Sedar tak sedar kita telah pun menghampiri fatrah imtihan yang akan menyusul tidak lama lagi. Kita selaku seorang yang bergelar mahasiswa sudah tentu akan menjadikan imtihan ini sebagai medan ujian dan tarbiah bagi diri kita demi kesinambungan kecemerlangan di masa-masa yang akan datang..
Barangkali kita semua telah melakukan persiapan yang lengkap baik dari segi rohani dan jasmani ke arah menuju kecemerlangan tersebut. Akan tetapi persoalan yang ditimbulkan adalah sejauh mana persiapan yang dibuat itu mampu menjadikan kita seorang hamba yang benar-benar ikhlas dalam amalannya..
Sebagai contoh, seringkali kita melihat di waktu imtihan bakal menjelang ramai di kalangan sahabat-sahabat kita mempersiapkan diri mereka dengan ‘kelengkapan’ rohani yang begitu mantap. Di waktu ini lah mereka mula mengenal masjid dan kepentingan solat berjemaah lima waktu. Tak ketinggalan, mereka juga berjaya mentarbiah diri mereka dengan melakukan amalan puasa sunat Isnin dan Khamis di samping bangun pada setiap malam untuk bermunajat dan mengadu kepada Yang Maha Esa..
Adakah suasana ‘meriah’ sebegini dapat kita lihat hanya ketika fatrah imtihan menjelang sahaja dan tatkala imtihan melabuhkan tirainya masjid-masjid kembali sepi seperti sedia kala? Bermakna jika tidak ada imtihan maka tidak adalah pahala berjemaah dan puasa sunat bagi kita?
Begitu juga dengan muraja’ah Al-Quran. Terlalu ramai di kalangan kita yang menjadikan imtihan sebagai satu ‘acara’ untuk memperkemaskan hafazan Al-Quran. Ketika inilah mereka mula ‘sibuk’ dengan Al-Quran sehingga kadang-kadang tidak sempat melakukan aktiviti-aktiviti harian lain. Sebelum ini Al-Quran hanya diulang ketika ‘waktu menunggu’ sahaja seperti ketika di dalam bas, sebelum sesuatu program bermula dan sebagainya. Itu pun hanya beberapa helaian Al-Quran saja yang sempat disentuh. Dengan kata lain jika imtihan tidak wujud, maka Al-Quran akan ditinggalkan berbulan-bulan malah bertahun-tahun tanpa diulang..
Hal ini seolah-olah sudah menjadi trend di kalangan kita. Mereka menjadikan imtihan sebagai platform untuk mendekatkan diri (taqarrub) dengan Sang Pencipta yang menentukan segala-galanya. Sepatutnya budaya ini tidak berlaku lebih-lebih lagi kita selaku golongan agama yang digelar sebagai hamalatul quran yang lebih memahami konsep keikhlasan dalam diri..
Sama-samalah kita bermuhasabah dan kembali beristighfar terhadap dosa dan kelalaian kita selama ini. Janganlah ketika gendang imtihan mula dipalu barulah kita berazam untuk meninggalkan perkara-perkara lagha dan maksiat. Mudah-mudahan kita diberikan taufiq, petunjuk dan kekuatan oleh Allah Taala dalam menghadapi imtihan pada kali ini..
0 comments:
Post a Comment