Sunday, June 28, 2009

..Kisah pengemis dan isteri yang cantik..


Pada suatu hari, seorang lelaki kaya sedang makan bersama isterinya. Sedang asyik mereka makan, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan. ''Tolonglah Encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isterinya yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata, ''aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku.'' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah..

Beberapa tahun kemudian, dengan takdir Allah, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain..

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya itu mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menekup muka sambil menangis..

Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis. Suami yang baru itu menjawab dengan tenang, ''demi Allah, akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu"..

Rasulullah S.A.W telah bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70ribu kejahatan''..

Anas bin Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: ''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''..

Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita ini seperti putaran roda. Adakalanya kita berada di atas, dan adakalanya kita di bawah. Senantiasalah bersyukur walau di tahap kedudukan mana kita berada sekalipun dan jangan sekali-kali kita sombong dan takabbur..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..TPM hina calon PAS..


Dua parti utama negara, PAS dan UMNO masing-masing telah mengumumkan calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Manik Urai. PAS bagaimanapun terlebih dahulu mengisytiharkan calonnya, manakala UMNO BN baru mengumumkannya petang tadi di mana menyaksikan calon PAS, Haji Fauzi Abdullah bakal ditentang calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat..

Ketika mengumumkan calon BN, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghina dan merendahkan martabat calon PAS. Walaupun beliau tidak menyebut secara jelas, tetapi kenyataannya jelas menunjukkan niat jahat beliau itu. Beliau dipetik Malaysia kini sebagai berkata, "beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi," ujarnya sambil memuji calon BN..

Bagi saya, apa yang penting di hati rakyat adalah calon yang berjiwa rakyat. Mereka mahukan pemimpin yang bakal mewakili mereka adalah seorang yang mudah didekati dan sedia mendengar permasalahan rakyat. Mereka tidak mahu pemimpin yang apabila menang terus lesap dari kawasan dan akan muncul semula menjelang pilihan raya akan datang..

Mengikut tradisi di Manek Urai, pengundi akan memilih calon yang mesra rakyat dan bekerja keras untuk rakyat. Lihat saja rekod bersih yang dipegang Allahyarham Pak Su Wel (bekas ADUN Manik Urai) yang tidak pernah kalah. Apabila beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) 2004, PAS tewas di situ. Dan ramai yang mengatakan Haji Fauzi juga mempunyai ciri-ciri yang ada pada beliau..

Ternyata Muhyiddin jelas menunjukkan sikap kurang cermatnya beliau dalam mengeluarkan kenyataan. Pengundi-pengundi Manek Urai sudah tentu akan tersinggung dengan kenyataan ini. Saya yakin dan percaya, mereka pasti akan 'menghukum' keangkuhan Muhyiddin pada 17 Julai depan. Semoga manik-manik perjuangan yang ditinggalkan oleh Pak Su Wel tidak akan terurai dan terus terikat kemas..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, June 23, 2009

..Dedikasi untuk daddy..

Saya kira masih tidak terlalu lewat untuk saya merakamkan ucapan penghargaan kepada insan yang telah banyak berkorban untuk saya selain daripada mak. Tak lain tak bukan itulah ayah. Saya hanya punya satu ayah di dunia ini, tiada dua. Saya amat bertuah bergelar anaknya. Itulah dia Ustaz Zakaria Dagang..

Ayah sememangnya seorang yang amat tegas dalam mentarbiah anak-anak. Walaupun tubuh kami sering saja pedih terkena penangan rotan ayah, akan tetapi itulah satu-satunya method yang mampu menyedarkan kami akan erti sebuah kasih sayang. Memang benar kata orang, benci tanda sayang. Walaupun raut mukanya merah menahan marah, jauh di sudut hatinya ayah amat menyayangi anak-anaknya..

Lihat saja apa yang telah dicapai oleh anak-anaknya hari ini. Mana mungkin kejayaan anak-anaknya tercapai tanpa merasai tarbiah sebegitu hebat. Ayah mahukan anak-anaknya berjaya dalam syakhsiah dan akhlaq di samping kejayaan dalam bidang akademik. Masih ku ingat lagi pesanan ayah ketika usrah keluarga mingguan di rumah, "biarlah keluarga kita jadi contoh kepada orang lain. Ayah nak anak-anak ayah ada prinsip hidup dan bukannya terikut-ikut dengan kawan-kawan lain." Itulah kata-kata keramatnya pada kami..

Ayah lebih banyak menggunakan kaedah 'tarbiah dalam diam'. Bukan seperti sesetengah orang yang memaki hamun dan memarahi anaknya. Apa yang paling terkesan di hati kami ialah ayah sering mengunci pintu rumah sebaik saja hampir masuk waktu maghrib ketika kami dilekakan dengan permainan bola sepak di padang berhampiran rumah. Kerana ayah sering berpesan, "10 minit sebelum orang bang (azan) berhenti main dan bersiap untuk ke surau". Ayah hanya berpesan sekali saja. Kalau lambat bersiap, alamatnya bersedialah untuk 'disoal siasat' selepas ayah pulang dari mengajar di surau atau masjid..

Itu kisah ketika kami masih kecil. Kini ayah boleh berbangga dengan anak-anaknya yang sering mengikutnya ke surau masjid. Bukan senang ingin mengajak kelima-lima anak lelaki untuk ke masjid dan surau lebih-lebih lagi anak-anak yang sudah besar panjang. Tapi ayah mampu melakukannya hasil tarbiah yang diberikan kepada kami sejak kami di peringkat 'rebung' lagi. Yang paling penting ayah ingin mewakafkan kesemua anak-anaknya untuk perjuangan Islam..

Ayah tidak pernah mengecewakan kami. Apa saja permintaan kami dipenuhinya walaupun kehidupan kami tidak sesenang orang lain. Ayah pasti mengotakan janjinya untuk kami. Ayah sanggup berkorban wang ringgit demi anak-anak. Biarlah ayah tak merasa asalkan anak-anaknya gembira. Terharu melihat kesungguhan ayah menghantarku sehingga ke KLIA ketika mula-mula menjejakkan kami ke bumi orang ini. Ayah sanggup membeli tiket di saat-saat akhir demi memberikanku semangat untuk berjuang di negeri orang..

Perasaanku ini terlalu rindukanmu ayah. Rindukan kalam-kalam mau'izah dan tasyji' darimu. Rindukan suasana meriah bersama keluarga kita. Rindu juga untuk menjadi drivermu tatkala ayah sibuk berceramah dan berprogram di sana sini. Tiap kali bila berjauhan begini perasaan-perasaan itu sering bermain di hati ini. Lantas saya memutarkan lagu ini untuk menenangkannya. Terimalah lagu ini khas buatmu ayah..



Ayah bersama mak dan Piyah ketika penamaan calon PRK Bukit Gantang

Pasangan paling ideal ketika selesai proses penamaan calon PRK Kuala Terengganu

Menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak miskin di Kemboja

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, June 21, 2009

..Malam Nostalgia PLPDT..


Baru-baru ini dapat pesanan dari seorang sahabat Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT). Beliau meminta agar dihebahkan program terkini yang akan dianjurkan pada hari Jumaat ini seperti yang tertera pada gambar..

Sebagai ahli, saya menyeru kepada semua sahabat dan sahabiah yang berada di segenap ceruk di bumi Malaysia khususnya Terengganu agar dapat memeriahkan lagi program Malam Nostalgia yang bakal diadakan. Jangan lupa untuk membeli kupon makan demi menjana ekonomi persatuan yang sama-sama kita dokongi ini. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar..

Terkilan pula rasanya tidak dapat bersama sahabat-sahabat dalam program tersebut. Mesti seronok dapat bertemu sahabat-sahabat lama yang dulu pernah jatuh bangun di Darul Taqwa. Tahniah buat barisan kepimpinan PLPDT yang baru kerana berjaya mengaktifkan semula persatuan. Rasa jealous pula kerana ketika ditaklifkan sebagai AJK dulu PLPDT tidak 'selincah' seperti hari ini. Tak mengapa jealous kerana kebaikan kan? Apa-apa pun, mabruk sekali lagi buat sahabat-sahabat seperjuangan dalam PLPDT. Semoga terus maju memacu kegemilangan Islam..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..Pimpinan KPT ziarah ahli di Shoubra..


ST. THERESA 19 Jun -
Seramai 8 orang AJKT Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) telah mengadakan jaulah ke Dewan Perwakilan Mahasiswa [MAQAZ] Shoubra. Mereka turun untuk bertemu mata dengan anak-anak Terengganu di bumi Shoubra sambil beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan..

Rombongan dari Hayyul 'Asyir itu tiba kira-kira jam 12 tengahari. Hanya 3 orang AJKT yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Pengerusi DPM [MAQAZ] Shoubra, Ustaz Mohammad Anuar Roseli bersama 2 orang AJKT DPM..

Program dimulakan sebaik selesai menunaikan solat Jumaat. Pengerusi majlis, Ustaz Muhd Amir Azamuddin Rashid mengalu-alukan kedatangan semua AJKT yang sudi bertandang ke bumi tadahan qurra' ini. Majlis dimulakan dengan sesi ta'aruf oleh barisan AJKT KPT dan DPM [MAQAZ] Shoubra yang hadir. Kemudian pengerusi menyerahkan kepada Setiausaha KPT, Ustaz Mohd Riduan Abu Bakar untuk sesi dialog dan soal jawab..

Antara soalan-soalan yang dikemukakan adalah berkenaan dengan rungutan sesetengah ahli di sini yang dikatakan agak tersisih berbanding pelajar-pelajar lain baik di Kaherah mahupun di muhafazah-muhafazah lain. Walaupun mereka kerap turun ke kompleks Hayyul Asyir, namun mereka seolah-olah masih ada lagi gap yang menyekat untuk bergaul dengan sesetengah pelajar yang agak 'senyap' dan kurang mesra..

Selain itu, AJKT juga turut merungut disebabkan ada sesetengah ahli di Shoubra yang enggan menjadi imam solat sunat hifzi yang diadakan saban minggu ketika fatrah imtihan. Akibatnya, setiap kali solat hifzi diadakan pasti muka-muka yang sama akan ke depan menjadi imam. Lantaran, salah seorang ahli mencadangkan agar diadakan jadual tetap bagi imam terawih khusus untuk ahli-ahli di sini menjelang Ramadhan nanti..

Selesai dialog, ucapan penggulungan dari Pengerusi DPM [MAQAZ] Shoubra. Dalam ucapan ringkasnya beliau merumuskan bahawa bagi mengukuhkan kepimpinan dalam organisasi mestilah semua memainkan peranan. Bermula dari ketua hinggalah kepada ahli bawahan. Jika ini diperkemaskan, nescaya mantaplah organisasi tersebut..

Seterusnya ucapan penutup oleh YDP KPT, Ustaz Mohd Shafizi Ismail. Beliau memetik khutbah yang disampaikan oleh khatib tadi yang menyentuh tentang bagaimana tersebarnya agama Islam di nusantara seperti Indonesia dan sebagainya termasuk Malaysia. Puncanya adalah kesan daripada keluhuran akhlaq yang dipamerkan oleh para pedagang dari tanah arab sehingga ramai yang tertarik dan seterusnya memeluk Islam. Beliau mengajak ahli supaya mempamerkan syakhsiah dan akhlaq yang terbaik supaya dapat dicontohi oleh orang lain..

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan sebelum semua tetamu dan ahli-ahli KPT menjamu selera. Saya mewakili semua ahli-ahli KPT di Shoubra mengucapkan jutaan terima kasih atas kunjungan ini. Semoga jalinan ukhuwah antara kepimpinan dan ahli KPT akan terus kukuh dan diberkati Allah s.w.t..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, June 18, 2009

..UG: Lebih hangat dari biasa..


Sebenarnya sebelum imtihan bermula lagi, saya sudah nekad untuk 'berpuasa' dengan membiarkan blog ini tanpa diupdate, dan ianya telah berjaya saya lakukan. Kecuali peristiwa 'perpindahan' sebelum ini yang terpaksa juga saya selesaikannya. Sepanjang blog ini tidak diupdate, banyak perkara dan berita-berita panas yang diterima terutama selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 di Shah Alam minggu lalu..

Saya hanya membaca berita-berita dan kenyataan-kenyataan pimpinan sepintas lalu saja tanpa diulas panjang bagi memberi tumpuan semaksima mungkin kepada imtihan. Akan tetapi kenyataan mengejutkan yang dikeluarkan oleh Tok Guru semalam menyebabkan saya hilang tumpuan seketika. Masakan tidak, seorang pimpinan boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap pimpinan tertinggi parti. Saya percaya ramai ahli bawahan yang akan 'terperangkap' dengan kata-kata TGNA ini..

Mungkin di sana wujudnya salah faham sehingga menyebabkan beliau berkata sedemikian rupa. Atau mungkin ada orang-orang di belakang yang cuba 'mencucuk jarum' di belakangnya? Saya tidak mahu suu' zhon dengan sesiapa, kerana saya diajar supaya bersikap salamatus sodri kepada sesiapa pun, apatah lagi sekiranya berlaku ikhtilaf di kalangan pimpinan yang sudah di kira memuncak ini..

Lebih parah, selang sehari kemudian, media melaporkan yang poster Tuan Guru Presiden tidak akan dipasang pada pilihan raya kecil (PRK) Manek Urai. Apabila ditanya, Pengarah Pilihan Raya Kelantan menafikan bahawa perkara sedemikian ada kaitan dengan Unity Government (UG) yang diperkenalkan oleh TGHA. Kenapa tiba-tiba PRK kali ini enggan diletakkan poster Presiden? Sedangkan selama berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus PRK sebelum ini tidak ada sebarang masalah apabila poster Presiden dipasang. Saya pun pening memikirkannya. Adakah Kelantan sudah dilanda taufan?..

Saya juga tidak faham kenapa 10 orang Ahli Parlimen PAS menandatangani surat tidak menyokong UG yang digagaskan Presiden. Adakah mereka ini tidak diberi kefahaman yang jelas? Atau mereka enggan mendapatkan penjelasan? Sedangkan TGHA sudah menjelaskan berkali-kali dan terbaru di London yang boleh di baca di sini. Kalau malas nak baca, boleh tengok video di sini. Tindakan mereka itu seolah-olah menunjukkan mereka kurang matang dalam sepak terajang politik..

Memang benar, ketiadaan TGHA yang bermusafir ke London telah mengakibatkan kecelaruan yang parah berlaku. Yang menjadi mangsa ialah penyokong dan ahli bawahan yang terkapai-kapai mencari jalan mana yang harus diikut. Mudah-mudahan mesyuarat ukhuwah yang bakal diadakan nanti akan menjernihkan keadaan dan merungkai segala persoalan. Ayuh, jangan biarkan musuh terus bertepuk tangan dengan kekhilafan kita ini. Semoga 'bahtera' perjuangan yang kita layari ini tidak lagi dilambung ombak dan meluncur laju menuju ke destinasi..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..Alhamdulillah..


Lafaz syukur dan tahmid memuji Allah tidak putus-putus dilafazkan oleh sebilangan besar pelajar tahun tiga sebaik saja tamat imtihan syahadah bagi madah (subjek) Tarajim Qurra' pagi tadi. Setelah hampir tiga minggu berhempas pulas memerah otak, akhirnya kami berjaya melunaskan 'misi' yang telah lama dinanti-nantikan itu..

Bukan mudah menanti saat-saat manis ini, lebih-lebih lagi laluan menghampiri garisan penamatnya begitu mencabar sekali. Memang madah Tarajim Qurra' bukan semudah yang disangka. Ianya memerlukan ingatan yang tajam bagi menguasai madah tersebut. Bayangkan, kami perlu menghafal riwayat hidup kesemua imam qiraat sepuluh. Itu tak termasuk dengan rawinya sekali. Setiap imam mempunyai dua orang rawi yang termasyhur. Contohnya qiraat yang kita baca iaitu Imam 'Asim, baginya dua perawi iaitu Syu'bah dan Hafs. (Bacaan kita adalah mengikut riwayat Hafs)..

Selesai imtihan pagi tadi, sesi fotografi diadakan di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP) DPM [MAQAZ] Shoubra. Kenangan hari-hari terakhir di tempat kami menadah ilmu dirakamkan. Rata-rata semuanya kelihatan ceria. Bayangan tanah air tercinta sudah menjelma. Ada yang sudah menempah tiket untuk pulang, terutamanya mutazawwijin yang merindui isteri dan anak-anak di kampung. Paling awal petang esok, selepas Jumaat. Mudah-mudahan penantian insan tersayang dibalas dengan secebis kejayaan, insya Allah..

Justeru, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Taala kerana dengan limpah dan 'inayahNya jugalah kita berjaya sampai ke 'garisan penamat'. Kita telah berusaha sedaya mungkin, tinggal lagi tawakkal dan berserah diri kepadaNya. Cuma yang penting tingkatkan lagi amalan dan doa agar kita dikurniakan kejayaan yang diimpikan kita semua selama ini..

Selepas ini, banyak kerja yang tertangguh sebelum imtihan menanti untuk disettlekan. Antaranya kerja-kerja penerbitan Suara Kampus Edisi MAQAZ (SUKMA) bilangan 15 yang sudah menghampiri fasa ketiga. Selepas ini juga para tetamu bolehlah berkunjung ke rumah kami kerana kami sudah bersedia untuk diganggu. Sebentar tadi baru saja pulang sekumpulan tetamu dari Hayyu 'Asyir yang datang menjemput kami ke majlis akad nikah salah seorangnya pada Khamis depan. Semoga semuanya selamat dan berjalan lancar..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, June 10, 2009

..Cucu Dagang Berpindah..



Salam kasih sayang buat semua pengunjung setia blog Cucu Dagang ini, diharapkan semua di dalam keadaan sihat wal 'aafiah hendaknya. Untuk makluman, baru-baru ini dua hari sebelum saya menduduki imtihan akhir yang bermula pada 3 Jun, telah terjadi 'sesuatu' yang tidak diingini pada blog ini dan 'kejadian' tersebut menyebabkan sesetengah pengunjung berasa hairan dan pelik setiap kali mengunjungi blog ini. Ada yang sampai sakit mata membacanya..

Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenarnya. Setelah 'beristikharah' dengan hati sendiri, maka saya nekad untuk 'berpindah' ke rumah baru yang lebih selesa. Keputusan ini diambil demi kepuasan hati pengunjung-pengunjung juga, bukan hanya sekadar kepuasan semata-mata..

Sebenarnya saya telah berdepan dengan risiko. Saya terpaksa juga berpindah walaupun imtihan masih belum berakhir. Berpindah 'rumah' maya ini bukan semudah yang disangka. Sebelum berpindah terpaksa 'packing' 'barang-barang' penting untuk dihias di 'rumah' baru nanti. Tambahan pula rangkaian wireless yang teramat lemah seminggu dua ini sehingga menyakitkan hati saya merumitkan lagi kerja-kerja pemindahan. Saya sedar, mungkin ini juga ujian di kala saya sedang sibuk dengan ujian memerah minda di dewan imtihan..

'Ala kulli hal, perpindahan ini masih lagi belum sempurna. Banyak lagi yang saya perlu renovate dan menambah hiasan-hiasan agar kelihatan lebih cantik. Harap pengunjung sekalian bersabar. Doakan saya untuk imtihan jam 9 pagi ini (waktu Mesir). Saya masih lagi ada 3 kertas berbaki untuk dihabiskan pada Khamis depan. Syukran jaziilan, baarakallahu fiikum..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP