Monday, August 31, 2009

..Melayan kerenah murid..


Semalam merupakan hari pertama saya di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang. Saya diminta mengajar subjek Agama Islam dan Pendidikan Seni bagi semua murid Tahun 4. Pada sebelah petang pula saya mengajar Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) di situ. Bermakna sehari suntuk saya berada di sekolah kecuali hari Selasa dan Khamis kerana kelas KAFA hanya tiga hari seminggu.

Walaupun agak letih melayan seribu macam kerenah murid-murid dari pagi sampai ke petang, tapi saya berasa cukup puas kerana inilah cabaran yang mesti dilalui oleh seseorang yang ingin bergelar pendidik. Mungkin pengalaman sebelum ini agak berbeza. Sebelum ini saya pernah mengajar selama 4 bulan di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang (dahulu dikenali sebagai KIST), dan hanya mentasmi' Al-Quran bagi pelajar tingkatan 1 di samping mengajar madah arab (seperti Nahu, Sorof, Hadis, Tajwid dll) serta madah Bahasa Arab Komunikasi (BAK) bagi pelajar tingkatan 3.

Berhadapan dengan pelajar sekolah menengah berbeza dengan pelajar sekolah rendah. Pelajar sekolah rendah memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Ini kerana mereka masih lagi tercari-cari arah mana yang mereka hendak pilih lebih-lebih lagi murid di kelas belakang yang agak ketinggalan. Bagi murid kelas belakang, guru mestilah tegas dalam masa yang sama berlemah lembut agar murid tidak mudah 'naik atas kepala' guru. Berlemah lembut agar mereka tidak mudah terasa dan bimbang jika guru terlalu tegas akan mengundang kebencian mereka kepada guru.

'Ala kulli hal sudah menjadi fitrah kanak-kanak bersifat sebegitu. Tidak dinamakan manusia jika tidak bersifat nisyan (lupa). Begitu juga dengan kanak-kanak. Tidak dinamakan kanak-kanak jika tidak bersifat nakal. Mujur saya sudah biasa dengan kerenah anak-anak murid seusia ini, jadi ianya dapat mengurangkan tekanan dalam diri saya. Mudah-mudahan anak-anak itu akan menjadi insan berguna suatu hari kelak.
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, August 24, 2009

..Seminggu di tanah air..


Alhamdulillah, hari ini sudah genap seminggu keberadaanku di bumi bertuah ini. Kepulanganku disambut oleh semua ahli keluarga walaupun pada tarikh tersebut merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pasir. Ayah terpaksa melewatkan perancangannya untuk bertugas di sana kerana menyambutku pulang..

Sepanjang tempoh seminggu ini, banyak perkara suka dan duka yang telah berlaku. Selepas sehari tiba di sini, keesokan harinya keluar bersama ayah ke pejabat BPPNT di Taman Seri Intan. Sudah sekian lama tidak berkunjung di sini. Kebetulan adik-adik lepasan SMAASZA Batu Burok berkhidmat di situ sementara melanjutkan pengajian ke Mesir. Gembira dapat bertemu dan berbual dengan mereka. Yang mengagumkan, ada di antara mereka yang menolak tawaran pinjaman Yayasan Terengganu (YT) walaupun mereka diterima untuk mendapat pinjaman tersebut..

Setibanya di rumah petang itu saya mendapat panggilan daripada Guru Besar SK Pasir Panjang. Beliau menanyakan saya samada ingin menjadi guru ganti di sekolahnya memandangkan seorang ustazah di situ yang cuti bersalin selama dua bulan. Tanpa berfikir panjang saya terus menerima pelawaan Guru Besar tadi. Beliau meminta saya datang berjumpa dengannya di sekolah pagi esok..

Setelah berbincang dan meneliti sijil-sijil akademik saya, beliau meminta saya ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan ke Menara Yayasan Islam Terengganu untuk berjumpa pegawai di sana. Saya dimaklumkan akan mula mengajar bermula 30 Ogos ini (selepas sesi persekolahan dibuka)..

Pulang ke rumah petang itu saya mula rasa tak sedap badan. Tubuh saya panas macam orang demam. Sehingga tak dapat bangun ke surau malam itu. Pagi esoknya pergi berjumpa doktor dan alhamdulillah saya hanya demam biasa. Mungkin saya terlalu berjemur panas sehari dua ini menyebabkan mudah dijangkiti demam. Dua hari berehat di rumah sebelum Ramadhan menjelang. Hanya terlantar bertemankan ubat dan tidak keluar rumah..

Malam 1 Ramadhan saya sudah pulih sepenuhnya. Mujur dapat naik imam terawih malam itu, kalau tidak mungkin akan menghampakan harapan jemaah di sini. Malam keesokannya di Masjid Kg Batin dan begitulah berselang hari antara Surau Al-Mawaddah dan Masjid Kg Batin, Seberang Takir..

Terkilan juga tak dapat membantu sahabat-sahabat di Permatang Pasir. Di saat ayah, abang dan adik-adik lelaki turun berjuang di sana, saya diminta untuk menjaga 'kubu' di sini. Insya Allah PRK selepas ini saya tekad untuk turun membantu. Sama-sama kita berdoa agar Allah memberikan kemenangan kepada Islam di sana..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, August 16, 2009

..Catatan ringkas..

Saya sekarang sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air. Bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah jam 12.30 tengahari semalam (waktu Mesir) dan kini sudah selamat sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura..

Kurang dua jam lagi akan bertolak ke Kuala Lumpur dan terus ke Kuala Terengganu. Saya dijangka sampai di Lapangan Terbang (separuh) Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu jam 3.45 petang ini..

Doakan perjalanan saya selamat. Kepada sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan bertemu di mator (airport) pagi semalam, saya memohon ampun dan maaf sepanjang mengenali antum. Insya Allah panjang umur kita bertemu lagi. Kalau tidakk sempat pun, insya Allah mudah-mudahan Allah mempertemukan kita di syurga yang abadi kelak, ameen..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, August 14, 2009

..Kejohanan Futsal Piala Mudir '09..


Blog ini dibiarkan sepi lagi buat kesekian kalinya. Walaupun MAT DPM [MAQAZ] Shoubra sudah berakhir, namun tidak bermakna gerak kerja Islam terhenti setakat itu sahaja, malah ianya akan berterusan walaupun ketika kita di tampuk pimpinan ataupun sebagai ahli biasa. Setiap orang mempunyai peranan masing-masing dalam membantu gerak kerja dakwah ini, sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah Al-Israa' ayat 84 yang bermaksud;

"Katakanlah: Masing-masing bekerja mengikut bentuk (bakatnya). Tuhanmu lebih mengetahui orang yang mendapat jalan yang lebih baik"

Post kali ini ingin mempromosikan sedikit berkenaan program yang bakal dianjurkan oleh Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT). Insya Allah, PLPDT melalui Biro Sukan, Kesenian & Kebudayaan akan menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Mudir pada 21 Ogos ini. Lokasi yang menjadi pilihan bagi program ini adalah Padang Futsal Tok Jembal (berhampiran asrama UMT). Penyertaan dibuka kepada semua ahli dan lepasan Madrasah Darul Taqwa, Batu Enam..

Walaupun ianya diadakan sehari sebelum Ramadhan, namun saya yakin dan percaya ramai sahabat-sahabat di luar sana yang akan menyertai kejohanan ini. Menariknya, kejohanan ini juga bakal dihadiri oleh pemain bola sepak terkenal, Tengku Alias Tengku Ibrahim. Beliau merupakan bekas pemain Kebangsaan serta pernah bermain bersama skuad Terengganu dan PKNS dalam Liga Malaysia. Beliau juga adalah bekas anak didik Darul Taqwa. Ketika bersekolah di situ saya sempat bersamanya 2 tahun dan ketika itu seingat saya beliau dilantik sebagai haris (pengawas) sekolah..

Kepada sahabat-sahabat yang berminat, bolehlah mendaftarkan pasukan anda dengan bayaran hanya RM30 sebelum 17 Ogos ini. Insya Allah, jika tiada aral saya juga akan bersama kalian kerana sudah terlalu lama tidak bertemu teman-teman seperjuangan di Darul Taqwa. Kepada yang berminat bolehlah menghubungi nama-nama di bawah untuk pendaftaran;
  • Wan Nasaruddin (Adik Ru) (0199570032)
  • Mohd Jalani Mamat (0135967620)
  • Mohd Ridhuan Abd Karim (0137002462)
  • Abd Rahman Awang (0139858232)
  • Khairi Yunus (0139043446)
Sebarang pertanyaan dan masalah sila hubungi;
  • Abd Rahman (0139858232)
  • Amirluddin (0139044920)
  • Shahril Alim (0199086002)
Semoga ukhuwah kita dapat diribat dalam kejohanan ini nanti. Ingat, bola dirembat, ukhuwah diribat!
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, August 4, 2009

..Patah tumbuh hilang berganti..


Alhamdulillah, semalam telah berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Perwakilan Mahasiswa [MAQAZ] Shoubra bagi kali ke-17. MAT pada tahun ini diadakan gilang-gemilang kerana turut diadakan Majlis Anugerah Mahasiswa Cemerlang. Ianya sebagai tanda penghargaan DPM kepada ahli-ahli yang telah berjaya dalam imtihan baru-baru ini. Turut diadakan juga Pameran Galeri DPM sepanjang sesi 2008/2009 dan pameran berkenaan ilmu Qiraat di bahagian belakang dewan..

Dengan tema 'Muhasabah Teras Keutuhan Jamaah', hasil penilaian dan koreksi yang dilakukan oleh ahli dilihat mampu membawa DPM ke arah yang lebih baik pada sesi depan (2009/2010). MAT kali ini juga menerima banyak usul akan tetapi hanya satu usul yang diterima untuk dibahaskan iaitu usul yang berbunyi "Seluruh ahli dan kepimpinan dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan markaz baru sebelum penghujung tahun ini". Memandangkan markaz DPM yang sudah uzur dan tidak cukup untuk menampung sejumlah 150 ahli dalam satu-satu masa, nescaya wajar usul tersebut diterima dan dilaksanakan demi keselesaan ahli..

Sebelum penutup, majlis penyampaian hadiah diadakan bagi mengenang jasa mantan-mantan AJKT dan ad-hoc pelaksana. Berikut adalah anugerah yang disediakan untuk AJKT;
  • AJKT paling prihatin : Mohd Azrol Abu Bakar (UP)
  • AJKT paling kreatif : Abdul 'Alim Zakaria (UPP)
  • AJKT paling ceria : Nur Ahmad Wafiy Noor Azri (TSU)
  • AJKT paling rajin : Mohammad Mukhlis Sabri (Timb. Pengerusi)
  • AJKT paling thabat : Mohammad Anuar Roseli (Pengerusi)
Saya mengucapkan tahniah dan takziah kepada AJKT baru yang terpilih bagi memimpin DPM untuk sesi 2009/2010. Juga buat sahabat-sahabat AJKT lama yang masih kekal di tampuk kepimpinan, semoga dapat menjalankan amanah dengan baik demi kesinambungan survival DPM dapat diteruskan..

Sedikit pesanan saya untuk sahabat-sahabat yang bakal meneruskan amal-amal Islami dalam DPM;
  1. Ukhuwah - perlu menjaga ukhuwah di kalangan sesama AJKT agar memudahkan segala gerak kerja dalam persatuan. Sentiasa berlapang dada, banyakkan bersabar dan elakkan daripada terasa dengan sikap dan perangai sahabat. Hidup berpersatuan ini mengajar kita agar tidak terasa dan yang paling penting kita mesti korbankan perasaan kita demi kepentingan sahabat-sahabat, ahli dan persatuan itu sendiri.
  2. Jaga amanah - Sesungguhnya taklifan ini adalah satu pemilihan dari Allah s.w.t dan Allah yakin antum semua mampu menggalasnya. Berpeganglah pada ayat terakhir Surah Al-Baqarah, nescaya kita akan merasa kuat dan tidak berkeseorangan serta yakin Allah tetap bersama membantu kita dalam melakukan gerak kerja ini.
  3. Time management - Apabila kita dilantik menjadi pimpinan, nescaya masa kita sedikit sebanyak akan berkurangan. Oleh itu kita mesti pandai membahagi masa kerana kita bukan sahaja bertanggungjawab sebagai pimpinan, bahkan kita juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar di sini iaitu sebagai seorang pelajar. Jangan kita jadikan alasan bekerja dalam persatuan ini untuk tidak berjaya dalam imtihan. Sepatutnya inilah peluang terbaik untuk kita mengurus masa dengan sebaiknya agar tidak timbul fitnah ahli terhadap prestasi kita.
Selamat bertugas untuk barisan AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sesi 2009/2010 di bawah teraju Pengerusi, Ustaz Muhammad Naim Hassan. Kepada ahli DPM, berikanlah sepenuh ketaatan dan kepatuhan kepada barisan kepimpinan yang baru demi melihat bumi Shoubra terus subur dengan biah yang solehah..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP