereka bukan saja mengaburkan mata golongan muda dengan hiburan-hiburan yang melampau, bahkan mereka mengambil langkah menghina kesucian agama Islam itu sendiri. Tak cukup dengan itu, mereka turut menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kita masih ingat bagaimana seorang kartunis Denmark melukis karikatur menghina Baginda beberapa tahun yang lalu. Rata-rata umat Islam di seluruh dunia bangkit membantah melalui demontrasi jalanan yang dihadiri ribuan manusia.


Setelah isu penghinaan Rasulullah ini tidak lagi ditimbulkan, minggu lepas umat Islam khususnya di Malaysia dikejutkan dengan kemunculan seseorang yang menamakan dirinya sebagai Adibah Ahmad. Blogger yang menggunakan nama tersebut dengan begitu angkuh dan biadab menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam blognya dengan makian, sindiran dan kutukan yang sangat menyakitkan hati penganut Islam. Bukan sahaja foto yang kononnya ialah Nabi Muhammad S.A.W. yang dibanding dan dipadankan dengan gambar dua ekor binatang yang haram di sisi Islam, tetapi terdapat karikatur Nabi dengan gambaran lucah yang memalukan. Bukan setakat dua tiga gambar yang dipaparkan, bahkan beratus-ratus gambar yang tak sanggup kita lihat dilakarkan.


Ketika artikel ini ditulis, blog tersebut telah dipadamkan. Setakat ini tiada siapa yang tahu pemilik blog tersebut kerana difahamkan gambar dan nama yang tertera pada blog tersebut bukanlah dimiliki oleh pemilik blog biadab itu. Bukan blog owner yang kita ingin persoalkan, tetapi kita lihat di sini betapa beraninya masyarakat sekarang menghina dan mempersendakan utusan Allah dengan gambaran yang cukup memalukan dan boleh menjatuhkan martabat seorang yang bergelar Nabi.


Kalau sebelum ini masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan dengan isu penghinaan sunnah Rasulullah S.A.W oleh pimpinan Negara yang mengucap dua kalimah syahadah. Bukan setakat batang tubuh Baginda dihina, sunnah Baginda dipersenda, bahkan lebih menyedihkan isteri Baginda turut menjadi sasaran golongan yang mengaku Islam tetapi sengaja menunjukkan kejahilan mereka. Tambahan pula, penghinaan ini dilakukan secara terbuka melalui wawancara dalam sebuah rancangan terbitan televisyen swasta yang ditonton oleh berjuta-juta penonton.


Di manakah maruah umat Islam? Tatkala Nabi kita dihina dan dimaki, adakah kita hanya berdiam diri tanpa ada rasa sensitif terhadap isu ini? Jikalau semua umat Islam bersikap 'bisu' dan 'tuli', maka lebih teruk lagi Islam akan dihina dan umat Islam akan terus-menerus dilanyak dan ditindas. Terbaru, tragedi yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin yang telah mengorbankan lebih 388 nyawa di samping kira-kira 1750 orang lagi cedera, apabila Israel laknatullah melakukan serangan besar-besaran terhadap Hamas.



Jika umat Islam hari ini terus berpecah, nescaya suatu masa nanti umat Islam akan terus ‘digula-gulakan’ oleh puak rejim laknatullah ini. Marilah kita sama-sama menghayati sebuah hadis yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :


Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda; "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang­orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana bilangan kami sedikit pada hari itu?" Nabi S.A.W. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulallah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, December 29, 2008

..Selamat Tahun Baru Hijrah 1430..

Tuesday, December 30, 2008



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, December 8, 2008

..Salam 'Iedul Adha 1429 H..

Monday, December 8, 2008


Bersama Mengingati Erti Pengorbanan
Nabi Allah Ibrahim A.S dan Anaknya Ismail A.S

'Tingkatkan Pengorbanan, Suburkan Keikhlasan'
'Ayuh Berkorban untuk Islam!'

Kullu Sanah Wa Antum Toyyibun..






~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, December 6, 2008

..Semoga Mendapat Haji Mabrur..

Saturday, December 6, 2008

Assalamualaikum wrt..


Sedar tak sedar hari ni hampir seminggu sahabat-sahabat kami meninggalkan bumi yang penuh barakah ini untuk menyahut panggilan Allah di bumi yang lebih barakah lagi iaitu tanah suci Al-Makkatul Mukarramah..

Rombongan Haji daripada Shoubra seramai 19 orang pada tahun ini bertolak dari Kompleks Asrama Darul Aman, Hayyu Asyir pada malam sabtu lepas. Mereka turun bersama bakal hujjaj yang turut menyertai rombongan haji PMRAM yang berjumlah seramai 41 orang. Rombongan dibawa menaiki bas dari kompleks menuju ke Pelabuhan Safaga untuk menaiki kapal laut ke Jeddah yang memakan masa perjalanan selama 2 hari..

wajah ceria bakal bergelar haji (tengah)..

Salah seorang dari mereka ialah sahabat karibku iaitu Ustaz Muhd Amir Azamuddin bin Rashid yang merupakan ahli baitku. Kami rapat sejak di Maahad Tahfiz lagi. Beliau banyak memberi tunjuk ajar pada diri ini ketikaku diamanahkan sebagai exco Dewan Perwakilan Pelajar (DPP). Beliau ketika itu memegang jawatan Yang Di Pertua (YDP)..

"doa2 ke ana etek deh?"..

bergambar kenangan sebelum wida'..

'Kehilangan'nya selama kira-kira 3 minggu berada di tanah suci amat dirasai. Sunyi sekali rumah yang selama ini sentiasa kedengaran kalam-kalam mutiara yang berisi taujihat dari beliau. Kami sahabat-sahabat di sini sentiasa mendoakan beliau diberi kesihatan dan kekuatan oleh Allah untuk mengerjakan ibadah haji dengan sempurna. Semoga semua bakal hujjaj mendapat haji yang mabrur, insya Allah..

p/s : untuk info tambahan, klik di sini..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, November 29, 2008

..Alhamdulillah rezeki..

Saturday, November 29, 2008


Dua hari lepas, sebaik saja selesai kelas, aku menelefon kawan yang kebetulan tak datang kelas pagi tu, beliau sedang 'syahid' sambil dibungkus dengan Saratoga di rumah. Aku mengajaknya ke asrama Terengganu di Hayyu Asyir. Kebetulan beliau juga ada hajat untuk ke sana. Setelah setengah jam menunggu beliau bersiap di rumah, kami pun menuju ke mahattoh bas di Dauran..

Sampai di Asyir, aku terus ke bilik adikku bernombor 502. Beliau terus menghulurkan sekeping cek yang dikirimkan pembantu pegawai HEP kepadanya. Memang hajatku ke situ adalah semata-mata untuk mengambil cek selain bertemu mata dengan kawan-kawan yang tinggal di asrama tersebut. Alhamdulillah, tahun ni kami dua beradik turut tersenarai dalam penerima zakat MAIDAM untuk pelajar-pelajar di sini. Tahun lepas, aku tak sempat nak mohon atas sebab-sebab teknikal (surat beranak aku hilang, huhu..). Pulak tu, tahun ni dinaikkan kadarnya sebanyak RM3500 berbanding tahun lepas RM2500..

Terima Kasih MAIDAM dan Kerajaan Terengganu. Walapun begitu, kami tetap tidak termakan dengan janji manismu kerana pemberian ini adalah hak kami bukan kamu yang baik hati memberi (^-^)..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, November 23, 2008

..Sapa doh ambe..

Monday, November 24, 2008

ALHAMDULILLAH, setelah hampir 7 minggu pulang bercuti di Malaysia, akhirnya aku bersama adikku telah selamat kembali ke bumi kinanah - tempat kami menimba ilmu. Dengan menaiki flight MH 1339 dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, kami turun dari rumah dalam keadaan berbelah bahagi. Apa tidaknya, tak sampai 2 bulan pun balik, rasa tak puas bercuti pun ada, hehe..

pok-pok sedara & mok-mok sedara bersama anak masing-masing

Usai saja solat maghrib pada hari Khamis (20 November 2008) lalu, kami turun bersama keluarga dan sanak-saudara yang dari petang tadi lagi datang untuk menghantar kami ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM). Seakan tak percaya seramai itu pak saudara dan mak saudara yang sanggup meluangkan masa untuk menghantar dua anak saudara mereka ini. Betul kata Kak Nurul, macam kami ni nak ke Mekkah je. Selesai babak 'jejak kasihan', kami pun masuk menuju Balai Perlepasan Dalam Negeri dengan seribu satu harapan yang kembali tergalas di bahu kami..

bergambar kenangan bersama mak dan tok sebelum berlepas

Kami tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tepat jam 10 malam. Selepas menunaikan solat Isyak, sementara menunggu seorang kawan yang juga satu flight dengan kami yang datang dari Kemaman, kami pun makan di salah sebuah restoran makanan segera di situ. Selang sejam, beliau tiba bersama ahli keluarganya dan kami terus check in untuk penerbangan seterusnya, dari Kuala Lumpur ke Kuwait. Syukur, nasib kami kali ni baik kerana walaupun barang kami over weight ketika penerbangan domestik tadi, pegawai yang bertugas di LTSM memberi pelepasan walaupun barang kami melebihi 5 kg seorang. For the next flight, pesawat Kuwait Airways bernombor KU 416 membenarkan had barangan sehingga 35 kg seorang. Jadi kami ada 20 kg lagi kekosongan, lantas aku mengambil beg hand carryku yang seberat 17 kg (hand carry bag yang mencatat rekod paling berat di alam semesta, haha..) untuk ditimbang dan dimasukkan ke dalam kargo..

beg yang dimaksudkan, hehe..

Selesai urusan tersebut, aku mencari money changer yang paling sesuai untuk penukaran wang sementara Haris sedang sibuk dengan laptopnya mencuri line internet, haha. Kira-kira jam 2 pagi, kami bergegas masuk ke International Departure Hall untuk penerbangan kami yang dijadualkan pada jam 3.15 pagi. Setelah gate dibuka, masalah pula timbul setelah hand carry bag kepunyaan Haris yang aku bawa didapati over weight! Banyak juga kena soal jawab dengan pegawai tu, macam-macam yang dia tanya. Last sekali dia kata, "ini kalau bawak masuk dalam flight, jatuh kena kepala orang boleh mati ni!" Pedas sungguh kata-katanya. Akhirnya beg tadi dibawa masuk dalam kargo jugak dan ini meringankan bebanku, tak perlu susah-susah lagi heret beg tu ke sana ke mari. Pulak tu, tak kena bayaran denda walaupun satu sen. Bertuah badan (^-^)..

Sampai di Kuwait, kami menghilangkan dahaga di sebuah restoran di Kuwait International Airport sebaik saja aku mengambil wang sebanyak 20 Dinar dari mesin ATM. Sementara itu, Haris membuka laptopnya sekali lagi untuk tujuan yang sama. Aku juga turut tidak melepaskan peluang keemasan itu dengan berbual melalui Yahoo Messenger (YM) bersama kawan serumah memaklumkan yang aku akan sampai di Kaherah pada jam 11.30 tengahari. Sebelum pada itu, kami dimaklumkan bahawa penerbangan kami pesawat nombor KU 801 telah delayed (ditunda) ke jam 9.45 pagi dari waktu asalnya 8.30 pagi berlepas dari Kuwait ke Cairo..

Alhamdulillah, kami selamat sampai di Kaherah kira-kira jam 11.40 pagi. Selepas membuat pemeriksaan pihak Kastam dan keselamatan Mesir, kami bergegas ke tempat tuntutan bagasi dan alhamdulillah sekali lagi kami berjaya menuntut kesemua barang-barang yang kami kargokan. Samada dikargokan sendiri oleh kami mahu pun terpaksa dikargokan, huhu. Kalau tak paham, buat-buat paham je lah..

Kebetulan, ketika kami sampai umat Islam di situ sedang menunaikan solat fardhu Jumaat di surau berhampiran. Jadi tak kelihatan lah muka-muka yang datang menjemput kami di mator tengahari tu sehingga lah hampir 2 jam baru kelibat mereka kami nampak. Haris dijemput oleh rakan-rakannya yang tinggal di Kompleks Hayyu Asyir, manakala aku dijemput oleh dua ahli baitku, Amir dan Pa selepas 2 jam setengah menunggu. Tiba di rumah kira-kira jam 3 petang, ingatkan boleh la rehat, tiba-tiba hand phoneku berbunyi BUZZ!!! menandakan ada mesej:

Salam.makluman utk shbt2 ajkt yg dikasihi.mesy ajkt kali ke3 akn d adakn d st theresa 8.30 mlm ini.hrp dpt hdrkn dr.julg thaqafah bkti dcurah.blajar dan brbkti.
Sender :
Izhar S/U
+20113459890
21-Nov-2008
3:46 pm

mesyuarat yang berakhir jam 2.10 pagi..



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, October 22, 2008

..Cerita Hati II, III & IV..

Wednesday, November 13, 2008

[ 20 September 2008 ]


Setelah berbincang dengan keluarga, perbincangan seterusnya dibuat bersama brooker tiket, Ustaz Rafzan Razak berkenaan tiket yang paling awal untuk pulang ke Malaysia. Beliau memberi tarikh 24 September yang jatuh pada hari Rabu. Kami membuat persiapan serba ringkas untuk pulang dan hanya membeli sedikit ole-ole buat keluarga, dengan kata lain "dok boghong sakang la balik terik ni..." (^-^)

Kepulangan kali ini pun hanya membawa 2 barang sahaja, 1 beg kargo dan 1 beg carry. Last-last minute, ada la seorang sahabat yang menumpangkanku sekotak barang berisi kacang untuk kiriman keluarganya di Malaysia. Berat kotak tu ada la dalam 10 kg, nasib baik barangku sikit, jadi boleh la ditumpangkan walaupun pada hakikatnya amat berat!

Kebetulan, balik tahun lepas juga ada seorang kawan sekampung yang kini sudah tamat belajar mengirimkan barang yang sama cuma isinya berbeza - sekotak barang berisi coklat atau lebih dikenali sebagai halawah di kalangan warga arab. Memang dah nasib kan? Asal balik je ade orang kirim kotak,
asal balik je ade orang kirim kotak, asal orang kirim kotak je mesti aku nak balik, hahaha.. Kalau kotak kosong tak pe la nak kirim 10 pun, ini berisi penuh! Tapi tak pe, kepada mereka yang terlibat dalam kiriman di atas, jangan terasa, aku okay je..

[ 24 September 2008 ]


Akhirnya hari yang kami tunggu telah tiba. Macam-macam perasaan yang berkecamuk di jiwa tatkala itu. Seronok pun ada sebab tumpang 'tuah' adik boleh balik, sedih pun ada sebab tinggal kawan-kawan yang hanya berdua di rumah. Dah la sorang tu junior yang baru je sampai ke bumi Mesir ni beberapa minggu. Tinggal rumah lagi, tinggal teman-teman seperjuangan di markaz DPM, tinggal tugas yang bertimbun-timbun. Nasib baik Pengerusi DPM memberi pelepasan untuk pulang, tapi dengan syarat hanya sekejap..

Jam 11.30 malam ~ aku bertolak dari rumah di St. Theresa, Shoubra bersama kawan-kawan menuju ke Mator Qadim, tempat aku akan berlepas. Adikku pula turun dari rumahnya di Kompleks Hayyu Asyir bersama 3 orang kawan dengan menaiki teksi. Kira-kira jam 1.00 pagi kami terus membuat check in barang-barang. Alhamdulillah semua barang-barang yang kami bawa lulus dan tak perlu diperiksa lanjut. Walaupun barang-barang tersebut melebihi 8 kg daripada timbangan yang dihadkan, nasib kami baik sebab pegawai yang jaga tu muka baik semacam je, huhu..

Tepat jam 3.30 pagi gate dibuka dan kami mula beratur. Setengah jam selepas itu penumpang-penumpang pesawat 968 Egypt Air CAIRO ke KUALA LUMPUR mula berasak-asak untuk masuk ke perut pesawat. Setelah semua penumpang masuk, kapten membuat pengumuman untuk berlepas dari Mator Qadim. Pemandangan dari bumi kering, Kaherah akhirnya hilang sedikit demi sedikit, sebagaimana 'hilangnya' diri kami berdua dari 'dakapannya'..


Alhamdulillah, kami selamat tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) kira-kira jam 10.00 malam. Walaupun tiada keluarga tersayang yang menyambut kami di sini, sebagaimana pelajar-pelajar lain yang satu flight dengan kami disambut dengan begitu riang oleh keluarga masing-masing, tapi kesedihan kami sedikit terubat apabila ada seorang kawan yang baik hati menunggu kami di situ sejak sejam yang lalu. Kebetulan, Zulfaisal yang rapat dengan adikku merupakan anak buahku semasa program Kolokium Ilmuan (Q) baru-baru ini. Beliau adalah anak buah yang paling aku kagumi kerana kepetahannya berhujah dan lantang bersuara..

Setelah selesai menunaikan solat jamak ta'khir, kami berbual seketika dengannya dan sebelum beliau meminta diri, beliau 'menyusahkan dirinya' (haha..) dengan membeli sedikit makanan untuk kami berdua alas perut sementara waktu sahur. Kami terpaksa bermalam di situ kerana flight
MH 1326 dari KL ke TGG dijadualkan pada keesokan hari jam 8.45 pagi..

Menjelang tengah malam, aku mengambil komputer riba milik adikku. Aku mencuba usya line kalau-kalau ada line wireless yang boleh disedut. Ternyata percubaanku menjadi. Aku mula membuka Yahoo Messenger untuk berbual bersama kawan-kawan, sementara adikku sudah lena diulit mimpi indah 'bertilamkan' kerusi panjang keras yang menyakitkan tulang belakang..

[ 25 September 2008 ]


Jam 4.30 pagi ~ aku mula mengejutkan adikku dan mengajaknya bersahur. Aku terpaksa memilih restoran yang muqoto'ah (diboikot) kerana restoran-restoran yang lain semuanya 'mahal pe bedil!' Sedang kami asyik bersahur, aku telah melakukan satu kesilapan besar. Aku secara tak sengaja telah berkongsi air minuman dengan adikku. Kalau korang nak tau, salah satu cara Hepatitis A berjangkit dengan orang lain adalah melalui air liur pesakit. So, korang paham la kan? Aku pucat lesi, lidah kelu dan hati berdebar. Walaupun dalam flight semalam aku telah melakukan perkara yang sama. Ini bermakna aku telah terjerlus dalam lubang yang sama! Arghhh.. Tapi alhamdulillah sehingga hari ini tiada tanda-tanda virus tersebut menyerang diriku..

Usai solat Subuh, kami mula bersiap-siap untuk check in kali kedua. Kalau tidak kerana barang yang dikirim oleh sahabat untuk seorang ustaz di Johor yang menanti kami di KLIA, kami tak perlu check in untuk kesekian kalinya. (macam lagu Suhaimi feat Munif je..) Setelah aku menghubungi ustaz tersebut, alangkah kecewanya kami apabila dikhabarkan bahawa beliau tak dapat mengambil barangnya di KLIA kerana tak sempat dek kesibukan di Johor. Lebih memeranjatkan kami, beliau menghadiahkan sekotak barang yang berisi sarung kaki wanita itu kepada kami. Tak cukup dengan itu, beliau meminta nombor akaunku supaya dapat dibank-inkan duit untuk membuat bayaran menanggung keberatan barang tersebut..

Apabila terjadi begini, kami mula menjangkakan sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Ya, telahan kami memang tepat! Apabila kami membuat timbangan, ternyata barang-barang kami melebihi timbangan yang hanya dihadkan kepada 20kg seorang sahaja. Kalaulah ustaz tadi menuntut barangnya di KLIA, sudah pasti timbangan kami menjadi sedikit ringan. Kami diminta membayar denda kira-kira RM200 lebih. Duit yang ada dalam poket kami pun tak sampai RM100. Mujur ada seorang kakak tu yang baik hati sudi menumpangkan barang-barang kami untuk kouta seat beliau. Terima kasih kak, Jazakillahi khairal jazaa'..


Ringkas cerita, jam 9.30 pagi kami selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu. Kami begitu kagum dengan keadaan airport kami yang sudah bertukar wajah. Ketibaan kami kali ni pun tak disambut dengan 'tangga bertayar', tapi semua penumpang dimasukkan ke dalam 'gajah menyusur' (entah betul ke tak istilah yang aku guna ni, tak pe lah, yang pasti korang paham) yang terus dihubungkan dari pintu flight ke lantai airport. Bermakna penumpang-penumpang tak perlu lagi bersusah payah berjalan kaki di kawasan platform tempat flight mendarat seperti sebelum ini. Dengan kata lain, sistem teknologinya seakan sama dengan mana-mana international airport seperti KLIA, di Singapura dan lain-lain..

sempat tersenyum walaupun dalam 'kekuningan', hehe..


Selepas menuntut bagasi masing-masing, kami keluar dan disambut penuh riang oleh sanak saudara yang setia menunggu dari awal pagi tadi. Ada yang menangis menyambut kami, maklumlah adikku dalam keadaan kekuningan yang teramat lagi waktu itu, dengan matanya dan kulitnya yang kuning, nasib baik tak pakai baju BERSIH, hehe.. Tak kurang juga yang ceria menyambut kepulangan kami. Setelah selesai babak-babak 'jejak kasihan' kami pun beredar dan pulang ke rumah masing-masing..

ayah bersama si kembar, Raudhah & Irdhina yang juga sepupuku..

candid bersama anak omputih dari France..

Terima kasih tak terhingga kami ucapkan buat pak-pak saudara dan mak-mak saudara yang sudi menyambut kami di airport. Yang membuatkan kami lebih terharu, kedua-dua tok kami turut sama menanti cucu-cucunya di airport, walaupun salah seorang darinya agak uzur untuk berjalan. Sehinggakan aku sempat mendengar beliau berkata dalam loghat Terengganu pekatnya, "kesiang sungguh ke Derih, wat lapangan terbang comel-comel tapi buleh ke Mat Said jugok.." (^-^)
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, October 14, 2008

..Cerita Hati I..

Wednesday, October 15, 2008

[Awal Ramadhan]

KAHERAH - Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar telah diserang demam kuning dua tiga hari lepas. Abdullah Haris Zakaria, 20 yang menuntut dalam bidang Syariah wal Qanun tahun dua merupakan pelajar yang berasal dari Terengganu.

Menurut rakan baiknya yang juga teman sebiliknya, Abdul Mannan Jusoh, pada mulanya rakan-rakan menyangka beliau hanya diserang demam biasa. Tambah menyedihkan, beliau hanya tinggal berdua di rumahnya di Hayyu Asyir kerana rakan-rakan serumah yang lain pulang ke Malaysia dan ada yang mengerjakan umrah di tanah suci.


Setelah dibawa oleh rakan yang baik hati yang hanya mahu dikenali sebagai Fares untuk diperiksa di Pusat Perubatan At-Taisir, Hayyu Asyir, beliau telah disyaki diserang Hepatitis A. Penyakit ini ada kaitan dengan hati dan mungkin boleh dikategorikan sebagai radang hati. Ia boleh menyebabkan kulit dan mata berubah menjadi kekuningan.

Abang beliau yang tinggal di Shoubra, Abdul 'Alim Zakaria berpeluang menziarahi adiknya di Kaherah dan mendapati adiknya terlantar di katil sepanjang masa. Setelah dimaklumkan kepada keluarga di Malaysia, ibunya meminta abangnya membawa pulang untuk diperiksa dan dirawat di Hospital di Malaysia yang lebih terjamin 'keselamatannya'.

Setelah berbincang, akhirnya abangnya bersetuju untuk membawa pulang adiknya ke pangkuan keluarga di Terengganu.

Bersambung daa...

p/s : ikuti cerita hati selanjutnya..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..Cerita Hati..

Wednesday, October 15, 2008

Assalamualaikum wrt..



Entah di mana nak ku mulakan bicara, kerana sudah terlalu lama ku biarkan medium ini sepi tanpa bicara. Bukan kerana kekeringan idea mahupun ketiadaan isu-isu atau aktiviti-aktiviti untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat pembaca, tetapi terlalu banyak masalah-masalah yang berlaku sehingga menyebabkan blog ini bersawang dan terus dipenuhi sawang-sawang di setiap penjuru. (Ada nampak tak sawang tersebut? kalau tak nampak, pendek umur!~petikan filem Nujum Pak Belalang, hehe..)

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan lebih menyepi dari alam maya ini, baru hari ni diberi peluang untuk membersihkan sawang-sawang yang berserabut ni. Banyak cerita-ceriti yang nak dikhabarkan sepanjang sebulan lebih ni, insya Allah akan diceritakan satu per satu. Bukan setakat kisah suka yang menghiburkan jiwa, bahkan kisah duka pun ada sekali, itu yang tak best tu, huhu..

Kadang-kadang, bila terlalu banyak kisah-kisah suka duka yang berlaku dalam hidup ni menyebabkan minda juga turut bersawang sama sebagai mana bersawangnya blog tuan empunya minda tersebut, hehe.. Apa pun, itulah asam garam kehidupan seorang insan yang bergelar hamba, kita patut redha dengan segala ketentuanNya yang sudah pasti ada hikmah yang besar di sebaliknya..

Dengarlah 'Cerita Hati' yang akan menyusul selepas ini dari Hafiz Hamidon, eh bukan.. Ibnutakiri.. hehe..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, September 5, 2008

..Alahai Dr. Maza..

Friday, September 5, 2008


Sejak akhir-akhir ini, umum mengetahui mufti Perlis, Sohibus Samahah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sering mengeluarkan kenyataan yang disifatkan 'pelik' oleh sesetengah pihak, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Bermula dengan isu melarang pihak berkuasa melakukan intipan dalam kes khalwat kerana beralasan menjaga privacy individu selain tindakan tersebut boleh menjatuhkan maruah tertuduh yang telah mencetuskan kontroversi besar di negara ini. Sehingga ada sesetengah pihak melabelkan mufti muda ini sebagai sengaja 'mencari publisiti murahan'..

Tak cukup dengan itu, banyak lagi kenyataan-kenyataan beliau yang boleh menyebabkan umat Islam di Malaysia 'panas telinga' mendengarnya. Banyak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah mempertahankan tindakan kerajaan walaupun tindakan itu secara terang-terangan dilihat salah. Hal ini mendorong kerajaan memperalatkan dan mempergunakannya untuk tujuan mengaburi mata rakyat. Bukan itu saja, malah Sisters In Islam - sebuah pertubuhan yang ada kaitan dengan Interfaith Commission (IFC) pun menyanjung dan menyokong penuh kenyataan beliau seolah-olah 'kena' dengan ideologi mereka..

Ketika awal-awal dilantik dulu beliau menyokong penuh Islam Hadhari yang dicanang oleh Pak Lah. Tapi baru-baru ni, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kerana Islam Hadharilah BN menerima kekalahan teruk dalam PRU 12 baru-baru ini selain ianya tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang berlaku di negara kita dewasa kini. Tatkala Karnival Jom Heboh anjuran TV3 diadakan di negeri kelahirannya, Perlis, beliau mengatakan program tersebut dikira HARAM sekiranya terdapat unsur-unsur maksiat dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Akan tetapi beliau tidak mengatakan HARAM sepenuhnya seperti kenyataan Mufti Perak kerana di dalam Karnival tersebut terdapat juga program-program yang membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat. Beliau juga pernah melarang penyanyi 'superman' Malaysia, Faizal Tahir datang membuat show atau konsert di Perlis. Apa-apa pun, kenyataannya kali ini disambut baik Dewan Pemuda Pas Perlis (DPPPs)..

Seingat saya, beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang memberikan 'tamparan' hebat kepada kepimpinan kerajaan khususnya Pak Lah. Ketika mana perayaan menyambut Hari Pahlawan baru-baru ini, beliau tanpa berselindung memfatwakan HARAM mengalungkan bunga pada Tugu Negara. Tegas beliau, tindakan sedemikian boleh membawa kepada syirik walaupun mengambil kira sebagai tanda penghormatan kepada wira-wira negara. Tambahnya lagi, perbuatan seperti itu juga seakan menjadikan tugu berkenaan seperti berhala yang diagung-agungkan. Walhal, sebelum ini pun sudah ramai tokoh-tokoh ulama' yang tampil memberikan pandangan berkenaan isu ini, tapi kerajaan masih berdegil dan tidak mengendahkan pandangan mereka..



Terbaru, saya ada terbaca dalam laman web beliau sendiri (drmaza.com) sekitar pertengahan Jun lalu. Di mana beliau secara terbuka telah menyanggah pihak yang cuba hendak menjatuhkan dan mendesak Pak Lah supaya berhenti. Kenyataan beliau yang bertajuk 'Mufti Perlis: Sedia 20 dalil sebab Pak Lah perlu berhenti' menggesa supaya pihak berkenaan menyenaraikan masalah yang timbul dalam kepimpinan Pak Lah dan memberi ruang kepada beliau untuk mengatasinya. Tiba-tiba, 28 Ogos lalu beliau tampil pula dengan mengarang sendiri pantun yang seolah-olah ditujukan khas buat kepimpinan Pak Lah. Pantun yang bertajuk 'Cari Ganti' itu mendesak (walaupun istilah yang digunakan dalam pantun tersebut agak lembut dan sopan) agar Pak Lah berundur. Akan tetapi beliau meletakkan syarat di akhir pantun tersebut, iaitu penggantinya nanti mestilah lebih baik dari Pak Lah. Jangan bimbang Dr. Asri, pengganti Pak Lah tak lama lagi jauh lebih baik dari beliau, insya Allah (^-^)..



Itulah yang saya boleh gambarkan sifat sebenar seorang ulama' muda lulusan Jordan bertaraf doktor falsafah (PhD) yang kini menjawat jawatan mufti. Sekejap kata begini, sekejap kata begitu, menunjukkan seolah-olah beliau cuba bermain politik walaupun beliau pernah berkata bahawa beliau bukan orang politik ketika menjawab soalan wartawan sebaik saja selesai menjadi ahli panel Wacana Perdana 100 Hari
Pemerintahan Pakatan Rakyat di Kota Bharu. Sepatutnya sebagai seorang ulama', beliau wajib berpendirian tegas dan tetap tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak demi menegakkan kebenaran bukannya 'menjaga periuk nasi' sendiri. Sedarlah, segala apa yang ditaklifkan di bahu kita ini akan disoal oleh Allah s.w.t dan akan dipertanggung jawabkan oleh diri kita sendiri. Ingat, kita ini HAMBA kepada KHALIQ, bukan BONEKA kepada MAKHLUQ..



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, August 31, 2008

..Ayuh! Kita rebut peluang..

Sunday, August 31, 2008



Setelah setahun berlalu pergi, akhirnya Ramadhan kembali lagi menemui para mukminin yang amat merindui 'kehadirannya'. Yang pasti kedatangan Ramadhan kali ini seperti juga tahun-tahun sudah. Bulan yang penuh barakah ini menjanjikan beribu-beribu fadhilat dan kelebihan bagi yang benar-benar menghidupkannya..

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

"Barang siapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh penghayatan, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.."



Marilah sama-sama kita menghidupkan bulan yang tidak akan datang melainkan sekali dalam setahun dengan merebut segala 'special offer' yang Allah tawarkan kepada semua hamba-hambanya. Semoga tarbiah melalui madrasah Ramadhan kali ini mampu menjadikan kita hamba yang benar-benar bertaqwa sesuai dengan objektif disyariatkan berpuasa iaitu "la'allakum tattaqun..". Anggaplah Ramadhan tahun ini seolah-seolah Ramadhan yang terakhir bagi kita..

Hakikatnya, tak kira berapa kali sekalipun kita bertemu Ramadhan, Ramadhan tetap sama, akan tetapi natijahnya yang berbeza. Fikir-fikirkanlah..

Waakhiran, salam Ramadhan dari hamba yang hina lagi dhoif ini. Ramadhan Kareem! Kullu sanah wa antum tayyibun..






~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, August 24, 2008

..I'm Sorry..

Sunday, August 24, 2008

Assalamualaikum..



Pertamanya nak mintak maaf kat semua pengunjung-pengunjung blog ni sebab dah lama blog ni tak terupdate. Banyak la sebab-sebabnya, sehinggakan berita kematian sahabatku pun tak sempat nak diposting (baru je dipost sebentar tadi). Di sini dinyatakan alasannya yang munasabah, hehe.. :

  1. Sibuk- sejak 2 minggu kebelakangan ni, terlalu padat dengan program-program sampai tahap tak ada masa nak berehat di rumah (kalau ada pun sekejap je, itu pun tidur, huhu..) Bukan setakat di Malaysia je sambut Perayaan Kemerdekaan, sini pun sambut jugak melalui program yang dinamakan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) yang telah diubah suai pada tahun ni kepada Ekspo Gempak PMRAM (EGP) yang baru berakhir minggu lepas. Di samping tu banyak la program-program lain seperti Perhimpunan Mahasiswa Islam Sedunia (PERMIS) dan banyak lagi yang tak perlu disebut di sini. Sehinggakan bila aku tak keluar je sehari, ahli baitku menyindir dengan berkata, "hari ni tak kerja ke bang?" ujarnya sinis (^-^)..
  2. Jem - ni bukan jem roti ye?tapi internet kat rumah ni telah di'sabotaj' oleh pihak tertentu. Sejak minggu lepas lagi line internet di sini jem. Sampai la semalam arab yang menyelenggara internet di rumah ni datang dan menyelesaikan masalah tersebut. Syukran awi ya Muhammad..
  3. Tak ada mood - memang sejak kebelakangan ni hilang mood untuk menaip sesuatu di teratak burukku ini, bukan teratak waza ye ustaz wahab?hehe.. Aku pun dah lama tak bertanya khabar keluarga di Malaysia, ini pun disebabkan mood jugak dicampurkan dengan kesibukan tadi. Hanya sekadar menjenguk blog ayah jika ingin mengetahui perkembangan aktiviti-aktiviti di kampung..
Ok, sekadar tu lah dulu untuk kenyataan kali ni, dan semoga kita berjumpa lagi, wallahu a'lam..

p/s : sorry sekali lagi sebab tulisan kali ni agak tak teratur sedikit (guna bahasa bercakap)
dan tak seskima tulisan-tulisan sebelum ni (^-^)..




~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, August 16, 2008

..Hakikat Kehidupan..

Sunday, August 24, 2008

Assalamualaikum..



Terkedu seketika diriku tatkala menerima sms dari seorang rakan yang sedang bercuti di Malaysia baru-baru ni. Mesej yang diterima itu seolah-olah aku bermimpi dan bukan berada di alam nyata. Berkali-kali aku mengulang baca mesej yang diterima. Seakan tidak percaya berita yang disampaikan padaku itu..

Tapi hakikatnya, itulah yang dinamakan kehidupan. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati, termasuk kita semua. Berita 'pemergian' sahabat seniorku diterima dengan redha walaupun masih tak dapat menerima hakikat tersebut..

Mohd Azwan bin Shamsuddin telah pergi mengadap Ilahi pada pagi Jumaat, 15 Ogos 2008 (minggu lepas) di Hospital Sultanah Nur Zahirah ketika berusia 25 tahun. Almarhum merupakan bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu (MTANT) sebelum melanjutkan pengajian di Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra, Mesir..

Sepanjang pengajian almarhum di sini, beliau banyak mencurahkan bakti dan keringat serta boleh dikatakan keseluruhan masanya dihabiskan untuk persatuan. Beliau terlibat sepenuh masa dengan PMRAM Multimedia Centre (PMC) yang bertanggung jawab menguruskan hal-hal berkaitan PA system di setiap program-program PMRAM..

Almarhum juga pernah dilantik menjadi AJKT Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) sebagai Ketua Biro Informasi & Penerbitan. Ketika di Maahad dulu, almarhum pernah ditaklifkan sebagai Bendahari Dewan Perwakilan Pelajar (DPP) MTANT dan merupakan seorang yang amat komited dengan kerjanya..

Almarhum dipercayai menghidap barah paru-paru dan meninggalkan seorang balu serta 2 orang anak yang merupakan zuriat yang akan membesar tanpa dapat mengecap kasih sayang seorang insan yang bergelar ayah. Benarlah kata-kata seorang sahabatku, "inilah untungnya kahwin awal, walaupun kita diambil nyawa ketika muda, tapi meninggalkan zuriat yang akan meneruskan perjuangan kita, insya Allah."..

Kami di sini mendoakan agar Allah mencucuri rahmat dan maghfirah ke atas ruh almarhum. Semoga segala usaha dan kerja-kerja Islam yang beliau curahkan dikira sebagai amal soleh di sisi Allah s.w.t. Al-Fatihah..

p/s: gambar ihsan dari Ustaz Affandi


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, August 6, 2008

..Pelancaran road show UBS..

Wednesday, August 6, 2008

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh..


Alhamdulillah, pagi semalam telah selesai satu program utama bagi Unit Biah Solehah (UBS) di bawah Lajnah dan Unit Dakwah PMRAM. Majlis pelancaran road show telah selamat disempurnakan oleh Presiden PMRAM sendiri, Ustaz Khairul Anwar Ismail..

Majlis pelancaran tersebut digabung bersama perasmian Bazaria Selera Hang Tuah anjuran Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di Wisma Melaka, Hayyu Sabi' yang julung-julung kali diadakan..

Tujuan dan hadaf utama UBS mengadakan road show ke seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) adalah untuk menekankan kepada ahli peri pentingnya kita menjaga akhlaq dan etika kita sebagai seorang yang bergelar azhari..

UBS tahun ini juga menambah dua objektif baru iaitu memperkukuhkan tautan ukhuwwah dan pembentukan syakhsiah diri di samping memperkasakan solat jemaah, mencegah ikhtilat yang tidak syari'e dan mencegah chatting yang menyalahi syara' yang sudah menjadi objektif UBS sejak sekian lama..

Malam esok kami akan meneruskan siri road show ke rumah Perlis pula, nantikan kunjungan kami..(^_^)


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, August 2, 2008

..Ganu Juaghe..

Saturday, August 2, 2008



Kejohanan Piala Malaysia 2008 anjuran PMRAM telah melabuhkan tirainya 2 hari lepas. Kali ini, pasukan Peteh berjaya merampas semula piala yang dikatakan kali terakhir dimenangi pada tahun 2001, wallahu a'lam. Pasukan pilihanku berjaya menewaskan 'rakan sejiran', Selangor Darul Ehsan (sebab asrama Selangor berhadapan dengan asrama Terengganu) dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan..

Sepanjang 6 hari menonton perlawanan di sana, pihak penganjur dikira berjaya mencapai objektif dalam penganjuran kali ini iaitu bagi merapatkan ukhwah di kalangan peserta warga Malaysia dari seluruh negara..

Timbalan Presiden PMRAM dalam ucapan penutupnya menyebut, matlamat PMRAM menganjurkan kejohanan ini ialah bagi mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang di kalangan ahli di samping memupuk semangat team work dalam pasukan. "Menang atau kalah bukan ukuran, yang penting anda semua adalah pemenang kerana berjaya menunjukkan ikatan mahabbah ketika bermain..", tambahnya lagi..

Walaupun satu lagi pasukan favouriteku, Shoubra terkandas di peringkat suku akhir setelah tewas kepada Selangor melalui penentuan penalti 3-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa tambahan, kekecewaan akhirnya terubat dengan rakan-rakan dari pasukan Terengganu menghadiahkan kemenangan untuk muncul juara Piala Malaysia. Pun begitu, Shoubra awal-awal lagi telah pun berjaya membawa pulang Piala Sumbangsih setelah menang ke atas juara Piala Malaysia tahun lalu, Sabah 3-2 pada perlawanan hari pertama..

Tempat ketiga dimenangi pasukan DPM Tanta setelah berjaya menjinakkan skuad Tok Gajah, Pahang dengan jaringan 2-1 pada penentuan tempat ke-3 & 4..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, July 29, 2008

..Aku dan Bola..

Wednesday, July 30, 2008



Fuh.. tak sia-sia aku 'berjemur' sehari suntuk semalam di Padang Iskan Tullab, Hayyu Sadis bagi memberi sokongan kepada pasukan pilihanku, Terengganu dan Shoubra. Di waktu panas terik, dengan suhu yang mencecah hampir 40 darjah celcius, aku turun seorang diri dengan penuh bersemangat dari rumah menaiki bas nombor 1 pada tepat jam 11 pagi..

Sebelum ni pun, dah 3 hari aku 'berpanas' di sana menonton perlawanan Piala Malaysia anjuran Badan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan PMRAM bertemankan seorang kawan dari Damanhur. Cuma semalam dia enggan mengikutku ke sana..

Paling manis semalam, pasukan negeri kelahiranku, Terengganu dan bumi jatuh bangunku di ardhul kinanah ini, Shoubra berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir setelah kedua-duanya berada di kedudukan naib johan dalam kumpulan masing-masing..

Menariknya semalam, perlawanan yang cukup dramatik antara Terengganu menentang Selangor bagi menetukan juara dan naib juara kumpulan B yang berkesudahan seri tanpa jaringan. Tak kurang juga perlawanan antara Shoubra dan Johor yang amat mendebarkan. Pasukan yang mendapat jolokan Singa Al-Quran itu yang amat menginginkan 3 mata untuk layak ke suku akhir berjaya menewaskan Johor 3-2.. (Sekali macam pengulas sukan daa.. hehe)..

Hari ini, aku akan ke sana lagi memberi sokongan untuk kedua-dua pasukan pilihanku. Terengganu akan bertemu Kelantan yang merupakan seteru utama bola sepak, manakala Shoubra akan bertemu Selangor. Sama-sama kita nantikan debarannya..

Sedikit candid pics sepanjang perlawanan semalam untuk tatapan pengunjung..


skuad Singa Al-Quran


pemain veteran Dumyat


penyokong Shoubra


siapakah gerangan anda?


pasukan Terengganu bersama pengurus

Untuk info tambahan, layari http://pialamalaysia2008.blogspot.com/

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, July 28, 2008

..Satu-satunya pisang yang MONYET tak boleh makan..

Monday, July 28, 2008

Hmmm.. Nampak macam sedap dan menggiurkan, tapi sayang ianya tak boleh dimakan baik monyet apatah lagi manusia..










Jadi, kepada vegetarian tu, jangan mudah terpedaya kalau-kalau ada orang yang menawarkan 'pisang' ini kepada anda ye? (^-^)
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, July 20, 2008

..Kenangan Semalam..

Tuesday, July 22, 2008

Bismillahirrahmanirrahim..

Sudah lama blog ini dibiarkan bersawang. Tak tau samada diri ini betul-betul sibuk atau buat-buat sibuk, tapi yang pasti musim cuti ini memang 'tak dapat cuti langsung' sebab terlalu banyak terlibat dengan program..

Bermula dari minggu lepas sampai semalam, program tak putus-putus. Bayangkan, sudah 4 hari sekujur badan ciptaan tuhan ini tidak pulang ke rumah dan 'berkampung' di Kompleks Pelajar Malaysia, Hayyu Asyir..

Awwalan, pada Rabu lepas, ada Bazaria Gabungan '08 anjuran bersama Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) dan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) di Dataran Hayyu Asyir yang diadakan selama 3 hari. Bila sebut bazar di Mesir ni, semua warga Melayu di sini sudah maklum, memang confirm mereka semua tak memasak sebab juadah yang disediakan sepanjang bazar ni sudah cukup mengenyangkan dan menyelerakan. Dengan kata lain, semua juadah Malaysia ada dijual. Ustaz-ustaz dan ustazah yang dah lama mengidam masakan Malaysia tu boleh la mengunjunginya..

Tapi awas, kalau sekali datang habis LE 20 jangan terkejut, itu paling kurang, tak termasuk belanja kawan-kawan lagi. Mungkin sesetengah berfikiran begini, "tak mengapa, sekali-sekala, bukannya selalu.." Alhamdulillah. Di samping dapat menjana ekonomi persatuan dan pendapatan sahabat-sahabat peniaga, mereka juga berpeluang bertemu mata teman-teman yang tinggal jauh di Muhafazah Mansurah, Iskandariah, Tanta dan sebagainya..

Dua hari ku berkunjung ke sana menemukanku dengan ramai kawan-kawan lama terutama ketika di Darul Taqwa dulu. Tak kurang juga yang kukenal di kala menuntut di Darul Quran, Rusila. Mereka yang datang dari KUDQI ini kebanyakannya tinggal di Syibin El Kom. Aku hanya terlibat dengan acara makan-makan (acara kegemaran semua pengunjung, hehe..) dan acara penutup. Perasmian penutup pada malam jumaat itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad dan diserikan lagi dengan persembahan dari kedua-dua negeri penganjur..

Selang sehari selepas itu, giliran Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang (BKMIP) pula menganjurkan Bazaria Sri Makmur '08 di tempat yang sama. Kerana bazar ni lah memaksaku bermalam di Hayyu Asyir. DPM (MAQAZ) Shoubra melalui Unit Ekonominya turut mengambil tender pada bazar kali ini. Aku juga turut terlibat membantu bersama tiga empat orang rakan kerana kebanyakan yang lain terlibat dengan imtihan dur thani..

nasi kerabu ni sekadar hiasan je la..

Gerai yang diberi nama Gerai Sahabat MAQAZ ini menjual nasi kerabu 3 rasa iaitu special, telur goreng dan kosong. Memang ramai yang pakat serbu. Bukan senang berpeluang makan nasi kerabu di sini, hanya boleh didapati di bazar begini saja. Apa yang menarik, bazar Pahang ini terdapat ice blended berperisanya yang power yang tak dijual di bazar negeri-negeri lain. Perisa cappuccino, bandung dan jagung penambah selera pengunjung. Lebih-lebih lagi musim panas terik sebegini, fuhhh..

ice blended cappuccino yang teramat mengancam..pehh!!

Tambahan pula, hari pertama kami membuka gerai tu, ada tanaqudh program dengan Konvensyen KPT yang julung-julung kali diadakan. Program yang dilangsungkan di Rumah Selangor itu bertemakan 'Wahdah Ahli Pemangkin Kelangsungan Organisasi'. Mesti semua pelik kan? Kenapa program dibuat di asrama Selangor? Sedangkan anjuran anak-anak Terengganu..

Jawapannya, terdapat dalam program ini. Bagi mereka yang menyertainya saja yang tahu akan hakikatnya. Begitulah takdir yang terpaksa dilalui oleh kepimpinan anak-anak Terengganu sejak akhir-akhir ini. Hadaf utama konvensyen ini pun bagi membincangkan hala tuju KPT yang melalui tempoh 44 tahun sejak penubuhannya dengan penuh ranjau berduri. Lagi kan seorang manusia ada jatuh bangunnya, inikan pula sebuah jam'iyyah yang terdapat ratusan manusia di dalamnya..

peserta konvensyen bergambar kenangan bersama kepimpinan KPT dan adhock pelaksana..pengarah orang Shoubra tu..

Tinggal seketika di Hayyu Asyir memberikan seribu satu pengertian dalam diriku. Ada kalanya indah dapat bertemu kawan-kawan lama, ada kala juga perasaan letih menyelubungi tubuh. Kadang-kadang juga sakit hati tatkala mata terlihat logo 'keris telanjang' di satu sudut imarah Asrama Indera Mahkota yang terang-benderang di kala malam menjelma..

Pulang dari Hayyu Asyir, tengahari esoknya pulak, rombongan beramai-ramai ke Cairo International Airport (CIA) dalam siri menghantar kawan pulang ke Malaysia. Sampai di rumah terus dibuai mimpi menqadha' tidur yang berbaki (^-^)..

Begitulah hari-hari yang telah berlalu dalam hidupku. Ianya telah pun menjadi kenangan dan sejarah yang kekal terpatri dalam sanubari. Begitulah juga indahnya hidup bila kita sentiasa memBERI dan terus memBERI sesuatu bagi manfaat insan sekeliling..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP