Saturday, September 19, 2009

..Jangan tinggalkan kami..


Sedar tak sedar kita telah pun berada di hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan 1430 H. Begitu pantas masa berlalu seakan-akan baru saja bertemu dengan Ramadhan semalam, tiba-tiba hari ini 'tetamu' yang sering dirindui oleh Rasulullah dan para sahabat itu akan pergi meninggalkan kita buat kesekian kalinya.

Kalau dilihat pada kelebihan dan segala macam special offer yang Allah tawarkan kepada hamba-hambaNya pada bulan ini, hati ini seakan-akan berat ingin melepaskan Ramadhan pergi. Diri ini masih lagi tidak puas bersamamu ya Ramadhan. Benarlah sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Jika sekiranya umatku mengetahui akan kelebihan dan ganjaran yang besar yang terdapat dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta setahun penuh adalah seperti bulan Ramadhan"

Tetapi perasaan sebegini hanya timbul di hati para mukminin yang benar-benar menghayati dan beramal dengan mengihya'kan Ramadhan sahaja. Mereka masih lagi ingin 'bermanja-manja' dengan Ramadhan, kalau boleh selama-lamanya. Mereka berasa seronok beramal ibadah dalam bulan ini kerana halawatul iman (kemanisan iman) yang mereka rasai.

Berbeza pula dengan mereka yang berperasaan sebaliknya. Mereka langsung tidak merindui kedatangan Ramadhan apatah lagi di kala Ramadhan hendak berlalu pergi. Mereka lebih gembira kerana selepas ini mereka akan bebas melakukan apa saja di siang hari disebabkan beberapa 'sekatan' yang membelenggu mereka selama sebulan ini. Sebab itu kita tidak hairan melihat ramai orang yang berpuasa tetapi tidak sembahyang dan masih mendedahkan aurat. Kedatangan Ramadhan langsung tidak dihayati jauh sekali untuk dihidupkan. Ramadhan dan bulan-bulan yang lain sama saja bagi mereka. Ini bertepatan dengan sabda Baginda yang berbunyi:

"Berapa ramai orang yang berpuasa, akan tetapi tiada pahala puasa baginya melainkan lapar dan dahaga"

Sepanjang sebulan kita bermujahadah ini adakah amalan yang kita lakukan bersesuaian dengan title kita selau seorang muslim dan mukmin? Jom sama-sama kita bermuhasabah di penghujung Ramadhan ini agar kita benar-benar mendapat tingkatan ketaqwaan yang Allah s.w.t letakkan matlamat kita berpuasa dan beribadat dalam sebulan ini.

Persoalannya, adakah kita telah menggondol piala taqwa dalam perlawanan menentang pasukan nafsu selama 29 hari ini? Adakah 'permainan' kita di padang Ramadhan lebih baik daripada 'aksi' kita tahun lepas? Kalau persoalan-persoalan tersebut dijawab 'ya', maka sesungguhya kita telah berjaya melepasi madrasah Ramadhan dengan jayanya. Kalau jawapannya 'tidak', koreksilah diri masing-masing agar kita tidak menjadi golongan sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w:

"Rugi dan sia-sialah bagi mereka yang melalui Ramadhan akan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan Allah"

Kerana sebab inilah Baginda menangis ketika menaiki mimbar hendak menyampaikan khutbah. Sebelum itu Baginda diriwayatkan tersenyum manis seketika dan kemudian menangis dan bersedih. Lalu sahabat bertanya, "kenapa engkau senyum dan kemudian menangis Ya Rasulallah?" lalu baginda menjawab, "aku tersenyum kerana melihat Allah mengampunkan dosa umatku yang berpuasa, dan aku menangis kerana masih ada lagi umatku yang apabila berlalunya Ramadhan dosa-dosanya masih lagi tidak diampunkan oleh Allah Taala."

Selamat menyambut Hari Raya 'Idil Fitri. Semoga kita menyambut hari kemenangan kita ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Janganlah kita mencemarkan kesucian hari raya dengan maksiat dan dosa, cukuplah Ramadhan sebagai tarbiah ruhiah bagi kita. Mudah-mudahan dosa-dosa kita semua dibersihkan pada hari raya ini sebagaimana kita baru keluar dari perut ibu kita secara fitrah.

Minal 'Aaidin wal Faaizin. Kullu sanah wa antum jamii'an toyyibun! Maaf zahir dan batin.
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, September 4, 2009

..'Anak emas' ketiga bakal lahir..


Sah, berita yang diterima petang tadi yang mengatakan bahawa seorang ADUN BN meninggal dunia akibat serangan jantung. Azman Mohd Noor, ADUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Begitulah hebatnya perancangan yang direncanakan Allah s.w.t. Manusia hanya mampu setakat merancang sesuatu, akan tetapi perancangan itu tidak akan terlaksana jika bukan dengan kehendak dan iradat Allah. Walaupun baru dua hari lepas SPR mengumumkan tiada kekosongan kerusi berlaku di DUN Kota Siputeh, Kedah, (walaupun speaker telah mengesahkan ADUN berkenaan terlucut jawatan kerana gagal menghadiri dua kali sidang DUN tanpa sebab), namun Allah terus membayar cash dan menggantikannya dengan kematian ADUN Bagan Pinang.

Nampaknya selepas ini Bagan Pinang akan turut mengikut jejak langkah Manek Urai dan Permatang Pasir yang menjadi anak emas Kerajaan Pusat. Hanya dengan cara itu sahajalah BN mampu menarik sokongan rakyat dan pengundi di kawasan tersebut. Namun, rakyat kini sudah bijak membuat pilihan dan tidak mudah termakan dengan janji-janji pembangunan yang dibawa BN. Buktinya, 8 kali PRK selepas PRU ke 12 yang lalu, Pakatan Rakyat (PR) menang 7 kerusi manakala BN hanya satu. Itu pun di Sarawak, bukan di kawasan Semenanjung.

Semoga PRK yang kesembilan ini membawa tuah kepada penyokong PR di Negeri Sembilan. Jika PR berjaya memecahkan kubu kuat Bn ini, nescaya PR punya harapan yang cerah untuk menawan Malaysia dalam PRU ke 13 nanti.
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP