Friday, July 24, 2009

..Amanah bukan bebanan..


Blog ini sudah dua tiga hari 'kaku'. Bagi mereka yang kerap 'bertandang' ke sini nescaya tiada 'hidangan' baru yang dihidangkan oleh tuan rumah melainkan 'hidangan-hidangan' yang sudah sedia ada. Bukan tuan rumah enggan melayan tetamu-tetamu semua, tetapi oleh kerana ketiadaan ruang masa dan kelapangan menyebabkan tetamu terpaksa 'diabaikan' untuk sementara waktu ini. Tuan rumah memohon maaf..

Kira-kira seminggu lebih sahaja lagi bakal berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Perwakilan Mahasiswa [MAQAZ] Shoubra kali ke 17. Program tahunan itu dijangka akan diadakan pada 3 Ogos depan. Bermakna kami barisan AJKT sudah berkira-kira untuk turun 'takhta' dan meletakkan jawatan. Sisa-sisa yang masih ada ini saya cuba menyelesaikan kerja-kerja yang masih lagi belum selesai sepenuhnya. Hal ini mengakibatkan saya jarang kelihatan di rumah. Mujur ahli bait memahami..

Kerja yang menjadi tumpuan dan paling berat ialah Suara Kampus edisi MAQAZ (SUKMA) bilangan 15 yang masih dalam proses penerbitan. Doa-doakan semoga proses tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sanggup bekerja keras demi merealisasikannya..

Saya tidak mahu meninggalkan sesuatu bebanan kerja kepada mereka yang akan menggantikan tempat saya nanti. Biarlah kita meninggalkan sesuatu amanah dan taklifan dalam keadaan yang sempurna. Itu prinsip yang saya pegang. Biarlah kita berusaha keras siang dan malam sekalipun tidak cukup rehat dan sebagainya. Semoga kesinambungan perjuangan DPM ini dapat diteruskan oleh generasi kepimpinan selepas ini..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, July 18, 2009

..Umno di ambang kehancuran..


Ketika berakhirnya pilihan raya kecil (PRK) Manek Urai minggu lepas, ramai yang menjangkakan pengaruh sokongan rakyat kepada Umno BN semakin meningkat. Kalau diukur prestasi Umno bermula pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 tahun lepas sehinggalah empat PRK yang berlaku di semenanjung selepas itu (tidak termasuk PRK Penanti kerana Umno tidak bertanding), Umno gagal menarik sokongan rakyat..

Kesemua PRK yang berlaku menyaksikan parti pemerintah ini kehilangan banyak undi. Tiba-tiba dalam PRK Manek Urai Umno berjaya menambah begitu banyak bilangan undi dan mengurangkan majoriti PAS. Ramai pemimpin dan ahli-ahli Umno menyangka pengaruh sokongan rakyat kembali beralih kepada parti mereka kerana 'kejayaan' tersebut. Sedangkan yang sebenarnya Umno tetap dalam keadaan lemah tetapi masalah dalaman dan kelekaan di pihak PAS menjadikan modal terbaik untuk mereka menawan hati pengundi di Manek Urai..

Sebenarnya sangkaan pemimpin Umno itu amat meleset sama sekali. Lihat saja belum sampai seminggu PRK Manek Urai berlalu, timbul pula kes kematian Setiausaha Politik (Setpol) kepada salah seorang Exco Kerajaan Selangor yang turut sama mengheret pemimpin mereka agar bertanggung jawab sepenuhnya. Kes ini sedikit sebanyak menggugat kedudukan Perdana Menteri dan menambah lagi arang yang sudah sedia terconteng di mukanya..

Terbaru, kejutan dari bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng yang mengisytiharkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MCA Bahagian Bakri. Tambah parah, hari ini beliau mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun media arus perdana sebelum itu menafikan yang beliau akan menyertai pembangkang..

Semakin lama kapal Umno yang diterajui seorang insan bernama Najib Tun Razak semakin 'parah' dilambung ombak. Tiada siapa lagi yang dapat membaiki 'keparahan' tersebut. Lama kelamaan pasti kapal itu akan karam di lautan. Wahai anak-anak kapal sekelian, berpindahlah kamu ke kapal yang lebih selamat sebelum kapal yang kamu naiki itu karam..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, July 17, 2009

..Hikmah Israk dan Mikraj..


Kita masih lagi berada dalam bulan Rejab. Bulan ini terdapat banyak fadhilat yang dijanjikan Allah kepada hambaNya. Sempena kita memperingati bulan yang mulia ini, marilah kita menghayati peristiwa penting yang berlaku ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Israk dan Mikraj..

Peristiwa ini benar-benar menguji keimanan orang mukmin. Tatkala orang-orang kafir
ketika itu langsung tidak mempercayai, bahkan mereka memperolok-olokkan baginda sebaik baginda bercerita, orang mukmin ada sebilangan mereka yang beriman dan ada yang tidak. Tetapi kekentalan iman Saidina Abu Bakar yang terus mempercayai baginda memberi satu pengajaran kepada kita supaya tidak ragu-ragu dengan apa yang dibawa baginda..

Jika kita menghayati peristiwa ini secara teliti, nescaya rasa keimanan kita akan bertambah. Perasaan takut dan taqwa kian menebal di hati kita secara langsung ia boleh dihubungkan dengan kehidupan kita di dunia ini dan sebagai satu contoh teladan dalam membentuk kehidupan yang Islamik. Seterusnya manusia dapat mengelakkan dirinya dari terus melakukan maksiat dan kejahatan..

Golongan kuffar yang tidak mengimani peristiwa ini kerana mereka berfikir amat mustahil Nabi s.a.w berjalan dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin, kemudian naik melepasi tujuh lapisan langit dalam masa hanya sepertiga malam, sedangkan jarak perjalanan tersebut terlalu jauh. Mereka mendakwa perkara yang dilakukan baginda tidak masuk akal lebih-lebih lagi oleh manusia seperti baginda..

Salah satu kesan Israk dan Mikraj ialah untuk mendidik umat agar menghayati makna kehidupan yang sepatutnya ditempuh oleh setiap insan yang ingin memanfaatkan kehidupannya menurut kehendak Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang, di mana musuh-musuh Islam sentiasa bekerja keras untuk memesongkan akidah umat Islam dengan tujuan membawa kehancuran kepada kehidupan pendokong ajaran Nabi s.a.w..

Justeru, buat diri dan sahabat-sahabat, sama-samalah kita perbanyakkan amal ibadat, berbuat kebajikan dan sentiasa memohon ampun dengan beristighfar serta berzikir mengingati Allah, khususnya di bulan yang disebut oleh baginda sebagai ‘bulan Allah’ ini.Semoga amalan-amalan ini dapat menghindarkan kita dari seksaan azab sebagaimana yang telah diperlihatkan oleh Allah kepada baginda dalam peristiwa Israk dan Mikraj..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, July 16, 2009

..Khairy mencuba nasib..


Siapa yang tak kenal dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Hanya kanak-kanak dan warga tua yang tak mengambil pusing perihal semasa saja yang tidak mengenalinya. Beliau mula terkenal sejak beberapa tahun lepas. Bukan kerana peribadinya yang disenangi ramai, tetapi 'kelicikannya' dalam mengambil peluang ketika bapa mertuanya bergelar Perdana Menteri Malaysia..

Selain jawatan ketua pemuda, beliau juga diberi mandat oleh rakyat sebagai wakil mereka di kawasan Parlimen Rembau dalam pilihan raya umum lalu. Kini pupolaritinya dilihat semakin menurun lebih-lebih lagi selepas persaraan bapa mertuanya dari tampuk kerajaan dan politik..

Lihat saja nasib yang diterimanya sebaik Perdana Menteri yang baru menaiki takhta. Seperti yang pernah disebut sebelum ini, walaupun menang jawatan ketua pemuda, namun itu bukanlah 'tiket' untuknya menjawat jawatan penting dalam barisan kabinet. Impiannya untuk menaiki takhta nombor satu negara sedikit terbantut..

Jadi adakah kerana kegagalan tersebut menyebabkan tekanan baginya sehingga sanggup melakukan apa saja demi meraih populariti? Atau beliau sengaja melakukan sebegitu untuk tujuan mendekati rakyat dan mendengar permasalahan mereka? Atau sekadar lakonan semata? Apa pun niatnya terpulang padanya. Kepada warga Rembau, jangan lupa menahan teksi beliau ya?
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..Gen-14 dapat 'anak saudara' baru..


Pada 1 Julai lepas, kami generasi ke 14 Ma'had Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu (MTANT) yang kini digelar Institut Al-Quran Terengganu (IQT) telah menimang 'anak saudara' kedua. Bayi lelaki seberat kira-kira 3 kg ini lahir dari pasangan sahabat kami, Akh Abdullah Al-Mukhlis bin Abdul Rahman @ Abdul Aziz dan Ukht Nurul Hidayah binti Musilehat..

Sebelum ini bulan Jun lepas, kami telah menimang 'anak saudara' sulung hasil perkongsian hidup sahabiah kami, Ukht Jueziatul Husna binti Arifin dan Ustaz Haji Mohd Hafas bin Haji Ali. Ustaz Hafas mewakili Terengganu dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung sekarang di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh, Perak. Bayi perempuan mereka kini berusia sebulan lebih..

Baru-baru ini saya bersama beberapa orang sahabat telah menziarahi baby comel ini di kediaman walidnya di Jabal Muqattam, Kaherah. Kebetulan pagi itu bayi yang di beri nama Muhammad Habiburrahman ini baru selesai di tahnikkan oleh Syeikh Dr. Yusri di masjidnya. Selang keesokannya di adakan pula majlis aqiqah dan kesyukuran sempena kelahirannya..

Tambah menggembirakan, selepas 5 hari kelahirannya, walidnya mendapat berita najah sofi dalam imtihan syahadah dan merupakan pelajar wafidin (asing) yang mendapat markah paling tinggi dengan memperoleh 80%. Bermakna sahabat kami ini mendapat dua hadiah sekaligus. Pertama kelahiran Habiburrahman, kedua kejayaan dalam imtihan..

Mungkin ada benarnya juga kata orang tua-tua, "rezeki anak-anak." Mungkin inilah rezeki dari kelahiran Habiburrahman. Semoga kelahirannya membawa seribu satu sinar kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah kepada pasangan sahabat kami ini. Kami 'ammu dan 'ammah dari gen-14 mendoakan agar Habiburrahman menjadi anak yang soleh..

Tahniah kepada Akh Mukhlis dan Ukht Nurul Hidayah. Mana-mana ahli gen-14 yang sudah ada calon eloklah di segerakan. Perkara 'membina masjid' ini jangan tangguh-tangguh lagi, selesaikan segera. Semoga semakin ramai zuriat yang soleh dan solehah pewaris gen-14 yang bakal lahir, insya Allah..

p/s: lihatlah gambar di atas betapa nyenyaknya Habiburrahman tidur di pangkuan 'ammu 'Alim..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, July 14, 2009

..Berakhirnya Manek Urai..


Episod Pilihan Raya Kecil (PRK) N.41 Manek Urai telah berakhir. Keputusannya telah pun diumumkan malam tadi yang mana berpihak kepada PAS. Saya tidak mengikuti detik-detik cemas itu memandangkan ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kaherah. Saya hanya mengikutinya sedikit demi sedikit melalui telefon bimbit kawan yang mempunyai akses internet..

Mula-mula mendapat berita PAS menang dengan majoriti 345 undi. Selang beberapa minit keputusan berubah lagi kerana undi dikira semula. Last sekali muktamad. Calon PAS, Abe Uji menang dengan majoriti 65 undi. Syukur alhamdulillah, PAS masih berjaya mempertahankan Manek Urai walaupun dengan majoriti yang tipis..

Keputusan ini memang dari satu sudut agak tidak mengejutkan. Pertama kerana ini adalah PRK di mana semua jentera kerajaan tertumpu di sini. UMNO BN siang dan malam berkempen di kaca televisyen dengan mengerahkan 100% jentera penerangannya semata-mata untuk menang di sini..

Kedua, umum mengetahui berapa banyak kerajaan UMNO BN laburkan untuk PRK ini. Bukan ratusan ribu bahkan jutaan ringgit! Banyak bukti yang didedahkan oleh Buletin Online (baca di sini) dan Malaysiakini (baca di sini) berhubung politik wang yang berlaku. Pengundi juga seperti biasa disogok dengan projek mi segera dan jambatan baru yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri..

Jadi tidak hairan hatta kalau PAS tewas sekalipun di situ. Memang benar kata Dato' Husam, PAS menang tipis kerana politik wang. Pun begitu pengundi masih lagi mampu memberikan kemenangan kepada PAS..

Apa yang mendukacitakan adalah laporan dari Malaysiakini yang sekali lagi menghina Abe Uji sebagai seorang pemborong ikan. "Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan, menang dengan majoriti 'nyawa-nyawa ikan' sebanyak 65 undi" lapor berita tersebut. Kurang asam punya editor! Bermula dari pengumuman calon sampailah isytihar keputusan, tak habis-habis mereka menghina dan memperlekeh calon PAS ini..

Terima kasih kepada pengundi Manek Urai yang telah memangkah calon PAS. Tahniah kepada Abe Uji dan seluruh jentera PRK Manek Urai yang telah bekerja siang malam untuk kemenangan Islam. Segala amal yang anda lakukan akan dikira sebagai amal soleh dan insya Allah menjadi pemberat mizan di hari pembalasan kelak..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, July 6, 2009

..Syukur padaMu Ya Rabb..


Control natijah imtihan telah diumumkan semalam. Ianya disiarkan melalui sebuah laman web dan boleh didapati dengan hanya memasukkan nombor angka giliran pelajar. Dari segi sistem pengurusan Mesir sudah setapak maju ke hadapan, tetapi dari segi undang-undang dan peraturan negara ini masih lagi ketinggalan di belakang jika terus-menerus mengamalkan 'sistem di bibir mulut'..

Pagi tadi pula natijah tersebut telah dihebahkan untuk rujukan para pelajar dan tujuan pengesahan. Hasilnya boleh dikatakan 50 peratus pelajar takhassus Qiraat bagi ikhwah najah sofi (lulus semua subjek) berbanding akhawat (cawangan Mansurah) seramai kira-kira 10 peratus..

Pada mulanya saya amat takut untuk melihat control natijah di internet semalam. Lebih-lebih lagi di hadapan kawan-kawan yang tak sabar-sabar menantikan keputusannya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bagai nak pecah dada ini menanti keputusan diakses setelah nombor giliran 400** dimasukkan..

Tapi alhamdulillah, Allah telah mengurniakan satu lagi nikmat kepada saya dan kawan-kawan yang lain. Setelah diteliti tengahari tadi, saya memperoleh markah keseluruhan sebanyak 78 peratus. Bagi sahabat-sahabat yang 'masih lagi diuji', jangan putus asa. Kuatkan semangat, masih ada lagi satu peluang untuk perbaiki kekurangan ini. Lakukan yang terbaik dalam daur thani (repeat paper) bulan depan. Insya Allah, Allah pasti akan bersama-sama dengan hambaNya yang bermujahadah..

Syukur padaMu ya Allah atas kurniaan nikmat ini. Terima kasih mak dan ayah serta abang dan adik-adikku atas doa kalian. Juga buat para masyayikh yang tak jemu-jemu menunjuk ajar anak didikmu ini. Tak lupa buat sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong dan membantu serta mendoakanku. Terakhir buat ahli bait juniorku, Pa yang sanggup menjadi tukang masak kami ketika kami sibuk dengan imtihan. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa-jasa kalian semua. Jazaakallahu khairal jazaa'..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, July 4, 2009

..Debaran Menanti..


Udara pagi ini sungguh nyaman dan dingin. Kedinginannya 'mendakap' kemas sekujur tubuhku yang kepanasan ini. Tambahan pula sejak kelmarin lagi tubuh ini kepanasan dilanda demam. Mungkin kerana terlalu 'leka' berjemur di tengah terik mentari. Tarbiah dari Allah ke atas diriku yang sering alpa..

Kebetulan, minggu ini terlalu padat dengan aktiviti. Bermula dengan jemputan kahwin, Kejohanan Piala Exco dan Bazaria. Yang terakhir, majlis penutup program musim panas Liqa' Mahabbah 2009 (LIMA '09). Sepatutnya acara penutup ini dijadualkan pada 30 Jun, tetapi terpaksa dianjak keesokan harinya kerana kebetulan 'datuk-datuk' barisan Badan Pengurus (BP) PMRAM akan turun untuk menziarahi 'cucu-cucu' kesayangan mereka di Shoubra..

Dengan berakhirnya LIMA '09, maka selesailah program mega bagi DPM [MAQAZ] Shoubra untuk sesi ini. Tinggal lagi, urusan-urusan yang masih lagi belum diselesaikan yang perlu disiapkan sebelum menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang dijangka berlangsung pada 1 Ogos depan..

Ketika bazar berlangsung baru-baru ini, khabar angin yang bertiup di situ mengatakan yang natijah imtihan syahadah akan diumumkan pada hari Sabtu (semalam). Bila ditanya seorang dua kawan, ramai yang menjawab "tak dapat berita pun keluar natijah hari ni.." Ini bermakna kami masih lagi dalam penantian..

Walaupun penantian ini tidaklah satu penyiksaan bagi kami, tetapi jauh di sudut hati kami juga bimbang jika sekiranya natijah itu nanti menatijahkan sesuatu yang bakal 'menyiksa' naluri kami, na'uzubillah..

Samada hari ini atau esok natijah itu diumumkan, kami pasti akur. Walaupun kami sudah berusaha sehabis daya terbaik yang mampu kami lakukan, namun Allah lebih tahu apa yang terbaik bagi hambaNya. Benarlah firman Allah yang bermaksud:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui"
Al-Baqarah, ayat 216

Ya Allah, kurniakanlah kejayaan kepadaku dan sahabat-sahabatku. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi..

p/s: Thanks buat Rdhanz for a new award..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP