Friday, September 5, 2008

..Alahai Dr. Maza..

Friday, September 5, 2008


Sejak akhir-akhir ini, umum mengetahui mufti Perlis, Sohibus Samahah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sering mengeluarkan kenyataan yang disifatkan 'pelik' oleh sesetengah pihak, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Bermula dengan isu melarang pihak berkuasa melakukan intipan dalam kes khalwat kerana beralasan menjaga privacy individu selain tindakan tersebut boleh menjatuhkan maruah tertuduh yang telah mencetuskan kontroversi besar di negara ini. Sehingga ada sesetengah pihak melabelkan mufti muda ini sebagai sengaja 'mencari publisiti murahan'..

Tak cukup dengan itu, banyak lagi kenyataan-kenyataan beliau yang boleh menyebabkan umat Islam di Malaysia 'panas telinga' mendengarnya. Banyak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah mempertahankan tindakan kerajaan walaupun tindakan itu secara terang-terangan dilihat salah. Hal ini mendorong kerajaan memperalatkan dan mempergunakannya untuk tujuan mengaburi mata rakyat. Bukan itu saja, malah Sisters In Islam - sebuah pertubuhan yang ada kaitan dengan Interfaith Commission (IFC) pun menyanjung dan menyokong penuh kenyataan beliau seolah-olah 'kena' dengan ideologi mereka..

Ketika awal-awal dilantik dulu beliau menyokong penuh Islam Hadhari yang dicanang oleh Pak Lah. Tapi baru-baru ni, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kerana Islam Hadharilah BN menerima kekalahan teruk dalam PRU 12 baru-baru ini selain ianya tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang berlaku di negara kita dewasa kini. Tatkala Karnival Jom Heboh anjuran TV3 diadakan di negeri kelahirannya, Perlis, beliau mengatakan program tersebut dikira HARAM sekiranya terdapat unsur-unsur maksiat dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Akan tetapi beliau tidak mengatakan HARAM sepenuhnya seperti kenyataan Mufti Perak kerana di dalam Karnival tersebut terdapat juga program-program yang membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat. Beliau juga pernah melarang penyanyi 'superman' Malaysia, Faizal Tahir datang membuat show atau konsert di Perlis. Apa-apa pun, kenyataannya kali ini disambut baik Dewan Pemuda Pas Perlis (DPPPs)..

Seingat saya, beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang memberikan 'tamparan' hebat kepada kepimpinan kerajaan khususnya Pak Lah. Ketika mana perayaan menyambut Hari Pahlawan baru-baru ini, beliau tanpa berselindung memfatwakan HARAM mengalungkan bunga pada Tugu Negara. Tegas beliau, tindakan sedemikian boleh membawa kepada syirik walaupun mengambil kira sebagai tanda penghormatan kepada wira-wira negara. Tambahnya lagi, perbuatan seperti itu juga seakan menjadikan tugu berkenaan seperti berhala yang diagung-agungkan. Walhal, sebelum ini pun sudah ramai tokoh-tokoh ulama' yang tampil memberikan pandangan berkenaan isu ini, tapi kerajaan masih berdegil dan tidak mengendahkan pandangan mereka..



Terbaru, saya ada terbaca dalam laman web beliau sendiri (drmaza.com) sekitar pertengahan Jun lalu. Di mana beliau secara terbuka telah menyanggah pihak yang cuba hendak menjatuhkan dan mendesak Pak Lah supaya berhenti. Kenyataan beliau yang bertajuk 'Mufti Perlis: Sedia 20 dalil sebab Pak Lah perlu berhenti' menggesa supaya pihak berkenaan menyenaraikan masalah yang timbul dalam kepimpinan Pak Lah dan memberi ruang kepada beliau untuk mengatasinya. Tiba-tiba, 28 Ogos lalu beliau tampil pula dengan mengarang sendiri pantun yang seolah-olah ditujukan khas buat kepimpinan Pak Lah. Pantun yang bertajuk 'Cari Ganti' itu mendesak (walaupun istilah yang digunakan dalam pantun tersebut agak lembut dan sopan) agar Pak Lah berundur. Akan tetapi beliau meletakkan syarat di akhir pantun tersebut, iaitu penggantinya nanti mestilah lebih baik dari Pak Lah. Jangan bimbang Dr. Asri, pengganti Pak Lah tak lama lagi jauh lebih baik dari beliau, insya Allah (^-^)..



Itulah yang saya boleh gambarkan sifat sebenar seorang ulama' muda lulusan Jordan bertaraf doktor falsafah (PhD) yang kini menjawat jawatan mufti. Sekejap kata begini, sekejap kata begitu, menunjukkan seolah-olah beliau cuba bermain politik walaupun beliau pernah berkata bahawa beliau bukan orang politik ketika menjawab soalan wartawan sebaik saja selesai menjadi ahli panel Wacana Perdana 100 Hari
Pemerintahan Pakatan Rakyat di Kota Bharu. Sepatutnya sebagai seorang ulama', beliau wajib berpendirian tegas dan tetap tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak demi menegakkan kebenaran bukannya 'menjaga periuk nasi' sendiri. Sedarlah, segala apa yang ditaklifkan di bahu kita ini akan disoal oleh Allah s.w.t dan akan dipertanggung jawabkan oleh diri kita sendiri. Ingat, kita ini HAMBA kepada KHALIQ, bukan BONEKA kepada MAKHLUQ..



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP