Wednesday, December 31, 2008

..Islam Semakin Ditekan..

Wednesday, December 31, 2008


Mutakhir ini kita sering mendengar berita-berita yang berkaitan dengan penghinaan agama Islam baik secara terbuka mahupun secara senyap. Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924, umat Islam dilihat seolah-olah kehilangan ‘taring’ mereka. Puak kuffar begitu mudah memperdaya umat Islam dengan pelbagai agenda dan perancangan yang telah disusun sejak sekian lama. Mereka bukan memerangi umat Islam dengan menggunakan mata pedang, tetapi melalui ghazwatul fikr iaitu mereka menjajah pemikiran umat Islam .Sasaran mereka tak lain tak bukan adalah para remaja dan anak-anak muda yang mudah terikut dengan budaya songsang mereka.


Mereka bukan saja mengaburkan mata golongan muda dengan hiburan-hiburan yang melampau, bahkan mereka mengambil langkah menghina kesucian agama Islam itu sendiri. Tak cukup dengan itu, mereka turut menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kita masih ingat bagaimana seorang kartunis Denmark melukis karikatur menghina Baginda beberapa tahun yang lalu. Rata-rata umat Islam di seluruh dunia bangkit membantah melalui demontrasi jalanan yang dihadiri ribuan manusia.


Setelah isu penghinaan Rasulullah ini tidak lagi ditimbulkan, minggu lepas umat Islam khususnya di Malaysia dikejutkan dengan kemunculan seseorang yang menamakan dirinya sebagai Adibah Ahmad. Blogger yang menggunakan nama tersebut dengan begitu angkuh dan biadab menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam blognya dengan makian, sindiran dan kutukan yang sangat menyakitkan hati penganut Islam. Bukan sahaja foto yang kononnya ialah Nabi Muhammad S.A.W. yang dibanding dan dipadankan dengan gambar dua ekor binatang yang haram di sisi Islam, tetapi terdapat karikatur Nabi dengan gambaran lucah yang memalukan. Bukan setakat dua tiga gambar yang dipaparkan, bahkan beratus-ratus gambar yang tak sanggup kita lihat dilakarkan.


Ketika artikel ini ditulis, blog tersebut telah dipadamkan. Setakat ini tiada siapa yang tahu pemilik blog tersebut kerana difahamkan gambar dan nama yang tertera pada blog tersebut bukanlah dimiliki oleh pemilik blog biadab itu. Bukan blog owner yang kita ingin persoalkan, tetapi kita lihat di sini betapa beraninya masyarakat sekarang menghina dan mempersendakan utusan Allah dengan gambaran yang cukup memalukan dan boleh menjatuhkan martabat seorang yang bergelar Nabi.


Kalau sebelum ini masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan dengan isu penghinaan sunnah Rasulullah S.A.W oleh pimpinan Negara yang mengucap dua kalimah syahadah. Bukan setakat batang tubuh Baginda dihina, sunnah Baginda dipersenda, bahkan lebih menyedihkan isteri Baginda turut menjadi sasaran golongan yang mengaku Islam tetapi sengaja menunjukkan kejahilan mereka. Tambahan pula, penghinaan ini dilakukan secara terbuka melalui wawancara dalam sebuah rancangan terbitan televisyen swasta yang ditonton oleh berjuta-juta penonton.


Di manakah maruah umat Islam? Tatkala Nabi kita dihina dan dimaki, adakah kita hanya berdiam diri tanpa ada rasa sensitif terhadap isu ini? Jikalau semua umat Islam bersikap 'bisu' dan 'tuli', maka lebih teruk lagi Islam akan dihina dan umat Islam akan terus-menerus dilanyak dan ditindas. Terbaru, tragedi yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin yang telah mengorbankan lebih 388 nyawa di samping kira-kira 1750 orang lagi cedera, apabila Israel laknatullah melakukan serangan besar-besaran terhadap Hamas.



Jika umat Islam hari ini terus berpecah, nescaya suatu masa nanti umat Islam akan terus ‘digula-gulakan’ oleh puak rejim laknatullah ini. Marilah kita sama-sama menghayati sebuah hadis yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :


Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda; "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang­orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana bilangan kami sedikit pada hari itu?" Nabi S.A.W. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulallah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".



0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP