Tuesday, May 20, 2008

..aku, blog & ...............

Bismillahirrahmanirrahim...

Blog.. Apa ada pada blog? Mungkin ramai yang tahu akan fungsi dan peranannya. Akan tetapi hal ini berbeza bagi mereka (terutama golongan warga tua) yang tinggal di ceruk-ceruk kampung, kawasan pedalaman dan luar bandar yang langsung tidak didedahkan dengan dunia siber seperti ini. Mereka hanya tahu membaca akhbar, menonton berita di televisyen, mendengar radio dan sebagainya. Kalau ada yang mengakseskan internet di rumah pun mungkin sebahagian kecil sahaja..


Blog memang memainkan peranan yang penting dalam banyak aspek. Melalui blog manusia boleh berhubung, melalui blog juga mereka boleh menyatakan pendapat selain meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Lihat saja bagaimana blog berperanan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 baru-baru ini, amat berkesan di hati pengundi, bukan? Sehinggakan hal ini memaksa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengeluarkan kenyataan supaya dikaji semula berkaitan kempen pilihan raya melalui internet termasuklah blog dan laman web. Hal ini dinyatakan oleh setiausaha SPR, Dato' Wan Ahmad bin Wan Omar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan akhir April lalu. Tambahnya lagi, SPR akan mengambil tindakan terhadap mana-mana calon dan parti politik yang didapati berkempen melalui laman web dan blog..

Tindakan yang bakal diambil oleh SPR (kuda tunggangan kerajaan) ini dilihat sebagai jalan pintas untuk melumpuhkan pengaruh parti pembangkang yang semakin diterima oleh masyarakat sejak kebelakangan ini. Ramai juga yang berpendapat bahawa kejayaan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU baru-baru ini adalah kesan daripada kempen melalui web dan blog. Lihat saja kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PR, kebanyakannya adalah di kawasan bandar, di mana ramai pengundi di kawasan ini sudah barang tentu didedahkan dengan kemudahan internet. Kerajaan Barisan Nasional (BN) kebanyakannya hanya menang di kawasan pedalaman dan luar bandar, di mana masyarakatnya hanya di'suap' dengan kempen melalui media massa dan media cetak sahaja (tv, radio dan akhbar) yang jelas menyebelahi pihak kerajaan..

Oleh itu, mereka tiada pilihan lain, kerana hanya dengan cara ini sahajalah mereka boleh menutup sama sekali sumber maklumat rakyat, kerana mereka juga percaya media massa dan media cetak tidak mampu menarik rakyat untuk menyokong kerajaan, tambahan pula rakyat sudah muak dengan kempen yang melampau oleh 'jentera' kerajaan yang menafikan sama sekali hak parti pembangkang. Inilah yang dikatakan demokrasi ala Malaysia..

Jelas di sini bahawa, blog dan laman web jauh lebih berkesan daripada media alternatif yang lain dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan pantas kepada rakyat. Hanya yang tinggal tugas dan tanggung jawab yang terpundak di bahu kita untuk menyebarkan wadah info semasa kepada rakan-rakan, ahli keluarga dan masyarakat setempat, di samping menjadi medan dakwah bagi kita merealisasikan tugas 'amar makruf & nahi mungkar'..

0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP