Thursday, June 18, 2009

..Alhamdulillah..


Lafaz syukur dan tahmid memuji Allah tidak putus-putus dilafazkan oleh sebilangan besar pelajar tahun tiga sebaik saja tamat imtihan syahadah bagi madah (subjek) Tarajim Qurra' pagi tadi. Setelah hampir tiga minggu berhempas pulas memerah otak, akhirnya kami berjaya melunaskan 'misi' yang telah lama dinanti-nantikan itu..

Bukan mudah menanti saat-saat manis ini, lebih-lebih lagi laluan menghampiri garisan penamatnya begitu mencabar sekali. Memang madah Tarajim Qurra' bukan semudah yang disangka. Ianya memerlukan ingatan yang tajam bagi menguasai madah tersebut. Bayangkan, kami perlu menghafal riwayat hidup kesemua imam qiraat sepuluh. Itu tak termasuk dengan rawinya sekali. Setiap imam mempunyai dua orang rawi yang termasyhur. Contohnya qiraat yang kita baca iaitu Imam 'Asim, baginya dua perawi iaitu Syu'bah dan Hafs. (Bacaan kita adalah mengikut riwayat Hafs)..

Selesai imtihan pagi tadi, sesi fotografi diadakan di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP) DPM [MAQAZ] Shoubra. Kenangan hari-hari terakhir di tempat kami menadah ilmu dirakamkan. Rata-rata semuanya kelihatan ceria. Bayangan tanah air tercinta sudah menjelma. Ada yang sudah menempah tiket untuk pulang, terutamanya mutazawwijin yang merindui isteri dan anak-anak di kampung. Paling awal petang esok, selepas Jumaat. Mudah-mudahan penantian insan tersayang dibalas dengan secebis kejayaan, insya Allah..

Justeru, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Taala kerana dengan limpah dan 'inayahNya jugalah kita berjaya sampai ke 'garisan penamat'. Kita telah berusaha sedaya mungkin, tinggal lagi tawakkal dan berserah diri kepadaNya. Cuma yang penting tingkatkan lagi amalan dan doa agar kita dikurniakan kejayaan yang diimpikan kita semua selama ini..

Selepas ini, banyak kerja yang tertangguh sebelum imtihan menanti untuk disettlekan. Antaranya kerja-kerja penerbitan Suara Kampus Edisi MAQAZ (SUKMA) bilangan 15 yang sudah menghampiri fasa ketiga. Selepas ini juga para tetamu bolehlah berkunjung ke rumah kami kerana kami sudah bersedia untuk diganggu. Sebentar tadi baru saja pulang sekumpulan tetamu dari Hayyu 'Asyir yang datang menjemput kami ke majlis akad nikah salah seorangnya pada Khamis depan. Semoga semuanya selamat dan berjalan lancar..

0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP