..Krisis di Perak & 2 PRK..
Thursday, February 12, 2009
Minggu ini penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS di Perak dikejutkan dengan 'kehilangan' satu suara di Dewan Rakyat. Allahyarham YB Hj Roslan Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang disahkan meninggal akibat serangan jantung ketika mengayuh basikal ke farmasi bagi membeli ubat. Beliau merupakan seorang pemimpin yang cukup disenangi semua pihak walaupun baru lebih kurang 10 bulan memegang amanah sebagai wakil rakyat..
Lebih sayu, pemergiannya kembali ke rahmatullah tatkala berlakunya krisis politik yang tidak menentu di Perak ketika ini. Kisahnya bermula dari episod kehilangan misteri dua ADUN PKR yang juga merupakan EXCO kerajaan negeri selama beberapa hari. Kemudian mereka muncul di khalayak dalam keadaan sudah 'membebaskan' diri mereka bersama seorang ADUN DAP yang juga Timbalan Speaker DUN Perak..
Aksi lompat-melompat oleh empat ekor katak ini (termasuk ADUN Bota yang kembali ke pangkuan BN selepas 10 hari menyertai PKR) merupakan momentum kejayaan terbesar Najib setelah dimalukan dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan terbaru di Kuala Terengganu. Kejayaan 'merampas' kuasa di Perak ini dilihat mampu mengembalikan kepercayaan ahli dan penyokong UMNO kepadanya yang bakal menaiki takhta pada pemilihan Mac depan..
Berbalik kepada cerita Almarhum YB tadi, sebenarnya berita kematiannya aku ketahui melalui seorang kawan dari Johor yang tinggal di muhafazah Zagazig. Aku ke sana bersama seorang kawan atas urusan peribadi sambil menziarahi sahabat yang sudah setahun lebih aku tidak berkunjung ke rumahnya. Keesokannya aku bertanya kepadanya tentang pengumuman barisan EXCO kerajaan HARAM Perak yang dijangka akan dibuat pada hari tersebut. Beliau kurang pasti dengan jawapan bagi soalan yang aku kemukakan tadi. Lantas beliau memaklumkan PRK bakal diadakan di dua tempat. Aku gembira mendengar kata-katanya tadi. Dalam benakku aku menyangka PRK itu melibatkan dua DUN si katak EXCO tadi (Behrang dan Changkat Jering), mana la tau kot-kot SPR tiba-tiba berubah hati, rupa-rupanya sangkaanku meleset sama sekali..
Kira-kira 5,000 orang hadir ketika pengebumian jenazah almarhum sehingga
menyebabkan kesesakan lalu lintas
Arumugam Vengatarakoo telah disahkan meletak jawatan sebagai ADUN kawasan Bukit Selambau. Beliau mengambil keputusan itu setelah tidak tahan dengan tekanan, ugutan dan ancaman keselamatan kepada diri dan keluarganya yang dilakukan oleh pihak tertentu agar beliau menyertai BN sedangkan beliau enggan 'melompat' seperti diuar-uarkan media selama ini. Ini merupakan satu tindakan berani yang harus dipuji kerana beliau tidak sanggup menggadaikan maruahnya seperti yang telah dilakukan dua EXCO Perak yang bacul itu, bahkan beliau mengembalikan semula kuasa ke tangan rakyat. Orang bukan Islam pun ada harga diri, bukan macam askar pencen dengan mamat bekas posmen tak guna tu!..
Walaupun SPR belum mengumumkan tarikh PRK untuk kedua-dua kerusi ini namun cakap-cakap sudah kedengaran mengenai calon yang bakal diketengahkan. Di Bukit Gantang walaupun ramai yang inginkan MB Perak, YAB Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding di situ bagi berdepan dengan MB haram Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bagi menentukan siapa pilihan rakyat, akan tetapi ianya tidak dipersetujui oleh Tuan Guru Dato' Mursyidul Am dengan alasan Hj Nizar sudah meggalas amanah yang berat selaku MB. Ada juga kedengaran suara yang inginkan samada AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad atau Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa diketengahkan sebagai calon..
Apa-apa pun keputusannya kita serahkan saja pada pimpinan yang lebih arif dan bergantung kepada perbincangan di peringkat Majlis Syura. Semoga calon yang dipilih nanti akan dapat meneruskan agenda perjuangan dan rekod baik yang dibawa almarhum. Insya Allah, dengan izin Allah serta berkat kerja keras dan sokongan semua pihak, Pakatan Rakyat akan dapat mengekalkan 'dua bukit' ini dari terus 'dinodai' oleh BN. Mudah-mudahan para pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dapat terus mencalit arang ke muka Najib seperti mana yang telah dilakukan oleh pengundi di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu..
0 comments:
Post a Comment