Sunday, May 31, 2009

..Bertahiyyat Menemui Syahid..


Beliau menceritakan tentang seorang banduan yg bernama Amin iaitu ketua kumpulan Al-Mau'unah yg didapati bersalah kerana melancarkan perang kepada Yg Dipertua Agong. Amin dijatuhi hukuman gantung sampai mati.Apa yang menarik ialah peribadi si Amin ini. Beliau seorang yang berdisplin, kuat beramal, mengaji quran, solat malam dan baik dikalangan sesama banduan lain.

Pendek kata banduan yang tiada bermasalah. Seminggu sebelum dia digantung, pengarah penjara telah menziarahi sel beliau dan terkejut kerana terdapat bau yang harum. Bau itu tak hilang walaupun beliau telah pulang ke rumah bau harum itu masih melekat pd pakaiannya.

Mengikut ceritanya lagi, pd mlm sebelum dia digantung, dia berpesan supa dikejutkan pada jam 4.00 pagi. Dia digantung pada subuh pagi jumaat.Pada mlm sebelum dia digantung, didapati Si Amin ini tidur begitu lena sekali seolah2 tiada apa2 akan berlaku pd pg esoknya sedangkan dia akan dihukum gantung pada pg esok.

Bayangkan kalau org nak kena gantung pg esok, mesti gelisah dan mesti tak boleh tidur punya.Bila tepat jam 4.00 pg, Amin ini pun dikejutkan, dia terus beramal, solat taubat, tahajud, mengaji dan sujud syukur dan dia berpesan supaya dibawa ke tali gantung ketika dia sedang sujud syukur.Ketika Amin sedang sujud pada masa itulah dia dibawa ke tali gantung. Bila tiba masa hendak digantung, tiba2 Amin ini pengsan dan tidak sedarkan diri. Masa semakin suntuk dan Amin harus digantung ketika itu juga, maka kepala dia ditutup dgn kain hitam dan hukuman pun dijalankan.

Agak pelik ketika itu kerana hukuman gantung tersebut seperti menggantung anak patung yg tidak bernyawa, tiada pergerakan, tiada jeritan. Didapati juga selipar jepun yg dipakai oleh Amin masih melekat pd kakinya, begitu juga tasbih masih tidak terlepas dari tangan.Apabila janazah Amin dibuka penutup muka didapati lidah tidak terjelir keluar spt kebiasaan mereka yg digantung. Tangan spt org dlm solat d jari telunjuk spt membaca tahiyat akhir. Subhanallah. Mungkin Allah sudah mengambil nyawanya dulu sebelum digantung..

Begitulah kebesaran Allah yg memberi Rahmat kepada hamba2 nya soleh dan sentiasa bertaubat. Mungkin ini satu petunjuk dari ALLAH kpd kita semua.Inilah kisah yg diceritakan semula oleh Ustaz tersebut.


Sumber: ABO

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, May 28, 2009

..Jangan Memohon Kerja di Syarikat Ini..


Baru-baru ini saya mendapat offline message dari seorang sahabat di sini. Beliau mengirimkan sekeping mesej bersama dua keping gambar. Mesejnya lebih kurang berbunyi begini;

"Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan, anda dinasihatkan supaya tidak memohon atau menerima tawaran bekerja di syarikat MP E-WORLWIDE. Ini kerana Pengurus Besar syarikat tersebut tidak membenarkan sama sekali pekerja Muslim untuk sembahyang Zohor dan Asar."

Buktinya boleh di lihat pada sekeping notis di bawah..



~klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas~

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, May 27, 2009

..Kami Pun Terkena..



Sebentar tadi saya terbaca dalam blog Dari Gaung Hati berkenaan kisah sekumpulan lelaki yang datang ke rumah-rumah berhampiran dan menyembur asap yang kononnya bagi membasmi wabak nyamuk (denggi) dan babi (influenza H1N1). Mereka mendakwa mendapat kebenaran dari pihak kerajaan untuk berbuat demikian. Kebanyakan mangsa adalah penduduk kawasan pedalaman dan ceruk-ceruk kampung yang mudah terpedaya dengan tindak-tanduk 'pegawai' seperti mereka ini. Kisah selanjutnya boleh di baca di sini..

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan artikel tersebut ialah kisah yang berlaku di sekitar negeri Pahang ini sama seperti yang turut berlaku kepada kami di sini. Kira-kira dua minggu lepas setelah rumah kami kehilangan rangkaian internet, kami didatangi oleh sekumpulan arab (dua lelaki dan seorang wanita). Mereka adalah lingkungan pertengahan 20-an. Mereka mendakwa ditugaskan untuk meletakkan ubat seperti racun perosak dalam rumah sekitar bagi membasmi wabak influenza yang sedang merebak ketika itu..

Tanpa mengesyaki sesuatu, kami membenarkan mereka masuk ke dapur dan bilik air. Selepas selesai membubuh 'ubat' di dalam sinki dan mangkuk tandas, salah seorang dari mereka berpesan agar tidak dibuka paip air melainkan selepas 15 minit. Kami mengangguk faham..

Tugas mereka tidak terhenti setakat itu saja. Mereka tidak lagi beredar keluar walaupun dua lelaki tadi telah naik ke atas 'mengunjungi' rumah kawan kami pula di tingkat atas. Yang masih tercegat di depan pintu rumah kami adalah seorang wanita. Wanita itu menyerahkan sekeping
faturah (resit) kepada kami dan meinta kami membayar LE149.90!..

Walaupun pada awalnya kami agak terkejut, namun bila memikirkan kesihatan kami yang mungkin akan terjejas dara-gara wabak tersebut, kami akhirnya 'meringankan tangan' menghulurkan wang sejumlah LE150. Lebih-lebih bila wanita itu menunjukkan
kernehnya (kad rasmi) dari Kuliyyah Ziraa'ah (Fakulti Pertanian). Ada yang mengatakan kami seolah-olah 'dipukau' kecantikan wanita arab tersebut. Pada faturah tadi tercatat tarikh menandakan mereka akan datang semula untuk mutaba'ah (follow-up) dari semasa ke semasa..

Selang 3 hari kemudian, kami mendapat berita yang mereka adalah PENIPU! Saya terus menghubungi Pengerusi DPM bertanyakan berita tersebut. Memang benar. Mereka telah memperdaya
Maliziyyun hanya untuk semata-mata mendapatkan wang! Entah ubat apa yang diletakkan di rumah kami itu. Lebih menyedihkan ada sahabat kami yang dikenakan bayaran sehingga LE400! Boleh belanja hampir sebulan untuk keperluan dapur..

Itulah hakikatnya warga arab di sini. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, memang tidak boleh dipercayai. Ada yang terlalu baik seperti malaikat dan ada yang terlalu busuk hatinya mengalahkan iblis. Betullah kata senior, di sini semuanya ada, yang baik ada dan yang jahat lebih-lebih lagi. Di sinilah bumi Firaun
laknatullahi 'alaih dan di sini jugalah bumi Nabi Allah Musa a.s. Oh Mesir, macam-macam ada! Mungkin selepas ini syarikat penyiaran berbayar Astro boleh mempromosikan Mesir sebagai trade mark barunya..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, May 26, 2009

..Manfaatkan Cuti Anda..


Semalam, telah berlangsung upacara perasmian program musim panas Liqa' Mahabbah 2009 (LIMA '09). Perasmiannya telah disempurnakan oleh Naib Presiden 1 PMRAM, Ustaz Mohd Azrul Ismail. Turut hadir mengiringi beliau ialah Setiausaha Agung, Ustaz Mohd Adlan Mokhtaruddin dan Ketua Badan Penerangan & Penerbitan yang juga Badan Pengurus (BP) angkat Shoubra, Ustaz Ahmad Taufiq Mohd Dahlan..

Program LIMA merupakan program mega tahunan Dewan Perwakilan Mahasiswa [MAQAZ] Shoubra yang diadakan saban tahun. Ianya merangkumi program ilmiah dan tafaqquh, jaulah dan rehlah, kursus dan kemahiran, sukan dan bazaria..

Dalam ucapan perasmiannya beliau menyeru kepada pelajar-pelajar tahun satu dan dua yang telah selesai imtihan agar dapat memanfaatkan masa cuti yang terluang ini. "Alangkah ruginya jika masa cuti musim panas yang panjang ini kita sia-siakan dengan perkara yang tidak berfaedah, sebaliknya penuhilah masa ini dengan kita pergi ke kelas-kelas tafaqquh, talaqqi dan sebagainya" ujar beliau..

Beliau turut menyelitkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi, "dua nikmat yang sering manusia leka dan alpa dengannya, iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang."" Janganlah kita tergolong di kalangan mereka-mereka yang terleka dengan dua nikmat penting ini" tambah beliau lagi..

Bersempena dengan majlis pembukaan semalam, semua ahli DPM digalakkan berpuasa pada hari tersebut. Sebaik saja selesai dirasmikan, hadirin sama-sama ifthor jama'ie selepas solat maghrib. Kemudian program diteruskan dengan kelas Pengajian Kilat yang merupakan salah satu program dalam LIMA '09. Kelas tersebut adalah sambungan dari kelas yang telah bermula kelmarin (Ahad). Dua kitab yang didiskusikan ialah Ta'alimul Muta'allim Toriq at-Ta'allum dan Nailur Raja' bi syarhi Safinatun Naja' oleh Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Qadir Syed Husin Al-Jufree (M.A American Open University)..

Semoga LIMA '09 pada tahun ini berjaya menarik lebih ramai ahli bagi memeriahkan program-program yang telah dirancang oleh pihak DPM. Yang lebih penting komitmen yang kami harapkan dari antum untuk menyertai kesemua program LIMA '09 pada tahun ini dan bukan hanya tertumpu pada program-program seperti kesukanan, jaulah dan bazaria sahaja..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, May 23, 2009

..Hari Itu..


Bulan Mei mempunyai hari-harinya yang tersendiri. Di dalamnya terdapat hari-hari penting bagi tujuan memperingati mereka-mereka yang sentiasa berjasa dalam kehidupan manusia. Bermula dari 1 Mei iaitu hari pekerja, kemudian disusuli dengan hari ibu pada 10 Mei. Seterusnya selang dua hari menyusul pula hari jururawat pada 12 Mei dan hari guru yang disambut pada 16 Mei saban tahun..

Ramai di kalangan kita yang mengingati tarikh-tarikh keramat ini. Tak kurang juga yang tidak sabar-sabar menanti hari-hari tersebut bagi memberi penghargaan kepada insan-insan istimewa yang pernah berjasa sepanjang hidup mereka..

Dalam pada itu, terdapat satu hari dalam bulan ini yang sudah pasti tak akan dilupakan oleh diriku. Tarikhnya ialah pada 15 Mei. 21 Tahun yang lalu, pada tanggal tarikh tersebut kira-kira jam 2.58 petang telah lahir seorang bayi dari rahim ibunya di sebuah rumah di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir. Bayi tersebut diberi nama Abdullah Haris..

Itulah adik yang lahir selepasku yang merupakan kelahiran ketiga ibuku. Pada 15 Mei baru-baru ini genaplah usianya 21 tahun yang membolehkannya menjadi pemilih yang sah dalam pilihan raya. Bertambahlah seorang lagi pengundi di DUN N.11 Seberang Takir, Parlimen P.35 Kuala Nerus..

Beliau memang seorang yang berbakat dalam kepimpinan lebih-lebih lagi ketika beliau belajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang (SMASZAL) dan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Burok. Bakatnya dalam bidang penyampaian memang tak dapat dinafikan lagi. Beliau sering menjadi johan dalam musabaqah tafsir dan pidato bahasa arab pada majlis Ihtifal Ilmi Sanawi Sekolah-sekolah Menengah Agama Terengganu anjuran Jabatan Hal Elwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Karnival Soleh Pintar anjuran Yayasan Terengganu (YT)..

Selain itu, beliau sudah acap kali menjadi pengganti ayah mengajar di surau dan masjid termasuk di luar kawasan Seberang Takir ketika kesibukannya. Beliau sangat bercita-cita untuk menjadi pemimpin seperti ayah. Walaupun kadang-kadang penyampaian beliau agak 'pedas' dan 'sakit telinga' didengar oleh sesetengah orang, namun ianya mampu memberi kesan yang mendalam terhadap pendengar..

Beliau mencetuskan kontroversi terhangat dua tahun lalu apabila permohonannya untuk mendapat pinjaman dari Yayasan Terengganu ditolak mentah-mentah. Tiada sebarang alasan yang kukuh diberikan melainkan jawapan "dukacita tidak dapat dipertimbangkan dan
ditolak". Sepatutnya Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Terengganu 2006 sepertinya ditawarkan biasiswa penuh dan tidak perlu memohon dari mana-mana pihak..

Kini berkat doa ibu dan ayah, beliau berjaya menyambung pengajiannya di universiti tertua di dunia, Al-Azhar hasil bantuan orang ramai yang bersimpati. Ramai yang merasa hairan dengan keluarga kami apabila memikirkan bagaimana ayah membiayai pengajian dan belanja kami dua beradik di sini walaupun pendapatan ayah cuma cukup-cukup untuk membayar pinjaman sewa-beli rumah. Jawapannya mudah. "Tidak akan miskin jika membela Islam". Satu ungkapan yang menggambarkan pengorbanan Halimatus Sa'diah dalam membela anak susuannya, Muhammad s.a.w..


Kini beliau bersama-samaku berjuang di bumi kinanah ini. Sekarang beliau sedang hebat 'berperang' dengan imtihan fasal (semester) kedua bagi sesi pengajian tahun 2 Kuliyyah Syari'ah Islamiyyah, Kaherah. Didoakan semoga beliau diberi ketenangan dalam menjawab dan dikurniakan oleh Allah s.w.t kejayaan yang cemerlang..

Sempena dengan ulang tahun kelahiranmu ini, Ablem doakan semoga Areh dipanjangkan umur dalam keberkatan dan dimurahkan rezeki yang halal. Yang penting pastikan kuantiti umur seiring dengan kualiti amal. Semoga terus
thabat dalam mehnah dan liku-liku perjuangan..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, May 22, 2009

..Hari Guru: Sejauh Mana Penghayatan Kita..


16 Mei merupakan tarikh agung dan keramat bagi setiap insan berjasa yang bergelar guru. Pada tarikh tersebut mereka diberi penghormatan dan penghargaan kerana mengenang jasa dan curahan keringat mereka yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah demi membina seorang pelajar menjadi insan berguna..

Hari ini para guru yang sudah berpuluh-puluh tahun berbakti untuk anak bangsa boleh berbangga dengan segala curahan ilmu mereka. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak didik mereka berjaya menjadi seorang insan yang cemerlang dalam akademik. Hanya itulah yang mampu membuatkan mereka tersenyum puas kerana pengorbanan mereka selama ini berbaloi. Walaupun pada hakikatnya mereka tidak pernah meminta untuk dibalas hatta dengan sesuatu yang bersifat material sekalipun..

Kejayaan membina kecemerlangan dalam akademik tidak boleh dibanggakan jika tidak diselarikan dengan kecemerlangan dari sudut syakhsiah. Di luar sana berapa ramai yang mantap dari segi akademiknya dalam masa yang sama akhlak dan syakhsiahnya gagal membentuknya menjadi insan yang cemerlang dari sudut rohani. Yang kita mahukan adalah bukan setakat berjaya di dunia, bahkan yang lebih penting ‘berjaya’ di akhirat sana..

Contoh yang paling mudah bagaimana kecemerlangan dari sudut syakhsiah pelajar terbaik SPM tahun ini sehingga menghasilkan satu kejayaan cemerlang dalam hidupnya. Kejayaan yang dicapainya mampu membuka mata semua pihak. Sehinggakan ramai yang ingin mengikut rutin amalannya seperti berpuasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis termasuk pelajar non muslim..

Apabila seseorang pelajar itu gagal membentuk syakhsiahnya nescaya dari situ akan timbul rasa kurang hormat dengan guru. Mereka mengambil sikap sambil lewa terhadap guru mereka. Pernah seorang syeikh meluahkan rasa kecewanya terhadap anak muridnya. Syeikh tersebut pernah beberapa kali bertembung dengan pelajar yang sedang merokok di khalayak tanpa rasa segan silu. Sehinggakan syeikh tadi tidak berani menegurnya kerana khuatir akan mengaibkan pelajar terbabit..

Sepatutnya kita selaku anak murid yang perlu menjaga hati para masyayikh, bukannya mereka yang perlu menjaga hati kita. Di dada kita terkandung segala ilmu yang telah dicurahkannya tetapi kita pula seolah-olah tidak menghargai ilmu tersebut dan lebih menyedihkan kita seolah-olah mencalit arang pula di wajahnya..

Maka tidak hairanlah jika ramai di kalangan kita yang rasib (gagal) dalam imtihan. Kita mahukan keberkatan dan doa syeikh untuk kejayaan kita, tapi dalam masa yang sama kita menjatuhkan maruahnya dan tidak beradab dengannya. Mungkin ianya satu ‘iqab (balasan) daripada Allah s.w.t. akibat sikap kita. Paling mendukacitakan kita langsung tidak menggambarkan ciri-ciri syakhsiah sorang pelajar muslim..

Marilah sama-sama kita koreksi diri supaya kita benar-benar dapat menghayati erti dan nilai satu ilmu yang disampaikan oleh guru kepada kita. Alangkah bangganya mereka apabila anak didik mereka berjaya dalam kedua-duanya (dunia dan akhirat). Apa guna kalau kita berjaya cemerlang di dunia tapi ‘gagal’ di akhirat sana. Bersamalah kita mendoakan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat untuk para guru yang telah berjasa mendidik kita sehingga kita berada di tahap ini pada hari ini..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, May 20, 2009

..Kembali Bernafas..

Wednesday, May 20, 2009


Alhamdulillah, setelah hampir dua minggu ketiadaan rangkaian internet pada PC pinjaman Tuhan ini, akhirnya hari ini ianya dapat kembali menyalurkan maklumat-maklumat dan berita untuk tatapan tuan kesayangannya. Itu pun setelah berhempas pulas bersama rakan-rakan untuk mendapatkannya kembali..

Sebelum ini kami cuba bertanya di syarikat komunikasi Telecom-Egypt untuk mendaftarkan semula internet pada talian telefon rumah kami. Tapi malangnya kami dimaklumkan talian telefon tersebut tidak dapat didaftarkan kerana terdapat bil tertunggak. Terkejut kami bila pegawai syarikat di situ memberitahu jumlahnya LE3000 lebih!

Kami hairan. Kami mula rasa tak sedap hati. Adakah Mohammad (seperti yang diceritakan sebelum ini) tidak membayar bil internet kami sebagaimana yang kami amanahkan padanya setiap bulan? Atau 'Ammu Salim (tuan rumah) tidak menjelaskan bayaran bil telefon kami? Segala persoalan bermain di minda kami..

Tambah pegawai itu lagi, sekiranya kami ingin register baru, kami mestilah menyelesaikan bil tertunggak itu. Ataupun biarkan bil talian itu dipotong kemudian register nombor baru untuk akses internet. Kami tiada pilihan lain melainkan pilihan pertama sahaja kerana untuk register
nombor baru terdapat masalah yang lebih rumit dengan tuan rumah..

Setelah kami berjumpa dengan Mohammad, beliau menjelaskan begini dan begini. Rupa-rupanya itu adalah nizam baru syarikat terbabit. Dalam pada itu kami hairan, "tak kan sampai begitu banyak kena caj?" fikir salah seorang dari kami. Ada yang mula mengesyaki sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Mohammad. Senior-senior lama pesan jangan terlalu percaya dengan arab. Bukan kami hendak su' zhon, tapi kami mesti mengelakkan diri kami dari ditipu. Ada pula yang sudah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan..

Bila diselidik dan ditanya pada kawan-kawan lain yang turut menggunakan internet di rumah mereka, semuanya menafikan yang mereka dikenakan caj yang begitu tinggi seperti yang didakwa Mohammad. Mustahil talian internet kami saja yang dicaj begitu..

Setelah menjangkakan yang internet tidak dapat lagi diakseskan ke rumah kami, saya akhirnya mengambil keputusan untuk membeli wireless USB untuk mengakseskannya. Walaupun linenya tak selaju seperti sebelum ini, tapi sudah cukup sekadar untuk menatap berita-berita dan maklumat lebih-lebih lagi banyak isu panas berlaku di Malaysia mutakhir ini..

Mudah-mudahan ianya tidak menjadikanku terleka dengan dunia global sehingga melupakanku akan dunia cita-cita dan impian kejayaan yang sedang kukejar ini, insya Allah. Semoga ianya memberi manfaat bukan 'mudharat' kepadaku..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, May 14, 2009

..Ambe Nok Royak Jugok..

Friday, May 15, 2009


Setelah membaca tajuk posting adikku di dalam blognya bertajuk 'Ambe nok kabor skek', diriku rasa terpanggil untuk meletakkan tajuk yang lebih kurang sama dengan tajuk itu. Tujuannya sama, setelah membiarkan blog tanpa diupdate walaupun blog ini cuma seminggu bersawang. Tapi di sebalik tajuk ini tersemat satu cerita yang tak dapat tidak mesti diceritakan kepada anda semua..

Jumaat minggu lepas kami ahli bait mendapat satu berita yang mengejutkan. Sedang kami berehat selepas makan tengahari, kami didatangi oleh dua orang arab. Salah seorangnya kami kenali. Kedatangan mereka mengubah segala-galanya rutin harian kehidupan kami..

"Aku datang ni nak potong internet" ujar Mohammad, pengendali internet rumah kami..

"Ha? Kan aku dah bayar internet untuk bulan ni?"
bantah salah seorang dari kami..

"Ya, betul. Aku dah terima duit tu, tapi aku kena potong jugak sebab ni arahan syarikat.." tambah Mohammad lagi sambil tangannya mencabut roater dan kabel yang berselerakan..

Kami akhirnya akur, walaupun ada yang masih tidak dapat menerima hakikat. Mungkin ada hikmahnya juga. Tatkala gendang imtihan syahadah (final exam) sedang rancak dipalu, terjadi perkara yang tak terduga sebegini. Barangkali Dia Yang Maha Mengetahui ingin kami para pelajar tahun akhir menumpukan sepenuhnya kepada imtihan yang bakal menjelang..

Mohammad dan rakannya pulang dengan memohon maaf kepada pihak kami atas perkara tersebut. Sebelum beredar, beliau memulangkan semula wang yang kami bayar kepadanya awal bulan tempoh hari..

Hari ini genap seminggu ketiadaan rangkaian internet di rumah kami. Sebab itu sejak akhir-kahir ini kalau ada berita-berita panas di Malaysia kami agak 'kelewatan' mendengarnya. Mujur ada seorang dua kawan yang dapat menarik (jangan baca mencuri) line melalui khidmat wireless pada laptop mereka..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, May 9, 2009

..Kes Ragut: Apa Puncanya?..

Saturday, May 9, 2009

Minggu ini Negara kita digemparkan dengan beberapa kes ragut yang menjadikan wanita sebagai mangsanya. Lebih menyedihkan, kesemua mangsa ragut terbabit menemui ajal gara-gara peragut yang tidak berhati perut dan berperi kemanusiaan itu..

Kes pertama berlaku di Johor di mana seorang ibu yang hamil 2 bulan telah diragut ketika menunggang motorsikal sehingga menyebabkannya terjatuh dan koma sebelum disahkan meninggal dunia dua hari kemudian. Kes yang sama juga berlaku di Kelantan, di mana mangsanya seorang ibu kepada 5 orang anak yang hamil 4 bulan juga diragut ketika menunggang motorsikal. Ibu malang ini kemudiannya terbabas dan dirempuh sebuah kereta menyebabkannya maut di tempat kejadian..

Lain pula dengan kes yang ketiga. Kes yang berlaku di Pulau Pinang ini melibatkan seorang nenek yang menjadi mangsa. Nenek berusia 80-an itu yang cuba menyelamatkan anaknya daripada menjadi mangsa ragut ditumbuk peragut tersebut sehingga menyebabkannya meninggal dunia..

Dua tahun lepas, kes ragut juga pernah berlaku di Kuala Terengganu. Mangsa seorang suri rumah yang menunggang motorsikal seorang diri diragut dan lebih menyedihkan mangsa turut ditendang dan dicederakan sehingga menyebabkannya koma dan menemui ajal beberapa jam kemudian..

Kes-kes jenayah sebegini tidak boleh dipandang ringan oleh kita selaku pelajar agama. Sebagai hamba Allah yang dikurniakan akal fikiran seharusnya kita berfikir apakah hikmah kejadian sekejam ini boleh berlaku di kalangan masyarakat kita dan apa pula puncanya sehingga mereka semakin berani meragut tanpa rasa takut dan bersalah?

Mutakhir ini, kita lihat di Malaysia semakin hari kes jenayah seperti ragut, rompakan, kecurian dan samun semakin hari semakin meningkat. Puncanya adalah tak lain tak bukan kerana tidak kembali kepada perintah Allah dan RasulNya di dalam Al-Quran dan Hadis. Jika kedua-duanya diambil dan diamalkan, nescaya Malaysia sudah lama aman dan bebas dari kes-kes jenayah yang sudah mencapai tahap kritikal ketika ini..

Alasannya hanya satu. Allah telah memerintahkan dalam Al-Quran supaya menjalankan hukum yang terkandung di dalamnya. Apabila ianya dijalankan nescaya manusia akan takut untuk melakukan jenayah yang sama kerana dari situ terdapat 'pencegahan dari Allah' sebagaimana terkandung dalam surah Al-Maidah, ayat 38..

Inilah akibat daripada mengamalkan sistem undang-undang tinggalan penjajah barat yang merupakan hasil ciptaan manusia. Sesuatu benda tidak boleh dibaiki dengan sesuatu yang sama. Manusia jika diperbetulkan dengan sistem manusia, nescaya manusia itu akan semakin rosak binasa. Begitu juga ibaratnya api, jika dipadamkan dengan api, nescaya semakin marak membakarlah api tersebut..

Sama-sama kita fikir dan renung sejenak demi menyelamatkan masyarakat kita dari terus terjerumus ke lembah dosa. Tak mustahil kejadian ini akan berulang lebih teruk lagi daripada yang berlaku hari ini. Sayangilah nasib anak bangsa kita demi agama yang sama-sama kita dokongi ini..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, May 6, 2009

..Kempen 'Amal Islami..

Wednesday, May 6, 2009


Dua tiga hari lepas, seorang sahabat baik saya melalui blognya yang diberi nama Kembara telah memberi satu tugasan. Ini bukan tag, tapi lebih kepada kempen untuk mempromosikan 'Amal Islami di samping mempromosikan blognya..

Tugasan yang diberikan cukup mudah. Copy dan pastekan gambar di atas pada blog yang telah dipilih (termasuk blog ini). Kemudian pilih 10 orang rakan-rakan bloggers dan sebarkan gambar tersebut supaya disiarkan dalam blog mereka pula..

10 orang yang menjadi pilihan saya;
  1. Aceh
  2. Doc Rubiah
  3. Doc Afzan
  4. Akh Tg Idham
  5. Akh Khairul Fitri
  6. Akh Hakim
  7. Akh Fahmi Che' Nordin
  8. Toqki
  9. Followers Cucu Dagang
  10. sesiapa saja yang berminat:)

Sebelum itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau atas anugerah yang diberikan sebelum ini (lihat award di sebelah). Harapanku semoga blog beliau akan terus menukilkan kalam-kalam mutiara demi survival ummah..

Bersempena dengan fatrah imtihan ini, mudah-mudahan kita semua diberikan taufiq dan pertolongan oleh Allah demi menggapai sebuah kejayaan. Semoga dirimu terus berbahagia bersama zaujah hingga ke syurga, ameen..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, May 4, 2009

..Pantasnya Masa Berlalu..

Monday, May 4, 2009


Sedar tak sedar hari ini sudah 4 Mei. Sungguh pantas masa berlalu. Pejam celik pejam celik lebih kurang sebulan lagi diriku bakal menduduki imtihan syahadah 2008/2009 yang dijadual bermula pada 3 Jun depan. Ini bermakna saya cuma ada 30 hari sahaja lagi untuk membuat pecutan terakhir demi melihat impian untuk mengenggam segulung ijazah tercapai..

Kalau dihitung dari 30 hari itu ianya teramatlah singkat. Ditolak dengan aktiviti seharian seperti makan minum, solat dan sebagainya. Itu belum dikira dengan 'berehat' di ruang kamar lagi. Seperti kata seorang sahabat junior, ''merehatkan tulang belakang di atas tilam''. Rehatlah kononnya, padahal lebih sudu dari kuah. Apa nak jadi dengan diriku ini..

Peluang masa yang berbaki di saat-saat genting sebegini harus digunakan sebaiknya. Saya amat tertarik dengan panduan dan tip-tip menjelang imtihan yang diberikan oleh Ustaz Hairul Nizam Mat Husain, mantan Presiden PMRAM 2007. Beliau merupakan antara pelajar cemerlang yang mendapat pangkat jayyid jiddan 3 tahun berturut-turut..

Kejayaan cemerlang beliau itu memberi tamparan hebat kepada mereka yang mendakwa 'berpersatuan boleh menjejaskan prestasi pembelajaran seseorang'. Ini dibuktikan sendiri oleh beliau sendiri yang merupakan orang nombor wahid dalam tanzim PMRAM yang mana sudah tentu banyak terlibat dengan pelbagai urusan baik dengan mahasiswa mahupun pihak luar..

Dalam tipnya itu beliau berpesan kepada para pelajar agar menguruskan waktu emas sebegini dengan sebaiknya. Tak dapat tidak kita mestilah mengorbankan waktu tidur berjam-jam dan menangguk di depan komputer dalam tempoh yang lama. Sepatutnya waktu-waktu tersebut boleh diisi dengan mentelaah madah bersama kawan-kawan..

Harapanku agar Allah Taala mempermudahkan segala urusan kami dalam menghadapi 'peperangan' yang bakal dihadapi awal Jun nanti. Mak, ayah, abang, adik-adikku, teman-temanku dan juga rakan-rakan yang hanya mengenaliku di alam maya ini sudilah kiranya mengirimkan sekuntum doa buatku agar dikurniakan kelapangan hati untuk menjawab. Buat sahabat-sahabat seperjuangan, berusahalah selagi masih ada waktu ini. Semoga Allah mengurniakan 'kemenangan' untuk kita dalam misi 'peperangan' yang bakal kita tempuh nanti, insya Allah..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, May 2, 2009

..Akhirnya..

Saturday, May 2, 2009


"Alhamdulillah.. Lega sungguh rasanya." Kedengaran satu suara yang melafazkan..

Itulah antara ungkapan yang kedengaran di markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) [MAQAZ] Shoubra malam Jumaat lalu. Ungkapan tersebut dilafazkan oleh sebahagian daripada 116 orang pelajar-pelajar tahun satu Takhassus Qiraat Shoubra bagi sesi pengajian 2008/2009. Mungkin sesetengah pembaca kurang faham apa kaitannya lafaz itu dengan mereka..

Sebenarnya yang menggembirakan mereka malam itu adalah kerana mereka telah berjaya mendapat kernih (kad pelajar) dan secara rasminya bergelar 'pelajar tahun satu Shoubra'. Semenjak mereka sampai kira-kira hampir 8 bulan yang lalu, nama mereka masih tidak muqayyad (naik secara rasmi) di pejabat Al-Azhar As-Syarif..

Pada malam tersebut saya bersama
Pengerusi dan Setiausaha Agung DPM berjaya menyelesaikan urusan sebahagian dari mereka. Petang keesokannya (semalam) saya dibantu pula oleh Timbalan Setiausaha Agung untuk menyelesaikan baki pelajar selebihnya sehingga memaksa kaunter dilanjutkan hingga selepas maghrib. Selain kernih, mereka juga dikehendaki mengisi borang pengesahan belajar (tasdiq) untuk urusan seterusnya seperti penyambungan iqamah (visa), permohonan bantuan zakat dan sebagainya..

Sebenarnya isu nama mereka lambat muqayyad ini bukan satu isu yang baru, bahkan telah dua tahun berlaku. Ketika saya mula-mula sampai di sini, nama kami dijangka muqayyad pada bulan Disember 2006, tapi jangkaan itu meleset sama sekali. Januari, Februari dan Mac 2007 baru nama kami muqayyad di Al-Azhar, alhamdulillah..

Begitu juga dengan generasi selepas kami. Seminggu sebelum peperiksaan baru nama mereka muqayyad! Dari situ berlaku kekalutan kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan segera. Dan seperti yang dijangka, tahun ini pasti lebih lewat dari tahun-tahun sebelumnya. Ini ternyata sekali selepas nama mereka baru muqayyad minggu ini tatkala mereka semua telah selesai menjalani imtihan syafawi (ujian lisan)..

Dalam soal ini tidak perlu disalahkan sesiapa, baik pihak kedutaan, mahupun Al-Azhar sendiri. Mungkin mereka sudah melakukan yang terbaik sedaya upaya seperti yang telah diamanahkan. Tetapi jika difikirkan balik kami pelajar-pelajar Qiraat seolah-olah dianak tirikan. Lihat saja sekatan-sekatan yang dipinda oleh sesetengah 'pihak' (sebagai contoh sijil tak diiktiraf) semacam mahu menyusahkan lepasan dari Shoubra. Ini berbeza sekali dengan pelajar-pelajar yang bukan dari bidang agama..

Masalah yang besar ditanggung oleh pelajar-pelajar baru dalam hal ini adalah mereka menetap di sini seolah-olah seperti pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki visa pelajar. Visa pelancong mereka telah tamat penghujung tahun lalu dan syarat untuk menyambung visa pelajar mestilah menunjukkan surat tasdiq dari tempat pengajian atau kuliah..

Alhamdulillah, hari ini berkat doa dan usaha semua pihak akhirnya segala-galanya telah selesai. Mereka boleh bebas berjalan ke mana-mana selepas ini tanpa rasa takut kerana ketiadaan iqamah. Mereka juga boleh menjawab peperiksaan dengan tenang tanpa ada perasaan bimbang lagi. Pagi tadi juga mereka telah selesai menjawab satu kertas madah Qiraat 'Ilmi. Mudah-mudahan diberi taufiq dan petunjuk oleh Allah Taala dalam menempuh segala ujian di dunia ini..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, May 1, 2009

..Kita di Tahap Mana?..

Friday, May 1, 2009


Bertemu kembali di ruangan tazkirah Fajar Jumaat pada minggu ini. Kali ini Fajar Jumaat ingin mengajak sahabat-sahabat menilain kembali tentang status diri kita selaku seorang hamba yang diamanahkan oleh Allah Taala untuk menuntut ilmu sekaligus menjaga dan mengamalkannya..

Selaku seorang yang bergelar tolibul 'ilmi ini seharusnya kita mestilah memelihara ilmu yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada kita. Ilmu juga bukan hanya untuk difahami seorang diri sahaja tanpa menyebarkannya kepada orang lain. Bahkan skop bidang tugas kita selaku penuntut ilmu adalah lebih daripada itu..

Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik dalam perkara ini. Baginda yang pada asalnya merupakan seorang yang buta huruf namun akhirnya mampu mengusai ilmu dan menyampaikannya pula kepada penduduk Mekah ketika itu sehingga baginda berjaya menubuhkan kerajaan Islam pertama di Madinah selepas tersebarnya ajaran Islam..

Baginda telah mengklasifikasikan penuntut ilmu kepada 3 golongan dan membandingkan mereka dengan tanah;

1. Tanah yang gembur. Apabila menerima air hujan, tanah ini akan menyerap air tersebut dan daripadanya tumbuhlah pelbagai jenis tanaman yang menghasilkan buah-buahan yang manis dan enak dimakan. Ini adalah perumpaan orang yang menerima ilmu dan mengambil ilmu itu untuk dirinya dan mengajarkannya pula kepada orang lain bagi melahirkan generasi berilmu dan bermanfaat kepada masyarakat..

2. Tanah yang dapat menakung air, tetapi air itu tidak meresap ke dalam tanah dan tidak dapat digunakan oleh tumbuh-tumbuhan. Ini umpama orang yang menerima ilmu tetapi mereka menyimpan ilmu itu untuk diri sendiri dan tidak dapat memberi manfaat kepada orang lain..

3. Tanah yang amat keras permukaannya dan langsung tidak dapat menerima air hujan. Air hujan yang jatuh ke atasnya tidak akan diserap malah akan terus mengalir ke dalam longkang. Ini umpama orang yang langsung tidak menuntut ilmu maka jadilah mereka orang yang jahil dan tidak dapat memberikan manfaat kepada dirinya apatah lagi kepada orang lain. Inilah yang paling ramai dalam masyarakat kita pada hari ini..

Cuba kita koreksi bersama, kita tergolong dari golongan mana? Kalau yang pertama alhamdulillah, kalau yang kedua kita mestilah sedaya upaya untuk menjadi yang pertama. Di samping itu minta dijauhkan daripada kita tergolong di kalangan golongan yang ketiga. Mudah-mudahan kita semua dapat menjadi orang yang memberi manfaat kepada masyarakat. Wallahu a'lam..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP