Saturday, May 31, 2008

..dilema kehilangan..

Assalamuaalaikum wrt...

Rasanya sudah agak lama aku tidak menulis di sini, sesiapa yang membuka blog ni mesti dah bosan dengan artikel-artikel lama yang aku post kali terakhir minggu lepas. Minggu ni aku ada cerita baru yang mana cerita ni membuatkan diriku berada dalam dilema. Mari sama-sama kita lihat apa cerita yang dimaksudkan tu.. (sekali macam rancangan TV daa..he3)

Semalam, diriku mengalami tekanan yang agak 'dahsyat'. Mana tidaknya, sesuatu yang berharga milikku telah dipercayai hilang. (ceh..macam news report la pulak..) 'Benda' tersebut boleh memberikanku banyak manfaat dan faedah bila berada di tanganku, akan tetapi ianya boleh mendatangkan banyak masalah kepadaku apabila hilang di pandangan mataku. (bahasa puitis konon..) Ini lah yang aku tengah pening dari semalam, mini USB (pen drive) 2 GB berjenama Kingston milikku telah lesap dari tempat asal yang kuletakkan di sudut meja bilik tidurku. Sehingga lah artikel ni ditulis, mini USB tersebut masih tak kutemui..


Dua hari lepas baru je aku menggunakan 'khidmat'nya, aku membawanya ke rumah sahabatku. Aku 'menyuapkan'nya gambar-gambar kenangan, video ceramah dan artikel-artikel Islamik. Tiba-tiba semalam ketika aku memerlukannya untuk melakukan persiapan terakhir kerja-kerja untuk buku sahabat, (akan diceritakan selepas ni..) ianya didapati sudah tiada di tempat asal yang kuletakkan sebelum itu. Puas aku mencarinya di merata tempat, di seluruh bilik tidurku, bertanya kawan-kawan kalau-kalau ada ter'serempak' dengannya, tapi usahaku hanya dibalas kehampaan..

Seperti kukatakan tadi, mini USB tersebut amat penting bagiku. Walaupun saiznya lebih kecil daripada ibu jariku, tapi kegunaan dan kelebihannya cukup besar melebihi 1000 keping disket yang digunakan di era 90 an dahulu. Tambahan pula aku sekarang sedang menyiapkan dan mengedit untuk kerja-kerja buku sahabat (lebih kurang macam majalah sekolah la..) Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra (DPMMS), dan aku dikehendaki menghantar bahan-bahan tersebut selewat-lewatnya hari ini (31 Mei 2008). Tak tau lah apa alasan yang akan ku berikan pada ketua editor nanti. Sekiranya usahaku hari ini 'gagal' lagi, alamatnya terpaksalah aku berhempas pulas untuk menulis balik maklumat dan data-data yang telah kutulis sebelum ini..

Mungkin ada hikmah besar yang tak kuketahui akan kezahirannya. Allah s.w.t menyembunyikan hikmahnya supaya hamba-hambanya berfikir dan merenung sendiri kesilapan yang telah dilakukan, seterusnya bermuhasabah dan kembali kepadaNya. Barangkali juga Allah s.w.t ingin aku bekerja dan berusaha lebih kuat lagi dalam melakukan amal-amal Islami. seperti kata-kata hukama yang masyhur,

"orang yang benar-benar cintakan ISLAM tidak akan beramal secara part-time, tetapi full-time malah over-time dalam amalan-amalan ISLAM.."

Jikalau kita benar-benar cintakan perjuangan kita ini, kita mesti menanam azam dan tekad yang tinggi dalam setiap diri kita untuk sama-sama membantu Islam tidak kira ketika kita sibuk ataupun lapang..



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Monday, May 26, 2008

..Warkah Buat Adikku..

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam, aku berkesempatan menghantar seorang sahabatku pulang ke Malaysia. Dia ni boleh dikatakan rapat juga denganku, maklum lah aku mengenalinya sejak di bangku sekolah rendah lagi, kemudian kami sama-sama menyambung pengajian di peringkat menengah di sebuah sekolah agama milik swasta di Marang. (biarpun aku hanya mampu 'bertahan' selama 2 tahun je di situ) Walaupun dia ni sebaya dengan abangku, tapi aku cukup-cukup rapat dengannya lebih-lebih lagi beliau juga aktif dalam persatuan lepasan pelajar sekolah rendahku dulu. Beliau pulang semalam selepas tamat imtihan tahun 2 peringkat master yang diikutinya di Open Universiti, Kaherah..

Berita kepulangannya ke Malaysia ni pun aku dapat tahu melalui adikku yang tinggal bersamanya di Darul Iman Students Hostel (DISH), Kompleks Hayyu Asyir. Kalau bukan kerana adikku yang menelefonku subuh semalam pasti berita ni tak sampai ke telingaku. Kebetulan pula salah seorang adikku di Malaysia diserang penyakit 'misteri' (lebih kurang penyakit buatan orang jugak la..), lalu berita tentang adikku ini diketahui oleh beliau, mungkin adikku yang tinggal bersamanya memaklumkan hal tersebut, tambahan pula sahabatku ini amat mengenali adik-beradikku terutamanya yang lelaki. Sebelum beliau pulang semalam, beliau memaklumkan kepada adikku supaya mengirimkan 'sesuatu' kepada keluargaku di Malaysia untuk diberikan kepada adikku yang sedang sakit. Bumi Mesir ni maklum sajalah, penuh dengan para masyayikh yang hebat-hebat serta pakar dalam segala bidang perubatan lebih-lebih lagi perubatan Islam..


Sebaik saja aku dimaklumkan oleh adikku, aku pun segera menghubungi seorang kawanku. Beliau amat rapat dengan salah seorang syeikh di Ma'hadku yang juga pakar dalam perubatan Islam. Aku mengajaknya pergi berjumpa syeikh tersebut di kediamannya yang tak jauh dari tempat tinggalku. Pada sebelah petang aku pun bergegas mencari sesuatu yang boleh dijadikan penawar untuk adikku yang sakit, aku membeli sekilo 1/2 zabib (kismis). Harapanku agar syeikh dapat membacakan ayat-ayat syifa' pada zabib tersebut supaya dapat menghilangkan 'sesuatu' dalam tubuh adikku yang mengganggu fikiran dan emosinya sejak berminggu yang lalu. Setibanya kami di sana, syeikh menyarankanku agar memberikan adikku madu lebah bukit yang dijualnya. Kata syeikh lagi, madu tersebut amat mujarab untuk semua penyakit baik luaran mahupun dalaman. Aku pun bersetuju tanpa memikirkan kosnya kerana kesihatan adikku lebih penting dari duit yang boleh didapati di mana-mana. Syeikh juga menghulurkan minyak habbatus sauda' untuk kegunaan luaran sambil memberikan petua-petua dan ayat-ayat yang perlu diamalkan serta bagaimana cara untuk menggunakan ubat dan madu tersebut..

Usai perbincangan dengan syeikh, kami pun meminta diri dan beredar dari situ. Walaupun terasa agak letih, namun aku gagahkan jua diriku demi adikku, seperti dalam SMS yang dikirim oleh adikku di sini, "SEMANGAT UTK ADEK!!!". Lagi pun aku tak pernah lagi berkorban sebegini untuk adikku. Aku pun bersendirian menunggu bas untuk ke kompleks sambil kawanku pulang ke rumahnya. Sesampainya di sana aku ke bilik adikku dan kami terus packing ubat dan madu tersebut serta diselitkan sekeping nota. Kemudian kami menghantar kiriman tadi kepada sahabatku yang baik hati itu. Aku mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudiannya meminta dan menerima kirimanku ini. Hanya Allah s.w.t saja yang dapat membalas jasa baik mu..

Berbalik kepada kisah adikku tadi, sebenarnya beliau telah lama merasai sesuatu yang tidak kena dalam dirinya, buat itu tak kena, buat ni pun salah, semuanya jadi serba tak kena, tak dapat memberikan tumpuan pada pelajaran dan sebagainya. Dirinya mengalami tekanan yang amat dahsyat. Selepas orang tuaku membawanya pergi berjumpa seorang ustaz yang pakar dalam perubatan Islam di kampungku, barulah diketahui terdapat 'sesuatu' di dalam tubuhnya. Tambah ustaz lagi, mungkin adikku itu terkena buatan orang yang hasad dengannya. Adikku ini baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, dan mendapat keputusan yang amat memuaskan. Beliau merupakan pelajar yang sangat aktif berpersatuan di sekolahnya. Tambahan pula beliau tinggal di asrama, jadi banyaklah program-program yang diikutinya di sekolah. Beliau juga sering mengadakan usrah di kalangan kawan-kawannya walaupun kadang-kadang mendapat tentangan daripada pihak pentadbiran sekolah. Beliau juga sering melakukan pembaharuan di asrama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar yang 'berhaluan kiri'. Tambahan pula beliau amat meminati politik dan sentiasa mengikuti arus politik tanah air, barang siapa yang cuba berhujah dengannya, pasti akan ditentangnya habis-habisan tanpa mengira darjat dan pangkat. Mungkin di kalangan mereka ini lah (tapi ni bukan suu' zhon ye?, jangan salah faham..) yang dengki kepada beliau sehingga menyebabkan beliau tersiksa jiwa menanggung sakit..

Sebagai abang yang pernah menegur dan memahami kenakalan seorang adik, aku amatlah berharap agar adikku diberi kesihatan oleh Allah s.w.t dan diberi ketabahan dalam menempuh ujian dan dugaan yang amat berat ini. Mungkin dugaan ini adalah tarbiah daripada Allah kerana tanda kasih dan sayangNya kepadamu. Ingatlah, bahawasanya dengan cara inilah Allah dapat menunjukkan kasih sayangNya pada hambaNya untuk menguji samada kita sabar, redha ataupun sebaliknya. Dirimu adalah orang yang terpilih di kalangan berjuta hamba-hambaNya yang dibiarkan begitu saja dalam kelalaian dengan nikmat kesihatan tubuh badan yang Allah kurniakan. Harapanku agar apa yang ku kirimkan buatmu dapat memberi suntikan semangat kepadamu untuk terus berjuang dan menyambung pengajianmu ke peringkat yang lebih tinggi di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 10 Jun ini. Teruskan berjuang, abangmu sentiasa di belakangmu..



~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Friday, May 23, 2008

..ujian dunia vs ujian akhirat..

Assalamualaikum wrt wbr...

Petang tadi baru je selesai majlis jamuan makan di rumah aku. Majlis yang dibuat oleh salah seorang ahli bait (house mate) aku ni diadakan sebaik saja usai solat jumaat petang tadi. Walaupun haflah ni tak la sebesar dan semeriah mana, tapi sudah cukup untuk mengenyangkan perut mereka-mereka yang dijemput hadir. Semua yang hadir pasti bertanya haflah ni sempena apa? jawapan yang diberikan oleh sahabatku itu langsung 'mengecewakan' yang bertanya, "tak ada sempena apa-apa pun, cuma ajak kawan-kawan makan je.." Setengahnya ada yang menyangka mungkin kerana beliau najah sofiy (lulus semua subjek) dalam imtihan baru-baru ni. Ada juga yang berpendapat mungkin beliau ada bernazar sesuatu dan nazar itu dimakbulkan Allah. Entahlah, yang pasti hanya beliau dan Allah saja yang tahu akan sebab musababnya.. (sebab tak penting, yang penting makan..he3)

Sebut pasal najah sofiy ni, teringat pula aku akan natijah (result) imtihan yang dijangka akan dikeluarkan kenyataannya esok, (Sabtu, 24 Mei 2008) macam mana la natijah yang akan ku perolehi nanti. Adakah aku dapat mengekalkan natijah seperti tahun lepas atau sebaliknya. wallahu a'lam, aku hanya mampu bertawakkal kepadaMu Ya Allah. Aku telah melakukan yang terbaik dalam imtihan yang berakhir hampir dua minggu yang lalu. Berdebar juga hati ini menanti hari esok, adakah ianya berbentuk basyir atau sebaliknya. Walau bagaimana pun keputusannya, akan ku terima dengan redho dalam keadaan hati yang tenang, kerana aku juga beriman pada qada' dan qadarMu. Semuanya tersembunyi hikmah di sebalik ketentuan yang telah Kau tetapkan kepada hambaMu ini..


Kita baru saja melepasi imtihan di dunia yang bersifat fana dan sementara ini. 'Ujian' ini bertujuan menguji setakat mana kefahaman kita dalam sesuatu subjek yang kita pelajari. Akan tetapi harus diingat, kita belajar bukan untuk peperiksaan tapi peperiksaan adalah salah satu wasilah bagi menajamkan lagi kefahaman kita terhadap ilmu yang dipelajari. Ramai pelajar-pelajar yang tersalah anggap bahawa belajar untuk peperiksaan. Jikalau ini yang mereka tanamkan dalam kepala mereka, akibatnya selesai saja peperiksaan, mereka langsung akan melupakan ilmu yang mereka pelajari sebelum peperiksaan, kerana ilmu yang mereka belajar telah habis dikarang di kertas jawapan dan di'curah'kan dalam dewan peperiksaan. Tidak hairanlah sekarang kalau kita dengar ramai graduan-graduan universiti baik dari bidang agama atau pun bukan agama yang ketandusan ilmu sebaik saja grad..

Itu baru 'ujian' dunia, kita dah pun tak mampu melepasinya, ini kan pula ujian sebenar yang akan kita tempuhi di 'dunia' yang abadi kelak, walaupun kita semua sedia maklum bahawa soalan yang akan ditanya oleh mumtahin yang ditugaskan oleh Allah s.w.t iaitu munkar dan nakir sudah 'bocor', akan tetapi harus diingat bahawa soalan yang kita anggap simple itu jawapannya tidak semudah seperti yang disangka. Inilah perbezaan yang ketara antara peperiksaan dunia dan 'peperiksaan' akhirat. Di dunia, kita boleh menjawab soalan-soalan yang dikemukan oleh pemeriksa berdasarkan kefahaman dan setakat mana kemampuan kita menguasai subjek tersebut, berbeza dengan di akhirat. Di sana, jawapan yang mampu kita berikan adalah berdasarkan kepada sejauh mana amalan yang kita lakukan di dunia sepanjang hayat kita dahulu. Kalau baik amalannya, maka mudahlah baginya untuk menjawab soalan-soalan tersebut, dan jikalau sebaliknya, maka kita tidak akan sesekali mampu menjawabnya walaupun diajar beberapa kali oleh ustaz-ustaz di masjid, surau, madrasah dan sebagainya termasuk kali terakhir diajar ketika talqin dibacakan..

Marilah sama-sama kita menginsafi amalan yang kita lakukan selama ini, dengan cara kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bukan hanya setakat kita menyelamatkan diri kita
sahaja, bahkan ahli keluarga, sahabat dan jiran tetangga kita. Semoga kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang soleh..

Firman Allah taala yang bermaksud :
"wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan bakarnya adalah daripada manusia dan batu.." (At-Tahrim-6)

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

Tuesday, May 20, 2008

..aku, blog & ...............

Bismillahirrahmanirrahim...

Blog.. Apa ada pada blog? Mungkin ramai yang tahu akan fungsi dan peranannya. Akan tetapi hal ini berbeza bagi mereka (terutama golongan warga tua) yang tinggal di ceruk-ceruk kampung, kawasan pedalaman dan luar bandar yang langsung tidak didedahkan dengan dunia siber seperti ini. Mereka hanya tahu membaca akhbar, menonton berita di televisyen, mendengar radio dan sebagainya. Kalau ada yang mengakseskan internet di rumah pun mungkin sebahagian kecil sahaja..


Blog memang memainkan peranan yang penting dalam banyak aspek. Melalui blog manusia boleh berhubung, melalui blog juga mereka boleh menyatakan pendapat selain meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Lihat saja bagaimana blog berperanan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 baru-baru ini, amat berkesan di hati pengundi, bukan? Sehinggakan hal ini memaksa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengeluarkan kenyataan supaya dikaji semula berkaitan kempen pilihan raya melalui internet termasuklah blog dan laman web. Hal ini dinyatakan oleh setiausaha SPR, Dato' Wan Ahmad bin Wan Omar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan akhir April lalu. Tambahnya lagi, SPR akan mengambil tindakan terhadap mana-mana calon dan parti politik yang didapati berkempen melalui laman web dan blog..

Tindakan yang bakal diambil oleh SPR (kuda tunggangan kerajaan) ini dilihat sebagai jalan pintas untuk melumpuhkan pengaruh parti pembangkang yang semakin diterima oleh masyarakat sejak kebelakangan ini. Ramai juga yang berpendapat bahawa kejayaan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU baru-baru ini adalah kesan daripada kempen melalui web dan blog. Lihat saja kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PR, kebanyakannya adalah di kawasan bandar, di mana ramai pengundi di kawasan ini sudah barang tentu didedahkan dengan kemudahan internet. Kerajaan Barisan Nasional (BN) kebanyakannya hanya menang di kawasan pedalaman dan luar bandar, di mana masyarakatnya hanya di'suap' dengan kempen melalui media massa dan media cetak sahaja (tv, radio dan akhbar) yang jelas menyebelahi pihak kerajaan..

Oleh itu, mereka tiada pilihan lain, kerana hanya dengan cara ini sahajalah mereka boleh menutup sama sekali sumber maklumat rakyat, kerana mereka juga percaya media massa dan media cetak tidak mampu menarik rakyat untuk menyokong kerajaan, tambahan pula rakyat sudah muak dengan kempen yang melampau oleh 'jentera' kerajaan yang menafikan sama sekali hak parti pembangkang. Inilah yang dikatakan demokrasi ala Malaysia..

Jelas di sini bahawa, blog dan laman web jauh lebih berkesan daripada media alternatif yang lain dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan pantas kepada rakyat. Hanya yang tinggal tugas dan tanggung jawab yang terpundak di bahu kita untuk menyebarkan wadah info semasa kepada rakan-rakan, ahli keluarga dan masyarakat setempat, di samping menjadi medan dakwah bagi kita merealisasikan tugas 'amar makruf & nahi mungkar'..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

..salam taaruf..


Assalamualaikum Wrt Wbr..

Alhamdulillah..syukur ku panjatkan kehadrat Allah s.w.t - Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang telah banyak berkorban demi Islam, tak lupa buat ahli keluarga Baginda, para sahabat, para tabi' dan tabi'in radhiallahu 'anhum ajma'in..

Hmm.. Selama ni asyik menjenguk dan meng'usya' blog-blog orang lain je, baru hari ini diberi keizinan dan kekuatan oleh Allah s.w.t untuk memiliki blog sendiri..maklumlah, aku ni bukan jenis suka sangat menulis, tau baca..baca..baca je..he3.. Sebenarnya dah lama aku menyimpan hasrat untuk memiliki blog sendiri, tapi dek kerana kejahilan yang menghantui diriku tentang bagaimana cara untuk merealisasikannya, maka perancangan hanya tinggal perancangan, tak lebih dari tu. Dengan kata lain, impian hanya tinggal impian, tak kan ke mana pun..

'Ala kulli hal, diharapkan dengan kewujudan usaha yang tak seberapa ni dapat memberi manfaat yang amat berguna kepada kalian, sebagaimana sabda Nabi s.a.w, "sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada org lain". Semoga usaha yang mungkin tidak ada nilai di sisi Allah s.w.t ini menjadi saham akhirat yang berterusan buat diriku dan insan-insan yang menyampaikannya semula kepada org lain. Sabda Nabi s.a.w lagi, "orang yang menunjukkan kepada kebaikan itu (pahalanya) sepertimana mereka yang melakukannya"..

Salam taaruf dan salam mahabbah fillah dariku yang sedang mengembara di bumi gersang..

~TERUSKAN BACAAN~

Read more...

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP