Monday, June 2, 2008

..program soifi..



Assalamualaikum wrt wbr..

Bersempena dengan cuti soifi (musim panas) ni, pihak Dewan Perwakilan Mahasiswa (Maqaz) Shoubra (DPMMS) telah merancang banyak aktiviti-aktiviti yang menarik dan bermanfaat untuk semua ahli. Program yang dinamakan Liqa' Mahabbah (LIMA 08) merupakan program tahunan yang sering diadakan saban tahun dan juga merupakan antara program mega DPMMS. Antara program-programnya adalah seperti rehlah, diskusi ilmiah, seminar, kursus, sukan, bazaria dan banyak lagi..

Semalam, satu program yang menarik di bawah LIMA 08 ini telah diadakan iaitu rehlah ke Fayyoum, satu kawasan yang penuh dengan keajaiban ciptaan Allah s.w.t di bumi Mesir ini. Fayyoum juga merupakan kawasan sektor pertanian yang mana walaupun tanahnya kering, tetapi tanamannya hidup subur..subhanallah! Rehlah yang disertai kira-kira 80 orang ahli DPMMS ini antara lain bertujuan mengeratkan lagi mahabbah di kalangan ahli di samping merenung dan melihat sendiri kebesaran serta kekuasaan Allah s.w.t. Tahun lepas aku tak berkesempatan mengikuti rehlah ke Fayyoum kerana aku dah pun berada di Malaysia (lepas dapat natijah terus balik..he3)..

Antara kawasan-kawasan menarik yang sempat kami lawati sepanjang rehlah semalam ialah Buhairah Qarun (tasik Qarun), Qasr Qarun (istana Qarun), kawasan air terjun Syalalat, 'Ain Silin, kebun anggur dan bandar kincir air Nabi Yusuf.

Tasik Qarun memperlihatkan kepada pengunjung betapa Maha Kuasa Allah s.w.t menenggelamkan seorang manusia yang sombong dan angkuh terhadap nikmat kekayaan yang dikurniakan Allah kepadanya ke dalam tasik tersebut. Walhal pada asalnya beliau hanya seorang miskin lalu berkat doa Nabi Allah Musa a.s beliau menjadi seorang yang kaya-raya. Kemudian beliau lupa diri sehingga enggan mengeluarkan zakat. Hartanya disimpan di dalam gudang besar, dan dikatakan anak kunci gudang tersebut hanya boleh dibawa dengan menggunakan beratus-ratus ekor unta. Lihat, betapa besar dan beratnya anak kunci gudang harta Qarun. Itu baru kunci, belum hartanya lagi..

Istana Qarun pula menyaksikan bagaimana kekuasaan Allah s.w.t menghancurkan mahligai mewah yang besar milik Qarun laknatullah. Kini hanya tinggal sedikit saja kesan binaan istana tersebut, selebihnya hanya cebisan batu-batu dan menjadi padang pasir yang luas bak padang jarak padang tekukur..

Bagi mereka yang ingin menyejukkan tubuh selepas ber'jemur' dari pagi, eloklah mengunjungi kawasan air terjun Syalalat. Tempat inilah yang dinanti-nantikan oleh para peserta. Air terjun daripada kawasan ini mengalir laju ke tasik Qarun. Apa yang menarik di sini ialah kawasan di mana padang pasir yang luas seluas mata memandang, terdapat air terjun yang teramat sejuk. Sesiapa yang melihatnya pasti ta'ajub akan kebesaran Allah ini. Mereka yang berkunjung ke sini pasti tidak melepaskan peluang untuk mencuba kesejukannya. Dengan kata lain, hanya orang yang tak waras saja yang tidak mahu merasai ke'nikmat'annya (bagi sahabat-sahabat yang tak mandi semalam, jangan terasa ye..he3)..

Ain Silin merupakan sebuah kawasan di mana terdapatnya sebuah air mata air di situ. Ianya merupakan air mata air asli dan bukan buatan manusia. Seperti juga air zam zam di Mekah, ain Silin sentiasa mengalir semenjak dahulu hingga kini. Uniknya, air mata air ini mempunyai khasiat-khasiatnya yang tersendiri sepertimana air mineral yang bersih. Di kawasan ini juga terdapat kebun anggur yang ditanam sendiri oleh penduduk di situ. Di samping itu juga mereka menanam mempelam dan sayur-sayuran yang lain..

Destinasi terakhir kami ialah bandar kincir air Nabi Yusuf a.s. Mengikut sejarah, Nabi Allah Yusuf a.s telah menerima wahyu daripada Allah s.w.t supaya dibangunkan kawasan tersebut (Fayyoum). Lantas baginda membuat kincir air bertujuan supaya air daripada sungai dapat disalurkan ke kawasan pertanian untuk menyuburkan tanaman. Kincir yang 98% diperbuat daripada kayu itu terletak di tengah-tengah bandar Fayyoum. Pada mulanya terdapat berpuluh-puluh buah kincir, tapi kini hanya tinggal empat buah saja. Daripada jumlah itu, hanya tiga daripadanya yang dapat berfungsi dengan baik hingga ke hari ini. Menariknya di sini, pengunjung pasti kagum dengan bunyinya yang langsung tidak menggunakan sebarang enjin seolah-olah seperti bunyi azan..

p/s= gambar-gambar dan kronologi perjalanan ke Fayyoum akan dipost kemudian..nantikan..


0 comments:

  © Hak Cipta Terpelihara The Professional Template by Cucu Dagang 2009

Back to TOP