Thursday, October 15, 2009

..Hakikat perjuangan..


Entah di mana silapnya, blog ini terus dibiarkan sepi lagi. Mungkin kerana kekangan masa kebelakangan ini yang meyebabkan kesepian ini menyelubungi. Bayangkan, kalau hari-hari bekerja boleh dikatakan hampir sehari suntuk berada di sekolah. Di sebelah pagi mengajar kelas pagi dan di sebelah petang pula mengajar kelas KAFA. Malam pula diisi dengan program di surau masjid dan kadang-kadang berusrah serta mengikuti program jemaah di sana-sini.

Hari minggu dan hari-hari cuti juga begitu. Biasanya ada saja program-program yang diikuti. Walaupun tidak sehebat ayah dari sudut cas ligasnya, akan tetapi itu sudah cukup mengajar diri ini erti pengorbanan terutamanya dari sudut masa dalam perjuangan. Apabila sebut saja perjuangan, kita perlu banyak berkorban terutamanya dari segi tenaga, masa dan harta benda.

Inilah yang dikatakan sunnah orang berjuang. Mereka menempuh susah dan payah dalam medan yang mencabar ini. Segala kepahitan terpaksa ditelan kerana kebenaran yang dibawa. Matlamatnya adalah satu, untuk mencari redha Allah walaupun ramai manusia yang tidak redha dengan tindakan betul yang diambil ini. Perkataan berupa cemuhan, tohmahan dan cacian sudah lali di telinganya. Mereka langsung tidak mengendahkannya kerana kepahitan inilah yang memberikan kemanisan kepada mereka di syurga kelak.

Sejak akhir-akhir ini saya sering diajukan soalan-soalan cepu mas seperti "bila nak kahwin?", "tahun depan buat tiga pasang sekaligus ke?" (abang dan adik perempuan sulung saya akan 'membina masjid' awal tahun depan). Kadang-kadang saya tidak memberikan jawapan, biarlah masa dan takdir yang menentukannya. Ada juga yang saya berikan jawapan yang saya sudah pun berkahwin. Mula-mula memang terkejut mendengarnya. Bila dijelaskan baru mereka mengerti.

Sebenarnya, 'perkahwinan' yang saya maksudkan adalah antara saya dengan perjuangan. Itulah 'isteri' saya selama ini. Siang dan malam asyik memikirkan agenda bersama 'isteri' saya ini. Bermakna, jodoh sebenar saya yang akan menyusul selepas ini (insya Allah) akan 'dimadukan' olehnya. Pun begitu, saya teramat bimbang jika saya mengabaikan masa saya bersamanya dan takut-takut saya menjadi 'suami' yang tidak bertanggung jawab terhadapnya. Kadang-kadang juga berfikir ''layakkah aku menjadi 'suami'mu?''

'Beristerikan' perjuangan ini bukannya mudah. Bahkan tanggung jawabnya kadang-kadang lebih besar daripada isteri yang 'kedua'. Lebih-lebih lagi jika kita diberi taklifan dan jawatan dalam sesuatu tanzim. Ketika di awal kepulangan saya baru-baru ini saya diamanahkan oleh ayah untuk mengikat kembali para pemuda dan remaja di cawangan ini kepada jemaah. Saya sedar, bukan senang untuk melenturkan hati manusia kerana ianya lebih keras daripada besi. Akan tetapi saya berpegang kepada satu kata-kata yang berbunyi, "setitis air yang menitis ke atas batu yang keras, lama-kelamaan batu itu akan lekuk juga".
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP