Saturday, July 5, 2008

..Memang KEJAMMM!!!...





Sedih.. Pilu.. Menyayat hati..

Itulah yang boleh digambarkan suasana yang berlaku dua hari lepas tatkala dua mata pinjaman tuhan ini menatap laman Harakah Daily. Berita 'pemergian' anak sulung tahanan ISA, Saudara Shahrial Sirin, Aina Mardhiah yang mengalami darah beku dalam otak akibat terjatuh di rumahnya cukup menyayat hati..

Perasaanku memang sensitif dengan peristiwa sebegini. Lebih-lebih lagi almarhumah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan ayahnya yang sudah 7 tahun dipisahkan dengan tembok penjara tiada di sisi. Bulu romaku sering meremang tatkala membaca artikel berkenaan peristiwa yang amat memilukan ini..

Bayangkanlah, seorang anak yang sudah 7 tahun tidak merasakan kasih sayang seorang ayah sepertimana kawan-kawannya yang lain, sudah barang tentu teramat rindukan belaian manja itu. Sudah lah begitu, saat-saat di penghujung nyawanya juga tak dapat merasakan kucupan dan sekurang-kurangnya sentuhan seorang ayah yang sudah lama dirindui..

Permohonan keluarganya untuk meminta pelepasan ayahnya dari Kem Tahanan Kamunting (kemta), Taiping supaya dapat menziarahi anak yang sedang bertarung dengan maut diberi pada saat-saat akhir. Itupun selepas hampir 12 jam berunding dan perlu mengikut pelbagai prosedur serta kerenah birokrasi yang menyusahkan..

Sepatutnya dalam hal-hal kecemasan sebegini pihak penjara harus bersikap simpati dan bukannya hanya memikirkan kepentingan pihak tertentu sehingga menyiksa dua jiwa yang sudah lama 'tersiksa' ini. Inikah moral kerajaan tatkala soal nyawa anak tahanan yang menjadi taruhan? Tapi memang sudah menjadi lumrah ISA bersikap zalim dan kejam, sesuai dengan singkatan yang sering kita dengar ISA - Ikut Suka Aku! Ini bererti mereka tak kan ada rasa simpati walau sekelumit pun terhadap mana-mana pihak..

Tak cukup dengan itu, dah la ayahnya tak dapat menatap wajah anak kesayangannya ketika nyawa masih berbaki, pihak Kemta juga mengenakan syarat yang ketat iaitu ayahnya hanya diberi masa sejam untuk melawat anak yang sudah 'terbujur kaku' itu dengan diiringi oleh sepuluh orang anggota polis. Begitu juga ketika majlis pengebumian almarhumah, hanya sejam masa diperuntukkan. Apalah sangat dengan sejam itu..

Kita boleh bayangkan sendiri bagaimana peritnya kehidupan yang dilalui oleh keluarga mangsa. Ujian yang mereka hadapi semakin bertambah. kalau sebelum ini 'kehilangan' kasih sayang ayah dan suami, kini kehilangan kakak dan anak tersayang buat selama-lamanya. Kalau kita yang tiada darah daging dengan keluarga mangsa pun sudah terlerai air mata, inikan pula yang menanggungnya. Bak kata pepatah, 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'..

Aman dan damailah roh almarhumah di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat dan kasih sayangNya ke atas roh almarhumah. Allah itu Maha Adil, ingatlah mereka yang zalim terhadap hambaNya pasti akan menerima balasan setimpal. Roh kanak-kanak yang tidak berdosa itu sudah pasti akan bangkit mempersoalkan kamu di akhirat kelak! Wahai Menteri Dalam Negeri, jawablah sendiri..

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang memisahkan seseorang, maka dia bukan daripada golonganku."

Hadis sohih riwayat at-Tabarani daripada Ma'qal Bin Yasar, sabda baginda lagi:

"Sesiapa yang memisahkan ibu daripada anaknya, maka Allah akan pisahkan (orang yang bertindak demikian) antara dia dengan seluruh anggota yang dikasihinya pada hari kiamat."

(Hadis sohih riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan al-Hakim daripada Abu Ayyub)

0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP