Monday, May 26, 2008

..Warkah Buat Adikku..

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam, aku berkesempatan menghantar seorang sahabatku pulang ke Malaysia. Dia ni boleh dikatakan rapat juga denganku, maklum lah aku mengenalinya sejak di bangku sekolah rendah lagi, kemudian kami sama-sama menyambung pengajian di peringkat menengah di sebuah sekolah agama milik swasta di Marang. (biarpun aku hanya mampu 'bertahan' selama 2 tahun je di situ) Walaupun dia ni sebaya dengan abangku, tapi aku cukup-cukup rapat dengannya lebih-lebih lagi beliau juga aktif dalam persatuan lepasan pelajar sekolah rendahku dulu. Beliau pulang semalam selepas tamat imtihan tahun 2 peringkat master yang diikutinya di Open Universiti, Kaherah..

Berita kepulangannya ke Malaysia ni pun aku dapat tahu melalui adikku yang tinggal bersamanya di Darul Iman Students Hostel (DISH), Kompleks Hayyu Asyir. Kalau bukan kerana adikku yang menelefonku subuh semalam pasti berita ni tak sampai ke telingaku. Kebetulan pula salah seorang adikku di Malaysia diserang penyakit 'misteri' (lebih kurang penyakit buatan orang jugak la..), lalu berita tentang adikku ini diketahui oleh beliau, mungkin adikku yang tinggal bersamanya memaklumkan hal tersebut, tambahan pula sahabatku ini amat mengenali adik-beradikku terutamanya yang lelaki. Sebelum beliau pulang semalam, beliau memaklumkan kepada adikku supaya mengirimkan 'sesuatu' kepada keluargaku di Malaysia untuk diberikan kepada adikku yang sedang sakit. Bumi Mesir ni maklum sajalah, penuh dengan para masyayikh yang hebat-hebat serta pakar dalam segala bidang perubatan lebih-lebih lagi perubatan Islam..


Sebaik saja aku dimaklumkan oleh adikku, aku pun segera menghubungi seorang kawanku. Beliau amat rapat dengan salah seorang syeikh di Ma'hadku yang juga pakar dalam perubatan Islam. Aku mengajaknya pergi berjumpa syeikh tersebut di kediamannya yang tak jauh dari tempat tinggalku. Pada sebelah petang aku pun bergegas mencari sesuatu yang boleh dijadikan penawar untuk adikku yang sakit, aku membeli sekilo 1/2 zabib (kismis). Harapanku agar syeikh dapat membacakan ayat-ayat syifa' pada zabib tersebut supaya dapat menghilangkan 'sesuatu' dalam tubuh adikku yang mengganggu fikiran dan emosinya sejak berminggu yang lalu. Setibanya kami di sana, syeikh menyarankanku agar memberikan adikku madu lebah bukit yang dijualnya. Kata syeikh lagi, madu tersebut amat mujarab untuk semua penyakit baik luaran mahupun dalaman. Aku pun bersetuju tanpa memikirkan kosnya kerana kesihatan adikku lebih penting dari duit yang boleh didapati di mana-mana. Syeikh juga menghulurkan minyak habbatus sauda' untuk kegunaan luaran sambil memberikan petua-petua dan ayat-ayat yang perlu diamalkan serta bagaimana cara untuk menggunakan ubat dan madu tersebut..

Usai perbincangan dengan syeikh, kami pun meminta diri dan beredar dari situ. Walaupun terasa agak letih, namun aku gagahkan jua diriku demi adikku, seperti dalam SMS yang dikirim oleh adikku di sini, "SEMANGAT UTK ADEK!!!". Lagi pun aku tak pernah lagi berkorban sebegini untuk adikku. Aku pun bersendirian menunggu bas untuk ke kompleks sambil kawanku pulang ke rumahnya. Sesampainya di sana aku ke bilik adikku dan kami terus packing ubat dan madu tersebut serta diselitkan sekeping nota. Kemudian kami menghantar kiriman tadi kepada sahabatku yang baik hati itu. Aku mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudiannya meminta dan menerima kirimanku ini. Hanya Allah s.w.t saja yang dapat membalas jasa baik mu..

Berbalik kepada kisah adikku tadi, sebenarnya beliau telah lama merasai sesuatu yang tidak kena dalam dirinya, buat itu tak kena, buat ni pun salah, semuanya jadi serba tak kena, tak dapat memberikan tumpuan pada pelajaran dan sebagainya. Dirinya mengalami tekanan yang amat dahsyat. Selepas orang tuaku membawanya pergi berjumpa seorang ustaz yang pakar dalam perubatan Islam di kampungku, barulah diketahui terdapat 'sesuatu' di dalam tubuhnya. Tambah ustaz lagi, mungkin adikku itu terkena buatan orang yang hasad dengannya. Adikku ini baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, dan mendapat keputusan yang amat memuaskan. Beliau merupakan pelajar yang sangat aktif berpersatuan di sekolahnya. Tambahan pula beliau tinggal di asrama, jadi banyaklah program-program yang diikutinya di sekolah. Beliau juga sering mengadakan usrah di kalangan kawan-kawannya walaupun kadang-kadang mendapat tentangan daripada pihak pentadbiran sekolah. Beliau juga sering melakukan pembaharuan di asrama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar yang 'berhaluan kiri'. Tambahan pula beliau amat meminati politik dan sentiasa mengikuti arus politik tanah air, barang siapa yang cuba berhujah dengannya, pasti akan ditentangnya habis-habisan tanpa mengira darjat dan pangkat. Mungkin di kalangan mereka ini lah (tapi ni bukan suu' zhon ye?, jangan salah faham..) yang dengki kepada beliau sehingga menyebabkan beliau tersiksa jiwa menanggung sakit..

Sebagai abang yang pernah menegur dan memahami kenakalan seorang adik, aku amatlah berharap agar adikku diberi kesihatan oleh Allah s.w.t dan diberi ketabahan dalam menempuh ujian dan dugaan yang amat berat ini. Mungkin dugaan ini adalah tarbiah daripada Allah kerana tanda kasih dan sayangNya kepadamu. Ingatlah, bahawasanya dengan cara inilah Allah dapat menunjukkan kasih sayangNya pada hambaNya untuk menguji samada kita sabar, redha ataupun sebaliknya. Dirimu adalah orang yang terpilih di kalangan berjuta hamba-hambaNya yang dibiarkan begitu saja dalam kelalaian dengan nikmat kesihatan tubuh badan yang Allah kurniakan. Harapanku agar apa yang ku kirimkan buatmu dapat memberi suntikan semangat kepadamu untuk terus berjuang dan menyambung pengajianmu ke peringkat yang lebih tinggi di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 10 Jun ini. Teruskan berjuang, abangmu sentiasa di belakangmu..



0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP