Showing posts with label Catatan Diri. Show all posts
Showing posts with label Catatan Diri. Show all posts

Wednesday, January 20, 2010

..Update..


Terkejut! Itulah yang dapat diungkapkan tatkala melihat blog list dalam blog-blog yang turut memaparkan blog ini. Tiga ayat yang tercatat di situ. Catatan Perjuangan (nama blog), Hakikat Perjuangan (posting terakhir) dan 3 months ago. Ayat terakhir itulah yang membuatkan diri ini terkejut. Mafhum mukholafahnya, blog ini dibiarkan sepi lagi untuk kali yang seterusnya.

Apa lagi alasan yang nak diberikan untuk memujuk hati para pembaca blog ini. Yang pasti semua alasan tidak boleh dijadikan sebab musabab blog ini terus ketandusan dari tugas utamanya iaitu 'memberi' dan terus memberi sesuatu untuk pembaca. Kita tidak lagi boleh menyalahkan kekangan masa kerana pepatah Melayu ada menyebut 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Kadang-kadang banyak masa dihabiskan untuk perkara-perkara tidak berapa penting. Kadang-kadang pula program banyak menjadikan banyak cerita dan idea yang hendak dikongsi dengan para pembaca, tapi jari pula enggan memberi kerjasama.

Ala kulli hal, diharapkan dengan posting pertama di tahun baru 1431 hijrah dan 2010 masihi ini menjadi nafas baru kepada blog ini dalam menyampaikan maklumat, risalah dan dakwah kepada para pembaca di luar sana.

Kesempatan yang terbatas ini juga saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat hari lahir yang ke 48 buat mak. Semoga mak bahagia dan panjang umur untuk terus menjadi hambaNya yang solehah. Terima kasih atas tarbiah, teguran, nasihat dan leteran mak sehingga Alim berjaya hari ini. Alim sayang mak!

p/s: mabruk buat sahabatku, Akh Syamshul dan Ukht Mursyidah atas kelahiran mujahidah comel penyeri hidup.
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, October 15, 2009

..Hakikat perjuangan..


Entah di mana silapnya, blog ini terus dibiarkan sepi lagi. Mungkin kerana kekangan masa kebelakangan ini yang meyebabkan kesepian ini menyelubungi. Bayangkan, kalau hari-hari bekerja boleh dikatakan hampir sehari suntuk berada di sekolah. Di sebelah pagi mengajar kelas pagi dan di sebelah petang pula mengajar kelas KAFA. Malam pula diisi dengan program di surau masjid dan kadang-kadang berusrah serta mengikuti program jemaah di sana-sini.

Hari minggu dan hari-hari cuti juga begitu. Biasanya ada saja program-program yang diikuti. Walaupun tidak sehebat ayah dari sudut cas ligasnya, akan tetapi itu sudah cukup mengajar diri ini erti pengorbanan terutamanya dari sudut masa dalam perjuangan. Apabila sebut saja perjuangan, kita perlu banyak berkorban terutamanya dari segi tenaga, masa dan harta benda.

Inilah yang dikatakan sunnah orang berjuang. Mereka menempuh susah dan payah dalam medan yang mencabar ini. Segala kepahitan terpaksa ditelan kerana kebenaran yang dibawa. Matlamatnya adalah satu, untuk mencari redha Allah walaupun ramai manusia yang tidak redha dengan tindakan betul yang diambil ini. Perkataan berupa cemuhan, tohmahan dan cacian sudah lali di telinganya. Mereka langsung tidak mengendahkannya kerana kepahitan inilah yang memberikan kemanisan kepada mereka di syurga kelak.

Sejak akhir-akhir ini saya sering diajukan soalan-soalan cepu mas seperti "bila nak kahwin?", "tahun depan buat tiga pasang sekaligus ke?" (abang dan adik perempuan sulung saya akan 'membina masjid' awal tahun depan). Kadang-kadang saya tidak memberikan jawapan, biarlah masa dan takdir yang menentukannya. Ada juga yang saya berikan jawapan yang saya sudah pun berkahwin. Mula-mula memang terkejut mendengarnya. Bila dijelaskan baru mereka mengerti.

Sebenarnya, 'perkahwinan' yang saya maksudkan adalah antara saya dengan perjuangan. Itulah 'isteri' saya selama ini. Siang dan malam asyik memikirkan agenda bersama 'isteri' saya ini. Bermakna, jodoh sebenar saya yang akan menyusul selepas ini (insya Allah) akan 'dimadukan' olehnya. Pun begitu, saya teramat bimbang jika saya mengabaikan masa saya bersamanya dan takut-takut saya menjadi 'suami' yang tidak bertanggung jawab terhadapnya. Kadang-kadang juga berfikir ''layakkah aku menjadi 'suami'mu?''

'Beristerikan' perjuangan ini bukannya mudah. Bahkan tanggung jawabnya kadang-kadang lebih besar daripada isteri yang 'kedua'. Lebih-lebih lagi jika kita diberi taklifan dan jawatan dalam sesuatu tanzim. Ketika di awal kepulangan saya baru-baru ini saya diamanahkan oleh ayah untuk mengikat kembali para pemuda dan remaja di cawangan ini kepada jemaah. Saya sedar, bukan senang untuk melenturkan hati manusia kerana ianya lebih keras daripada besi. Akan tetapi saya berpegang kepada satu kata-kata yang berbunyi, "setitis air yang menitis ke atas batu yang keras, lama-kelamaan batu itu akan lekuk juga".
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, August 31, 2009

..Melayan kerenah murid..


Semalam merupakan hari pertama saya di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang. Saya diminta mengajar subjek Agama Islam dan Pendidikan Seni bagi semua murid Tahun 4. Pada sebelah petang pula saya mengajar Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) di situ. Bermakna sehari suntuk saya berada di sekolah kecuali hari Selasa dan Khamis kerana kelas KAFA hanya tiga hari seminggu.

Walaupun agak letih melayan seribu macam kerenah murid-murid dari pagi sampai ke petang, tapi saya berasa cukup puas kerana inilah cabaran yang mesti dilalui oleh seseorang yang ingin bergelar pendidik. Mungkin pengalaman sebelum ini agak berbeza. Sebelum ini saya pernah mengajar selama 4 bulan di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang (dahulu dikenali sebagai KIST), dan hanya mentasmi' Al-Quran bagi pelajar tingkatan 1 di samping mengajar madah arab (seperti Nahu, Sorof, Hadis, Tajwid dll) serta madah Bahasa Arab Komunikasi (BAK) bagi pelajar tingkatan 3.

Berhadapan dengan pelajar sekolah menengah berbeza dengan pelajar sekolah rendah. Pelajar sekolah rendah memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Ini kerana mereka masih lagi tercari-cari arah mana yang mereka hendak pilih lebih-lebih lagi murid di kelas belakang yang agak ketinggalan. Bagi murid kelas belakang, guru mestilah tegas dalam masa yang sama berlemah lembut agar murid tidak mudah 'naik atas kepala' guru. Berlemah lembut agar mereka tidak mudah terasa dan bimbang jika guru terlalu tegas akan mengundang kebencian mereka kepada guru.

'Ala kulli hal sudah menjadi fitrah kanak-kanak bersifat sebegitu. Tidak dinamakan manusia jika tidak bersifat nisyan (lupa). Begitu juga dengan kanak-kanak. Tidak dinamakan kanak-kanak jika tidak bersifat nakal. Mujur saya sudah biasa dengan kerenah anak-anak murid seusia ini, jadi ianya dapat mengurangkan tekanan dalam diri saya. Mudah-mudahan anak-anak itu akan menjadi insan berguna suatu hari kelak.
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, August 24, 2009

..Seminggu di tanah air..


Alhamdulillah, hari ini sudah genap seminggu keberadaanku di bumi bertuah ini. Kepulanganku disambut oleh semua ahli keluarga walaupun pada tarikh tersebut merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pasir. Ayah terpaksa melewatkan perancangannya untuk bertugas di sana kerana menyambutku pulang..

Sepanjang tempoh seminggu ini, banyak perkara suka dan duka yang telah berlaku. Selepas sehari tiba di sini, keesokan harinya keluar bersama ayah ke pejabat BPPNT di Taman Seri Intan. Sudah sekian lama tidak berkunjung di sini. Kebetulan adik-adik lepasan SMAASZA Batu Burok berkhidmat di situ sementara melanjutkan pengajian ke Mesir. Gembira dapat bertemu dan berbual dengan mereka. Yang mengagumkan, ada di antara mereka yang menolak tawaran pinjaman Yayasan Terengganu (YT) walaupun mereka diterima untuk mendapat pinjaman tersebut..

Setibanya di rumah petang itu saya mendapat panggilan daripada Guru Besar SK Pasir Panjang. Beliau menanyakan saya samada ingin menjadi guru ganti di sekolahnya memandangkan seorang ustazah di situ yang cuti bersalin selama dua bulan. Tanpa berfikir panjang saya terus menerima pelawaan Guru Besar tadi. Beliau meminta saya datang berjumpa dengannya di sekolah pagi esok..

Setelah berbincang dan meneliti sijil-sijil akademik saya, beliau meminta saya ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan ke Menara Yayasan Islam Terengganu untuk berjumpa pegawai di sana. Saya dimaklumkan akan mula mengajar bermula 30 Ogos ini (selepas sesi persekolahan dibuka)..

Pulang ke rumah petang itu saya mula rasa tak sedap badan. Tubuh saya panas macam orang demam. Sehingga tak dapat bangun ke surau malam itu. Pagi esoknya pergi berjumpa doktor dan alhamdulillah saya hanya demam biasa. Mungkin saya terlalu berjemur panas sehari dua ini menyebabkan mudah dijangkiti demam. Dua hari berehat di rumah sebelum Ramadhan menjelang. Hanya terlantar bertemankan ubat dan tidak keluar rumah..

Malam 1 Ramadhan saya sudah pulih sepenuhnya. Mujur dapat naik imam terawih malam itu, kalau tidak mungkin akan menghampakan harapan jemaah di sini. Malam keesokannya di Masjid Kg Batin dan begitulah berselang hari antara Surau Al-Mawaddah dan Masjid Kg Batin, Seberang Takir..

Terkilan juga tak dapat membantu sahabat-sahabat di Permatang Pasir. Di saat ayah, abang dan adik-adik lelaki turun berjuang di sana, saya diminta untuk menjaga 'kubu' di sini. Insya Allah PRK selepas ini saya tekad untuk turun membantu. Sama-sama kita berdoa agar Allah memberikan kemenangan kepada Islam di sana..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Sunday, August 16, 2009

..Catatan ringkas..

Saya sekarang sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air. Bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah jam 12.30 tengahari semalam (waktu Mesir) dan kini sudah selamat sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura..

Kurang dua jam lagi akan bertolak ke Kuala Lumpur dan terus ke Kuala Terengganu. Saya dijangka sampai di Lapangan Terbang (separuh) Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu jam 3.45 petang ini..

Doakan perjalanan saya selamat. Kepada sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan bertemu di mator (airport) pagi semalam, saya memohon ampun dan maaf sepanjang mengenali antum. Insya Allah panjang umur kita bertemu lagi. Kalau tidakk sempat pun, insya Allah mudah-mudahan Allah mempertemukan kita di syurga yang abadi kelak, ameen..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, July 24, 2009

..Amanah bukan bebanan..


Blog ini sudah dua tiga hari 'kaku'. Bagi mereka yang kerap 'bertandang' ke sini nescaya tiada 'hidangan' baru yang dihidangkan oleh tuan rumah melainkan 'hidangan-hidangan' yang sudah sedia ada. Bukan tuan rumah enggan melayan tetamu-tetamu semua, tetapi oleh kerana ketiadaan ruang masa dan kelapangan menyebabkan tetamu terpaksa 'diabaikan' untuk sementara waktu ini. Tuan rumah memohon maaf..

Kira-kira seminggu lebih sahaja lagi bakal berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Perwakilan Mahasiswa [MAQAZ] Shoubra kali ke 17. Program tahunan itu dijangka akan diadakan pada 3 Ogos depan. Bermakna kami barisan AJKT sudah berkira-kira untuk turun 'takhta' dan meletakkan jawatan. Sisa-sisa yang masih ada ini saya cuba menyelesaikan kerja-kerja yang masih lagi belum selesai sepenuhnya. Hal ini mengakibatkan saya jarang kelihatan di rumah. Mujur ahli bait memahami..

Kerja yang menjadi tumpuan dan paling berat ialah Suara Kampus edisi MAQAZ (SUKMA) bilangan 15 yang masih dalam proses penerbitan. Doa-doakan semoga proses tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sanggup bekerja keras demi merealisasikannya..

Saya tidak mahu meninggalkan sesuatu bebanan kerja kepada mereka yang akan menggantikan tempat saya nanti. Biarlah kita meninggalkan sesuatu amanah dan taklifan dalam keadaan yang sempurna. Itu prinsip yang saya pegang. Biarlah kita berusaha keras siang dan malam sekalipun tidak cukup rehat dan sebagainya. Semoga kesinambungan perjuangan DPM ini dapat diteruskan oleh generasi kepimpinan selepas ini..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, July 16, 2009

..Gen-14 dapat 'anak saudara' baru..


Pada 1 Julai lepas, kami generasi ke 14 Ma'had Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu (MTANT) yang kini digelar Institut Al-Quran Terengganu (IQT) telah menimang 'anak saudara' kedua. Bayi lelaki seberat kira-kira 3 kg ini lahir dari pasangan sahabat kami, Akh Abdullah Al-Mukhlis bin Abdul Rahman @ Abdul Aziz dan Ukht Nurul Hidayah binti Musilehat..

Sebelum ini bulan Jun lepas, kami telah menimang 'anak saudara' sulung hasil perkongsian hidup sahabiah kami, Ukht Jueziatul Husna binti Arifin dan Ustaz Haji Mohd Hafas bin Haji Ali. Ustaz Hafas mewakili Terengganu dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung sekarang di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh, Perak. Bayi perempuan mereka kini berusia sebulan lebih..

Baru-baru ini saya bersama beberapa orang sahabat telah menziarahi baby comel ini di kediaman walidnya di Jabal Muqattam, Kaherah. Kebetulan pagi itu bayi yang di beri nama Muhammad Habiburrahman ini baru selesai di tahnikkan oleh Syeikh Dr. Yusri di masjidnya. Selang keesokannya di adakan pula majlis aqiqah dan kesyukuran sempena kelahirannya..

Tambah menggembirakan, selepas 5 hari kelahirannya, walidnya mendapat berita najah sofi dalam imtihan syahadah dan merupakan pelajar wafidin (asing) yang mendapat markah paling tinggi dengan memperoleh 80%. Bermakna sahabat kami ini mendapat dua hadiah sekaligus. Pertama kelahiran Habiburrahman, kedua kejayaan dalam imtihan..

Mungkin ada benarnya juga kata orang tua-tua, "rezeki anak-anak." Mungkin inilah rezeki dari kelahiran Habiburrahman. Semoga kelahirannya membawa seribu satu sinar kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah kepada pasangan sahabat kami ini. Kami 'ammu dan 'ammah dari gen-14 mendoakan agar Habiburrahman menjadi anak yang soleh..

Tahniah kepada Akh Mukhlis dan Ukht Nurul Hidayah. Mana-mana ahli gen-14 yang sudah ada calon eloklah di segerakan. Perkara 'membina masjid' ini jangan tangguh-tangguh lagi, selesaikan segera. Semoga semakin ramai zuriat yang soleh dan solehah pewaris gen-14 yang bakal lahir, insya Allah..

p/s: lihatlah gambar di atas betapa nyenyaknya Habiburrahman tidur di pangkuan 'ammu 'Alim..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, July 6, 2009

..Syukur padaMu Ya Rabb..


Control natijah imtihan telah diumumkan semalam. Ianya disiarkan melalui sebuah laman web dan boleh didapati dengan hanya memasukkan nombor angka giliran pelajar. Dari segi sistem pengurusan Mesir sudah setapak maju ke hadapan, tetapi dari segi undang-undang dan peraturan negara ini masih lagi ketinggalan di belakang jika terus-menerus mengamalkan 'sistem di bibir mulut'..

Pagi tadi pula natijah tersebut telah dihebahkan untuk rujukan para pelajar dan tujuan pengesahan. Hasilnya boleh dikatakan 50 peratus pelajar takhassus Qiraat bagi ikhwah najah sofi (lulus semua subjek) berbanding akhawat (cawangan Mansurah) seramai kira-kira 10 peratus..

Pada mulanya saya amat takut untuk melihat control natijah di internet semalam. Lebih-lebih lagi di hadapan kawan-kawan yang tak sabar-sabar menantikan keputusannya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bagai nak pecah dada ini menanti keputusan diakses setelah nombor giliran 400** dimasukkan..

Tapi alhamdulillah, Allah telah mengurniakan satu lagi nikmat kepada saya dan kawan-kawan yang lain. Setelah diteliti tengahari tadi, saya memperoleh markah keseluruhan sebanyak 78 peratus. Bagi sahabat-sahabat yang 'masih lagi diuji', jangan putus asa. Kuatkan semangat, masih ada lagi satu peluang untuk perbaiki kekurangan ini. Lakukan yang terbaik dalam daur thani (repeat paper) bulan depan. Insya Allah, Allah pasti akan bersama-sama dengan hambaNya yang bermujahadah..

Syukur padaMu ya Allah atas kurniaan nikmat ini. Terima kasih mak dan ayah serta abang dan adik-adikku atas doa kalian. Juga buat para masyayikh yang tak jemu-jemu menunjuk ajar anak didikmu ini. Tak lupa buat sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong dan membantu serta mendoakanku. Terakhir buat ahli bait juniorku, Pa yang sanggup menjadi tukang masak kami ketika kami sibuk dengan imtihan. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa-jasa kalian semua. Jazaakallahu khairal jazaa'..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, July 4, 2009

..Debaran Menanti..


Udara pagi ini sungguh nyaman dan dingin. Kedinginannya 'mendakap' kemas sekujur tubuhku yang kepanasan ini. Tambahan pula sejak kelmarin lagi tubuh ini kepanasan dilanda demam. Mungkin kerana terlalu 'leka' berjemur di tengah terik mentari. Tarbiah dari Allah ke atas diriku yang sering alpa..

Kebetulan, minggu ini terlalu padat dengan aktiviti. Bermula dengan jemputan kahwin, Kejohanan Piala Exco dan Bazaria. Yang terakhir, majlis penutup program musim panas Liqa' Mahabbah 2009 (LIMA '09). Sepatutnya acara penutup ini dijadualkan pada 30 Jun, tetapi terpaksa dianjak keesokan harinya kerana kebetulan 'datuk-datuk' barisan Badan Pengurus (BP) PMRAM akan turun untuk menziarahi 'cucu-cucu' kesayangan mereka di Shoubra..

Dengan berakhirnya LIMA '09, maka selesailah program mega bagi DPM [MAQAZ] Shoubra untuk sesi ini. Tinggal lagi, urusan-urusan yang masih lagi belum diselesaikan yang perlu disiapkan sebelum menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang dijangka berlangsung pada 1 Ogos depan..

Ketika bazar berlangsung baru-baru ini, khabar angin yang bertiup di situ mengatakan yang natijah imtihan syahadah akan diumumkan pada hari Sabtu (semalam). Bila ditanya seorang dua kawan, ramai yang menjawab "tak dapat berita pun keluar natijah hari ni.." Ini bermakna kami masih lagi dalam penantian..

Walaupun penantian ini tidaklah satu penyiksaan bagi kami, tetapi jauh di sudut hati kami juga bimbang jika sekiranya natijah itu nanti menatijahkan sesuatu yang bakal 'menyiksa' naluri kami, na'uzubillah..

Samada hari ini atau esok natijah itu diumumkan, kami pasti akur. Walaupun kami sudah berusaha sehabis daya terbaik yang mampu kami lakukan, namun Allah lebih tahu apa yang terbaik bagi hambaNya. Benarlah firman Allah yang bermaksud:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui"
Al-Baqarah, ayat 216

Ya Allah, kurniakanlah kejayaan kepadaku dan sahabat-sahabatku. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi..

p/s: Thanks buat Rdhanz for a new award..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, June 23, 2009

..Dedikasi untuk daddy..

Saya kira masih tidak terlalu lewat untuk saya merakamkan ucapan penghargaan kepada insan yang telah banyak berkorban untuk saya selain daripada mak. Tak lain tak bukan itulah ayah. Saya hanya punya satu ayah di dunia ini, tiada dua. Saya amat bertuah bergelar anaknya. Itulah dia Ustaz Zakaria Dagang..

Ayah sememangnya seorang yang amat tegas dalam mentarbiah anak-anak. Walaupun tubuh kami sering saja pedih terkena penangan rotan ayah, akan tetapi itulah satu-satunya method yang mampu menyedarkan kami akan erti sebuah kasih sayang. Memang benar kata orang, benci tanda sayang. Walaupun raut mukanya merah menahan marah, jauh di sudut hatinya ayah amat menyayangi anak-anaknya..

Lihat saja apa yang telah dicapai oleh anak-anaknya hari ini. Mana mungkin kejayaan anak-anaknya tercapai tanpa merasai tarbiah sebegitu hebat. Ayah mahukan anak-anaknya berjaya dalam syakhsiah dan akhlaq di samping kejayaan dalam bidang akademik. Masih ku ingat lagi pesanan ayah ketika usrah keluarga mingguan di rumah, "biarlah keluarga kita jadi contoh kepada orang lain. Ayah nak anak-anak ayah ada prinsip hidup dan bukannya terikut-ikut dengan kawan-kawan lain." Itulah kata-kata keramatnya pada kami..

Ayah lebih banyak menggunakan kaedah 'tarbiah dalam diam'. Bukan seperti sesetengah orang yang memaki hamun dan memarahi anaknya. Apa yang paling terkesan di hati kami ialah ayah sering mengunci pintu rumah sebaik saja hampir masuk waktu maghrib ketika kami dilekakan dengan permainan bola sepak di padang berhampiran rumah. Kerana ayah sering berpesan, "10 minit sebelum orang bang (azan) berhenti main dan bersiap untuk ke surau". Ayah hanya berpesan sekali saja. Kalau lambat bersiap, alamatnya bersedialah untuk 'disoal siasat' selepas ayah pulang dari mengajar di surau atau masjid..

Itu kisah ketika kami masih kecil. Kini ayah boleh berbangga dengan anak-anaknya yang sering mengikutnya ke surau masjid. Bukan senang ingin mengajak kelima-lima anak lelaki untuk ke masjid dan surau lebih-lebih lagi anak-anak yang sudah besar panjang. Tapi ayah mampu melakukannya hasil tarbiah yang diberikan kepada kami sejak kami di peringkat 'rebung' lagi. Yang paling penting ayah ingin mewakafkan kesemua anak-anaknya untuk perjuangan Islam..

Ayah tidak pernah mengecewakan kami. Apa saja permintaan kami dipenuhinya walaupun kehidupan kami tidak sesenang orang lain. Ayah pasti mengotakan janjinya untuk kami. Ayah sanggup berkorban wang ringgit demi anak-anak. Biarlah ayah tak merasa asalkan anak-anaknya gembira. Terharu melihat kesungguhan ayah menghantarku sehingga ke KLIA ketika mula-mula menjejakkan kami ke bumi orang ini. Ayah sanggup membeli tiket di saat-saat akhir demi memberikanku semangat untuk berjuang di negeri orang..

Perasaanku ini terlalu rindukanmu ayah. Rindukan kalam-kalam mau'izah dan tasyji' darimu. Rindukan suasana meriah bersama keluarga kita. Rindu juga untuk menjadi drivermu tatkala ayah sibuk berceramah dan berprogram di sana sini. Tiap kali bila berjauhan begini perasaan-perasaan itu sering bermain di hati ini. Lantas saya memutarkan lagu ini untuk menenangkannya. Terimalah lagu ini khas buatmu ayah..



Ayah bersama mak dan Piyah ketika penamaan calon PRK Bukit Gantang

Pasangan paling ideal ketika selesai proses penamaan calon PRK Kuala Terengganu

Menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak miskin di Kemboja

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, June 18, 2009

..Alhamdulillah..


Lafaz syukur dan tahmid memuji Allah tidak putus-putus dilafazkan oleh sebilangan besar pelajar tahun tiga sebaik saja tamat imtihan syahadah bagi madah (subjek) Tarajim Qurra' pagi tadi. Setelah hampir tiga minggu berhempas pulas memerah otak, akhirnya kami berjaya melunaskan 'misi' yang telah lama dinanti-nantikan itu..

Bukan mudah menanti saat-saat manis ini, lebih-lebih lagi laluan menghampiri garisan penamatnya begitu mencabar sekali. Memang madah Tarajim Qurra' bukan semudah yang disangka. Ianya memerlukan ingatan yang tajam bagi menguasai madah tersebut. Bayangkan, kami perlu menghafal riwayat hidup kesemua imam qiraat sepuluh. Itu tak termasuk dengan rawinya sekali. Setiap imam mempunyai dua orang rawi yang termasyhur. Contohnya qiraat yang kita baca iaitu Imam 'Asim, baginya dua perawi iaitu Syu'bah dan Hafs. (Bacaan kita adalah mengikut riwayat Hafs)..

Selesai imtihan pagi tadi, sesi fotografi diadakan di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP) DPM [MAQAZ] Shoubra. Kenangan hari-hari terakhir di tempat kami menadah ilmu dirakamkan. Rata-rata semuanya kelihatan ceria. Bayangan tanah air tercinta sudah menjelma. Ada yang sudah menempah tiket untuk pulang, terutamanya mutazawwijin yang merindui isteri dan anak-anak di kampung. Paling awal petang esok, selepas Jumaat. Mudah-mudahan penantian insan tersayang dibalas dengan secebis kejayaan, insya Allah..

Justeru, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Taala kerana dengan limpah dan 'inayahNya jugalah kita berjaya sampai ke 'garisan penamat'. Kita telah berusaha sedaya mungkin, tinggal lagi tawakkal dan berserah diri kepadaNya. Cuma yang penting tingkatkan lagi amalan dan doa agar kita dikurniakan kejayaan yang diimpikan kita semua selama ini..

Selepas ini, banyak kerja yang tertangguh sebelum imtihan menanti untuk disettlekan. Antaranya kerja-kerja penerbitan Suara Kampus Edisi MAQAZ (SUKMA) bilangan 15 yang sudah menghampiri fasa ketiga. Selepas ini juga para tetamu bolehlah berkunjung ke rumah kami kerana kami sudah bersedia untuk diganggu. Sebentar tadi baru saja pulang sekumpulan tetamu dari Hayyu 'Asyir yang datang menjemput kami ke majlis akad nikah salah seorangnya pada Khamis depan. Semoga semuanya selamat dan berjalan lancar..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, June 10, 2009

..Cucu Dagang Berpindah..



Salam kasih sayang buat semua pengunjung setia blog Cucu Dagang ini, diharapkan semua di dalam keadaan sihat wal 'aafiah hendaknya. Untuk makluman, baru-baru ini dua hari sebelum saya menduduki imtihan akhir yang bermula pada 3 Jun, telah terjadi 'sesuatu' yang tidak diingini pada blog ini dan 'kejadian' tersebut menyebabkan sesetengah pengunjung berasa hairan dan pelik setiap kali mengunjungi blog ini. Ada yang sampai sakit mata membacanya..

Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenarnya. Setelah 'beristikharah' dengan hati sendiri, maka saya nekad untuk 'berpindah' ke rumah baru yang lebih selesa. Keputusan ini diambil demi kepuasan hati pengunjung-pengunjung juga, bukan hanya sekadar kepuasan semata-mata..

Sebenarnya saya telah berdepan dengan risiko. Saya terpaksa juga berpindah walaupun imtihan masih belum berakhir. Berpindah 'rumah' maya ini bukan semudah yang disangka. Sebelum berpindah terpaksa 'packing' 'barang-barang' penting untuk dihias di 'rumah' baru nanti. Tambahan pula rangkaian wireless yang teramat lemah seminggu dua ini sehingga menyakitkan hati saya merumitkan lagi kerja-kerja pemindahan. Saya sedar, mungkin ini juga ujian di kala saya sedang sibuk dengan ujian memerah minda di dewan imtihan..

'Ala kulli hal, perpindahan ini masih lagi belum sempurna. Banyak lagi yang saya perlu renovate dan menambah hiasan-hiasan agar kelihatan lebih cantik. Harap pengunjung sekalian bersabar. Doakan saya untuk imtihan jam 9 pagi ini (waktu Mesir). Saya masih lagi ada 3 kertas berbaki untuk dihabiskan pada Khamis depan. Syukran jaziilan, baarakallahu fiikum..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, May 27, 2009

..Kami Pun Terkena..



Sebentar tadi saya terbaca dalam blog Dari Gaung Hati berkenaan kisah sekumpulan lelaki yang datang ke rumah-rumah berhampiran dan menyembur asap yang kononnya bagi membasmi wabak nyamuk (denggi) dan babi (influenza H1N1). Mereka mendakwa mendapat kebenaran dari pihak kerajaan untuk berbuat demikian. Kebanyakan mangsa adalah penduduk kawasan pedalaman dan ceruk-ceruk kampung yang mudah terpedaya dengan tindak-tanduk 'pegawai' seperti mereka ini. Kisah selanjutnya boleh di baca di sini..

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan artikel tersebut ialah kisah yang berlaku di sekitar negeri Pahang ini sama seperti yang turut berlaku kepada kami di sini. Kira-kira dua minggu lepas setelah rumah kami kehilangan rangkaian internet, kami didatangi oleh sekumpulan arab (dua lelaki dan seorang wanita). Mereka adalah lingkungan pertengahan 20-an. Mereka mendakwa ditugaskan untuk meletakkan ubat seperti racun perosak dalam rumah sekitar bagi membasmi wabak influenza yang sedang merebak ketika itu..

Tanpa mengesyaki sesuatu, kami membenarkan mereka masuk ke dapur dan bilik air. Selepas selesai membubuh 'ubat' di dalam sinki dan mangkuk tandas, salah seorang dari mereka berpesan agar tidak dibuka paip air melainkan selepas 15 minit. Kami mengangguk faham..

Tugas mereka tidak terhenti setakat itu saja. Mereka tidak lagi beredar keluar walaupun dua lelaki tadi telah naik ke atas 'mengunjungi' rumah kawan kami pula di tingkat atas. Yang masih tercegat di depan pintu rumah kami adalah seorang wanita. Wanita itu menyerahkan sekeping
faturah (resit) kepada kami dan meinta kami membayar LE149.90!..

Walaupun pada awalnya kami agak terkejut, namun bila memikirkan kesihatan kami yang mungkin akan terjejas dara-gara wabak tersebut, kami akhirnya 'meringankan tangan' menghulurkan wang sejumlah LE150. Lebih-lebih bila wanita itu menunjukkan
kernehnya (kad rasmi) dari Kuliyyah Ziraa'ah (Fakulti Pertanian). Ada yang mengatakan kami seolah-olah 'dipukau' kecantikan wanita arab tersebut. Pada faturah tadi tercatat tarikh menandakan mereka akan datang semula untuk mutaba'ah (follow-up) dari semasa ke semasa..

Selang 3 hari kemudian, kami mendapat berita yang mereka adalah PENIPU! Saya terus menghubungi Pengerusi DPM bertanyakan berita tersebut. Memang benar. Mereka telah memperdaya
Maliziyyun hanya untuk semata-mata mendapatkan wang! Entah ubat apa yang diletakkan di rumah kami itu. Lebih menyedihkan ada sahabat kami yang dikenakan bayaran sehingga LE400! Boleh belanja hampir sebulan untuk keperluan dapur..

Itulah hakikatnya warga arab di sini. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, memang tidak boleh dipercayai. Ada yang terlalu baik seperti malaikat dan ada yang terlalu busuk hatinya mengalahkan iblis. Betullah kata senior, di sini semuanya ada, yang baik ada dan yang jahat lebih-lebih lagi. Di sinilah bumi Firaun
laknatullahi 'alaih dan di sini jugalah bumi Nabi Allah Musa a.s. Oh Mesir, macam-macam ada! Mungkin selepas ini syarikat penyiaran berbayar Astro boleh mempromosikan Mesir sebagai trade mark barunya..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Wednesday, May 20, 2009

..Kembali Bernafas..

Wednesday, May 20, 2009


Alhamdulillah, setelah hampir dua minggu ketiadaan rangkaian internet pada PC pinjaman Tuhan ini, akhirnya hari ini ianya dapat kembali menyalurkan maklumat-maklumat dan berita untuk tatapan tuan kesayangannya. Itu pun setelah berhempas pulas bersama rakan-rakan untuk mendapatkannya kembali..

Sebelum ini kami cuba bertanya di syarikat komunikasi Telecom-Egypt untuk mendaftarkan semula internet pada talian telefon rumah kami. Tapi malangnya kami dimaklumkan talian telefon tersebut tidak dapat didaftarkan kerana terdapat bil tertunggak. Terkejut kami bila pegawai syarikat di situ memberitahu jumlahnya LE3000 lebih!

Kami hairan. Kami mula rasa tak sedap hati. Adakah Mohammad (seperti yang diceritakan sebelum ini) tidak membayar bil internet kami sebagaimana yang kami amanahkan padanya setiap bulan? Atau 'Ammu Salim (tuan rumah) tidak menjelaskan bayaran bil telefon kami? Segala persoalan bermain di minda kami..

Tambah pegawai itu lagi, sekiranya kami ingin register baru, kami mestilah menyelesaikan bil tertunggak itu. Ataupun biarkan bil talian itu dipotong kemudian register nombor baru untuk akses internet. Kami tiada pilihan lain melainkan pilihan pertama sahaja kerana untuk register
nombor baru terdapat masalah yang lebih rumit dengan tuan rumah..

Setelah kami berjumpa dengan Mohammad, beliau menjelaskan begini dan begini. Rupa-rupanya itu adalah nizam baru syarikat terbabit. Dalam pada itu kami hairan, "tak kan sampai begitu banyak kena caj?" fikir salah seorang dari kami. Ada yang mula mengesyaki sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Mohammad. Senior-senior lama pesan jangan terlalu percaya dengan arab. Bukan kami hendak su' zhon, tapi kami mesti mengelakkan diri kami dari ditipu. Ada pula yang sudah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan..

Bila diselidik dan ditanya pada kawan-kawan lain yang turut menggunakan internet di rumah mereka, semuanya menafikan yang mereka dikenakan caj yang begitu tinggi seperti yang didakwa Mohammad. Mustahil talian internet kami saja yang dicaj begitu..

Setelah menjangkakan yang internet tidak dapat lagi diakseskan ke rumah kami, saya akhirnya mengambil keputusan untuk membeli wireless USB untuk mengakseskannya. Walaupun linenya tak selaju seperti sebelum ini, tapi sudah cukup sekadar untuk menatap berita-berita dan maklumat lebih-lebih lagi banyak isu panas berlaku di Malaysia mutakhir ini..

Mudah-mudahan ianya tidak menjadikanku terleka dengan dunia global sehingga melupakanku akan dunia cita-cita dan impian kejayaan yang sedang kukejar ini, insya Allah. Semoga ianya memberi manfaat bukan 'mudharat' kepadaku..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Thursday, May 14, 2009

..Ambe Nok Royak Jugok..

Friday, May 15, 2009


Setelah membaca tajuk posting adikku di dalam blognya bertajuk 'Ambe nok kabor skek', diriku rasa terpanggil untuk meletakkan tajuk yang lebih kurang sama dengan tajuk itu. Tujuannya sama, setelah membiarkan blog tanpa diupdate walaupun blog ini cuma seminggu bersawang. Tapi di sebalik tajuk ini tersemat satu cerita yang tak dapat tidak mesti diceritakan kepada anda semua..

Jumaat minggu lepas kami ahli bait mendapat satu berita yang mengejutkan. Sedang kami berehat selepas makan tengahari, kami didatangi oleh dua orang arab. Salah seorangnya kami kenali. Kedatangan mereka mengubah segala-galanya rutin harian kehidupan kami..

"Aku datang ni nak potong internet" ujar Mohammad, pengendali internet rumah kami..

"Ha? Kan aku dah bayar internet untuk bulan ni?"
bantah salah seorang dari kami..

"Ya, betul. Aku dah terima duit tu, tapi aku kena potong jugak sebab ni arahan syarikat.." tambah Mohammad lagi sambil tangannya mencabut roater dan kabel yang berselerakan..

Kami akhirnya akur, walaupun ada yang masih tidak dapat menerima hakikat. Mungkin ada hikmahnya juga. Tatkala gendang imtihan syahadah (final exam) sedang rancak dipalu, terjadi perkara yang tak terduga sebegini. Barangkali Dia Yang Maha Mengetahui ingin kami para pelajar tahun akhir menumpukan sepenuhnya kepada imtihan yang bakal menjelang..

Mohammad dan rakannya pulang dengan memohon maaf kepada pihak kami atas perkara tersebut. Sebelum beredar, beliau memulangkan semula wang yang kami bayar kepadanya awal bulan tempoh hari..

Hari ini genap seminggu ketiadaan rangkaian internet di rumah kami. Sebab itu sejak akhir-kahir ini kalau ada berita-berita panas di Malaysia kami agak 'kelewatan' mendengarnya. Mujur ada seorang dua kawan yang dapat menarik (jangan baca mencuri) line melalui khidmat wireless pada laptop mereka..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, May 4, 2009

..Pantasnya Masa Berlalu..

Monday, May 4, 2009


Sedar tak sedar hari ini sudah 4 Mei. Sungguh pantas masa berlalu. Pejam celik pejam celik lebih kurang sebulan lagi diriku bakal menduduki imtihan syahadah 2008/2009 yang dijadual bermula pada 3 Jun depan. Ini bermakna saya cuma ada 30 hari sahaja lagi untuk membuat pecutan terakhir demi melihat impian untuk mengenggam segulung ijazah tercapai..

Kalau dihitung dari 30 hari itu ianya teramatlah singkat. Ditolak dengan aktiviti seharian seperti makan minum, solat dan sebagainya. Itu belum dikira dengan 'berehat' di ruang kamar lagi. Seperti kata seorang sahabat junior, ''merehatkan tulang belakang di atas tilam''. Rehatlah kononnya, padahal lebih sudu dari kuah. Apa nak jadi dengan diriku ini..

Peluang masa yang berbaki di saat-saat genting sebegini harus digunakan sebaiknya. Saya amat tertarik dengan panduan dan tip-tip menjelang imtihan yang diberikan oleh Ustaz Hairul Nizam Mat Husain, mantan Presiden PMRAM 2007. Beliau merupakan antara pelajar cemerlang yang mendapat pangkat jayyid jiddan 3 tahun berturut-turut..

Kejayaan cemerlang beliau itu memberi tamparan hebat kepada mereka yang mendakwa 'berpersatuan boleh menjejaskan prestasi pembelajaran seseorang'. Ini dibuktikan sendiri oleh beliau sendiri yang merupakan orang nombor wahid dalam tanzim PMRAM yang mana sudah tentu banyak terlibat dengan pelbagai urusan baik dengan mahasiswa mahupun pihak luar..

Dalam tipnya itu beliau berpesan kepada para pelajar agar menguruskan waktu emas sebegini dengan sebaiknya. Tak dapat tidak kita mestilah mengorbankan waktu tidur berjam-jam dan menangguk di depan komputer dalam tempoh yang lama. Sepatutnya waktu-waktu tersebut boleh diisi dengan mentelaah madah bersama kawan-kawan..

Harapanku agar Allah Taala mempermudahkan segala urusan kami dalam menghadapi 'peperangan' yang bakal dihadapi awal Jun nanti. Mak, ayah, abang, adik-adikku, teman-temanku dan juga rakan-rakan yang hanya mengenaliku di alam maya ini sudilah kiranya mengirimkan sekuntum doa buatku agar dikurniakan kelapangan hati untuk menjawab. Buat sahabat-sahabat seperjuangan, berusahalah selagi masih ada waktu ini. Semoga Allah mengurniakan 'kemenangan' untuk kita dalam misi 'peperangan' yang bakal kita tempuh nanti, insya Allah..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, May 2, 2009

..Akhirnya..

Saturday, May 2, 2009


"Alhamdulillah.. Lega sungguh rasanya." Kedengaran satu suara yang melafazkan..

Itulah antara ungkapan yang kedengaran di markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) [MAQAZ] Shoubra malam Jumaat lalu. Ungkapan tersebut dilafazkan oleh sebahagian daripada 116 orang pelajar-pelajar tahun satu Takhassus Qiraat Shoubra bagi sesi pengajian 2008/2009. Mungkin sesetengah pembaca kurang faham apa kaitannya lafaz itu dengan mereka..

Sebenarnya yang menggembirakan mereka malam itu adalah kerana mereka telah berjaya mendapat kernih (kad pelajar) dan secara rasminya bergelar 'pelajar tahun satu Shoubra'. Semenjak mereka sampai kira-kira hampir 8 bulan yang lalu, nama mereka masih tidak muqayyad (naik secara rasmi) di pejabat Al-Azhar As-Syarif..

Pada malam tersebut saya bersama
Pengerusi dan Setiausaha Agung DPM berjaya menyelesaikan urusan sebahagian dari mereka. Petang keesokannya (semalam) saya dibantu pula oleh Timbalan Setiausaha Agung untuk menyelesaikan baki pelajar selebihnya sehingga memaksa kaunter dilanjutkan hingga selepas maghrib. Selain kernih, mereka juga dikehendaki mengisi borang pengesahan belajar (tasdiq) untuk urusan seterusnya seperti penyambungan iqamah (visa), permohonan bantuan zakat dan sebagainya..

Sebenarnya isu nama mereka lambat muqayyad ini bukan satu isu yang baru, bahkan telah dua tahun berlaku. Ketika saya mula-mula sampai di sini, nama kami dijangka muqayyad pada bulan Disember 2006, tapi jangkaan itu meleset sama sekali. Januari, Februari dan Mac 2007 baru nama kami muqayyad di Al-Azhar, alhamdulillah..

Begitu juga dengan generasi selepas kami. Seminggu sebelum peperiksaan baru nama mereka muqayyad! Dari situ berlaku kekalutan kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan segera. Dan seperti yang dijangka, tahun ini pasti lebih lewat dari tahun-tahun sebelumnya. Ini ternyata sekali selepas nama mereka baru muqayyad minggu ini tatkala mereka semua telah selesai menjalani imtihan syafawi (ujian lisan)..

Dalam soal ini tidak perlu disalahkan sesiapa, baik pihak kedutaan, mahupun Al-Azhar sendiri. Mungkin mereka sudah melakukan yang terbaik sedaya upaya seperti yang telah diamanahkan. Tetapi jika difikirkan balik kami pelajar-pelajar Qiraat seolah-olah dianak tirikan. Lihat saja sekatan-sekatan yang dipinda oleh sesetengah 'pihak' (sebagai contoh sijil tak diiktiraf) semacam mahu menyusahkan lepasan dari Shoubra. Ini berbeza sekali dengan pelajar-pelajar yang bukan dari bidang agama..

Masalah yang besar ditanggung oleh pelajar-pelajar baru dalam hal ini adalah mereka menetap di sini seolah-olah seperti pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki visa pelajar. Visa pelancong mereka telah tamat penghujung tahun lalu dan syarat untuk menyambung visa pelajar mestilah menunjukkan surat tasdiq dari tempat pengajian atau kuliah..

Alhamdulillah, hari ini berkat doa dan usaha semua pihak akhirnya segala-galanya telah selesai. Mereka boleh bebas berjalan ke mana-mana selepas ini tanpa rasa takut kerana ketiadaan iqamah. Mereka juga boleh menjawab peperiksaan dengan tenang tanpa ada perasaan bimbang lagi. Pagi tadi juga mereka telah selesai menjawab satu kertas madah Qiraat 'Ilmi. Mudah-mudahan diberi taufiq dan petunjuk oleh Allah Taala dalam menempuh segala ujian di dunia ini..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, April 28, 2009

..Sungguh Malang Nasibmu Babi..

Tuesday, April 28, 2009


Semalam telah selesai kelas pengajian syarah Qiraat Syaazah kami bersama Syeikh Mohammad Abdun Nabiy. Jadi sedikit haflah ringkas kami adakan semalam sebagai penutup kepada kelas kami. Sebelum ini kalau tak silap bulas lepas, kami telah khatam syarah Toyyibatun Nasyr Fil Qiraatil 'Asyr dengan syeikh yang sama..

Selepas masing-masing selesai mengenyangkan perut, kami mula berbual dengan syeikh. Banyak topik yang menjadi bualan hangat kami petang semalam. Antaranya isu global yang sedang hangat diperkatakan hari ini iaitu selsema babi..

Berikut rakaman perbualan yang sempat dirakam antara kami dengan syeikh;

"Kamu tahu tak kes wabak selsema babi yang mengorbankan hampir ratusan orang di Mexico?" Syeikh memulakan perbualan..

"Haa.. Tahu.." Sebahagian dari kami menjawab sambil menganggukkan kepala..

"Semalam saya lalu di jalan besar sana. Kamu perasan tak ada sebuah kedai
kepunyaan Masih (kristian) di depan Restoran Kababji Maluki yang membekalkan daging babi?" Syeikh menyambung perbualan.

"Ya.. Ada-ada.." Jawabku seorang diri sambil yang lain masih berkerut dahi. Mungkin masih tak perasan kedai yang dimaksudkan oleh Syeikh tadi..

"Semalam langsung lengang kedai itu, tak ada pengunjung sebab babi dah tak dijual lagi di situ." Syeikh menambah sambil tersenyum menampakkan sebaris giginya yang tersusun rapi..

"Sekarang ni, mereka sendiri pun takut nak makan babi. Itulah balasan ke atas mereka." Ujar Syeikh lagi sambil yang lain masih 'tercari-cari' lokasi kedai tersebut beroperasi..

"Ada kedai comel sebaris dengan kedai pembuat kunci Salim tu.." Aku memberi penerangan.

"Haa.. ya.. Kedai yang ada gambar kepala firaun tu kan?" Salah seorang darinya cuba meneka.

"Aiwahh.." jawabku ringkas..

Itulah nasib yang melanda makhluq Allah bernama babi hari ini. Menurut Syeikh lagi, kalau sebelum ini puak-puak Masihin ini menempelak Muslimin yang takut memakan ayam tatkala wabak selsema burung melanda, kini mereka pula menerima balasannya..

Di Malaysia suatu ketika dahulu kita dikejutkan dengan merebaknya wabak Japanese Encephalitis (JE) yang juga dikaitkan dengan babi. Ramai yang terkorban gara-gara gigitan nyamuk yang membawa virus ini..

Pun begitu, sebentar tadi kita diberitakan bahawa negara kita terselamat daripada wabak yang dinamakan
Swine Influenza ini. Sama-sama kita doakan agar virus pembunuh ini tidak merebak dan seterusnya menular ke tempat-tempat lain..

Cuma seingat aku, pernah sekali dua tahun lepas babi mendapat 'penghormatan' daripada polis-polis yang dikatakan gagal menembak binatang tersebut di sebuah ladang di negeri selatan tanah air. Ini kerana polis dijangka mempunyai 'misi' yang lebih besar dari itu iaitu menembak manusia! Dan ini terbukti berlaku pada 8 September 2007. Masihkah kau ingat? Nyawa seekor babi seolah-olah lebih berharga dari nyawa seorang rakyat..
~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, April 20, 2009

..Kecuaian Membawa Faedah..

Monday, April 20, 2009


Kecuaian membawa faedah. Mungkin bunyinya agak pelik dan ganjil. Sedangkan istilah yang biasa kita dengar adalah 'kecuaian membawa padah', bukankah begitu? Pun begitu, hakikatnya itulah yang berlaku kepada sahabatku malam tadi..

Ketika sahabat ahli baitku memberitahu ingin keluar mengambil duit di ATM HSBC berhampiran, aku lantas mengirimkan kad ATMku kepadanya memandangkan poketku sedang dilanda 'kekeringan'. Sebelum beliau keluar aku terlupa memberitahu jumlah wang yang aku inginkan..

Kira-kira 20 minit kemudian handsetku berdering. Aku sudah mengagak pasti beliau yang menelefon. Aku segera memberitahu, "500 dah la". Tak sampai 10 minit handsetku sekali lagi berdering dan tertera nombor yang sama pada skrin. "Lim, ada masalah besar ni," ujarnya. Aku hairan. Beliau terus bercerita tentang masalah yang dimaksudkan itu tadi..

Rupa-rupanya beliau telah tersilap menekan butang 'EGP2500' pada mesin ATM tersebut. Sepatutnya selepas
menekan butang 'wang segera' beliau perlu menekan butang 'jumlah lain dalam EGP' kerana kebiasaannya aku dan rakan-rakan yang lain berbuat begitu..

Sesampainya beliau di rumah, beliau terasa agak bersalah dan 'malu muka' denganku. Aku berkata kepadanya, "rileks la, tak dok nape2 pun, duit tu boleh guna untuk stok belanja 4 bulan.." Beliau tersengih sambil memberitahu baki yang tinggal kira-kira 500 lebih..

Sebaik sahaja berita hangat ini tersebar, terus ada yang membuat tempahan pinjaman. Mereka adalah di kalangan pelajar-pelajar yang mendapat pinjaman Yayasan Terengganu (YT). Sehingga hari ini mereka masih tidak menerima cek pinjaman terbaru yang sepatutnya diterima sekitar Mac/April. Penantian ini lebih memeritkan apabila pegawai pelajar Terengganu di sini, Tuan Haji Kamal Abdullah pulang ke Malaysia bulan lalu..

Dalam hati, aku berfikir bagus juga memberi pinjaman kepada kawan-kawan di kala mereka kesempitan wang. Mungkin selepas ini mereka pula yang akan menolong kita di kala kita susah. Hari ini hari mereka, mungkin esok atau lusa hari kita pula..

Begitulah kisah di sebalik kecuaian yang berlaku semalam. Memang pada hakikatnya kecuaian itu boleh membawa padah akan tetapi kadang-kadang ianya juga boleh memberi faedah! Bukan setakat faedah, tapi pahala yang melimpah-ruah! Insya Allah..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Saturday, April 18, 2009

..Keistimewaan Darah O..

Saturday, April 18, 2009


Usai solat subuh dan bacaan ma'thurat sempena qiam dan munajat mingguan semalam, pengerusi menjemput salah seorang sahabat tahun 1 bagi menyampaikan tazkirah subuh. Dalam tazkirahnya pagi itu beliau menghuraikan ayat 107 hingga 111 dari Surah At-Taubah..

Beliau bercerita tentang kronologi peristiwa penubuhan Masjid Dhirar oleh puak-puak munafiqin ketika itu. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa pentingnya kita bersatu di dalam jemaah ataupun persatuan yang ada dan betapa bahayanya menubuhkan jemaah lain yang pastinya akan membawa perpecahan dan kemurkaan Allah..

Apa yang menarik dalam tazkirahnya pagi itu, beliau sering mencelah dengan menyampaikan satu dua cerita supaya sahabat-sahabat pendengar tidak mengantuk. Salah satu cerita yang dibawa ialah tentang seorang kawannya yang agak istimewa..

Beliau hairan kenapa kawannya itu sepanjang keberadaan di bumi Mesir ini tidak pernah sekali pun terkena 'serangan' ataupun gigitan pijat. Pijat merupakan sejenis serangga yang sama seperti kutu iaitu menghisap darah. Akan tetapi kelebihannya ialah ianya mampu menghisap seluruh badan manusia berbanding kutu yang hanya kawasan sasarannya di kepala..

Setelah diselidik rupa-rupanya beliau mendapat tahu bahawa kawannya itu berdarah jenis O. Beliau dan rakan-rakan yang lain agak jelous kerana mereka sering saja menjadi mangsa gigitan pijat..

Setelah mendengar cerita ini barulah aku faham kenapa selama hampir 3 tahun aku di perlembahan Nil ini seekor pijat pun tidak berani menghisap darahku. Acap kali berlaku ketika tidur kawanku di sebelah langsung tak lena disebabkan menggaru-garu gatal gara-gara 'parasit' tadi sedangkan diriku nyenyak tidur tanpa gangguan..

Mungkin juga betul apa yang dikatakan itu. Samada ianya secara kebetulan ataupun tidak yang pasti bagi mereka yang berdarah O sepertiku dan juga sahabat tadi mampu tidur dengan lena tanpa diganggu..

Selain itu darah O juga boleh didermakan kepada sesiapa saja tanpa mengira jenis darah. Sepanjang hayatku baru sekali aku menderma darah iaitu pada bulan Ramadhan 1428 H sebaik saja selepas terawih. Ini jauh sekali dengan ayah yang sudah berpuluh kali menderma tetapi darahnya tidak boleh diderma sebarangan kerana berjenis O negatif yang hanya diperlukan pihak hospital ketika kecemasan sahaja..


~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP