Friday, May 22, 2009

..Hari Guru: Sejauh Mana Penghayatan Kita..


16 Mei merupakan tarikh agung dan keramat bagi setiap insan berjasa yang bergelar guru. Pada tarikh tersebut mereka diberi penghormatan dan penghargaan kerana mengenang jasa dan curahan keringat mereka yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah demi membina seorang pelajar menjadi insan berguna..

Hari ini para guru yang sudah berpuluh-puluh tahun berbakti untuk anak bangsa boleh berbangga dengan segala curahan ilmu mereka. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak didik mereka berjaya menjadi seorang insan yang cemerlang dalam akademik. Hanya itulah yang mampu membuatkan mereka tersenyum puas kerana pengorbanan mereka selama ini berbaloi. Walaupun pada hakikatnya mereka tidak pernah meminta untuk dibalas hatta dengan sesuatu yang bersifat material sekalipun..

Kejayaan membina kecemerlangan dalam akademik tidak boleh dibanggakan jika tidak diselarikan dengan kecemerlangan dari sudut syakhsiah. Di luar sana berapa ramai yang mantap dari segi akademiknya dalam masa yang sama akhlak dan syakhsiahnya gagal membentuknya menjadi insan yang cemerlang dari sudut rohani. Yang kita mahukan adalah bukan setakat berjaya di dunia, bahkan yang lebih penting ‘berjaya’ di akhirat sana..

Contoh yang paling mudah bagaimana kecemerlangan dari sudut syakhsiah pelajar terbaik SPM tahun ini sehingga menghasilkan satu kejayaan cemerlang dalam hidupnya. Kejayaan yang dicapainya mampu membuka mata semua pihak. Sehinggakan ramai yang ingin mengikut rutin amalannya seperti berpuasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis termasuk pelajar non muslim..

Apabila seseorang pelajar itu gagal membentuk syakhsiahnya nescaya dari situ akan timbul rasa kurang hormat dengan guru. Mereka mengambil sikap sambil lewa terhadap guru mereka. Pernah seorang syeikh meluahkan rasa kecewanya terhadap anak muridnya. Syeikh tersebut pernah beberapa kali bertembung dengan pelajar yang sedang merokok di khalayak tanpa rasa segan silu. Sehinggakan syeikh tadi tidak berani menegurnya kerana khuatir akan mengaibkan pelajar terbabit..

Sepatutnya kita selaku anak murid yang perlu menjaga hati para masyayikh, bukannya mereka yang perlu menjaga hati kita. Di dada kita terkandung segala ilmu yang telah dicurahkannya tetapi kita pula seolah-olah tidak menghargai ilmu tersebut dan lebih menyedihkan kita seolah-olah mencalit arang pula di wajahnya..

Maka tidak hairanlah jika ramai di kalangan kita yang rasib (gagal) dalam imtihan. Kita mahukan keberkatan dan doa syeikh untuk kejayaan kita, tapi dalam masa yang sama kita menjatuhkan maruahnya dan tidak beradab dengannya. Mungkin ianya satu ‘iqab (balasan) daripada Allah s.w.t. akibat sikap kita. Paling mendukacitakan kita langsung tidak menggambarkan ciri-ciri syakhsiah sorang pelajar muslim..

Marilah sama-sama kita koreksi diri supaya kita benar-benar dapat menghayati erti dan nilai satu ilmu yang disampaikan oleh guru kepada kita. Alangkah bangganya mereka apabila anak didik mereka berjaya dalam kedua-duanya (dunia dan akhirat). Apa guna kalau kita berjaya cemerlang di dunia tapi ‘gagal’ di akhirat sana. Bersamalah kita mendoakan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat untuk para guru yang telah berjasa mendidik kita sehingga kita berada di tahap ini pada hari ini..

2 comments:

Anonymous,  May 25, 2009 at 6:41 PM  

Selamat Hari Guru untuk Us. Alim nanti bakal guru..

Cucu Dagang (CD) May 26, 2009 at 3:47 PM  

>innerinspiration

Insya Allah, selamat..=)

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP