Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Saturday, September 19, 2009

..Jangan tinggalkan kami..


Sedar tak sedar kita telah pun berada di hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan 1430 H. Begitu pantas masa berlalu seakan-akan baru saja bertemu dengan Ramadhan semalam, tiba-tiba hari ini 'tetamu' yang sering dirindui oleh Rasulullah dan para sahabat itu akan pergi meninggalkan kita buat kesekian kalinya.

Kalau dilihat pada kelebihan dan segala macam special offer yang Allah tawarkan kepada hamba-hambaNya pada bulan ini, hati ini seakan-akan berat ingin melepaskan Ramadhan pergi. Diri ini masih lagi tidak puas bersamamu ya Ramadhan. Benarlah sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Jika sekiranya umatku mengetahui akan kelebihan dan ganjaran yang besar yang terdapat dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta setahun penuh adalah seperti bulan Ramadhan"

Tetapi perasaan sebegini hanya timbul di hati para mukminin yang benar-benar menghayati dan beramal dengan mengihya'kan Ramadhan sahaja. Mereka masih lagi ingin 'bermanja-manja' dengan Ramadhan, kalau boleh selama-lamanya. Mereka berasa seronok beramal ibadah dalam bulan ini kerana halawatul iman (kemanisan iman) yang mereka rasai.

Berbeza pula dengan mereka yang berperasaan sebaliknya. Mereka langsung tidak merindui kedatangan Ramadhan apatah lagi di kala Ramadhan hendak berlalu pergi. Mereka lebih gembira kerana selepas ini mereka akan bebas melakukan apa saja di siang hari disebabkan beberapa 'sekatan' yang membelenggu mereka selama sebulan ini. Sebab itu kita tidak hairan melihat ramai orang yang berpuasa tetapi tidak sembahyang dan masih mendedahkan aurat. Kedatangan Ramadhan langsung tidak dihayati jauh sekali untuk dihidupkan. Ramadhan dan bulan-bulan yang lain sama saja bagi mereka. Ini bertepatan dengan sabda Baginda yang berbunyi:

"Berapa ramai orang yang berpuasa, akan tetapi tiada pahala puasa baginya melainkan lapar dan dahaga"

Sepanjang sebulan kita bermujahadah ini adakah amalan yang kita lakukan bersesuaian dengan title kita selau seorang muslim dan mukmin? Jom sama-sama kita bermuhasabah di penghujung Ramadhan ini agar kita benar-benar mendapat tingkatan ketaqwaan yang Allah s.w.t letakkan matlamat kita berpuasa dan beribadat dalam sebulan ini.

Persoalannya, adakah kita telah menggondol piala taqwa dalam perlawanan menentang pasukan nafsu selama 29 hari ini? Adakah 'permainan' kita di padang Ramadhan lebih baik daripada 'aksi' kita tahun lepas? Kalau persoalan-persoalan tersebut dijawab 'ya', maka sesungguhya kita telah berjaya melepasi madrasah Ramadhan dengan jayanya. Kalau jawapannya 'tidak', koreksilah diri masing-masing agar kita tidak menjadi golongan sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w:

"Rugi dan sia-sialah bagi mereka yang melalui Ramadhan akan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan Allah"

Kerana sebab inilah Baginda menangis ketika menaiki mimbar hendak menyampaikan khutbah. Sebelum itu Baginda diriwayatkan tersenyum manis seketika dan kemudian menangis dan bersedih. Lalu sahabat bertanya, "kenapa engkau senyum dan kemudian menangis Ya Rasulallah?" lalu baginda menjawab, "aku tersenyum kerana melihat Allah mengampunkan dosa umatku yang berpuasa, dan aku menangis kerana masih ada lagi umatku yang apabila berlalunya Ramadhan dosa-dosanya masih lagi tidak diampunkan oleh Allah Taala."

Selamat menyambut Hari Raya 'Idil Fitri. Semoga kita menyambut hari kemenangan kita ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Janganlah kita mencemarkan kesucian hari raya dengan maksiat dan dosa, cukuplah Ramadhan sebagai tarbiah ruhiah bagi kita. Mudah-mudahan dosa-dosa kita semua dibersihkan pada hari raya ini sebagaimana kita baru keluar dari perut ibu kita secara fitrah.

Minal 'Aaidin wal Faaizin. Kullu sanah wa antum jamii'an toyyibun! Maaf zahir dan batin.
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, July 17, 2009

..Hikmah Israk dan Mikraj..


Kita masih lagi berada dalam bulan Rejab. Bulan ini terdapat banyak fadhilat yang dijanjikan Allah kepada hambaNya. Sempena kita memperingati bulan yang mulia ini, marilah kita menghayati peristiwa penting yang berlaku ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Israk dan Mikraj..

Peristiwa ini benar-benar menguji keimanan orang mukmin. Tatkala orang-orang kafir
ketika itu langsung tidak mempercayai, bahkan mereka memperolok-olokkan baginda sebaik baginda bercerita, orang mukmin ada sebilangan mereka yang beriman dan ada yang tidak. Tetapi kekentalan iman Saidina Abu Bakar yang terus mempercayai baginda memberi satu pengajaran kepada kita supaya tidak ragu-ragu dengan apa yang dibawa baginda..

Jika kita menghayati peristiwa ini secara teliti, nescaya rasa keimanan kita akan bertambah. Perasaan takut dan taqwa kian menebal di hati kita secara langsung ia boleh dihubungkan dengan kehidupan kita di dunia ini dan sebagai satu contoh teladan dalam membentuk kehidupan yang Islamik. Seterusnya manusia dapat mengelakkan dirinya dari terus melakukan maksiat dan kejahatan..

Golongan kuffar yang tidak mengimani peristiwa ini kerana mereka berfikir amat mustahil Nabi s.a.w berjalan dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin, kemudian naik melepasi tujuh lapisan langit dalam masa hanya sepertiga malam, sedangkan jarak perjalanan tersebut terlalu jauh. Mereka mendakwa perkara yang dilakukan baginda tidak masuk akal lebih-lebih lagi oleh manusia seperti baginda..

Salah satu kesan Israk dan Mikraj ialah untuk mendidik umat agar menghayati makna kehidupan yang sepatutnya ditempuh oleh setiap insan yang ingin memanfaatkan kehidupannya menurut kehendak Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang, di mana musuh-musuh Islam sentiasa bekerja keras untuk memesongkan akidah umat Islam dengan tujuan membawa kehancuran kepada kehidupan pendokong ajaran Nabi s.a.w..

Justeru, buat diri dan sahabat-sahabat, sama-samalah kita perbanyakkan amal ibadat, berbuat kebajikan dan sentiasa memohon ampun dengan beristighfar serta berzikir mengingati Allah, khususnya di bulan yang disebut oleh baginda sebagai ‘bulan Allah’ ini.Semoga amalan-amalan ini dapat menghindarkan kita dari seksaan azab sebagaimana yang telah diperlihatkan oleh Allah kepada baginda dalam peristiwa Israk dan Mikraj..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, June 28, 2009

..Kisah pengemis dan isteri yang cantik..


Pada suatu hari, seorang lelaki kaya sedang makan bersama isterinya. Sedang asyik mereka makan, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan. ''Tolonglah Encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isterinya yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata, ''aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku.'' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah..

Beberapa tahun kemudian, dengan takdir Allah, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain..

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya itu mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menekup muka sambil menangis..

Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis. Suami yang baru itu menjawab dengan tenang, ''demi Allah, akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu"..

Rasulullah S.A.W telah bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70ribu kejahatan''..

Anas bin Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: ''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''..

Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita ini seperti putaran roda. Adakalanya kita berada di atas, dan adakalanya kita di bawah. Senantiasalah bersyukur walau di tahap kedudukan mana kita berada sekalipun dan jangan sekali-kali kita sombong dan takabbur..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, May 31, 2009

..Bertahiyyat Menemui Syahid..


Beliau menceritakan tentang seorang banduan yg bernama Amin iaitu ketua kumpulan Al-Mau'unah yg didapati bersalah kerana melancarkan perang kepada Yg Dipertua Agong. Amin dijatuhi hukuman gantung sampai mati.Apa yang menarik ialah peribadi si Amin ini. Beliau seorang yang berdisplin, kuat beramal, mengaji quran, solat malam dan baik dikalangan sesama banduan lain.

Pendek kata banduan yang tiada bermasalah. Seminggu sebelum dia digantung, pengarah penjara telah menziarahi sel beliau dan terkejut kerana terdapat bau yang harum. Bau itu tak hilang walaupun beliau telah pulang ke rumah bau harum itu masih melekat pd pakaiannya.

Mengikut ceritanya lagi, pd mlm sebelum dia digantung, dia berpesan supa dikejutkan pada jam 4.00 pagi. Dia digantung pada subuh pagi jumaat.Pada mlm sebelum dia digantung, didapati Si Amin ini tidur begitu lena sekali seolah2 tiada apa2 akan berlaku pd pg esoknya sedangkan dia akan dihukum gantung pada pg esok.

Bayangkan kalau org nak kena gantung pg esok, mesti gelisah dan mesti tak boleh tidur punya.Bila tepat jam 4.00 pg, Amin ini pun dikejutkan, dia terus beramal, solat taubat, tahajud, mengaji dan sujud syukur dan dia berpesan supaya dibawa ke tali gantung ketika dia sedang sujud syukur.Ketika Amin sedang sujud pada masa itulah dia dibawa ke tali gantung. Bila tiba masa hendak digantung, tiba2 Amin ini pengsan dan tidak sedarkan diri. Masa semakin suntuk dan Amin harus digantung ketika itu juga, maka kepala dia ditutup dgn kain hitam dan hukuman pun dijalankan.

Agak pelik ketika itu kerana hukuman gantung tersebut seperti menggantung anak patung yg tidak bernyawa, tiada pergerakan, tiada jeritan. Didapati juga selipar jepun yg dipakai oleh Amin masih melekat pd kakinya, begitu juga tasbih masih tidak terlepas dari tangan.Apabila janazah Amin dibuka penutup muka didapati lidah tidak terjelir keluar spt kebiasaan mereka yg digantung. Tangan spt org dlm solat d jari telunjuk spt membaca tahiyat akhir. Subhanallah. Mungkin Allah sudah mengambil nyawanya dulu sebelum digantung..

Begitulah kebesaran Allah yg memberi Rahmat kepada hamba2 nya soleh dan sentiasa bertaubat. Mungkin ini satu petunjuk dari ALLAH kpd kita semua.Inilah kisah yg diceritakan semula oleh Ustaz tersebut.


Sumber: ABO

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, May 22, 2009

..Hari Guru: Sejauh Mana Penghayatan Kita..


16 Mei merupakan tarikh agung dan keramat bagi setiap insan berjasa yang bergelar guru. Pada tarikh tersebut mereka diberi penghormatan dan penghargaan kerana mengenang jasa dan curahan keringat mereka yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah demi membina seorang pelajar menjadi insan berguna..

Hari ini para guru yang sudah berpuluh-puluh tahun berbakti untuk anak bangsa boleh berbangga dengan segala curahan ilmu mereka. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak didik mereka berjaya menjadi seorang insan yang cemerlang dalam akademik. Hanya itulah yang mampu membuatkan mereka tersenyum puas kerana pengorbanan mereka selama ini berbaloi. Walaupun pada hakikatnya mereka tidak pernah meminta untuk dibalas hatta dengan sesuatu yang bersifat material sekalipun..

Kejayaan membina kecemerlangan dalam akademik tidak boleh dibanggakan jika tidak diselarikan dengan kecemerlangan dari sudut syakhsiah. Di luar sana berapa ramai yang mantap dari segi akademiknya dalam masa yang sama akhlak dan syakhsiahnya gagal membentuknya menjadi insan yang cemerlang dari sudut rohani. Yang kita mahukan adalah bukan setakat berjaya di dunia, bahkan yang lebih penting ‘berjaya’ di akhirat sana..

Contoh yang paling mudah bagaimana kecemerlangan dari sudut syakhsiah pelajar terbaik SPM tahun ini sehingga menghasilkan satu kejayaan cemerlang dalam hidupnya. Kejayaan yang dicapainya mampu membuka mata semua pihak. Sehinggakan ramai yang ingin mengikut rutin amalannya seperti berpuasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis termasuk pelajar non muslim..

Apabila seseorang pelajar itu gagal membentuk syakhsiahnya nescaya dari situ akan timbul rasa kurang hormat dengan guru. Mereka mengambil sikap sambil lewa terhadap guru mereka. Pernah seorang syeikh meluahkan rasa kecewanya terhadap anak muridnya. Syeikh tersebut pernah beberapa kali bertembung dengan pelajar yang sedang merokok di khalayak tanpa rasa segan silu. Sehinggakan syeikh tadi tidak berani menegurnya kerana khuatir akan mengaibkan pelajar terbabit..

Sepatutnya kita selaku anak murid yang perlu menjaga hati para masyayikh, bukannya mereka yang perlu menjaga hati kita. Di dada kita terkandung segala ilmu yang telah dicurahkannya tetapi kita pula seolah-olah tidak menghargai ilmu tersebut dan lebih menyedihkan kita seolah-olah mencalit arang pula di wajahnya..

Maka tidak hairanlah jika ramai di kalangan kita yang rasib (gagal) dalam imtihan. Kita mahukan keberkatan dan doa syeikh untuk kejayaan kita, tapi dalam masa yang sama kita menjatuhkan maruahnya dan tidak beradab dengannya. Mungkin ianya satu ‘iqab (balasan) daripada Allah s.w.t. akibat sikap kita. Paling mendukacitakan kita langsung tidak menggambarkan ciri-ciri syakhsiah sorang pelajar muslim..

Marilah sama-sama kita koreksi diri supaya kita benar-benar dapat menghayati erti dan nilai satu ilmu yang disampaikan oleh guru kepada kita. Alangkah bangganya mereka apabila anak didik mereka berjaya dalam kedua-duanya (dunia dan akhirat). Apa guna kalau kita berjaya cemerlang di dunia tapi ‘gagal’ di akhirat sana. Bersamalah kita mendoakan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat untuk para guru yang telah berjasa mendidik kita sehingga kita berada di tahap ini pada hari ini..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, May 9, 2009

..Kes Ragut: Apa Puncanya?..

Saturday, May 9, 2009

Minggu ini Negara kita digemparkan dengan beberapa kes ragut yang menjadikan wanita sebagai mangsanya. Lebih menyedihkan, kesemua mangsa ragut terbabit menemui ajal gara-gara peragut yang tidak berhati perut dan berperi kemanusiaan itu..

Kes pertama berlaku di Johor di mana seorang ibu yang hamil 2 bulan telah diragut ketika menunggang motorsikal sehingga menyebabkannya terjatuh dan koma sebelum disahkan meninggal dunia dua hari kemudian. Kes yang sama juga berlaku di Kelantan, di mana mangsanya seorang ibu kepada 5 orang anak yang hamil 4 bulan juga diragut ketika menunggang motorsikal. Ibu malang ini kemudiannya terbabas dan dirempuh sebuah kereta menyebabkannya maut di tempat kejadian..

Lain pula dengan kes yang ketiga. Kes yang berlaku di Pulau Pinang ini melibatkan seorang nenek yang menjadi mangsa. Nenek berusia 80-an itu yang cuba menyelamatkan anaknya daripada menjadi mangsa ragut ditumbuk peragut tersebut sehingga menyebabkannya meninggal dunia..

Dua tahun lepas, kes ragut juga pernah berlaku di Kuala Terengganu. Mangsa seorang suri rumah yang menunggang motorsikal seorang diri diragut dan lebih menyedihkan mangsa turut ditendang dan dicederakan sehingga menyebabkannya koma dan menemui ajal beberapa jam kemudian..

Kes-kes jenayah sebegini tidak boleh dipandang ringan oleh kita selaku pelajar agama. Sebagai hamba Allah yang dikurniakan akal fikiran seharusnya kita berfikir apakah hikmah kejadian sekejam ini boleh berlaku di kalangan masyarakat kita dan apa pula puncanya sehingga mereka semakin berani meragut tanpa rasa takut dan bersalah?

Mutakhir ini, kita lihat di Malaysia semakin hari kes jenayah seperti ragut, rompakan, kecurian dan samun semakin hari semakin meningkat. Puncanya adalah tak lain tak bukan kerana tidak kembali kepada perintah Allah dan RasulNya di dalam Al-Quran dan Hadis. Jika kedua-duanya diambil dan diamalkan, nescaya Malaysia sudah lama aman dan bebas dari kes-kes jenayah yang sudah mencapai tahap kritikal ketika ini..

Alasannya hanya satu. Allah telah memerintahkan dalam Al-Quran supaya menjalankan hukum yang terkandung di dalamnya. Apabila ianya dijalankan nescaya manusia akan takut untuk melakukan jenayah yang sama kerana dari situ terdapat 'pencegahan dari Allah' sebagaimana terkandung dalam surah Al-Maidah, ayat 38..

Inilah akibat daripada mengamalkan sistem undang-undang tinggalan penjajah barat yang merupakan hasil ciptaan manusia. Sesuatu benda tidak boleh dibaiki dengan sesuatu yang sama. Manusia jika diperbetulkan dengan sistem manusia, nescaya manusia itu akan semakin rosak binasa. Begitu juga ibaratnya api, jika dipadamkan dengan api, nescaya semakin marak membakarlah api tersebut..

Sama-sama kita fikir dan renung sejenak demi menyelamatkan masyarakat kita dari terus terjerumus ke lembah dosa. Tak mustahil kejadian ini akan berulang lebih teruk lagi daripada yang berlaku hari ini. Sayangilah nasib anak bangsa kita demi agama yang sama-sama kita dokongi ini..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, May 1, 2009

..Kita di Tahap Mana?..

Friday, May 1, 2009


Bertemu kembali di ruangan tazkirah Fajar Jumaat pada minggu ini. Kali ini Fajar Jumaat ingin mengajak sahabat-sahabat menilain kembali tentang status diri kita selaku seorang hamba yang diamanahkan oleh Allah Taala untuk menuntut ilmu sekaligus menjaga dan mengamalkannya..

Selaku seorang yang bergelar tolibul 'ilmi ini seharusnya kita mestilah memelihara ilmu yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada kita. Ilmu juga bukan hanya untuk difahami seorang diri sahaja tanpa menyebarkannya kepada orang lain. Bahkan skop bidang tugas kita selaku penuntut ilmu adalah lebih daripada itu..

Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik dalam perkara ini. Baginda yang pada asalnya merupakan seorang yang buta huruf namun akhirnya mampu mengusai ilmu dan menyampaikannya pula kepada penduduk Mekah ketika itu sehingga baginda berjaya menubuhkan kerajaan Islam pertama di Madinah selepas tersebarnya ajaran Islam..

Baginda telah mengklasifikasikan penuntut ilmu kepada 3 golongan dan membandingkan mereka dengan tanah;

1. Tanah yang gembur. Apabila menerima air hujan, tanah ini akan menyerap air tersebut dan daripadanya tumbuhlah pelbagai jenis tanaman yang menghasilkan buah-buahan yang manis dan enak dimakan. Ini adalah perumpaan orang yang menerima ilmu dan mengambil ilmu itu untuk dirinya dan mengajarkannya pula kepada orang lain bagi melahirkan generasi berilmu dan bermanfaat kepada masyarakat..

2. Tanah yang dapat menakung air, tetapi air itu tidak meresap ke dalam tanah dan tidak dapat digunakan oleh tumbuh-tumbuhan. Ini umpama orang yang menerima ilmu tetapi mereka menyimpan ilmu itu untuk diri sendiri dan tidak dapat memberi manfaat kepada orang lain..

3. Tanah yang amat keras permukaannya dan langsung tidak dapat menerima air hujan. Air hujan yang jatuh ke atasnya tidak akan diserap malah akan terus mengalir ke dalam longkang. Ini umpama orang yang langsung tidak menuntut ilmu maka jadilah mereka orang yang jahil dan tidak dapat memberikan manfaat kepada dirinya apatah lagi kepada orang lain. Inilah yang paling ramai dalam masyarakat kita pada hari ini..

Cuba kita koreksi bersama, kita tergolong dari golongan mana? Kalau yang pertama alhamdulillah, kalau yang kedua kita mestilah sedaya upaya untuk menjadi yang pertama. Di samping itu minta dijauhkan daripada kita tergolong di kalangan golongan yang ketiga. Mudah-mudahan kita semua dapat menjadi orang yang memberi manfaat kepada masyarakat. Wallahu a'lam..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, April 23, 2009

..Kecemerlangan Milik Bersama..

Friday, April 24, 2009


Assalamualaikum wrt. wbr..


Bertemu kembali sahabat-sahabat Shoubrawi yang dikasihi. Fajar Jumaat pada minggu ini masih lagi memfokuskan kepada imtihan yang sedang kita tempuhi kini. Kalau pada minggu lepas kita bercakap soal budaya yang sering diamalkan oleh sesetengah mahasiswa, kali ini kita berbicara tentang apa yang dinamakan sebagai ujian..

Kita sekarang sedang ‘berjuang’ di medan ‘ujian’ di dunia yang dinamakan imtihan. Lebih-lebih lagi di saat-saat genting sebegini, sudah tentu masing-masing sibuk membuat pecutan terakhir demi menatijahkan sesuatu yang terbaik buat diri dan keluarga. 'Ujian' ini bertujuan menguji setakat mana kefahaman kita dalam sesuatu madah yang kita pelajari. Akan tetapi harus diingat, kita belajar bukan untuk imtihan tetapi imtihan merupakan salah satu wasilah bagi menajamkan lagi kefahaman kita terhadap ilmu yang dipelajari..

Ramai pelajar-pelajar yang tersalah anggap bahawa belajar untuk imtihan. Jikalau ini yang mereka tanamkan dalam fikrah mereka, akibatnya selesai saja imtihan, mereka langsung akan melupakan ilmu yang mereka pelajari sebelum imtihan, kerana ilmu yang mereka belajar telah habis dikarang pada kertas jawapan dan ‘dicurahkan’ semaksima mungkin dalam dewan imtihan. Tidak hairanlah sekarang kalau kita dengar ramai graduan-graduan universiti baik dari bidang agama atau pun bukan agama yang ketandusan ilmu sebaik sahaja grad..

Itu baru 'ujian' dunia, kita sudah tidak mampu melepasinya, ini kan pula ujian sebenar yang akan kita tempuhi di 'negeri' yang abadi kelak. Walaupun kita semua sedia maklum bahawa soalan yang akan ditanya oleh mumtahin yang ditugaskan oleh Allah s.w.t iaitu munkar dan nakir sudah 'bocor', akan tetapi harus diingat bahawa soalan yang dianggap simple itu jawapannya tidak semudah seperti yang disangka..

Inilah perbezaan yang ketara antara imtihan dunia dan 'imtihan' akhirat. Di dunia, kita boleh menjawab soalan-soalan yang dikemukan oleh mumtahin berdasarkan kefahaman dan setakat mana kemampuan kita menguasai madah tersebut, berbeza dengan di akhirat..

Di sana, jawapan yang mampu kita berikan adalah berdasarkan kepada sejauh mana amalan yang kita lakukan di dunia sepanjang hayat kita dahulu. Kalau baik amalannya, maka mudahlah baginya untuk menjawab soalan-soalan tersebut, dan jikalau sebaliknya, maka kita tidak akan sesekali mampu menjawabnya walaupun diajar beberapa kali oleh ustaz-ustaz di masjid, surau, madrasah dan sebagainya termasuk kali terakhir diajar ketika talqin dibacakan..

Marilah kita menginsafi amalan yang kita lakukan selama ini, dengan cara kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bukan hanya setakat kita menyelamatkan diri kita sahaja, bahkan ahli keluarga, sahabat dan masyarakat kita. Semoga kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang soleh..

Kami barisan AJKT DPM (MAQAZ) Shoubra mengucapkan selamat menempuhi imtihan buat sahabat-sahabat semua. Semoga imtihan kali ini menjadi nuqtatul bidayah kecemerlangan dalam diri kita. Sama-sama kita realisasikan tema pendidikan kita pada tahun ini, ‘Kecemerlangan Milik Bersama’!

Nota: Bermula daripada minggu lepas, setiap artikel blog ini yang diterbitkan pada hari jumaat disiarkan dalam risalah mingguan DPM (MAQAZ) Shoubra iaitu Fajar Jumaat melalui Unit Penerangan & Penerbitan (UPP)..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, April 21, 2009

..Nilai Tudung Wanita..

Wednesday, April 22, 2009


Di sini ingin saya menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi semua muslimat. Namun, ini tidak bermakna muslimin boleh mengambilnya sebagai perkara enteng kerana muslimin juga mempunyai peranan penting dalam memastikan dan mendidik muslimat agar sama-sama berada dalam keredhaan Allah s.w.t..

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki..


Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia..


Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat..


Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini..


Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita itu pula. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki ajnabi. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab..


Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya..


Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?


Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya..

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang seolah-olah mencemari hukum Islam ini. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka merasa lebih bebas lagi dalam keadaan itu..


Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka..


Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian iaitu 'Ad-dakwatu bil hal'..


Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Seterusnya keluarga, masyarakat barulah terbentuknya negara..


Ini tidak bermakna kalau akhlak belum diperbaiki kita tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, islah diri dari masa ke semasa. Tudung di luar dan jangan lupa 'tudung' di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit yang boleh merosakkan hati..


Pun begitu, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggung jawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan seseorang itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain..


Kalau sudah mula menutup aurat, elakkan diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan kepada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah..


Apabila hal ini dapat kita perbaiki, barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Mulalah orang terpikat untuk mengamalkan Islam..


Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful". Semuanya bermula apabila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, April 18, 2009

..Keistimewaan Darah O..

Saturday, April 18, 2009


Usai solat subuh dan bacaan ma'thurat sempena qiam dan munajat mingguan semalam, pengerusi menjemput salah seorang sahabat tahun 1 bagi menyampaikan tazkirah subuh. Dalam tazkirahnya pagi itu beliau menghuraikan ayat 107 hingga 111 dari Surah At-Taubah..

Beliau bercerita tentang kronologi peristiwa penubuhan Masjid Dhirar oleh puak-puak munafiqin ketika itu. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa pentingnya kita bersatu di dalam jemaah ataupun persatuan yang ada dan betapa bahayanya menubuhkan jemaah lain yang pastinya akan membawa perpecahan dan kemurkaan Allah..

Apa yang menarik dalam tazkirahnya pagi itu, beliau sering mencelah dengan menyampaikan satu dua cerita supaya sahabat-sahabat pendengar tidak mengantuk. Salah satu cerita yang dibawa ialah tentang seorang kawannya yang agak istimewa..

Beliau hairan kenapa kawannya itu sepanjang keberadaan di bumi Mesir ini tidak pernah sekali pun terkena 'serangan' ataupun gigitan pijat. Pijat merupakan sejenis serangga yang sama seperti kutu iaitu menghisap darah. Akan tetapi kelebihannya ialah ianya mampu menghisap seluruh badan manusia berbanding kutu yang hanya kawasan sasarannya di kepala..

Setelah diselidik rupa-rupanya beliau mendapat tahu bahawa kawannya itu berdarah jenis O. Beliau dan rakan-rakan yang lain agak jelous kerana mereka sering saja menjadi mangsa gigitan pijat..

Setelah mendengar cerita ini barulah aku faham kenapa selama hampir 3 tahun aku di perlembahan Nil ini seekor pijat pun tidak berani menghisap darahku. Acap kali berlaku ketika tidur kawanku di sebelah langsung tak lena disebabkan menggaru-garu gatal gara-gara 'parasit' tadi sedangkan diriku nyenyak tidur tanpa gangguan..

Mungkin juga betul apa yang dikatakan itu. Samada ianya secara kebetulan ataupun tidak yang pasti bagi mereka yang berdarah O sepertiku dan juga sahabat tadi mampu tidur dengan lena tanpa diganggu..

Selain itu darah O juga boleh didermakan kepada sesiapa saja tanpa mengira jenis darah. Sepanjang hayatku baru sekali aku menderma darah iaitu pada bulan Ramadhan 1428 H sebaik saja selepas terawih. Ini jauh sekali dengan ayah yang sudah berpuluh kali menderma tetapi darahnya tidak boleh diderma sebarangan kerana berjenis O negatif yang hanya diperlukan pihak hospital ketika kecemasan sahaja..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, April 17, 2009

..Dilema Menjelang Peperiksaan..

Friday, April 17, 2009


Sedar tak sedar kita telah pun menghampiri fatrah imtihan yang akan menyusul tidak lama lagi. Kita selaku seorang yang bergelar mahasiswa sudah tentu akan menjadikan imtihan ini sebagai medan ujian dan tarbiah bagi diri kita demi kesinambungan kecemerlangan di masa-masa yang akan datang..

Barangkali kita semua telah melakukan persiapan yang lengkap baik dari segi rohani dan jasmani ke arah menuju kecemerlangan tersebut. Akan tetapi persoalan yang ditimbulkan adalah sejauh mana persiapan yang dibuat itu mampu menjadikan kita seorang hamba yang benar-benar ikhlas dalam amalannya..

Sebagai contoh, seringkali kita melihat di waktu imtihan bakal menjelang ramai di kalangan sahabat-sahabat kita mempersiapkan diri mereka dengan ‘kelengkapan’ rohani yang begitu mantap. Di waktu ini lah mereka mula mengenal masjid dan kepentingan solat berjemaah lima waktu. Tak ketinggalan, mereka juga berjaya mentarbiah diri mereka dengan melakukan amalan puasa sunat Isnin dan Khamis di samping bangun pada setiap malam untuk bermunajat dan mengadu kepada Yang Maha Esa.
.

Adakah suasana ‘meriah’ sebegini dapat kita lihat hanya ketika fatrah imtihan menjelang sahaja dan tatkala imtihan melabuhkan tirainya masjid-masjid kembali sepi seperti sedia kala? Bermakna jika tidak ada imtihan maka tidak adalah pahala berjemaah dan puasa sunat bagi kita?

Begitu juga dengan muraja’ah Al-Quran. Terlalu ramai di kalangan kita yang menjadikan imtihan sebagai satu ‘acara’ untuk memperkemaskan hafazan Al-Quran. Ketika inilah mereka mula ‘sibuk’ dengan Al-Quran sehingga kadang-kadang tidak sempat melakukan aktiviti-aktiviti harian lain. Sebelum ini Al-Quran hanya diulang ketika ‘waktu menunggu’ sahaja seperti ketika di dalam bas, sebelum sesuatu program bermula dan sebagainya. Itu pun hanya beberapa helaian Al-Quran saja yang sempat disentuh. Dengan kata lain jika imtihan tidak wujud, maka Al-Quran akan ditinggalkan berbulan-bulan malah bertahun-tahun tanpa diulang..

Hal ini seolah-olah sudah menjadi trend di kalangan kita. Mereka menjadikan imtihan sebagai platform untuk mendekatkan diri (taqarrub) dengan Sang Pencipta yang menentukan segala-galanya. Sepatutnya budaya ini tidak berlaku lebih-lebih lagi kita selaku golongan agama yang digelar sebagai hamalatul quran yang lebih memahami konsep keikhlasan dalam diri..

Sama-samalah kita bermuhasabah dan kembali beristighfar terhadap dosa dan kelalaian kita selama ini. Janganlah ketika gendang imtihan mula dipalu barulah kita berazam untuk meninggalkan perkara-perkara lagha dan maksiat. Mudah-mudahan kita diberikan taufiq, petunjuk dan kekuatan oleh Allah Taala dalam menghadapi imtihan pada kali ini..

Siiru 'ala barkatillah..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, March 11, 2009

..Jom Layan..

Wednesday, March 11, 2009

Sempena dengan berakhirnya siri road show biah solehah dua hari lepas, di sini aku ingin mengajak pembaca-pembaca sekelian sama-sama kita menonton dan menghayati slide show biah solehah yang telah disediakan oleh Unit Promosi Biah Solehah PMRAM 2008/2009..

Harap para pembaca dapat spend masa 8 minit demi manfaat kita bersama




Ayuh, kita laksanakan kempen biah solehah!
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, February 14, 2009

..Valentine Day : Sejarah & Iktibar..

Saturday, February 14, 2009


Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih ini dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah..

Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah HARAM. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian..

Sejarah Sambutan Hari Valentine

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya;

Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun..

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka..

Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini;

Versi pertama: Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara..

Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya..

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada kekasihmu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine..

Versi kedua: Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M..

Pendapat ketiga mengatkan ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim..

Pendapat keempat pula mendakwa sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang mana musim mengawan burung tersebut jatuh pada 14 Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris..

Hukum Sambut Valentine

Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam. Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh ulamak bahawa hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Ini sebagaimana yang firman Allah SWT yang bermaksud:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (Surah al-Hajj: 67)

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959)

Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan sebagainya..

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween, April Fool dan juga Hari Valentine yang sedang disambut oleh sebahagian remaja Islam pada hari ini..

Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. agar tidak meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini dibimbangi akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda:

"Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512)

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”. Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT. Firman Allah dalam Al-Quran:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (Surah al-Baqarah: 120)
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP