Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Wednesday, January 20, 2010

..Update..


Terkejut! Itulah yang dapat diungkapkan tatkala melihat blog list dalam blog-blog yang turut memaparkan blog ini. Tiga ayat yang tercatat di situ. Catatan Perjuangan (nama blog), Hakikat Perjuangan (posting terakhir) dan 3 months ago. Ayat terakhir itulah yang membuatkan diri ini terkejut. Mafhum mukholafahnya, blog ini dibiarkan sepi lagi untuk kali yang seterusnya.

Apa lagi alasan yang nak diberikan untuk memujuk hati para pembaca blog ini. Yang pasti semua alasan tidak boleh dijadikan sebab musabab blog ini terus ketandusan dari tugas utamanya iaitu 'memberi' dan terus memberi sesuatu untuk pembaca. Kita tidak lagi boleh menyalahkan kekangan masa kerana pepatah Melayu ada menyebut 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Kadang-kadang banyak masa dihabiskan untuk perkara-perkara tidak berapa penting. Kadang-kadang pula program banyak menjadikan banyak cerita dan idea yang hendak dikongsi dengan para pembaca, tapi jari pula enggan memberi kerjasama.

Ala kulli hal, diharapkan dengan posting pertama di tahun baru 1431 hijrah dan 2010 masihi ini menjadi nafas baru kepada blog ini dalam menyampaikan maklumat, risalah dan dakwah kepada para pembaca di luar sana.

Kesempatan yang terbatas ini juga saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat hari lahir yang ke 48 buat mak. Semoga mak bahagia dan panjang umur untuk terus menjadi hambaNya yang solehah. Terima kasih atas tarbiah, teguran, nasihat dan leteran mak sehingga Alim berjaya hari ini. Alim sayang mak!

p/s: mabruk buat sahabatku, Akh Syamshul dan Ukht Mursyidah atas kelahiran mujahidah comel penyeri hidup.
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, August 24, 2009

..Seminggu di tanah air..


Alhamdulillah, hari ini sudah genap seminggu keberadaanku di bumi bertuah ini. Kepulanganku disambut oleh semua ahli keluarga walaupun pada tarikh tersebut merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pasir. Ayah terpaksa melewatkan perancangannya untuk bertugas di sana kerana menyambutku pulang..

Sepanjang tempoh seminggu ini, banyak perkara suka dan duka yang telah berlaku. Selepas sehari tiba di sini, keesokan harinya keluar bersama ayah ke pejabat BPPNT di Taman Seri Intan. Sudah sekian lama tidak berkunjung di sini. Kebetulan adik-adik lepasan SMAASZA Batu Burok berkhidmat di situ sementara melanjutkan pengajian ke Mesir. Gembira dapat bertemu dan berbual dengan mereka. Yang mengagumkan, ada di antara mereka yang menolak tawaran pinjaman Yayasan Terengganu (YT) walaupun mereka diterima untuk mendapat pinjaman tersebut..

Setibanya di rumah petang itu saya mendapat panggilan daripada Guru Besar SK Pasir Panjang. Beliau menanyakan saya samada ingin menjadi guru ganti di sekolahnya memandangkan seorang ustazah di situ yang cuti bersalin selama dua bulan. Tanpa berfikir panjang saya terus menerima pelawaan Guru Besar tadi. Beliau meminta saya datang berjumpa dengannya di sekolah pagi esok..

Setelah berbincang dan meneliti sijil-sijil akademik saya, beliau meminta saya ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan ke Menara Yayasan Islam Terengganu untuk berjumpa pegawai di sana. Saya dimaklumkan akan mula mengajar bermula 30 Ogos ini (selepas sesi persekolahan dibuka)..

Pulang ke rumah petang itu saya mula rasa tak sedap badan. Tubuh saya panas macam orang demam. Sehingga tak dapat bangun ke surau malam itu. Pagi esoknya pergi berjumpa doktor dan alhamdulillah saya hanya demam biasa. Mungkin saya terlalu berjemur panas sehari dua ini menyebabkan mudah dijangkiti demam. Dua hari berehat di rumah sebelum Ramadhan menjelang. Hanya terlantar bertemankan ubat dan tidak keluar rumah..

Malam 1 Ramadhan saya sudah pulih sepenuhnya. Mujur dapat naik imam terawih malam itu, kalau tidak mungkin akan menghampakan harapan jemaah di sini. Malam keesokannya di Masjid Kg Batin dan begitulah berselang hari antara Surau Al-Mawaddah dan Masjid Kg Batin, Seberang Takir..

Terkilan juga tak dapat membantu sahabat-sahabat di Permatang Pasir. Di saat ayah, abang dan adik-adik lelaki turun berjuang di sana, saya diminta untuk menjaga 'kubu' di sini. Insya Allah PRK selepas ini saya tekad untuk turun membantu. Sama-sama kita berdoa agar Allah memberikan kemenangan kepada Islam di sana..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, June 23, 2009

..Dedikasi untuk daddy..

Saya kira masih tidak terlalu lewat untuk saya merakamkan ucapan penghargaan kepada insan yang telah banyak berkorban untuk saya selain daripada mak. Tak lain tak bukan itulah ayah. Saya hanya punya satu ayah di dunia ini, tiada dua. Saya amat bertuah bergelar anaknya. Itulah dia Ustaz Zakaria Dagang..

Ayah sememangnya seorang yang amat tegas dalam mentarbiah anak-anak. Walaupun tubuh kami sering saja pedih terkena penangan rotan ayah, akan tetapi itulah satu-satunya method yang mampu menyedarkan kami akan erti sebuah kasih sayang. Memang benar kata orang, benci tanda sayang. Walaupun raut mukanya merah menahan marah, jauh di sudut hatinya ayah amat menyayangi anak-anaknya..

Lihat saja apa yang telah dicapai oleh anak-anaknya hari ini. Mana mungkin kejayaan anak-anaknya tercapai tanpa merasai tarbiah sebegitu hebat. Ayah mahukan anak-anaknya berjaya dalam syakhsiah dan akhlaq di samping kejayaan dalam bidang akademik. Masih ku ingat lagi pesanan ayah ketika usrah keluarga mingguan di rumah, "biarlah keluarga kita jadi contoh kepada orang lain. Ayah nak anak-anak ayah ada prinsip hidup dan bukannya terikut-ikut dengan kawan-kawan lain." Itulah kata-kata keramatnya pada kami..

Ayah lebih banyak menggunakan kaedah 'tarbiah dalam diam'. Bukan seperti sesetengah orang yang memaki hamun dan memarahi anaknya. Apa yang paling terkesan di hati kami ialah ayah sering mengunci pintu rumah sebaik saja hampir masuk waktu maghrib ketika kami dilekakan dengan permainan bola sepak di padang berhampiran rumah. Kerana ayah sering berpesan, "10 minit sebelum orang bang (azan) berhenti main dan bersiap untuk ke surau". Ayah hanya berpesan sekali saja. Kalau lambat bersiap, alamatnya bersedialah untuk 'disoal siasat' selepas ayah pulang dari mengajar di surau atau masjid..

Itu kisah ketika kami masih kecil. Kini ayah boleh berbangga dengan anak-anaknya yang sering mengikutnya ke surau masjid. Bukan senang ingin mengajak kelima-lima anak lelaki untuk ke masjid dan surau lebih-lebih lagi anak-anak yang sudah besar panjang. Tapi ayah mampu melakukannya hasil tarbiah yang diberikan kepada kami sejak kami di peringkat 'rebung' lagi. Yang paling penting ayah ingin mewakafkan kesemua anak-anaknya untuk perjuangan Islam..

Ayah tidak pernah mengecewakan kami. Apa saja permintaan kami dipenuhinya walaupun kehidupan kami tidak sesenang orang lain. Ayah pasti mengotakan janjinya untuk kami. Ayah sanggup berkorban wang ringgit demi anak-anak. Biarlah ayah tak merasa asalkan anak-anaknya gembira. Terharu melihat kesungguhan ayah menghantarku sehingga ke KLIA ketika mula-mula menjejakkan kami ke bumi orang ini. Ayah sanggup membeli tiket di saat-saat akhir demi memberikanku semangat untuk berjuang di negeri orang..

Perasaanku ini terlalu rindukanmu ayah. Rindukan kalam-kalam mau'izah dan tasyji' darimu. Rindukan suasana meriah bersama keluarga kita. Rindu juga untuk menjadi drivermu tatkala ayah sibuk berceramah dan berprogram di sana sini. Tiap kali bila berjauhan begini perasaan-perasaan itu sering bermain di hati ini. Lantas saya memutarkan lagu ini untuk menenangkannya. Terimalah lagu ini khas buatmu ayah..



Ayah bersama mak dan Piyah ketika penamaan calon PRK Bukit Gantang

Pasangan paling ideal ketika selesai proses penamaan calon PRK Kuala Terengganu

Menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak miskin di Kemboja

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, May 23, 2009

..Hari Itu..


Bulan Mei mempunyai hari-harinya yang tersendiri. Di dalamnya terdapat hari-hari penting bagi tujuan memperingati mereka-mereka yang sentiasa berjasa dalam kehidupan manusia. Bermula dari 1 Mei iaitu hari pekerja, kemudian disusuli dengan hari ibu pada 10 Mei. Seterusnya selang dua hari menyusul pula hari jururawat pada 12 Mei dan hari guru yang disambut pada 16 Mei saban tahun..

Ramai di kalangan kita yang mengingati tarikh-tarikh keramat ini. Tak kurang juga yang tidak sabar-sabar menanti hari-hari tersebut bagi memberi penghargaan kepada insan-insan istimewa yang pernah berjasa sepanjang hidup mereka..

Dalam pada itu, terdapat satu hari dalam bulan ini yang sudah pasti tak akan dilupakan oleh diriku. Tarikhnya ialah pada 15 Mei. 21 Tahun yang lalu, pada tanggal tarikh tersebut kira-kira jam 2.58 petang telah lahir seorang bayi dari rahim ibunya di sebuah rumah di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir. Bayi tersebut diberi nama Abdullah Haris..

Itulah adik yang lahir selepasku yang merupakan kelahiran ketiga ibuku. Pada 15 Mei baru-baru ini genaplah usianya 21 tahun yang membolehkannya menjadi pemilih yang sah dalam pilihan raya. Bertambahlah seorang lagi pengundi di DUN N.11 Seberang Takir, Parlimen P.35 Kuala Nerus..

Beliau memang seorang yang berbakat dalam kepimpinan lebih-lebih lagi ketika beliau belajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang (SMASZAL) dan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Burok. Bakatnya dalam bidang penyampaian memang tak dapat dinafikan lagi. Beliau sering menjadi johan dalam musabaqah tafsir dan pidato bahasa arab pada majlis Ihtifal Ilmi Sanawi Sekolah-sekolah Menengah Agama Terengganu anjuran Jabatan Hal Elwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Karnival Soleh Pintar anjuran Yayasan Terengganu (YT)..

Selain itu, beliau sudah acap kali menjadi pengganti ayah mengajar di surau dan masjid termasuk di luar kawasan Seberang Takir ketika kesibukannya. Beliau sangat bercita-cita untuk menjadi pemimpin seperti ayah. Walaupun kadang-kadang penyampaian beliau agak 'pedas' dan 'sakit telinga' didengar oleh sesetengah orang, namun ianya mampu memberi kesan yang mendalam terhadap pendengar..

Beliau mencetuskan kontroversi terhangat dua tahun lalu apabila permohonannya untuk mendapat pinjaman dari Yayasan Terengganu ditolak mentah-mentah. Tiada sebarang alasan yang kukuh diberikan melainkan jawapan "dukacita tidak dapat dipertimbangkan dan
ditolak". Sepatutnya Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Terengganu 2006 sepertinya ditawarkan biasiswa penuh dan tidak perlu memohon dari mana-mana pihak..

Kini berkat doa ibu dan ayah, beliau berjaya menyambung pengajiannya di universiti tertua di dunia, Al-Azhar hasil bantuan orang ramai yang bersimpati. Ramai yang merasa hairan dengan keluarga kami apabila memikirkan bagaimana ayah membiayai pengajian dan belanja kami dua beradik di sini walaupun pendapatan ayah cuma cukup-cukup untuk membayar pinjaman sewa-beli rumah. Jawapannya mudah. "Tidak akan miskin jika membela Islam". Satu ungkapan yang menggambarkan pengorbanan Halimatus Sa'diah dalam membela anak susuannya, Muhammad s.a.w..


Kini beliau bersama-samaku berjuang di bumi kinanah ini. Sekarang beliau sedang hebat 'berperang' dengan imtihan fasal (semester) kedua bagi sesi pengajian tahun 2 Kuliyyah Syari'ah Islamiyyah, Kaherah. Didoakan semoga beliau diberi ketenangan dalam menjawab dan dikurniakan oleh Allah s.w.t kejayaan yang cemerlang..

Sempena dengan ulang tahun kelahiranmu ini, Ablem doakan semoga Areh dipanjangkan umur dalam keberkatan dan dimurahkan rezeki yang halal. Yang penting pastikan kuantiti umur seiring dengan kualiti amal. Semoga terus
thabat dalam mehnah dan liku-liku perjuangan..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, May 4, 2009

..Pantasnya Masa Berlalu..

Monday, May 4, 2009


Sedar tak sedar hari ini sudah 4 Mei. Sungguh pantas masa berlalu. Pejam celik pejam celik lebih kurang sebulan lagi diriku bakal menduduki imtihan syahadah 2008/2009 yang dijadual bermula pada 3 Jun depan. Ini bermakna saya cuma ada 30 hari sahaja lagi untuk membuat pecutan terakhir demi melihat impian untuk mengenggam segulung ijazah tercapai..

Kalau dihitung dari 30 hari itu ianya teramatlah singkat. Ditolak dengan aktiviti seharian seperti makan minum, solat dan sebagainya. Itu belum dikira dengan 'berehat' di ruang kamar lagi. Seperti kata seorang sahabat junior, ''merehatkan tulang belakang di atas tilam''. Rehatlah kononnya, padahal lebih sudu dari kuah. Apa nak jadi dengan diriku ini..

Peluang masa yang berbaki di saat-saat genting sebegini harus digunakan sebaiknya. Saya amat tertarik dengan panduan dan tip-tip menjelang imtihan yang diberikan oleh Ustaz Hairul Nizam Mat Husain, mantan Presiden PMRAM 2007. Beliau merupakan antara pelajar cemerlang yang mendapat pangkat jayyid jiddan 3 tahun berturut-turut..

Kejayaan cemerlang beliau itu memberi tamparan hebat kepada mereka yang mendakwa 'berpersatuan boleh menjejaskan prestasi pembelajaran seseorang'. Ini dibuktikan sendiri oleh beliau sendiri yang merupakan orang nombor wahid dalam tanzim PMRAM yang mana sudah tentu banyak terlibat dengan pelbagai urusan baik dengan mahasiswa mahupun pihak luar..

Dalam tipnya itu beliau berpesan kepada para pelajar agar menguruskan waktu emas sebegini dengan sebaiknya. Tak dapat tidak kita mestilah mengorbankan waktu tidur berjam-jam dan menangguk di depan komputer dalam tempoh yang lama. Sepatutnya waktu-waktu tersebut boleh diisi dengan mentelaah madah bersama kawan-kawan..

Harapanku agar Allah Taala mempermudahkan segala urusan kami dalam menghadapi 'peperangan' yang bakal dihadapi awal Jun nanti. Mak, ayah, abang, adik-adikku, teman-temanku dan juga rakan-rakan yang hanya mengenaliku di alam maya ini sudilah kiranya mengirimkan sekuntum doa buatku agar dikurniakan kelapangan hati untuk menjawab. Buat sahabat-sahabat seperjuangan, berusahalah selagi masih ada waktu ini. Semoga Allah mengurniakan 'kemenangan' untuk kita dalam misi 'peperangan' yang bakal kita tempuh nanti, insya Allah..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, April 18, 2009

..Keistimewaan Darah O..

Saturday, April 18, 2009


Usai solat subuh dan bacaan ma'thurat sempena qiam dan munajat mingguan semalam, pengerusi menjemput salah seorang sahabat tahun 1 bagi menyampaikan tazkirah subuh. Dalam tazkirahnya pagi itu beliau menghuraikan ayat 107 hingga 111 dari Surah At-Taubah..

Beliau bercerita tentang kronologi peristiwa penubuhan Masjid Dhirar oleh puak-puak munafiqin ketika itu. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa pentingnya kita bersatu di dalam jemaah ataupun persatuan yang ada dan betapa bahayanya menubuhkan jemaah lain yang pastinya akan membawa perpecahan dan kemurkaan Allah..

Apa yang menarik dalam tazkirahnya pagi itu, beliau sering mencelah dengan menyampaikan satu dua cerita supaya sahabat-sahabat pendengar tidak mengantuk. Salah satu cerita yang dibawa ialah tentang seorang kawannya yang agak istimewa..

Beliau hairan kenapa kawannya itu sepanjang keberadaan di bumi Mesir ini tidak pernah sekali pun terkena 'serangan' ataupun gigitan pijat. Pijat merupakan sejenis serangga yang sama seperti kutu iaitu menghisap darah. Akan tetapi kelebihannya ialah ianya mampu menghisap seluruh badan manusia berbanding kutu yang hanya kawasan sasarannya di kepala..

Setelah diselidik rupa-rupanya beliau mendapat tahu bahawa kawannya itu berdarah jenis O. Beliau dan rakan-rakan yang lain agak jelous kerana mereka sering saja menjadi mangsa gigitan pijat..

Setelah mendengar cerita ini barulah aku faham kenapa selama hampir 3 tahun aku di perlembahan Nil ini seekor pijat pun tidak berani menghisap darahku. Acap kali berlaku ketika tidur kawanku di sebelah langsung tak lena disebabkan menggaru-garu gatal gara-gara 'parasit' tadi sedangkan diriku nyenyak tidur tanpa gangguan..

Mungkin juga betul apa yang dikatakan itu. Samada ianya secara kebetulan ataupun tidak yang pasti bagi mereka yang berdarah O sepertiku dan juga sahabat tadi mampu tidur dengan lena tanpa diganggu..

Selain itu darah O juga boleh didermakan kepada sesiapa saja tanpa mengira jenis darah. Sepanjang hayatku baru sekali aku menderma darah iaitu pada bulan Ramadhan 1428 H sebaik saja selepas terawih. Ini jauh sekali dengan ayah yang sudah berpuluh kali menderma tetapi darahnya tidak boleh diderma sebarangan kerana berjenis O negatif yang hanya diperlukan pihak hospital ketika kecemasan sahaja..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, April 13, 2009

..Anugerah..

Tuesday, April 14, 2009


Kelmarin, blog ini menerima anugerah lagi. Anugerahnya lebih kurang sama seperti yang pernah diberikan oleh blog Buku Nota awal bulan baru-baru ini. Cuma kali ini ianya datang dari blog Jiwa Terasing iaitu adikku sendiri yang kupanggil Aceh..

Aceh telah membuat analisa tentang perjalanan blognya (Jiwa Terasing) sepanjang 4 bulan pertama sejak mendaftar menjadi blogger. Kalau dalam Buku Nota blog ini mendapat tempat pertama dalam pengunjung paling kerap, tapi di blog Jiwa Terasing pula blog ini di tempat yang ke dua.
(Rujuk gambar di gadget sebelah kanan)..

Blognya pada pendapatku amat hebat. Kenapa? Kerana walaupun baru berusia beberapa bulan, tapi kenalan bloggernya sudah mencecah puluhan orang. Lebih-lebih lagi blog ini telah mendapat anugerah Buku Nota untuk bulan Januari dan Februari 2009 yang lalu..

'Ala kulli hal, terima kasih Ablem ucapkan buat Aceh atas penghargaan ini. Semoga blog Jiwa Terasing terus mantap dalam menyampaikan dakwah dan sebaran ilmu kepada pembaca. Teruskan berdakwah dan dalam masa yang sama menentang sebarang hasutan dan dakyah!


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, April 6, 2009

..Usia Semakin Bertambah, Amalan Bagaimana?..

Monday, April 6, 2009


Hari ini, tanggal 6 April 2009 adalah hari yang paling dinanti-nanti olehku. Sedar tak sedar, hari ini usiaku bertambah lagi setahun. Aku bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih memanjangkan umurku sehingga ke saat ini di samping mengekalkanku dalam nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam..

Pada tanggal hari Ahad, bertarikh 6 April 23 tahun lalu, bersamaan 26 Rajab 1406 Hijrah, diriku yang dikandungkan selama 9 bulan lebih akhirnya selamat dilahirkan oleh ibuku di rumah beralamat 37/100 Rumah Murah Teluk Ketapang, Seberang Takir, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu. Menurut ibuku, terlalu banyak ujian dan dugaan yang menimpa diriku sepanjang proses membesarkanku. Hal ini disebabkan kerana tubuhku terlalu mudah dijangkiti penyakit ketika kecil dahulu. Ini memaksa ayahku sering berulang-alik ke hospital, klinik, bertemu tabib dan dukun semata-mata ingin melihat aku dapat hidup selesa seperti kanak-kanak lain..

Semasa di peringkat sekolah rendah dahulu aku sering meminta hadiah hari jadi daripada ayah apabila tarikh keramat bagi diriku ini tiba. Pada mulanya ayah menurut juga kehendakku, mungkin sebagai tanda penghargaan bagi diriku. Tapi lama-kelamaan ayah tidak menurut keinginanku lagi, bahkan ayah menggantikannya dengan yang lebih berharga daripada itu. "Tahun ni ayah bagi hadiah kasih sayang hok (yang) paling dok (tak) ternilai sekali untuk Alim!" ujar ayah sambil memelukku dan mengusap kepalaku. Akhirnya aku akur. Selepas itu aku merasa segan lagi untuk meminta sesuatu tatkala 6 April tiba. Aku faham, hanya itulah hadiah yang paling bernilai bagi seorang anak dan tiada harga bagi mereka yang ingin 'membelinya secara percuma'. Kisah hidupku ketika zaman kanak-kanak jelas menggambarkan segala-galanya akan erti kasih sayang..

Kini aku telah meningkat dewasa. Kenangan susah payah waktu kecilku dahulu (walaupun aku sendiri kurang mengingati peristiwa tersebut) akan tetap tersemat kukuh dalam memori kalbuku. Alhamdulillah, sekarang aku tidak lagi ditimpa penyakit seperti 20 tahun yang lalu. Aku mengucapkan terima kasih kepada ayah, mak, abang, adik-adik, rakan-rakan dan sesiapa saja yang sentiasa mengingati ulang tahun kelahiranku ini dan mendoakan kesejahteraan buatku. Terima kasih juga khusus buat ayah, walaupun kini sedang sibuk berjuang di Bukit Gantang, tetapi sempat merakamkan ucapan ulang tahun buatku di dalam blognya walaupun tidak dapat berceloteh panjang..

Buat sahabat pembaca yang setia, doakanlah diriku agar dikurniakan kekuatan dalam meneruskan perjuangan yang masih panjang ini. Usiaku semakin hari semakin bertambah, tetapi bagaimana pula dengan amalan seharianku? Adakah semakin bertambah seiring dengan usiaku atau semakin berkurang? Tepuk dada tanya iman!


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, March 29, 2009

..Rangkuman Seminggu..

Sunday, March 29, 2009


Seminggu sudah berlalu. Dalam tempoh tersebut terlalu banyak kisah dan peristiwa yang berlaku. Insya Allah akan kuceritakannya satu-persatu. Eh, macam pantun je, semua berakhir dengan huruf 'U' di belakang, he he..

Khamis & Jumaat

Baik, setelah pulang dari Mansurah minggu lepas, kami tidak terus pulang ke Shoubra, tetapi meneruskan 'pengembaraan' melihat keindahan alam di bumi Dumyat. Dumyat atau nama lainnya Damietta merupakan kawasan terdapatnya pantai di situ. Apa yang menarik, hasil laut yang paling banyak di pantainya ialah kerang. Kerangnya pula bukan sebarang kerang, tetapi sebesar alam!

Kami sampai di Dumyat hampir-hampir maghrib. Dalam kami sibuk meng'usya' tempat penginapan di situ, kami sempat singgah di sebuah masjid. Di situ kami selaku 'tetamu' dari Malaysia telah diberi penghormatan oleh pegawai dan jawatankuasa masjid. Aku diminta melaungkan azan isyak dan memperdengarkan bacaan Al-Quran berlagu. Sebelum itu, syeikh merangkap imam masjid tersebut meminta agar diperdengarkan 'azan bitaa' Malizi miyah-miyah!' (azan gaya Malaysia 100%). Bukan senang nak dapat peluang di masjid besar sebegitu..

Dalam kesempatan sehari tinggal di situ kami sempat melawat kawasan Ra'sul Bar, di mana tempat bertemunya antara Sungai Nil dan Laut Mediterranian. Di samping itu, kami sempat merasai hasil laut di beberapa restoran sea food di kawasan pekan Ra'sul Bar..

Ahad - Isnin

Biro Kebudayaan, Kesenian & Sukan (BKKS) Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Exco KPT selama 2 hari. Kami anak-anak Terengganu dari Shoubra turut tidak ketinggalan dalam menyertai kejohanan bagi memantapkan kesatuan anak-anak Terengganu ini. Kejohanan ini melibatkan antara 10 pasukan yang bertanding dan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Alhamdulillah, keringatku naik turun dari Shoubra ke Hayyu 'Asyir akhirnya berbaloi apabila teamku, Cappucino Billaban FC berjaya mendapat naib johan setelah tewas 1-2 kepada Skoda FC dalam perlawanan akhir yang sungguh mendebarkan..

Selasa

Selesai kelas tasmi' dan syarah Dhobtul Quran petang itu, aku mula membuat kerja-kerja persiapan bahagian multimedia untuk Muktamar Sanawi PMRAM yang bakal menjelang. Walaupun ketua sudah memaklumkan kepadaku seminggu sebelum ini, tetapi oleh kerana ketiadaan bahan yang hendak kumasukkan dalam slide show kali ini menyebabkan kerja-kerja menyiapkannya tertangguh. Lagi satu, memang sudah menjadi tabiatku sejak sekian lama, iaitu suka menangguh-nangguhkan kerja dengan kata lain kerja last2 minute. Bila la aku nak berubah?

Rabu

Seawal jam 6.15 pagi lagi aku sudah melangkah keluar rumah. Pagi itu aku menghadiri Liqa' AJKT DPM di Saint Theresa. Dua hari lepas aku berjanji dengan ahli baitku, Mizi yang aku akan menemaninya ke Muktamar HEWI PMRAM yang berlangsung hari ini. Beliau dijemput sebagai qari pembukaan majlis perasmian. Tiba-tiba semalam aku terpaksa membatalkan hasratku itu apabila handsetku menerima mesej tentang makluman liqa' tersebut. Apa yang mengecewakanku, penerbitan Suara Kampus Edisi MAQAZ (SUKMA) keluaran terbaru terpaksa ditangguhkan sehingga selesai imtihan atas beberapa masalah teknikal. Sepatutnya SUKMA tersebut boleh ditauzi' (diedar) sebelum imtihan lagi. Apa-apa pun, pasti Allah ingin menunjukkan hikmah di sebalik kelewatan yang berlaku asalkan kita redha dan sabar..

Petang itu aku terus menyambung kerja-kerja slide show yang belum disiapkan semalam. Hampir sehari suntuk aku menyiapkannya sehingga memaksaku bersengkang mata. Oleh kerana terlalu masyghul hari ini, aku hampir-hampir terlupa bahawa hari ini (25 Mac) merupakan ulang tahun kelahiran satu-satunya abangku dunia akhirat, Ahmad Suhail. Abang kini berkhidmat di Syarikat
Imtiaz Travel Sdn Bhd, sebuah syarikat pelancongan di pusat Bandaraya Kuala terengganu di samping beliau diamanahkan sebagai Ketua JK Pemuda PAS Cawangan Teluk Ketapang. Alim doakan semoga Abang terus thabat dalam perjuangan, dipanjangkan umur, dilimpahkan rezeki dan dapat memimpin masyarakat dan keluarga. Terima kasih atas segala tarbiah dan tunjuk ajar untuk Alim dan adik-adik selama ini..

Khamis

Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 berlangsung. DPM MAQAZ Shoubra telah menghantar 30 orang perwakilan di samping kira-kira 20 orang pemerhati sepanjang muktamar. Kehangatan muktamar pada tahun ini dirasai tatkala agenda perbentangan dan perbahasan usul dikemukakan. Sebanyak 4 usul telah diluluskan pada tahun ini, yang mana usul-usul tersebut merangkumi membanteras unsur-unsur perpecahan ahli, mempertahankan naungan PMRAM, urusan sambungan visa dan Dana Syaqah. Sepanjang 2 kali mengikuti muktamar ini sebagai perwakilan, aku melihat muktamar tahun ini lebih panas dengan usul-usul yang dikemukakan berbanding tahun-tahun sudah..

Sebelum itu, ketika pembukaan sidang lagi, kami dikejutkan dengan berita pemergian anak perempuan pasangan sahabat dari Terengganu,
Ustaz Mohd Sabri Yamin dan Ustazah Che Amirah Che Muda. Anak pasangan tersebut yang lahir ke dunia tidak sampai 24 jam telah dipanggil mengadap Ilahi kira-kira jam 8 pagi. Selepas asar, semua pimpinan PMRAM, para perwakilan dan pemerhati sama-sama menyembahyangkan jenazah kanak-kanak tersebut di Dewan Nadi Riyadhi, Hayyu Sadis, tempat muktamar berlangsung. Semoga ruh almarhumah dicucuri rahmat dan menjadi syafaat untuk kedua ibu bapanya, aminn..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, March 2, 2009

..3 dalam 1..

Monday, March 2, 2009


Baca pada tajuk di atas, mungkin setengah pembaca terbayangkan iklan syampu yang selalu ditayangkan di televisyen. Ini bukan iklan syampu, jauh sekali iklan ubat-ubatan mahupun air minuman. Gambar di atas boleh menceritakan segalanya. Kali ini postingku mengisarkan tentang 3 berita sedih yang ku terima dalam 1 masa..

Mula-mula pada hari semalam, aku terbaca dalam blog ayah dan aku mendapat tahu bahawa sahabat sekampungku, Mohd Ghazali bin Mohd Zaid telah ditimpa kemalangan. Kawan seangkatan yang ku panggil Abang Ali ini (walaupun beliau lebih muda dariku 2 tahun) ditakdirkan Allah telah terkena air panas yang menyebabkan telinga, pipi dan sebahagian dadanya melecur. Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dijangka akan menjalani pembedahan plastik di wad 5B. Mungkin 2-3 minggu ini suara beliau melaungkan azan di Surau Hj. Mohammad Chik tidak lagi kedengaran lantaran keuzurannya itu. Buat Abang Ali semoga tabah dan redha menghadapi ujian yang menimpa. "Allahu yasyfiika syifaan 'aajila.."..

Yang kedua, juga pada hari yang sama (semalam) aku turut mendapat berita yang amat mengejutkan. Haji Mohamad
Awang ataupun lebih dikenali sebagai Haji Zaid Gas di kalangan orang kampung di sekitar Seberang Takir telah kembali ke rahmatullah. Almarhum dipercayai tidak sedarkan diri (koma) selama kira-kira 18 hari selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kira-kira jam 10 malam (Sabtu) beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir..

Almarhum memang dikenali semua orang kerana sifatnya yang peramah dan mesra. Beliau sentiasa melirikkan senyuman manisnya hatta kepada kanak-kanak dan orang muda sekalipun. Beliau sering kali kelihatan ke mana-mana dengan menaiki motor jenis Honda EX5nya sambil 'membonceng' gas di belakang untuk dihantar ke rumah yang membuat tempahan. Satu perkara yang menarik perhatianku, beliau akan memakai topi keledar ke mana saja walaupun hanya keluar beberapa kilometer dari rumah. Seingatku, semasa kecil dahulu ayah selalu berkunjung ke kedai kasutnya di Kampung Alur Kuda (kini dah ditutup kalau tak silap) sekiranya kami adik-beradik berhasrat membeli kasut sekolah baru. Satu-satunya kedai kasut di Seberang Takir yang banyak pilihan ketika itu adalah di kedai BATA milik beliau. Jasa dan pengorbanannya pada semua orang pasti akan diingati. Semoga Allah menempatkan ruhnya bersama para solihin dan syuhada'. Al-Fatihah..

Aku fikir itulah berita yang paling mngejutkan, rupa-rupanya ada lagi yang lebih bombastik dari itu! Semalam juga, terkejut aku bila mendapat berita adikku, Aceh teraccident di jalan raya. Bila sebut 'ter' memang tak disengajakan, bukan? Ceritanya berlaku apabila Aceh dalam perjalanan ke rumah kawannya di Padang Midin. Apabila tiba di Kampung Merbau Patah, beliau telah gagal dalam percubaannya ingin memotong lori di hadapan. (Tu la.. Lain kali kalau nak memotong tu, pergi la ladang getah, hahaha..) Tapi mujur beliau tak mengalami kecederaan yang serius, hanya kelima-lima jari kaki kanannya saja yang cedera (berbalut macam mumia jugaklah kaki beliau tu). Ablem harap Aceh dapat bersabar dengan ujian ini. Mungkin ini juga kaffarah dan inzar bukan saja untuk Aceh, tapi untuk orang lain juga agar sentiasa sedar bahawa kita sering kali alpa dan leka denganNya. 'Ibrahnya apa yang kita rancang tak semestinya kita perolehi, dan apa yang kita tak rancang barang kali akan kita perolehi tanpa kita sedari..

Begitulah kuasa yang ada pada medium yang bernama BLOG. Walaupun tak dapat bercakap melalui telefon, tak dapat mendengar khabar berita dari mulut tentang insan tersayang, tetapi blog ini mampu menjadi pengganti mereka yang tak jemu-jemu menyampaikan dan terus menyampaikan kepadaku di perantauan ini. Semoga medium ini terus kekal sebagai wadah An-Nabaa'..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, February 8, 2009

..Sanah Helwah Ya Ukhtil Mahbub..

Sunday, February 8, 2009


Sanah Helwah Ya Gamil..
Sanah Helwah Ya Gamil..
Sanah Helwah..
Sanah Helwah..
Sanah Helwah Ya Sofiyyah..


Selamat Hari Lahir yang ke-9
buat adinda tersayang
Sofiyyah Sobihah binti Zakaria

Abang Lim doakan semoga:
  • Piyah panjang umur dalam keberkatan
  • Piyah dimurahkan rezeki yang halal
  • Piyah jadi anak solehah kebanggaan mok ayoh
  • Piyah berjaya dalam peghekse & dapat nombor molek (bak kata ayoh, "boleh nombor 1 jadi doh! huhu...)
Harapan Abang Lim agar:
  • Piyah dengor cakap mok ayoh
  • Jangan baloh nge adik Bayyin (^-^)
  • Jaga akhlaq sokmo
  • Jadi contoh yang terbaik kepada kawan-kawan

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, January 9, 2009

..Sanah Helwah Ya Ummi..

Saturday, January 10, 2009

Assalamualaikum wrt..

Hari ini 10 Januari 2009. Tarikh 10 Januari pasti ku ingat setiap tahun. Tarikh tersebut amat penting bagiku kerana pada tarikh itu lahirnya seorang ibu yang mengandungkanku selama 9 bulan 10 hari (tak tau cukup ke tak, kalau tak cukup halal-beralal lah ye mok?), melahirkanku sehingga separuh nyawa, menjaga dan melindungiku hatta daripada diganggu seekor nyamuk sekalipun serta mengasuhku sejak aku kecil sehingga aku dewasa..

Kira-kira jam 6.20 malam (12.20 tengah malam waktu Malaysia) tadi, aku mengambil handset dan terus menghantar mesej kepada ayah..

Salam.slmt ulgthn kelahiran yg ke47 buat ibu mithali yg t'syg,anknda doakn smga bonda pnjg umur,trus thabat dlm p'juangn & istimror m'jdi istri solehah kpd ayah
Dilevered to:
Walid +60199878693
Date and time:
9-Jan-2009
06:29:09 pm

Hajat di hati ingin menghantar mesej lebih awal (tepat jam 12 tengah malam Malaysia), tapi oleh kerana masa itu aku agak sibuk dengan aktiviti peribadi (gunting rambut dengan kawan..) dan selepas bersiap-siap aku segera mencapai handsetku dan menghantar mesej ucapan tersebut..

Tiada ungkapan yang dapat anaknda ungkapkan di sini melainkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat bonda yang sudi memahami kenakalan anaknda. Juga anaknda ingin memohon ampun dan maaf terhadap dosa-dosa anaknda pada bonda selama 22 tahun lebih bonda mengasuh anaknda. Terima kasih juga atas tarbiah dan didikan yang mematangkan lagi diri anaknda dalam mengenal erti pahit maung perjuangan Islam..

Semoga di hari lahir ini bonda bergembira dan sentiasa di dalam kasih sayangNya. Anaknda mendoakan agar bonda dipanjangkan umur untuk berjuang, dimurahkan rezeki yang halal dan terus menjadi ibu mithali kepada 5 putera dan 4 puteri bonda (bukan putera & puteri UMNO ni ye?jangan silap faham, hehe..), serta yang paling penting menjadi isteri solehah kepada ayahnda tercinta. Semoga keluarga kita dirahmati oleh Allah s.w.t dan menjadi role model kepada orang lain..

Anaknda teramat bangga dan terharu dilahirkan dari perut bonda dan dikurniakan keluarga yang bahagia. Halalkan makan minum anaknda, dan doakan anaknda berdua di sini dikurniakan kesihatan dan keberkatan dalam menuntut ilmu untuk menyambung perjuangan yang akan diwarisi oleh ayahnda..

Untuk akhirnya, anaknda tujukan lagu AZIMAT BONDA ini khas buat bonda..



p/s: Untuk cerita bonda yang lebih menarik, layari blog ayah ni..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, January 2, 2009

..Sanah Helwah Ya Akhuya..

Friday, January 2, 2009


Hari ini hari jumaat yang merupakan penghulu segala hari (sayyidul ayyam). Mengikut kalendar masehi hari ini bertarikh 2 Januari 2009..

Pada tanggal 2 Januari 1991 yang lalu, lahirlah seorang bayi lelaki yang comel. Kelahirannya disambut penuh syukur oleh kedua ibu dan ayahya. Ayahnya menyambutnya dengan laungan azan dan iqamah di telinga kanan dan kirinya, manakala si ibu sempat tersenyum gembira walaupun baru saja selesai 'berperang dengan maut' sebentar tadi..

Selang beberapa hari, tibalah giliran mereka memberi nama kepada si anak. Si ibu mencadangkan agar diletakkan nama Abdullah Nasih Ulwan - seorang ulamak murabbi yang terkenal di seluruh dunia. Mungkin barang kali kerana si ayah amat meminati buku-buku karangan Syeikh Dr. Abdullah Nasih Ulwan terutamanya Tarbiatul Aulad menbuatkan si ibu memberi nama seindah itu kepada anak mereka yang baru lahir itu. Ataupun boleh jadi besarnya harapan si ibu agar anaknya menjadi seperti Dr. Abdullah Nasih Ulwan apabila dewasa kelak..

Apabila nama tersebut diketengahkan, timbul khilaf di kalangan kedua-dua mereka. Hal ini berlaku kerana abangnya yang merupakan anak ketiga pasangan ini telah diberi nama 'Abdullah' di depannya. Setelah berbincang, mereka sepakat meletakkan nama 'Muhammad' di depannya bagi menggantikan 'Abdullah'. Maka diberilah nama Muhammad Nasih Ulwan kepada anak yang kian membesar itu..

Setelah ditarbiah dan diasuh dengan tarbiah Islamiah oleh kedua ibu dan ayahnya, tatkala anak ini berusia 5 tahun, mereka bertekad menghantar anak mereka ke Pasti Al-Hijrah, Kg. Duyung, Seberang Takir. Tamat pendidikan peringkat pra-sekolah, ayahnya kemudian menghantarnya ke Madrasah Darul Taqwa, Batu Enam. Setelah 5 tahun di situ, beliau terus menyambung pengajian peringkat menengah di Ma'had Darul Quran, Masjid Rusila. Kemudian beliau berpindah ke Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang (SMASZAL) selama 3 tahun sebelum ke
Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Burok..

Setelah terdapat beberapa masalah dalaman di situ, beliau tidak dapat meneruskan pembelajaran di sekolah agama yang tertua di negeri Terengganu itu. Hal ini kerana 'masalah' tersebut telah membuatkannya terganggu dan tidak dapat fokus sepenuhnya. Walaupun pada tahun tersebut beliau sepatutnya akan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), akan tetapi beliau terpaksa akur dengan takdir Ilahi. Bukan itu saja, yang paling menyedihkan beliau terpaksa 'mengorbankan' impiannya untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir..

Kini, berkat doa semua pihak dan pertolongan daripada Allah Taala beliau sudah beransur pulih dari 'masalah' yang menghantui dirinya selama hampir 4 bulan lamanya. Cuma ada lagi sikit "hawe-hawe" kata orang Terengganu. Sekarang beliau meneruskan pengembaraan ilmu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Cenfos-UIAM), Nilai, Negeri Sembilan..

Hari ini genaplah usianya 18 tahun. Sebagai seorang abang yang sentiasa prihatin, aku senantiasa mendoakan kesejahteraan buat dirinya dan semoga beliau tabah menghadapi segala ranjau dan ujian dalam kehidupan yang sementara ini. Abang Lim doakan semoga Aceh panjang umur, dimurahkan rezeki, sukses sokmo, jadi anak soleh kebanggan mak ayah dan terus thabat
dalam platform dakwah, insya Allah. Yang paling utama, harapan mak, ayah dan abang-abang ingin melihat Aceh menjadi NASIH ULWAN yang sebenar suatu masa nanti..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, January 1, 2009

..Tahniah & Takziah..

Thursday, January 1, 2009


Tahniah dan Takziah.. Dua kalimah yang berbeza sekali maksudnya, berlainan juga ertinya. Yang pastinya aku telah membuat andaian sendiri kemungkinan dua perkataan ini adik beradik kerana bunyinya seakan-akan sama (hanya dibezakan dengan huruf 'H', 'N', 'K' dan 'Z' sahaja) walaupun pada hakikatnya kedua-duanya membawa maksud yang berlawanan. Yang pertama untuk sesuatu yang gembira, manakala yang kedua pula untuk kes-kes ataupun peristiwa yang menyedihkan..

Baik, kita fokuskan dulu kepada perkataan yang pertama, iaitu TAHNIAH;

Dua hari lepas, sebaik saja keputusan peperiksaan PenilaianMenengah Rendah (PMR) diumumkan di seluruh negara, aku segera menghantar SMS kepada ayah bertanyakan keputusan PMR adik lelakiku, Ahmad Farid Luqman Zakaria..

Ayah terus membalas SMS aku tadi..

Alhamdulillah. Dpt straight A (8A).
Sender:

Walid

+60199878693

Sent:

02:16:05pm

30.12.2008


Ringkas, tapi cukup membawa maksud menandakan kegembiraan sudah terlakar di wajahnya sebagai seorang yang bergelar ketua keluarga. Sudah pasti beliau bangga dengan kejayaan anak-anak yang lahir dari zuriatnya. Sememangnya adikku sudah dijangkakan akan mendapat natijah sebaik itu. Kalau diukur pada kesungguhannya, adikku yang biasa dipanggil dengan panggilan Yed ini memang layak, sementelah Yed merupakan pelajar yang dianugerahkan
Allah Taala kepintaran sejak kecil. Berkat kesungguhan dan doa daripada mak, ayah, abang-abang serta cikgu-cikgu, dengan izin Allah Taala Yed akhirnya dapat menggapai apa yang ditarget selama ini..

Di kalangan adik-beradikku, hanya seorang saja yang mendapat straight A atau Mumtaz sebelum ini, iaitu tak lain tak bukan adikku yang paling kontroversi dan famous, Abdullah Haris yang masyhur dengan 'kekuningan'nya baru-baru ini (^-^). Haris mendapat 10 Mumtaz dalam imtihan STAMnya dua tahun lalu..


Tiada lafaz lain yang dapat dituturkan melainkan rasa syukur yang tak terhingga kepada Ilahi yang menentukan segala qada' dan qadar sesuatu urusan manusia. Yed telah buktikan yang Yed mampu lakukannya, dan Yed telah gembirakan hati mak dan ayah. Tinggal lagi harapan mereka supaya Yed berbakti dan terus menjadi anak yang soleh untuk kebahagiaan mereka..

Alfun mabruk, Congratulation dan Tahniah Abang Lim ucapkan buat Yed!!! Semoga terus melakar kejayaan di masa-masa yang akan datang, insya Allah..

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Selesai kalimah yang pertama, kita pergi kepada kalimah yang kedua pula, TAKZIAH;


Malam tadi kira-kira jam 10.55 minit malam (waktu Malaysia), Presiden PAS yang juga merangkap Penasihat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengumumkan YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P. 036 Kuala Terengganu..

Pengumuman itu akhirnya menjawab teka-teki dan desas-desus selama ini yang bermain di minda rakyat Malaysia amnya dan pengundi Kuala Terengganu khasnya. Pengumuman itu juga turut mengejutkan banyak pihak yang sesetengahnya tidak menjangka beliau akan dicalonkan..


Mungkin bagi setengah pihak khasnya di luar Terengganu beranggapan pemilihan Haji Wahid sebagai calon adalah satu keputusan yang silap, akan tetapi rakyat di Kuala Terengganu amat mengenali dan cukup rapat dengan beliau. Beliau juga turut disenangi kaum Cina dan India dan merupakan orang yang mampu memenuhi kehendak ramai, baik golongan tua mahupun golongan muda..

Bagiku pemilihan ini amat tepat dan merupakan satu 'tumbukan' pertama PAS kepada seteru utamanya BN. Memang PRK ini ibarat buku bertemu ruas apabila Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu ditentang sengit oleh YDP PAS Kawasan Kuala Terengganu. Haji Wahid yang merupakan ADUN Wakaf Mempelam sejak 5 penggal, pernah dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri ketika PAS memerintah Terengganu (1999-2004). Beliau juga merupakan Bendahari BPPNT..

Takziah aku ucapkan buat Haji Wahid. Tugas sebagai calon ini adalah amanah yang amat berat yang perlu dipikul, dan sekiranya (mudah-mudahan, insya Allah) dipilih oleh rakyat pada 17 Januari depan, pasti akan bertambah berat dan perlu digalas dengan penuh amanah. Selamat berkempen buat Haji Wahid yang merupakan boss lama ayah ketika menganggotai Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu suatu ketika dulu..

Insya Allah, rabbina ma'aak.. ALLAHU AKBAR!!!


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, October 14, 2008

..Cerita Hati I..

Wednesday, October 15, 2008

[Awal Ramadhan]

KAHERAH - Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar telah diserang demam kuning dua tiga hari lepas. Abdullah Haris Zakaria, 20 yang menuntut dalam bidang Syariah wal Qanun tahun dua merupakan pelajar yang berasal dari Terengganu.

Menurut rakan baiknya yang juga teman sebiliknya, Abdul Mannan Jusoh, pada mulanya rakan-rakan menyangka beliau hanya diserang demam biasa. Tambah menyedihkan, beliau hanya tinggal berdua di rumahnya di Hayyu Asyir kerana rakan-rakan serumah yang lain pulang ke Malaysia dan ada yang mengerjakan umrah di tanah suci.


Setelah dibawa oleh rakan yang baik hati yang hanya mahu dikenali sebagai Fares untuk diperiksa di Pusat Perubatan At-Taisir, Hayyu Asyir, beliau telah disyaki diserang Hepatitis A. Penyakit ini ada kaitan dengan hati dan mungkin boleh dikategorikan sebagai radang hati. Ia boleh menyebabkan kulit dan mata berubah menjadi kekuningan.

Abang beliau yang tinggal di Shoubra, Abdul 'Alim Zakaria berpeluang menziarahi adiknya di Kaherah dan mendapati adiknya terlantar di katil sepanjang masa. Setelah dimaklumkan kepada keluarga di Malaysia, ibunya meminta abangnya membawa pulang untuk diperiksa dan dirawat di Hospital di Malaysia yang lebih terjamin 'keselamatannya'.

Setelah berbincang, akhirnya abangnya bersetuju untuk membawa pulang adiknya ke pangkuan keluarga di Terengganu.

Bersambung daa...

p/s : ikuti cerita hati selanjutnya..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, June 18, 2008

..Sekalung Penghargaan Buat Idolaku..



Assalamualaikum
wrt wbr..

Salam pertemuan buat sahabat-sahabat samada di tanah air mahupun di perantauan, kaum keluarga dan seterusnya buat pejuang-pejuang serta para pencinta kebenaran yang sentiasa menanti tibanya janji Tuhan yang pasti akan berlaku suatu hari nanti..

Bercakap soal perjuangan ni, teringat pula aku akan kisah silam perit jerih ayahku berjuang demi rasa tanggung jawab terhadap Islam dan juga menyambung perjuangan yang telah diwariskan oleh baginda s.a.w. Tambahan pula bersempena dengan sambutan hari bapa yang disambut ahad lalu, amat sesuailah postingku kali ini mengisahkan tentang beliau..

Sebelum aku bercerita lebih lanjut, aku ingin memberitahu satu perkara. Artikelku kali ini memang teramat panjang tapi sahabat-sahabat jangan bimbang, ceritanya pasti menarik dan tak jemu dibaca. Harap sahabat-sahabat sabar dan tekun membacanya..:)

Kisah perjalanan hidup ayah menjadi satu inspirasi dan dorongan kepadaku untuk menjadi seperti dirinya. Bayangkanlah, ayah yang langsung tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama diberi title 'ustaz' oleh kenalan rapat dan masyarakat setempat. Walaupun hanya memiliki diploma dalam bidang pentadbiran awam, tapi ilmunya mengalahkan azhari yang pulang dari Mesir. Ayah juga merupakan seorang yang berbakat besar dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan sejak kecil..

Ketika masih belajar di Sekolah Menengah Seberang Takir (kini SMK Ibrahim Fikri) lagi, ayah telah mula berjinak-jinak terjun ke medan dakwah. Ketika mana musim cuti sekolah, di kala kawan-kawan sebaya yang lain sibuk dengan aktiviti seperti bermain bola, layang-layang dan sebagainya, ayah bersama sekumpulan kecil rakan-rakan yang lain menubuhkan Persatuan Dakwah Islam (PERDAI). Saban malam mereka mengadakan road show ke seluruh surau-surau di sekitar Seberang Takir dan menyampaikan tazkirah selepas solat secara bergilir-gilir. Dengan kata lain, usia remaja ayah banyak dihabiskan dengan aktiviti di masjid dan surau, berbeza dengan remaja-remaja lain..

Melalui PERDAI ini lah ayah merasa satu kelainan dalam dirinya, iaitu keberanian dalam penyampaian dan membuang rasa malu ketika berdepan dengan masyarakat. Bukan setakat itu sahaja, melaluinya juga ayah belajar erti pengorbanan sebuah perjuangan sebagaimana yang pernah diterima oleh Rasulullah s.a.w. ketika menyampaikan risalah dakwah di Mekah. Masakan tidak, mereka pernah dihalau ketika menyatakan hasrat untuk mengadakan sedikit santapan rohani di salah sebuah surau. Sehinggakan yang lebih dahsyat, mereka dilabelkan kanak-kanak pelarian oleh sesetengah pihak yang memekakkan telinga untuk menerima ilmu..

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu langsung tidak mematahkan semangat para remaja yang ingin melihat masyarakatnya celik ilmu agama. Mereka meneruskan usaha dengan menghidupkan masjid-masjid dan surau-surau yang sunyi sepi. Surau yang dulunya hanya bermakmumkan tiang dan kipas siling, kini dipenuhi para jemaah di setiap sudut..

Bakat kepimpinan dalam diri ayah berlarutan sehingga tamat pendidikan peringkat menengah. Kemudian ayah terlibat secara aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di peringkat negeri. Setelah mendirikan rumah tangga dengan mak, ayah telah berazam untuk mewakafkan dirinya untuk perjuangan. Selepas itu ayah menjadi lebih aktif memandangkan ketika itu ayah memegang amanah yang agak berat iaitu merupakan antara pengasas terawal Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) yang kini dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) di negeri Terengganu bersama Dato' Haji Abu Bakar Chik dan Menteri Penerangan sekarang, Dato' Ahmad Shabery Chik..

Komitmen yang ayah tunjukkan dalam menaikkan nama PASTI di mata masyarakat memang mengagumkanku. Ayah boleh dikatakan otai bagi PASTI negeri. Apa tidaknya, nama ayah sudah sinonim dengan program-program PASTI mahupun kursus-kursus perguruan PASTI sehinggakan beliau diamanahkan menjadi pengarah PASTI negeri hampir 7 tahun lamanya. Ayah juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Pusat bermula tahun 1993 hingga 2005. Dalam tempoh itu, ayah memikul tugas yang paling berat sebagai Timbalan Ketua Pengarah PASTI Pusat selama 6 tahun. Sehingga kini ayah masih lagi menjadi ALP PASTI negeri..

Itu baru PASTI, tak sebut komitmen dalam jemaah lagi. Selepas meninggalkan kerjaya perniagaan, ayah menumpukan 100 peratus kepada parti. Ayah hanya 'mengabdikan' diri siang dan malam di pejabat perhubungan parti. Tak cukup dengan itu, di sebelah malam masa ayah dipenuhi dengan kuliah di surau, ceramah, mesyuarat dan usrah baik di peringkat cawangan, DUN, kawasan dan negeri..


Ayah sewaktu memimpin Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Teluk Ketapang

Bermula dari itulah, masa ayah bersama keluarga menjadi cukup terbatas, mujurlah mak memahami perjuangan ayah. Mak juga bukan setakat memahami, bahkan menjadi penguat semangat ayah di kala ayah lemah. Biasalah, iman manusia bersifat yazid wa yanqus, bukan seperti iman para Nabi dan Malaikat. Di samping itu juga, mak mengasuh kami anak-anak yang sudah terbiasa 'ditinggalkan' ayah di rumah. Ayah kadang-kadang keluar di awal pagi dan pulang lewat malam tatkala kami sudah lena dibuai mimpi. Ayah bertindak sedemikian bukan kerana mengejar dunia, tapi matlamat akhirat yang dicari demi melihat tertegaknya sebuah daulah yang sudah lama diimpikan oleh para pendokong Islam..

Teringat aku ketika kecil dulu, aku menyanyikan lagu "Balada" yang mengisahkan seorang anak yang diabaikan oleh ibu bapa kerana kesibukan mengejar kemewahan dunia. Memang lagu tersebut sesuai dengan situasiku. Namun, aku mengerti, ayah sibuk kerana mencari mardhotillah dan ayah walau sesibuk mana sekalipun tak pernah mengabaikan pendidikan dan kasih sayang terhadap anak-anak.. (kalau nak dengar lagu, klik play di bawah)



Lebih membuatkan ku terharu bagaimana membayangkan begitu tabah dan semangatnya ayah suatu ketika dulu. Ketika itu ayah hanya menggunakan sebuah motosikal Honda C70 untuk ke sana ke mari. Tak kira jauh atau dekat, motosikal itulah menjadi penggerak ayah untuk ke satu-satu program, kecuali kalau ada kereta yang diberi pakai oleh pak saudara yang baik hati. Hujan atau panas, ayah tetap tidak menghiraukannya..

Pernah suatu malam, kira-kira jam 12 tengah malam, ayah dalam perjalanan pulang dari mesyuarat (kalau tak silap la..) di markaz Padang Hangus, Tepuh. Dengan lampu motosikal yang malap, dengan fail minit mesyuarat yang bertimbun-timbun dalam bakul motosikal, ayah hampir terbabas dan hendak terjatuh dalam parit di satu jalan kecil yang berselekoh tajam, tiada sebatang pun lampu jalan yang menyuluhnya. Alhamdulillah, Allah masih lagi selamatkan ayah. Mungkin kerana ayah terlalu letih dan mengantuk. Tak putus-putus lafaz syukur terluah dari bibir ayah..

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada 29 November 1999, ketika ayah mengetuai Dewan Pemuda PAS negeri, ayah telah diamanahkan oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon bagi mewakili DUN Seberang Takir dalam PRU tersebut. Sikap ayah yang sederhana dan mudah mesra dengan penduduk sekitar membuatkannya mudah diterima rakyat. Hasilnya, tanpa kiraan undi pos, PAS telah menang dengan majoriti lebih 700 undi. Akan tetapi, impian rakyat untuk melihat satu sejarah terpahat di situ berkecai apabila BN diumumkan menang setelah dijumlahkan bersama undi pos dengan majoriti 575 undi..

Walaupun gagal menawan DUN tersebut, PAS berjaya membentuk kerajaan Terengganu. Ini merupakan 'hadiah' kepada pendokong-pendokong yang selama ini bertungkus-lumus untuk melihat Islam berkuasa. Lebih manis, kerajaan PAS 'menghadiahkan' ayah jawatan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu (UPNT) atas kegigihan dan pengorbanan ayah selama ini. Walaupun pada hakikatnya pengorbanan itu tak mungkin dapat dibalas dengan harta, pangkat dan sebagainya. Hanya balasan syurga yang layak untuk para pejuang yang terus thabat. Firman Allah Taala :

"Sesungguhnya Allah telah membeli orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.."
(Surah At-Taubah-111)

Sejak mula bertugas di Wisma Darul Iman, beban ayah makin bertambah. Kalau dulu hanya menumpukan pada parti, kini semakin padat dengan agenda parti dan program kerajaan. Dengan kata lain ayah semakin sibuk. Kadang-kadang sampai ke luar negara mengiringi Menteri Besar. Maklumlah, tugas ayah memberi penerangan kepada rakyat baik dalam mahupun luar negara tentang maklumat dan program-program kerajaan negeri..

Sehinggakan adik perempuanku, Sofiyyah Sobihah (gambar) yang kini berusia 8 tahun, 'keluar' menjenguk dunia ini tanpa mendengar azan dan iqamah dari mulut ayahku sendiri. Ini kerana ketika itu ayah berada di Indonesia dalam rangka lawatan kerja. Mujur ayah chik yang mengambil alih tugas itu..

Rumahku juga sering dikunjungi penduduk setempat tak kira masa. Mereka datang meluahkan rasa, meminta bantuan persekolahan anak-anak dan ada setengahnya meminta kerja. Mereka menganggap ayah seperti wakil rakyat kerana wakil rakyat sebenar tak mampu berfungsi dengan baik, mungkin kerana faktor usia yang sudah lanjut. Boleh dikatakan lebih separuh dari pendapatan bulanan ayah dihabiskan untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik..

Tiba PRU ke 11, ayah sekali lagi diamanahkan untuk menjadi calon. Kali ini PAS negeri menerima ujian paling getir dalam sejarah. Bukan setakat kehilangan kuasa memerintah, bahkan tewas mengejut tanpa disangka. Bayangkan, pak saudaraku yang menjadi polling agent di samping berkempen siang dan malam diserang demam selama 3 hari dek terkena penangan kejutan ini. Memang benar kata Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, "mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada usaha ke arah mencapai kemenangan.."

Bermula dari itulah, segalanya berubah. Kehidupan kami yang dulunya seolah-olah 'berada di zon selesa' kini tidak lagi. Ibarat sireh pulang ke gagang, ayah kembali bertugas di pejabat perhubungan sebagai pegawai khas Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT). Ayah juga kembali meneruskan rutin harian seperti biasa. Pagi di pejabat, petang berehat seketika bersama anak-anak, malam mengajar di surau, menghadiri mesyuarat, usrah dan sebagainya..

Walaupun pada pandangan kasar keluargaku dihimpit kesempitan hidup setelah Allah menarik nikmatNya, tapi Allah itu benar-benar Maha Kaya. Bayangkanlah, gaji sebulan yang diterima ayah sepanjang berkhidmat dengan parti hanya cukup untuk membayar pinjaman rumah sahaja. Itu belum termasuk bayaran pinjaman kereta dengan bank, minyak kereta, kos sara hidup, yuran sekolah anak-anak dan lain-lain lagi..

Inilah dinamakan keberkatan. Apabila kita membantu agama Allah, jangan gusar akan rezeki Allah kerana Tuhan tidak akan membiarkan hamba-hambaNya yang membantu agamaNya dalam keadaan kesempitan. Firman Allah s.w.t :

"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan menguatkan pendirian kamu.."
(Surah Muhammad-7)

Ayah juga sering kali mengingatkan anak-anak supaya bertaqwa kepada Allah serta yakin dengan janji-janjiNya sambil membaca firman Allah Taala yang bermaksud :

"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan tunjukkannya jalan keluar. Dan Dia akan memberikannya rezeki dari sumber yang tidak diketahui.."
(Surah At-Thalaq-2 & 3)

Ayat inilah yang ayah pegang selama ini. Walau dalam keadaan perit sekalipun kita tetap akan mengecap bahagia jika yakin dengan janji Allah ini. Satu lagi petua yang memang tak kan ku lupa bagaimana ayah sentiasa melazimi bacaan ma'thurat setiap hari, paling kurang sekali sehari. Usai solat subuh, pasti anak-anak melihat mulut ayah terkumat-kamit membacanya. Bila tibanya Ramadhan, kami sudah terbiasa dengan didikan ayah, iaitu membaca ma'thurat secara jahar sepanjang perjalanan pulang dari masjid selepas subuh..

Ayah mengamalkannya kerana ma'thurat merupakan rabitah hati kita dengan Allah s.w.t. Selain itu ia mampu menjadi benteng penghalang kita dari segala bahaya dan mala petaka. Pernah sekali ayah terlupa membacanya, terus Allah 'menghukum' 'kelalaian' ayah dengan menarik balik nikmat yang diberi seketika cuma - telefon bimbit ayah dicuri seseorang ketika tertidur di surau Hentian Bas Putra kira-kira 11 tahun yang lalu..

Begitulah sedikit sebanyak kisah perjalanan hidup ayah menempuh onak dan ranjau berduri dalam perjuangan. Ayah memang seorang yang kental dan tak mudah putus asa. Hatta dalam keadaan sakit sekalipun, ayah masih lagi mampu bangun selagi terdaya untuk membantu perjuangan. Kagum diriku bila dikhabarkan oleh mak saudaraku bagaimana ayah begitu bersemangat turun padang membantu kempen calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRU ke 12 Mac lalu, Saudara Muzafeq Muhammad walaupun dalam keadaan diserang demam seminggu sepanjang tempoh berkempen..

Ku kalungkan segunung penghargaan buat ayah yang telah banyak berkorban untuk kami semua anak-anakmu. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tarbiah ayah dengan 'mengabaikan' kami dan lebih mengutamakan perjuangan dari kami kerana dengan cara itu menjadikan kami matang dan mengerti pahit maung perjuangan yang tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. Mudah-mudahan kami dapat mengikut jejakmu ayah..

Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal atas jasa dan pengorbanan ayah selama ini. Teruskan perjuanganmu, kami akan sentiasa menyokongmu ayah! Anggaplah dugaan itu untuk menguji iman kita samada kita terus thabat ataupun futur dalam perjuangan yang menjanjikan 'imman nasru wa imma syahadah' ini..

Doakan kami ayah. Semoga kami menjadi seperti anak asy-syahid Dr. Abdullah Azzam (gambar) yang berpesan kepada anaknya, "sesungguhnya kalian tidak pernah bermesra dengan ayahmu melainkan hanya sebentar cuma. Terlalu sedikit tarbiah yang sempat diberikan kepada kalian. Ya, ayahmu sibuk dengan urusan jihad..!"


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, June 15, 2008

..selamat hari bapa..



Bismillahirrahmanirrahim..



Sempena dengan sambutan hari bapa..
Yang disambut semalam..
Ingin ku bingkiskan sebuah lagu..
Khas buat ayah tercinta..
Sebagai tanda kasihku padanya..
Walaupun ku tahu..
Pengorbanannya selama ini padaku..
Tak mampu ku membalasnya..
Hatta dengan segunung emas sekalipun..
Terimalah ayah..



Ketika berjauhan..
Masihku rasa..
Hangat kasihmu ayah..
Betapa ku rindukan..
Redup wajahmu..
Hadir menemaniku..

Terbayang ketenangan..
Yang selalu kau pamerkan..
Bagaikan tiada keresahan..

Walau hatimu sering terluka..
Tika diriku terlanjur kata..
Tak pernah sekali kau tinggalkan..
Diriku sendirian..

Ketika ku dalam kedukaan..
Kau mendakap penuh pengertian..
Di saat diriku kehampaan..
Kau setia mengajarku..
Erti kekuatan..

Terpancar kebanggan..
Dalam senyummu..
Melihatku berjaya..
Bila ku kegagalan..
Tak kau biarkan..
Aku terus kecewa..

Dengan kata azimat..
Engkau nyalakan semangat..
Restu dan doa..
Kau iringkan..

Tak dapatku bayangkan..
Hidupku ayah..
Tanpa engkau di sisi..
Semua kasih sayang..
Yang kau curahkan..
Tersemat di hati..


Terima kasih ayah..
Kerana memahami kenakalan anakmu..
Ampunkan segala keterlanjuranku..
"Ya Allah..
Ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku..
Sebagaimana mereka mengasihaniku..
Sejak aku kecil.."


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP