Terkejut! Itulah yang dapat diungkapkan tatkala melihat blog list dalam blog-blog yang turut memaparkan blog ini. Tiga ayat yang tercatat di situ. Catatan Perjuangan (nama blog), Hakikat Perjuangan (posting terakhir) dan 3 months ago. Ayat terakhir itulah yang membuatkan diri ini terkejut. Mafhum mukholafahnya, blog ini dibiarkan sepi lagi untuk kali yang seterusnya.
Apa lagi alasan yang nak diberikan untuk memujuk hati para pembaca blog ini. Yang pasti semua alasan tidak boleh dijadikan sebab musabab blog ini terus ketandusan dari tugas utamanya iaitu 'memberi' dan terus memberi sesuatu untuk pembaca. Kita tidak lagi boleh menyalahkan kekangan masa kerana pepatah Melayu ada menyebut 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Kadang-kadang banyak masa dihabiskan untuk perkara-perkara tidak berapa penting. Kadang-kadang pula program banyak menjadikan banyak cerita dan idea yang hendak dikongsi dengan para pembaca, tapi jari pula enggan memberi kerjasama.
Ala kulli hal, diharapkan dengan posting pertama di tahun baru 1431 hijrah dan 2010 masihi ini menjadi nafas baru kepada blog ini dalam menyampaikan maklumat, risalah dan dakwah kepada para pembaca di luar sana.
Kesempatan yang terbatas ini juga saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat hari lahir yang ke 48 buat mak. Semoga mak bahagia dan panjang umur untuk terus menjadi hambaNya yang solehah. Terima kasih atas tarbiah, teguran, nasihat dan leteran mak sehingga Alim berjaya hari ini. Alim sayang mak!
p/s: mabruk buat sahabatku, Akh Syamshul dan Ukht Mursyidah atas kelahiran mujahidah comel penyeri hidup.
Alhamdulillah, semalam telah berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Perwakilan Mahasiswa [MAQAZ] Shoubra bagi kali ke-17. MAT pada tahun ini diadakan gilang-gemilang kerana turut diadakan Majlis Anugerah Mahasiswa Cemerlang. Ianya sebagai tanda penghargaan DPM kepada ahli-ahli yang telah berjaya dalam imtihan baru-baru ini. Turut diadakan juga Pameran Galeri DPM sepanjang sesi 2008/2009 dan pameran berkenaan ilmu Qiraat di bahagian belakang dewan..
Dengan tema 'Muhasabah Teras Keutuhan Jamaah', hasil penilaian dan koreksi yang dilakukan oleh ahli dilihat mampu membawa DPM ke arah yang lebih baik pada sesi depan (2009/2010). MAT kali ini juga menerima banyak usul akan tetapi hanya satu usul yang diterima untuk dibahaskan iaitu usul yang berbunyi "Seluruh ahli dan kepimpinan dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan markaz baru sebelum penghujung tahun ini". Memandangkan markaz DPM yang sudah uzur dan tidak cukup untuk menampung sejumlah 150 ahli dalam satu-satu masa, nescaya wajar usul tersebut diterima dan dilaksanakan demi keselesaan ahli..
Sebelum penutup, majlis penyampaian hadiah diadakan bagi mengenang jasa mantan-mantan AJKT dan ad-hoc pelaksana. Berikut adalah anugerah yang disediakan untuk AJKT;
AJKT paling prihatin : Mohd Azrol Abu Bakar (UP)
AJKT paling kreatif : Abdul 'Alim Zakaria (UPP)
AJKT paling ceria : Nur Ahmad Wafiy Noor Azri (TSU)
AJKT paling rajin : Mohammad Mukhlis Sabri (Timb. Pengerusi)
AJKT paling thabat : Mohammad Anuar Roseli (Pengerusi)
Saya mengucapkan tahniah dan takziah kepada AJKT baru yang terpilih bagi memimpin DPM untuk sesi 2009/2010. Juga buat sahabat-sahabat AJKT lama yang masih kekal di tampuk kepimpinan, semoga dapat menjalankan amanah dengan baik demi kesinambungan survival DPM dapat diteruskan..
Sedikit pesanan saya untuk sahabat-sahabat yang bakal meneruskan amal-amal Islami dalam DPM;
Ukhuwah - perlu menjaga ukhuwah di kalangan sesama AJKT agar memudahkan segala gerak kerja dalam persatuan. Sentiasa berlapang dada, banyakkan bersabar dan elakkan daripada terasa dengan sikap dan perangai sahabat. Hidup berpersatuan ini mengajar kita agar tidak terasa dan yang paling penting kita mesti korbankan perasaan kita demi kepentingan sahabat-sahabat, ahli dan persatuan itu sendiri.
Jaga amanah - Sesungguhnya taklifan ini adalah satu pemilihan dari Allah s.w.t dan Allah yakin antum semua mampu menggalasnya. Berpeganglah pada ayat terakhir Surah Al-Baqarah, nescaya kita akan merasa kuat dan tidak berkeseorangan serta yakin Allah tetap bersama membantu kita dalam melakukan gerak kerja ini.
Time management - Apabila kita dilantik menjadi pimpinan, nescaya masa kita sedikit sebanyak akan berkurangan. Oleh itu kita mesti pandai membahagi masa kerana kita bukan sahaja bertanggungjawab sebagai pimpinan, bahkan kita juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar di sini iaitu sebagai seorang pelajar. Jangan kita jadikan alasan bekerja dalam persatuan ini untuk tidak berjaya dalam imtihan. Sepatutnya inilah peluang terbaik untuk kita mengurus masa dengan sebaiknya agar tidak timbul fitnah ahli terhadap prestasi kita.
Selamat bertugas untuk barisan AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sesi 2009/2010 di bawah teraju Pengerusi, Ustaz Muhammad Naim Hassan. Kepada ahli DPM, berikanlah sepenuh ketaatan dan kepatuhan kepada barisan kepimpinan yang baru demi melihat bumi Shoubra terus subur dengan biah yang solehah..
Pada 1 Julai lepas, kami generasi ke 14 Ma'had Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu (MTANT) yang kini digelar Institut Al-Quran Terengganu (IQT) telah menimang 'anak saudara' kedua. Bayi lelaki seberat kira-kira 3 kg ini lahir dari pasangan sahabat kami, Akh Abdullah Al-Mukhlis bin Abdul Rahman @ Abdul Aziz dan Ukht Nurul Hidayah binti Musilehat..
Sebelum ini bulan Jun lepas, kami telah menimang 'anak saudara' sulung hasil perkongsian hidup sahabiah kami, Ukht Jueziatul Husna binti Arifin dan Ustaz Haji Mohd Hafas bin Haji Ali. Ustaz Hafas mewakili Terengganu dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung sekarang di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh, Perak. Bayi perempuan mereka kini berusia sebulan lebih..
Baru-baru ini saya bersama beberapa orang sahabat telah menziarahi baby comel ini di kediaman walidnya di Jabal Muqattam, Kaherah. Kebetulan pagi itu bayi yang di beri nama Muhammad Habiburrahman ini baru selesai di tahnikkan oleh Syeikh Dr. Yusri di masjidnya. Selang keesokannya di adakan pula majlis aqiqah dan kesyukuran sempena kelahirannya..
Tambah menggembirakan, selepas 5 hari kelahirannya, walidnya mendapat berita najah sofi dalam imtihan syahadah dan merupakan pelajar wafidin (asing) yang mendapat markah paling tinggi dengan memperoleh 80%. Bermakna sahabat kami ini mendapat dua hadiah sekaligus. Pertama kelahiran Habiburrahman, kedua kejayaan dalam imtihan..
Mungkin ada benarnya juga kata orang tua-tua, "rezeki anak-anak." Mungkin inilah rezeki dari kelahiran Habiburrahman. Semoga kelahirannya membawa seribu satu sinar kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah kepada pasangan sahabat kami ini. Kami 'ammu dan 'ammah dari gen-14 mendoakan agar Habiburrahman menjadi anak yang soleh..
Tahniah kepada Akh Mukhlis dan Ukht Nurul Hidayah. Mana-mana ahli gen-14 yang sudah ada calon eloklah di segerakan. Perkara 'membina masjid' ini jangan tangguh-tangguh lagi, selesaikan segera. Semoga semakin ramai zuriat yang soleh dan solehah pewaris gen-14 yang bakal lahir, insya Allah..
p/s: lihatlah gambar di atas betapa nyenyaknyaHabiburrahman tidur di pangkuan 'ammu 'Alim..
Control natijah imtihan telah diumumkan semalam. Ianya disiarkan melalui sebuah laman web dan boleh didapati dengan hanya memasukkan nombor angka giliran pelajar. Dari segi sistem pengurusan Mesir sudah setapak maju ke hadapan, tetapi dari segi undang-undang dan peraturan negara ini masih lagi ketinggalan di belakang jika terus-menerus mengamalkan 'sistem di bibir mulut'..
Pagi tadi pula natijah tersebut telah dihebahkan untuk rujukan para pelajar dan tujuan pengesahan. Hasilnya boleh dikatakan 50 peratus pelajar takhassus Qiraat bagi ikhwahnajah sofi (lulus semua subjek) berbanding akhawat (cawangan Mansurah) seramai kira-kira 10 peratus..
Pada mulanya saya amat takut untuk melihat control natijah di internet semalam. Lebih-lebih lagi di hadapan kawan-kawan yang tak sabar-sabar menantikan keputusannya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bagai nak pecah dada ini menanti keputusan diakses setelah nombor giliran 400** dimasukkan..
Tapi alhamdulillah, Allah telah mengurniakan satu lagi nikmat kepada saya dan kawan-kawan yang lain. Setelah diteliti tengahari tadi, saya memperoleh markah keseluruhan sebanyak 78 peratus. Bagi sahabat-sahabat yang 'masih lagi diuji', jangan putus asa. Kuatkan semangat, masih ada lagi satu peluang untuk perbaiki kekurangan ini. Lakukan yang terbaik dalam daur thani (repeat paper) bulan depan. Insya Allah, Allah pasti akan bersama-sama dengan hambaNya yang bermujahadah..
Syukur padaMu ya Allah atas kurniaan nikmat ini. Terima kasih mak dan ayah serta abang dan adik-adikku atas doa kalian. Juga buat para masyayikh yang tak jemu-jemu menunjuk ajar anak didikmu ini. Tak lupa buat sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong dan membantu serta mendoakanku. Terakhir buat ahli bait juniorku, Pa yang sanggup menjadi tukang masak kami ketika kami sibuk dengan imtihan. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa-jasa kalian semua. Jazaakallahu khairal jazaa'..
Saya kira masih tidak terlalu lewat untuk saya merakamkan ucapan penghargaan kepada insan yang telah banyak berkorban untuk saya selain daripada mak. Tak lain tak bukan itulah ayah. Saya hanya punya satu ayah di dunia ini, tiada dua. Saya amat bertuah bergelar anaknya. Itulah dia Ustaz Zakaria Dagang..
Ayah sememangnya seorang yang amat tegas dalam mentarbiah anak-anak. Walaupun tubuh kami sering saja pedih terkena penangan rotan ayah, akan tetapi itulah satu-satunya method yang mampu menyedarkan kami akan erti sebuah kasih sayang. Memang benar kata orang, benci tanda sayang. Walaupun raut mukanya merah menahan marah, jauh di sudut hatinya ayah amat menyayangi anak-anaknya..
Lihat saja apa yang telah dicapai oleh anak-anaknya hari ini. Mana mungkin kejayaan anak-anaknya tercapai tanpa merasai tarbiah sebegitu hebat. Ayah mahukan anak-anaknya berjaya dalam syakhsiah dan akhlaq di samping kejayaan dalam bidang akademik. Masih ku ingat lagi pesanan ayah ketika usrah keluarga mingguan di rumah, "biarlah keluarga kita jadi contoh kepada orang lain. Ayah nak anak-anak ayah ada prinsip hidup dan bukannya terikut-ikut dengan kawan-kawan lain." Itulah kata-kata keramatnya pada kami..
Ayah lebih banyak menggunakan kaedah 'tarbiah dalam diam'. Bukan seperti sesetengah orang yang memaki hamun dan memarahi anaknya. Apa yang paling terkesan di hati kami ialah ayah sering mengunci pintu rumah sebaik saja hampir masuk waktu maghrib ketika kami dilekakan dengan permainan bola sepak di padang berhampiran rumah. Kerana ayah sering berpesan, "10 minit sebelum orang bang (azan) berhenti main dan bersiap untuk ke surau". Ayah hanya berpesan sekali saja. Kalau lambat bersiap, alamatnya bersedialah untuk 'disoal siasat' selepas ayah pulang dari mengajar di surau atau masjid..
Itu kisah ketika kami masih kecil. Kini ayah boleh berbangga dengan anak-anaknya yang sering mengikutnya ke surau masjid. Bukan senang ingin mengajak kelima-lima anak lelaki untuk ke masjid dan surau lebih-lebih lagi anak-anak yang sudah besar panjang. Tapi ayah mampu melakukannya hasil tarbiah yang diberikan kepada kami sejak kami di peringkat 'rebung' lagi. Yang paling penting ayah ingin mewakafkan kesemua anak-anaknya untuk perjuangan Islam..
Ayah tidak pernah mengecewakan kami. Apa saja permintaan kami dipenuhinya walaupun kehidupan kami tidak sesenang orang lain. Ayah pasti mengotakan janjinya untuk kami. Ayah sanggup berkorban wang ringgit demi anak-anak. Biarlah ayah tak merasa asalkan anak-anaknya gembira. Terharu melihat kesungguhan ayah menghantarku sehingga ke KLIA ketika mula-mula menjejakkan kami ke bumi orang ini. Ayah sanggup membeli tiket di saat-saat akhir demi memberikanku semangat untuk berjuang di negeri orang..
Perasaanku ini terlalu rindukanmu ayah. Rindukan kalam-kalam mau'izah dan tasyji' darimu. Rindukan suasana meriah bersama keluarga kita. Rindu juga untuk menjadi drivermu tatkala ayah sibuk berceramah dan berprogram di sana sini. Tiap kali bila berjauhan begini perasaan-perasaan itu sering bermain di hati ini. Lantas saya memutarkan lagu ini untuk menenangkannya. Terimalah lagu ini khas buatmu ayah..
Ayah bersama mak dan Piyah ketika penamaan calon PRK Bukit Gantang
Pasangan paling ideal ketika selesai proses penamaan calon PRK Kuala Terengganu
Menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak miskin di Kemboja
Bulan Mei mempunyai hari-harinya yang tersendiri. Di dalamnya terdapat hari-hari penting bagi tujuan memperingati mereka-mereka yang sentiasa berjasa dalam kehidupan manusia. Bermula dari 1 Mei iaitu hari pekerja, kemudian disusuli dengan hari ibu pada 10 Mei. Seterusnya selang dua hari menyusul pula hari jururawat pada 12 Mei dan hari guru yang disambut pada 16 Mei saban tahun..
Ramai di kalangan kita yang mengingati tarikh-tarikh keramat ini. Tak kurang juga yang tidak sabar-sabar menanti hari-hari tersebut bagi memberi penghargaan kepada insan-insan istimewa yang pernah berjasa sepanjang hidup mereka..
Dalam pada itu, terdapat satu hari dalam bulan ini yang sudah pasti tak akan dilupakan oleh diriku. Tarikhnya ialah pada 15 Mei. 21 Tahun yang lalu, pada tanggal tarikh tersebut kira-kira jam 2.58 petang telah lahir seorang bayi dari rahim ibunya di sebuah rumah di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir. Bayi tersebut diberi nama Abdullah Haris..
Itulah adik yang lahir selepasku yang merupakan kelahiran ketiga ibuku. Pada 15 Mei baru-baru ini genaplah usianya 21 tahun yang membolehkannya menjadi pemilih yang sah dalam pilihan raya. Bertambahlah seorang lagi pengundi di DUN N.11 Seberang Takir, Parlimen P.35 Kuala Nerus..
Beliau memang seorang yang berbakat dalam kepimpinan lebih-lebih lagi ketika beliau belajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang (SMASZAL) dan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Burok. Bakatnya dalam bidang penyampaian memang tak dapat dinafikan lagi. Beliau sering menjadi johan dalam musabaqah tafsir dan pidato bahasa arab pada majlis Ihtifal Ilmi Sanawi Sekolah-sekolah Menengah Agama Terengganu anjuran Jabatan Hal Elwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Karnival Soleh Pintar anjuran Yayasan Terengganu (YT)..
Selain itu, beliau sudah acap kali menjadi pengganti ayah mengajar di surau dan masjid termasuk di luar kawasan Seberang Takir ketika kesibukannya. Beliau sangat bercita-cita untuk menjadi pemimpin seperti ayah. Walaupun kadang-kadang penyampaian beliau agak 'pedas' dan 'sakit telinga' didengar oleh sesetengah orang, namun ianya mampu memberi kesan yang mendalam terhadap pendengar..
Beliau mencetuskan kontroversi terhangat dua tahun lalu apabila permohonannya untuk mendapat pinjaman dari Yayasan Terengganu ditolak mentah-mentah. Tiada sebarang alasan yang kukuh diberikan melainkan jawapan "dukacita tidak dapat dipertimbangkan dan ditolak". Sepatutnya Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Terengganu 2006 sepertinya ditawarkan biasiswa penuh dan tidak perlu memohon dari mana-mana pihak..
Kini berkat doa ibu dan ayah, beliau berjaya menyambung pengajiannya di universiti tertua di dunia, Al-Azhar hasil bantuan orang ramai yang bersimpati. Ramai yang merasa hairan dengan keluarga kami apabila memikirkan bagaimana ayah membiayai pengajian dan belanja kami dua beradik di sini walaupun pendapatan ayah cuma cukup-cukup untuk membayar pinjaman sewa-beli rumah. Jawapannya mudah. "Tidak akan miskin jika membela Islam". Satu ungkapan yang menggambarkan pengorbanan Halimatus Sa'diah dalam membela anak susuannya, Muhammad s.a.w..
Kini beliau bersama-samaku berjuang di bumi kinanah ini. Sekarang beliau sedang hebat 'berperang' dengan imtihan fasal (semester) kedua bagi sesi pengajian tahun 2 Kuliyyah Syari'ah Islamiyyah, Kaherah. Didoakan semoga beliau diberi ketenangan dalam menjawab dan dikurniakan oleh Allah s.w.t kejayaan yang cemerlang..
Sempena dengan ulang tahun kelahiranmu ini, Ablem doakan semoga Areh dipanjangkan umur dalam keberkatan dan dimurahkan rezeki yang halal. Yang penting pastikan kuantiti umur seiring dengan kualiti amal. Semoga terus thabatdalam mehnah dan liku-liku perjuangan..
16 Mei merupakan tarikh agung dan keramat bagi setiap insan berjasa yang bergelar guru. Pada tarikh tersebut mereka diberi penghormatan dan penghargaan kerana mengenang jasa dan curahan keringat mereka yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah demi membina seorang pelajar menjadi insan berguna..
Hari ini para guru yang sudah berpuluh-puluh tahun berbakti untuk anak bangsa boleh berbangga dengan segala curahan ilmu mereka. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak didik mereka berjaya menjadi seorang insan yang cemerlang dalam akademik. Hanya itulah yang mampu membuatkan mereka tersenyum puas kerana pengorbanan mereka selama ini berbaloi. Walaupun pada hakikatnya mereka tidak pernah meminta untuk dibalas hatta dengan sesuatu yang bersifat material sekalipun..
Kejayaan membina kecemerlangan dalam akademik tidak boleh dibanggakan jika tidak diselarikan dengan kecemerlangan dari sudut syakhsiah. Di luar sana berapa ramai yang mantap dari segi akademiknya dalam masa yang sama akhlak dan syakhsiahnya gagal membentuknya menjadi insan yang cemerlang dari sudut rohani. Yang kita mahukan adalah bukan setakat berjaya di dunia, bahkan yang lebih penting ‘berjaya’ di akhirat sana..
Contoh yang paling mudah bagaimana kecemerlangan dari sudut syakhsiah pelajar terbaik SPM tahun ini sehingga menghasilkan satu kejayaan cemerlang dalam hidupnya. Kejayaan yang dicapainya mampu membuka mata semua pihak. Sehinggakan ramai yang ingin mengikut rutin amalannya seperti berpuasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis termasuk pelajar non muslim..
Apabila seseorang pelajar itu gagal membentuk syakhsiahnya nescaya dari situ akan timbul rasa kurang hormat dengan guru. Mereka mengambil sikap sambil lewa terhadap guru mereka. Pernah seorang syeikh meluahkan rasa kecewanya terhadap anak muridnya. Syeikh tersebut pernah beberapa kali bertembung dengan pelajar yang sedang merokok di khalayak tanpa rasa segan silu. Sehinggakan syeikh tadi tidak berani menegurnya kerana khuatir akan mengaibkan pelajar terbabit..
Sepatutnya kita selaku anak murid yang perlu menjaga hati para masyayikh, bukannya mereka yang perlu menjaga hati kita. Di dada kita terkandung segala ilmu yang telah dicurahkannya tetapi kita pula seolah-olah tidak menghargai ilmu tersebut dan lebih menyedihkan kita seolah-olah mencalit arang pula di wajahnya..
Maka tidak hairanlah jika ramai di kalangan kita yang rasib (gagal) dalam imtihan. Kita mahukan keberkatan dan doa syeikh untuk kejayaan kita, tapi dalam masa yang sama kita menjatuhkan maruahnya dan tidak beradab dengannya. Mungkin ianya satu ‘iqab (balasan) daripada Allah s.w.t. akibat sikap kita. Paling mendukacitakan kita langsung tidak menggambarkan ciri-ciri syakhsiah sorang pelajar muslim..
Marilah sama-sama kita koreksi diri supaya kita benar-benar dapat menghayati erti dan nilai satu ilmu yang disampaikan oleh guru kepada kita. Alangkah bangganya mereka apabila anak didik mereka berjaya dalam kedua-duanya (dunia dan akhirat). Apa guna kalau kita berjaya cemerlang di dunia tapi ‘gagal’ di akhirat sana. Bersamalah kita mendoakan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat untuk para guru yang telah berjasa mendidik kita sehingga kita berada di tahap ini pada hari ini..
Kali ini anugerahnya datang dari seorang kenalan blogger yang tidak dikenali. Dengan kata lain, teman blogger fantasi. Walaupun baru 'mengenalinya' beberapa hari, beliau telah pun menganugerahkan blog ini sebagai blog yang dipilih khas oleh beliau. Beliau menggelarkan dirinya sebagai Daus..
Di sini beliau meminta admin blog untuk menjawab beberapa soalan terlebih dahulu sebagai tanda penerimaan anugerah. Soalan ini bukan tag memandangkan beliau seorang anti-tag sebagaimana terpapar pada blognya. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:
1. Anda seorang bintang? Tidak, saya hanya seorang insan biasa yang bergelar hamba Allah
2. Berapa bintang untuk blog anda? Tak tahu, pembaca yang seharusnya membuat penilaian tentang itu
3. Adakah penulis seorang yang sombong? Rasanya tidak. Tapi tak pasti memandangkan baru 'kenal'
4. Dari mana anda mengenali blog penulis? dari blog KBT
5. Anugerah ini ada berapa warna? 4 warna - kuning, hitam, putih dan BIRU? (katakan tidak padanya..)
Hari Jumaat lepas, bersamaan 24 April 2009 telah jatuh akan ia akan (bahasa kitab turath) hari ulang tahun kelahiran seorang sahabatku. Beliau dilahirkan pada 24 April 1986 di Kemaman, Terengganu. Beliau yang sekarang menetap di Kampung Wakaf Dua, Bukit Payung, Marang ini merupakan anak kedua daripada 7 adik beradik..
Kini berkat usaha gigihnya beliau telah berjaya menyambung pengajian di bidang Al-Quran dan Qiraat di Al-Azhar, Shoubra, Mesir selepas mendapat segulung syahadah dari Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu (kini Institut Al-Quran Terengganu [IQT]), Padang Midin, Kuala Terengganu. Insya Allah beliau akan menamatkan pengajiannya di Mesir pada akhir Julai ini..
Tahun lepas, beliau mendapat ujian terhebat dalam sejarah hidupnya. Tekadnya untuk tinggal 'ala tuul 3 tahun di sini tak kesampaian apabila dikhabarkan oleh keluarganya yang mana ayahnya sedang koma di hospital akibat terjatuh. Difahamkan, puncanya adalah disebabkan ayahnya diserang penyakit kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi..
Beliau terpaksa pulang ke Malaysia walaupun ketika itu ditaklifkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DPM (MAQAZ) Shoubra. Beliau yang pulang secara mufaja'ah (tergesa-gesa) beberapa hari sebelum Ramadhan, amat sugul kerana tidak dapat bertemu 'empat mata' dengan ayahnda tercinta. Ini berikutan ayahnya koma selama berhari-hari sehingga 'dijemput' oleh Allah Taala dalam keadaan yang mulia pada 2 Ramadhan 1429 Hijrah. Al-Fatihah..
Begitulah kisah hidup yang terpaksa dilaluinya lebih-lebih lagi beliau merupakan anak sulung lelaki. Di bahunya juga bakal tergalas harapan besar dalam mendidik adik-adik seterusnya keluarga dan masyarakat..
Bersabarlah sahabat, teruskan perjuanganmu. Jangan kau undur selagi nadi masih berdenyut laju. Allah akan senantiasa membantu hamba-hambaNya yang menolong agamaNya. Segala usaha gigihmu pasti kan terbalas di akhirat kelak, insya Allah..
Sanah helwah buat sahabatku, Muhd Kamal Ahmad. Kami doakan agar dikau terus thabat dalam perjuangan yang penuh onak dan liku ini. Ingat! Semakin lanjut usia kita semakin dekat kita denganNya, maka bersedialah!
Nota: Maaf mal, sebab lambat hantar ucapan ni, apa-apa pun semoga kita semua najah dalam imtihan Syahadah awal Jun nanti..
Kelmarin, blog ini menerima anugerah lagi. Anugerahnya lebih kurang sama seperti yang pernah diberikan oleh blog Buku Nota awal bulan baru-baru ini. Cuma kali ini ianya datang dari blog Jiwa Terasing iaitu adikku sendiri yang kupanggil Aceh..
Aceh telah membuat analisa tentang perjalanan blognya (Jiwa Terasing) sepanjang 4 bulan pertama sejak mendaftar menjadi blogger. Kalau dalam Buku Nota blog ini mendapat tempat pertama dalam pengunjung paling kerap, tapi di blog Jiwa Terasing pula blog ini di tempat yang ke dua. (Rujuk gambar di gadget sebelah kanan)..
Blognya pada pendapatku amat hebat. Kenapa? Kerana walaupun baru berusia beberapa bulan, tapi kenalan bloggernya sudah mencecah puluhan orang. Lebih-lebih lagi blog ini telah mendapat anugerah Buku Nota untuk bulan Januari dan Februari 2009 yang lalu..
'Ala kulli hal, terima kasih Ablem ucapkan buat Aceh atas penghargaan ini. Semoga blog Jiwa Terasing terus mantap dalam menyampaikan dakwah dan sebaran ilmu kepada pembaca. Teruskan berdakwah dan dalam masa yang sama menentang sebarang hasutan dan dakyah!
Alhamdulillah, hari ini blog ini telah menerima Anugerah Blog Pilihan untuk bulan Mac 2009 daripada owner blog Buku Nota, Rdhanz. Anugerah ini diberikan atas penghargaan kepada pemilik blog-blog yang menyumbang kunjungan tertinggi terhadap blog Buku Nota. Blog Cucu Dagang merupakan pengunjung tertinggi sepanjang bulan Mac lalu (lihat pada gadget di sebelah kanan)..
Sejak kebelakangan ini (bermula Februari lalu), aku begitu berminat dan tertarik dengan blog beliau. Blognya walaupun pada zahirnya nampak ringkas tetapi pengisiannya sungguh mantap dan menarik. Boleh dikatakan saban hari malah hampir 2, 3 kali aku menjenguk blog ini kerana ownernya merupakan seorang yang rajin mengupdate blognya sehingga kadang-kadang mencecah 3 artikel sehari. Pasti ada saja cerita-cerita peribadi menarik yang dikongsi bersama pembaca sehingga membuatkanku tersenyum sendiri. Beliau juga sentiasa menyelitkan unsur-unsur moral dan pengajaran dari apa yang berlaku terhadap dirinya dalam cerita tersebut..
Seperkara lagi yang menarik tentang beliau adalah beliau seorang yang sangat kreatif bukan saja dalam bidang penulisan, rekaan grafik, tetapi juga mampu menghasilkan lukisan yang realistik atau fantastik. Yang pasti lukisannya itu memang bombastik sehingga beliau mampu mengarang sebuah komik! Alat-alat seperti pensil, pemadam, buku lukisan dan yang sewaktu dengannya merupakan 'teman rapat' yang sudah sebati dalam hidupnya..
Terima kasih ku rakamkan buat sahabatku, Rdhanz yang sudi 'mengalungkan'ku anugerah ini. "Syukran jazilan ya akhil mahbub". Ana doakan semoga anta terus thabat dalam menyampaikan mesej-mesej dakwah melalui medium alam maya ini. Mudah-mudahan semua pembaca akan mendapat manfaat dari blog Buku Nota yang tak jemu-jemu memaparkan kalam-kalam mutiara yang terbit dari mindamu itu..